Memaparkan catatan dengan label kuih raya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuih raya. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Mei 2014

Kuih Muih Tradisional Mudah Murah dan Sihat

Kuih siput
Kuih siput tetap diminati sehingga ke hari ini.

Bila menjelang bulan Rejab ni tentu semua sudah tahu yang tidak lama lagi bulan puasa pun akan muncul dan persiapan hari raya akan menjadi semakin sibuk. Memandangkan harga barangan serta kos perbelanjaan yang semakin tinggi apa kata kita mencari alternatif untuk menjimatkan lagi kos perayaan tahun ini dengan resipi kuih-muih tradisi yang jauh menjimatkan, murah dan lebih sihat.

Kuih-muih tradisi kebiasaannya menggunakan kelengkapan yang lebih ringkas selain daripada bahan-bahan yang rata-ratanya mudah diperolehi – ya, anda tidak akan mendengar benda-benda pelik digunakan untuk kuih-muih tradisi seperti ‘chocolate chip’, ‘baking powder’, ‘tartar cream’, ‘butter’ atau pun benda-benda lain yang memerlukan anda menjelajah serata bandar hanya untuk mencari bahan-bahannya sahaja.

Selain itu juga ia lebih mudah disediakan di mana kebiasaannya kuih-muih tradisi hanya memerlukan proses seperti menggoreng, bakar (bahulu, sepit), wap/rebus (keropok, kerepek) atau dimasak seperti dodol. Mungkin kaedah penyediaan dahulu lebih rumit kerana peralatan tradisional memerlukan proses yang susah kerana proses pembakaran menggunakan sabut dan arang. Jadi hari ini kita boleh menggunakan ketuhar atau pembakar elektrik yang jauh lebih mudah.

Kuih ros
Kuih ros agak ringkas dan menggunakan bahan yang sedikit.

Dari segi kelengkapan barangan untuk menyediakan kuih-muih tradisi juga amat mudah. Ini kerana jarang sekali kuih-muih tradisi memerlukan kelengkapan yang melebihi 10 jenis bahan. Ini bermakna ia amat menjimatkan (masa mencari bahan, penyediaan, memasak dan menyimpan). Malah kebiasaannya kuih-muih tradisi hanya memerlukan 3 ~ 4 bahan asas iaitu tepung beras/gandum, gula, telur, minyak untuk menggoreng (dan sedikit bahan lain yang membezakan antara beberapa resipi kuih-muih tradisi).

Kuih-muih tradisi jarang menggunakan ‘margarine’ atau ‘butter’ yang sememangnya kaya dengan lemak tepu – tentunya boleh membahayakan kesihatan. Penggunaan minyak kelapa untuk menggoreng pula boleh dikurangkan (di tos dengan sempurna selepas proses menggoreng). Malah minyak kelapa semakin menjadi kegilaan masyarakat barat (kerana ia jauh lebih baik – sila rujuk artikel-artikel berkaitan kebaikan minyak kelapa di internet).

Apa yang menarik, sesetengah kuih-muih tradisi adakalanya dibuat secara bergotong-royong secara beramai-ramai dan ini tentunya dapat mengeratkan lagi hubungan kemasyarakatan masyarakat setempat. Adakalanya ia merupakan aktiviti yang penuh meriah dan hasilnya turut diagih-agihkan kepada para peserta atau disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Bahan-bahan kuih-muih tradisi adalah bahan-bahan yang terdapat di sekeliling kampung suatu masa dahulu. Tepung beras yang digunakan sebagai bahan utama untuk penyediaan kebanyakan kuih-muih adalah disediakan sendiri dengan menumbuk beras untuk dijadikan tepung. Sebab itulah penglibatan orang ramai dapat memudahkan lagi proses penyediaan bahan ini. Kerja-kerja sebegini biasanya dilakukan secara bergilir-gilir kerana dalam masa yang sama setiap suri-rumah perlu menguruskan keperluan di rumah masing-masing.

Kuih bahulu
Bahulu ikan merupakan pilihan utama kanak-kanak.

Antara bahan-bahan lain yang turut digunakan dalam menyediakan kuih-muih tradisi adalah ubi kayu, pisang, kelapa parut/ santan kelapa, gula/ gula melaka, telur ayam/itik, rempah, bijan, kacang tanah, beras biasa/pulut dan beberapa bahan lain yang rata-ratanya mudah didapati dengan mudah di kampung. Manakala bahan perasa dan pewarna juga terdiri daripada tumbuh-tumbuhan seperti daun pandan dan bunga-bungaan.

Kerepek ubi
Kerepek ubi mudah dipelbagaikan dengan pelbagai perisa.

Antara kuih-muih perayaan tradisi yang popular suatu masa dahulu adalah kuih siput, kuih gunting, sagun, kuih bepang, kuih sepit/kapit, dodol, rempeyek, kerepek ubi, keropok ubi, kerepek pisang, kuih bahulu, biskut kelapa, kuih bangkit, putu kacang, kuih ros, kuih tumpi dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan banyak juga seleksi kuih-muih tradisi yang boleh diketengahkan semula untuk tujuan penjimatan dan juga sebagai juadah yang lebih menyihatkan.

