Memaparkan catatan dengan label kumbang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kumbang. Papar semua catatan

Rabu, 1 September 2021

Penurunan Jumlah Serangga, Mengapa Kita Perlu Khuatir?

Manusia sejak dahulu lagi cuba mengenali serangga dengan lebih dekat, bagi mengetahui potensinya.


Tidak semua orang suka kepada serangga - ataupun, anda tidak menyukai semua serangga! Ini kerana, serangga merupakan satu kumpulan hidupan yang sangat besar, dan mengenali kesemua jenis serangga adalah sukar. Sehingga kini hanya sekitar sejuta spesies yang berjaya dikenali dan diklasifikasikan. Manakala jumlah spesies yang dianggarkan adalah sekitar 5.5 juta spesies dan 1.5 juta daripadanya terdiri daripada spesies kumbang.
 

Mengapa Serangga Penting?

 
Seperti juga hidupan-hidupan yang lain, setiap serangga mempunyai fungsi yang tersendiri. Keunikan kumbang yang biasanya menjadikan tumbuhan reput sebagai tempat di mana ia bertelur dan menjadi makanan baginya sehingga dewasa - membantu proses pereputan dan membolehkan nutrient daripada tumbuhan mati tersebut kembali semula kepada tanah, bagi tumbuhan-tumbuhan baru pula tumbuh. Selain itu, anak-anak kumbang ini pula akan menjadi makanan hidupan-hidupan lain seperti burung, cicak, musang, monyet dan hidupan-hidupan lain. Kebolehan serangga membiak dalam jumlah yang besar adalah kerana, ia merupakan sumber makanan penting bagi hidupan yang lain - membiak dalam jumlah yang besar, membolehkan sebahagian daripadanya mencapai usia dewasa.

 
Terdapat juga serangga-serangga yang tinggal di dalam tanah. Serangga-serangga ini, secara tidak langsung mengekalkan struktur tanah supaya tetap berada dalam keadaan yang baik. Ia membolehkan pengaliran udara dan air yang lancar, sekali gus membolehkan tumbuh-tumbuhan menyerap air yang meresap ke dalam tanah. Tanpa air yang menyerap ke dalam tanah, menyebabkan tanah menjadi cepat kering, gersang dan menyebabkan kesan kemarau yang lebih teruk.

Rama-rama sangat terkenal dengan fungsinya sebagai ejen pendebungaan.

'Ladybug' atau kumbang kura-kura memakan serangga perosak tanaman.

 
Kebanyakan serangga juga merupakan ejen pendebungaan bagi tumbuhan-tumbuhan berbunga. Ini membolehkan tumbuhan menghasilkan buah, seterusnya membolehkan tumbuhan pula menghasilkan biji benih yang membolehkan tumbuhan-tumbuhan baru dihasilkan. Biji-biji tumbuhan ini kemudiannya ada yang diterbangkan angin, dimakan burung dan diterbangkan jauh dari pokok induknya, atau dimakan haiwan dan dicernakan berhampiran kawasan yang lebih subur dari pokok induknya. Inilah yang menjadikan hubungkait antara hidupan-hidupan ini sangat penting. Walaupun serangga merupakan hidupan yang kecil, namun fungsinya adalah sangat besar kepada keseimbangan alam.
 
Serangga-serangga sendiri memainkan peranan dalam mengawal keseimbangan hidupan-hidupan lain. Walaupun ada di antaranya yang menyebabkan penyakit dan mengurangkan populasi hidupan - namun bukan ini yang dimaksudkan. Pengawalan populasi di sini lebih kepada kehidupan serangga-serangga itu sendiri yang mungkin menjadikan hidupan lain sebagai sumber makanan bagi mereka. Seperti labah-labah yang menjadikan serangga-serangga lain sebagai sumber makanan, malah turut ada yang menjadikan hidupan-hidupan kecil lain sebagai sumber makanan mereka. Selain hidupan, serangga-serangga juga turut menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan.
 

Kegunaan Serangga Kepada Manusia

 
Manusia telah lama menggunakan khidmat serangga dalam pelbagai aktiviti kehidupan seharian. Sepanjang pembangunan tamadun manusia, serangga mempunyai hubungan rapat dalam membantu perkembangan kualiti hidup manusia itu sendiri. Contoh yang terpaling baik adalah pertanian. Pertanian merupakan punca manusia mampu tinggal di suatu penempatan yang tetap. Di sini, serangga membantu secara tidak langsung dari segi pendebungaan tumbuh-tumbuhan yang ditanam manusia dan membolehkan penghasilan bijian baru dihasilkan untuk tanaman yang berikutnya. Selain itu juga, serangga turut menjadi makanan ternakan seperti ayam, itik dan ikan. Walaupun serangga juga merupakan sebahagian daripada musuh tanaman - namun terdapat juga serangga-serangga pemangsa yang menjadikan serangga-serangga ini sebagai makanan mereka.

