Darah merupakan cecair penting yang membawa segala keperluan sel-sel di
dalam badan kita daripada zat makanan sehinggalah kepada oksigen yang
diperlukan. Malah selain daripada zat-zat penting ini, darah juga turut
mengandungi sistem pertahanan badan yang diselenggarakan oleh sel darah putih.
Kandungan utama di dalam darah adalah dikenali sebagai plasma iaitu kandungan
utama di dalam darah dengan peratus sehingga 55% daripada keseluruhan kandungan
darah. Selain daripada air plasma juga
turut mengandungi;
- Sel darah
- Karbon Dioksida
- Glucose (gula)
- Hormon
- Protein
Jenis-jenis sel darah;
Sel darah merah – Sel darah merah merupakan jumlah sel
terbanyak di dalam darah. Ia berbentuk cakera yang berlekuk dan mengandungi
hemoglobin (Hb atau Hgb). Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu RBC atau erythrocytes.
Hemoglobin merupakan protein yang mengandungi zat besi (iron); yang akan di
agih-agihkan kepada sel-sel di dalam badan. 97% daripada kandungan kering sel
darah merah ini adalah protein.
Sel darah merah mempunyai jangka hayat kira-kira 4 bulan. Ia kemudiannya
akan dilupuskan oleh dua organ utama dalam badan iaitu limpa dan hati. Sel
darah merah akan terus dihasilkan oleh badan mengikut kadar keperluan yang
diperlukan.
Sel darah putih (leukocytes)
– Sel darah putih merupakan sel yang melakukan kerja-kerja penyingkiran bahan
asing di dalam darah (yang terdiri daripada organisma ataupun sel-sel rosak
seperti sel kanser). Lymphocytes dan
juga ganulocytes (daripada kumpulan
sel darah putih) boleh bergerak di dalam dan di luar daripada aliran darah bagi
menjangkau bahagian yang diperlukan.
Kandungan normal sel darah putih di dalam 1 liter darah adalah kira-kira
4X1010 atau merupakan 1% daripada keseluruhan darah bagi seseorang manusia
normal.
Platelets (thrombocytes)
– platelets pula berfungsi untuk mengawal proses pembekuan darah terutama
apabila kita mengalami luka. Apabila kita luka, platelets akan menggumpal dan
membeku untuk mengelakkan darah terus mengalir.
Fungsi Utama Darah
- Darah membawa oksigen ke seluruh bahagian badan untuk semua sel dan tisu.
- Membekalkan segala keperluan nutrient kepada sel, antaranya seperti asid amino, asid lemak dan glukosa.
- Menyingkirkan karbon dioksida, urea dan asid laktik (bahan kumuhan).
- Sel darah putih di dalam darah mengandungi antibodi yang mempertahankan badan daripada jangkitan dan bahan asing.
- Platelets di dalam darah pula membantu proses pembekuan darah bagi memastikan darah tidak terus mengalir keluar apabila berlaku pendarahan.
- Hormon atau penggalak juga terkandung di dalam darah dan menghantarkan isyarat bagi tindakan bahagian-bahagian sel tertentu di dalam badan.
- Ia mengawal kadar keasidan di dalam badan.
- Darah juga merupakan elemen penting dalam mengawal suhu badan. Pengaliran darah dapat membantu mengurang atau menetapkan suhu badan dalam keadaan yang stabil. Juga kita sudah semestinya perlu mengelakkan cuaca yang terlalu panas ataupun sejuk dengan perlindungan pakaian yang bersesuaian.
Bagaimana Sel Darah Dihasilkan?
Sel-sel seperti darah putih, darah merah dan platelets dihasilkan oleh
sum-sum tulang yang terdapat di dalam bahagian tengah tulang. Bahagian tulang
ini mengandungi lemak, darah dan sel yang dikenali sebagai stem sel – iaitu sel yang
yang boleh membentuk menjadi pelbagai jenis sel yang lain. Terdapat beberapa
bahagian tulang pada badan yang mengandungi sum-sum yang banyak untuk tujuan
penghasilan sel darah ini.
Kumpulan Darah
Terdapat 4 kumpulan utama darah iaitu A,
B, AB dan O. Kumpulan darah
ini penting dalam menjalankan proses perubatan terutamanya apabila pesakit
mengalami kekurangan darah dan memerlukan darah tambahan. Darah yang tidak
sesuai akan menyebabkan reaksi penolakan yang boleh membahayakan nyawa pesakit
dan membawa maut.
Secara ringkasnya darah dari kumpulan O boleh medermakan darah kepada semua
jenis kumpulan darah yang lain. Manakala darah dari kumpulan A pula hanya boleh
menerima darah dari kumpulan A atau O sahaja. Begitu juga dengan darah dari
kumpulan B yang hanya boleh menerima dari kumpulan B atau O pula. Bagi kumpulan
AB + (RhD positive) pula ia boleh menerima darah dari mana-mana kumpulan darah.
Walaubagaimanapun sebelum menjalankan sesuatu proses tranfusi darah, pelbagai
ujian perlu dijalankan dalam memastikan keserasian sebelum seseorang pesakit
boleh menerima darah dari penderma yang lain.
Bagitulah beberapa perkara yang manarik mengenai darah yang terkandung
dalam setiap badan manusia. Walaupun ia hanya kelihatan seperti cecair yang
berwarna merah, ia sebenarnya mengandungi pelbagai kandungan penting yang
memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Bagi memastikan darah berada
dalam keadaan yang baik pula, anda perlulah memastikan bahawa anda mengamalkan
amalan kesihatan yang baik dan juga pemakanan yang sihat. Terima kasih.
Artikel berkaitan:
1. Tahukah Anda Mengenai Darah Jenis Bombay?
Artikel berkaitan:
1. Tahukah Anda Mengenai Darah Jenis Bombay?