Mungkin dengan memilih untuk menyajikan kuih-muih tradisi, anda bukan sahaja telah mengurangkan belanja untuk perayaan nanti. Malah anda juga telah menggunakan bahan-bahan yang rata-ratanya dihasilkan sendiri oleh masyarakat tempatan selain daripada ianya lebih menyihatan – kerana bahan-bahan tersebut tidak diproses menggunakan bahan-bahan pewarna tiruan atau pengawet. Anda juga boleh mencari kaedah penyediaan kuih-muih tersebut dari internet sekiranya anda ingin menyediakannya sendiri atau sekadar ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kuih kapit atau sepit
Kuih sepit mudah didapati dalam pelbagai bentuk.

Adalah dengan ini diharap kita akan lebih menghargai kuih-muih tradisi warisan budaya kita sendiri. Malah anda juga mungkin akan terkejut kerana kuih-muih tradisi masih diminati kerana ia tidak memualkan seperti kebanyakan kuih-muih yang menggunakan bahan-bahan seperti ‘margarine’ dan ‘butter’. Sehingga bertemu lagi dalam artikel yang akan datang. Selamat mencuba!


Free Download



Sabtu, 11 Ogos 2012

Kuih-muih Tradisi Tak Mungkin Ada Pengganti (Evergreen)


Bila menjelang hari raya banyak sekali kuih-muih raya mula dijual di pinggir-pingir jalan dan tak kurang juga yang menyediakan sample-sample kuih raya untuk kenalan-kenalan di pejabat. Kebanyakan kuih-muih hari ini dibuat menggunakan ‘margerine’ dan ‘butter’ di mana selain kandungan lemaknya tinggi, ianya juga menyebabkan si pemakan menjadi cepat mual! Lambakan kuih-muih moden ini menyebabkan kuih tradisional kita semakin dipinggirkan. Mari kita lihat apa yang menyebabkan kuih-muih ini semakin pupus.


Untuk mengetahui punca-punca mengapa kuih-muih tradisi ini semakin dilupakan, kita terlebih dahulu perlu melihat secara dekat mengenai ciri-ciri terperinci setiap kuih yang unik ini.

Kuih Siput, ranggup dan berperisa
i)                   Kuih Siput; - kuih siput merupakan kuih yang pertama sekali melintasi pemikiran saya bila berkaitan dengan kuih raya. Kuih ranggup yang boleh diperbagaikan rasanya samada pedas atau kari ini bersaiz kecil dan menyerupai siput. Proses pembuatan memerlukan setiap ulas kuih digintil menggunakan acuan kuih tersebut. Pembuat perlu mahir bagi mendapatkan saiz yang sesuai dan sekata.

ii)        Kuih Bahulu; - merupakan kuih kedua kegemaran saya. Bagi sesiapapun yang mengenali kuih bahulu pastinya akan teringatkan ‘bahulu ikan’. Bahulu ikan adalah bentuk kuih yang terdapat dalam acuan kuih bahulu. Biasanya akan menjadi idaman sesiapa sahaja yang menikmati kuih bahulu. Proses pembuatan kuih bahulu agak rumit kerana telur perlu dipukul dan dikekalkan ‘kembang’ untuk setiap pembakaran. Pembakaran menggunakan sabut kelapa pula mungkin menyebabkan proses ini memakan masa yang panjang. Satu yang ingin saya beritahu di sini, namun begitu bahulu yang dibakar dengan sabut kelapa – tiada tolok bandingnya lagi.

Bahulu ikan sentiasa menjadi buruan kanak-kanak
iii)                Kerepek Ubi; - kerepek ubi agak istimewa kerana dalam menusajian kuih tradisi, kerepek ubi merupakan antara menu yang tidak menggunakan tepung. Ubi kayu yang direbus akan dipotong-potong nipis dan dijemur untuk dikeringkan. Ubi yang telah cukup kering akan digoreng dan ‘disira’ bersama-sama dengan gula.
Banyak variasi kerepek ubi namun kerepek ubi bersira
gula merupakan sajian istimewa hari raya
iv)            Kuih Ros; - kuih ros atau ada juga yang memanggilnya kuih goyang memerlukan proses goyangan untuk mengeluarkan kuih dari acuan semasa proses menggoreng dijalankan. Menggunakan bahan daripada tepung beras kuih ini agak rangup. Proses pembuatan biasanya memakan masa yang lama kerana kuih perlu dimasak satu demi satu (mengikut bilangan acuan).

Kuih Ros juga manis dan ranggup
v)       Kuih Sepit; - kuih sepit mempunyai rasa seakan-akan kuih ros tetapi ianya dimasak menggunakan api (acuan yang diletakkan di atas api/ bara). Jadi kuih ini kurang berminyak dan sesuai sekali untuk dimakan sesiapa sahaja. Setelah dimasak di atas api, kuih ini akan dikeluarkan dan dibentuk mengikut selera pembuat samada dilipat, digulung atau apa sahaja bentuk mengikut kreativiti masing-masing.

Terdapat pelbagai bentuk kuih sepit tetapi
rasanya tetap sama
Banyak lagi kuih-muih tradisi yang lain sekiranya perlu disenaraikan kesemuanya - mungkin saya perlu menyambungnya di dalam artikel yang lain. Sekiranya ingin dibandingkan dari segi rasa dan kualiti saya tetap akan memilih kuih-muih tradisi yang sememangnya sedap lagi menyihatkan. Memandangkan hari ini sudah jarang kita lihat kuih-muih ini disajikan semasa beraya di rumah kenalan-kenalan apatah lagi untuk melihat bagaimana ianya dibuat.


Free Download



Arkib Blog