 
Selain membantu pendebungaan tumbuhan, terdapat juga serangga-serangga yang menyediakan sumber makanan kepada manusia. Antara sumber makanan yang paling popular adalah madu. Namun begitu, kebanyakan masyarakat di dunia menjadikan serangga itu sendiri sebagai makanan seperti belalang, kumbang air, cengkerik, labah-labah, semut dan macam-macam lagi mengikut geography sesuatu kawasan. Selain serangga dewasa, anak-anak kumbang juga merupakan antara makanan popular sesetengah masyarakat.
 
Serangga turut menyediakan manusia dengan sumber bahan seperti sutera yang menjadi bahan utama penghasilan industri tenunan sutera. Selain sutera yang dihasilkan oleh ulat sutera, sutera labah-labah juga merupakan antara bahan yang menjadi bahan idaman manusia - hari ini, sutera labah-labah cuba dihasilkan secara sintetik, dan hasilnya amat memberangsangkan!

Ulat sutera merupakan bahan makanan kepada manusia di sesetengah tempat.

Ulat sutera dalam industri penghasilan barangan sutera.

 
Manakala dalam industri perabot pula, bahan yang dikenali sebagai “shellac”, adalah dihasilkan daripada serangga yang dikenali sebagai Lac Scale (Laccifer lacca), yang kebanyakannya dihasilkan dari India. Namun begitu, ia juga turut dihasilkan di beberapa negara lain seperti Thailand, China, Mexico, Bangladesh, Myanmar, Laos dan Vietnam. Shellac amat penting dalam industri perabot kerana ia bukan sahaja memberikan kemasan yang baik, malah turut mengelakkan perabot-perabot daripada dirosakkan oleh serangga-serangga lain.
 
Dalam penghasilan bahan industri, lebah sekali lagi menyediakan sumber seperti lilin lebah (beeswax), yang digunakan dalam penghasilan produk seperti minyak sapuan (ointments), bahan penggilap, penggilap kasut dan juga penghasilan lilin. Sebahagian besar lilin lebah turut digunakan dalam penghasilan bahan kosmetik seperti losyen, krim dan juga lipstik.

 
Malah bahan pewarna juga turut dihasilkan daripada serangga dalam penghasilan pelbagai bahan seperti pewarna bagi kosmetik, pewarna makanan, ubatan dan minuman. Walaupun mendapat persaingan daripada pewarna sintetik moden - yang ternyata bersifat carninogenic, menyebabkan penggunaan bahan pewarna dari serangga ini masih diperlukan. Tanin juga merupakan bahan yang boleh dihasilkan daripada ‘insect galls’, iaitu ketumbilan pada tumbuhan yang dihasilkan oleh serangga yang digunakan dalam proses penyamakan (tanning) barangan kulit dan juga dalam penghasilan dakwat kekal yang berkualiti.
 
Hari ini juga serangga seperti lalat ‘Black Soldier Fly’ (BSF), merupakan serangga penting yang digunakan dalam pelupusan sisa bahan organik. Selain itu juga, lalat-lalat ini turut menjadi sumber makanan kepada binatang ternakan, secara terus ataupun diproses. Makanan yang dihasilkan daripada lalat-lalat BSF adalah amat baik bagi tumbesaran haiwan ternakan, kerana ianya menyediakan bekalan protein yang tinggi. Industri ternakan lalat BSF boleh dilakukan secara kecil-kecilan atau besar-besaran - bergantung kepada pengusaha itu sendiri.

'Insect galls', merupakan bahan penting dalam industri kulit dan dakwat.

'Lac Scale', yang menghasilkan bahan untuk menghasilkan 'shellac' yang penting dalam industri perabot.

 

Masa Depan Serangga

 
Hari ini kehidupan serangga-serangga amat terancam oleh pelbagai faktor. Selain daripada kehilangan habitat, serangga samada dibunuh dengan sengaja ataupun tidak disebabkan oleh aktiviti-aktiviti manusia seperti pertanian, pembangunan dan pembalakan menyebabkan kematian banyak serangga. Cara hidup manusia seperti penggunaan lampu-lampu pada waktu malam juga merupakan penyumbang kepada kepupusan jumlah serangga yang besar. Pembukaan tanah-tanah pertanian pula menyebabkan banyak spesies-spesies tumbuhan penting yang menjadi habitat serangga-serangga ini pupus. Penggunaan racun serangga membunuh bukan sahaja serangga perosak, malah serangga-serangga lain yang memberikan manfaat kepada manusia. Racun rumpai misalnya, walaupun tidak membunuh serangga secara terus, ia menyebabkan kehilangan banyak spesies tumbuhan yang menjadi sumber makanan atau tempat tinggal serangga-serangga ini.
 
Banyak tindakan kita yang merosakkan hidupan yang membawa kebaikan kepada kita. Walaupun ia kelihatan seperti membawa kebaikan, sebaliknya memberikan banyak keburukan - bagi jangka masa panjang. Pembangunan dan kemajuan merupakan suatu perkara yang amat baik, namun kemajuan dalam memahami kepentingan dan kaitan hidupan di dalam alam adalah lebih penting - dan menjamin kehidupan yang lebih sejahtera. Semoga ia menjadi objektif pembangunan kita, pada masa akan datang.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Insects
2) Wikipedia: Lac
3) Smithsonian: Benefits of Insects to Humans
4) Smithsonian: Insects as Food for Humans
5) Smithsonian: Insect and Mite Galls
6) Treesforlife.org.uk
7) Finedininglovers.com


Sabtu, 28 Mac 2015

Keunikan Dunia Kumbang

Beetle - colorful
Keunikan dunia kumbang yang terdiri daripada pelbagai rupa bentuk dan warna.

Kumbang adalah tergolong dalam kumpulan serangga. Ia juga merupakan antara kumpulan hidupan terbesar dan terdiri daripada pelbagai spesies. Kumbang boleh didapati  hampir di semua kawasan di dunia kecuali di dalam laut atau kawasan kutub. Ini kerana kumbang juga hidup di dalam air (air tawar).

Kumbang boleh dikenali dengan mudah melalui pelindung kepaknya yang keras dikenali sebagai “elytra” manakala kepaknya yang lembut tersimpan dengan baik digunakan untuk terbang - jadi ia mempunyai dua pasang sayap.

Oleh kerana kumpulan kumbang yang besar, tiada senarai spesies kumbang yang lengkap setakat ini. Terdapat sehingga kira-kira 350,000 spesies kumbang yang dinyatakan oleh para pengkaji dan banyak lagi yang masih belum dijumpai. Ini kerana kumbang boleh dijumpai hampir di setiap kawasan termasuk di dalam air tawar dan melakukan pelbagai fungsi di dalam ekosistem.

Biggest goliath beetle
Kumbang terbesar iaitu Goliath Beetle.
Goliath beetle larvea
Anak kumbang Goliath beetle.

Oleh kerana jumlah spesies kumbang yang besar, perbezaan di antara kumbang yang paling kecil dan kumbang yang paling besar diketahui juga amatlah berbeza. Spesies kumbang terkecil dikenali sebagai Nanosella fungi yang hanya bersaiz kira-kira 0.25 mm panjang dan berat 0.4 milligram. Manakala kumbang terbesar yang diketahui setakat ini adalah Goliath beetle (Goliathus goliathus) yang boleh mencapai berat sehingga 100 gram. Manakala kumbang yang mencapai ukuran terpanjang pula adalah Titanus giganteus yang boleh mencapai ukurang sehingga 20 cm panjang.

Terdapat pelbagai fungsi kumbang di dalam ekosistem selain daripada sebagai agen pendebungaan ia juga merupakan agen pembersihan (seperti kumbang tahi, dan kumbang-kumbang lain yang memakan benda-benda yang reput), mengawal serangga lain seperti ladybird (ladybug) malah menjadi sebahagian bahan makanan kepada haiwan juga manusia (terdapat kumbang yang dijadikan bahan makanan di beberapa kawasan di dunia – anak kumbang/ dewasa).

Metallic beetle
Warna pada kumbang ini yang sangat menakjubkan.
Ladybug eating aphids
Ladybug merupakan kumbang pengawal tanaman.

Kumbang mengalami kitar hidup lengkap iaitu daripada telur, larva, pupa sehingga menjadi kumbang dewasa. Sepanjang kitar hidupnya inilah kumbang akan melakukan aktiviti-aktiviti yang membantu aktiviti seperti pereputan ataupun menjadi makanan kepada hidupan lain. Bagi spesies yang hidup di dalam kayu misalnya, ia akan turut membiakkan spesies fungus yang akan menjadi bahan makanan kepada anak-anaknya yang akan menetas dari telur yang ditinggalkan di dalam kayu tersebut. Ia bukan sahaja membantu pereputan kayu – malah membantu pembersihan kawasan hutan dan membenarkan pokok kayu lain tumbuh dengan subur.

Beetle
Keunikan dunia kumbang yang perlu dikenali.

Walaupun terdapat kumbang yang menjadi masalah kepada industri pertanian seperti boll weevil yang merosakkan tanaman kapas, Asian Longhorned Beetle, bark beetle dan elm leaf beetle kesemuanya boleh mengurangkan hasil kepada tanaman, terdapat juga kumbang-kumbang yang membantu seperti ladybird dan kumbang tahi (dung beetle) dan banyak lagi spesies yang membantu pendebungaan serta pereputan bahan-bahan yang telah mati. Ini kerana, hidupan akan terus membiak selagi kawasan persekitarannya sesuai dan akan mati sekiranya keadaan menjadi sebaliknya. Apa yang berlaku sebenarnya adalah – aktiviti manusia sendiri yang menyebabkan hidupan lain menjadi tidak stabil (tidak teratur).


Oleh kerana terdapat kumpulan kumbang yang besar, maka fungsinya juga adalah besar kepada keseimbangan ekosistem. Seperti juga serangga-serangga yang lain, ia telahpun menghuni bumi sejak jutaan tahun yang lalu. Terdapat kumpulan kumbang yang amat cantik dan berwarna-warni yang semestinya menarik minat anda untuk mengenali serangga istimewa ini. Sekiranya anda berada di kawasan luar rumah cuba-cubalah perhatikan kumbang-kumbang ini.



Free Download



Mikro Post; Dung Beetle

Kumbang Tahi memindahkan tahi ke kawasan yang sesuai untuk dijadikan sarang.

Dung Beetle atau juga dikenali dengan nama “Kumbang Tahi” mungkin kurang menarik bagi anda, namun setelah anda membaca artikel kali ini anda mungkin tahu bahawa kumbang ini amat istimewa dan penting sekali dalam ekosistem. Kumbang tahi bukan sahaja berbentuk kurang menarik dan berwarna gelap, malah pekerjaannya dalam menjadikan najis haiwan lain sebagai makanan mungkin agak menggelikan.

Sebenarnya kumbang tahi merupakan serangga yang amat istimewa malah penting sekali dalam ekosistem. Selain daripada membersihkan najis haiwan lain ia mengelakkan merebaknya wabak penyakit dengan pembiakan serangga dan haiwan penyebar penyakit seperti lalat.

Dung beetle - Onitis aygulus
Dung beetle - Onitis aygulus

Dung beetle - Onthophagus nigriventris
Dung beetle - Onthophagus nigriventris

Sebahagian kumbang-kumbang hanya memakan najis haiwan-haiwan tertentu sahaja manakala ada juga yang memakan pelbagai jenis. Oleh kerana najis haiwan herbivor mengandungi kandungan makanan yang tidak dihadamkan oleh haiwan-haiwan ini, maka ia menjadi sumber makanan yang sesuai bagi kumbang tahi. Namun begitu kajian daripada University of Nebraska mencadangkan kumbang ini lebih tertarik kepada najis haiwan omnivor kerana mengandungi nutrient dan juga bauan yang lebih mudah untuk dikesan.

Walaupun kebanyakan kumbang tahi menggulingkan najis ke lokasi yang sesuai untuk ditanam dan dijadikan sarang. Namun banyak spesies lain yang mempunyai kaedah unik masing-masing untuk menjadikannya sebagai makanan dan untuk tujuan pembiakan. Ada yang akan tinggal berdekatan dengan kawasan najis tersebut dijumpai atau terus tinggal di dalam najis tersebut.

Kumbang ini amat penting, di negara-negara yang mempunyai industri penternakan haiwan seperti lembu dan kambing, memerlukan kumbang ini untuk membantu membersihkan najis haiwan ternakan yang dihasilkan. American Institute of Biological Sciences melaporkan kumbang ini telah membantu industri penternakan lembu di United States sebanyak USD380 juta setahun dalam pembersihan najis haiwan ternakan yang berada di atas tanah.

types of dung beelte
Perbezaan cara kehidupan spesies-spesies kumbang tahi

Malah penggunaan kumbang tahi juga digunakan di negara Australia bagi membantu negara tersebut menangani masalah yang sama dalam industri penternakan lembu di negara itu. Melalui pengenalan 23 spesies kumbang dari Afrika Selatan dan Eropah, ia memberikan hasil yang amat memberangsangkan dalam menjaga kebersihan kawasan ragut dan mengurangkan pembiakan serangga perosak seperti lalat.


Banyak lagi perkara menarik mengenai kumbang ini yang perlu anda ketahui. Mungkin kehidupan serangga ini sedikit menggelikan anda, namun kepentingan serangga unik ini kepada alam amatlah besar. Tanpa kumbang ini tentu kita akan berhadapan dengan masalah kebersihan yang lebih serius.




Free Download



Arkib Blog