Memaparkan catatan dengan label komunikasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label komunikasi. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Februari 2022

Bagaimana Kita Boleh Membeli Masa?

Kita tidak boleh memberhentikan masa, sebaliknya hanya menguruskannya dengan sebaik mungkin.

Masa merupakan perkara yang amat penting mempengaruhi kehidupan manusia. Ia terus berlalu tanpa henti dan kita tidak dapat mengembalikan masa atau memperlahankan masa. Oleh kerana masa amat penting, setiap dari kita amat biasa dengan perkataan “jangan membuang masa”, “masa itu emas”, “masa berlalu tak akan kembali” dan sebagainya. Kepentingan masa telah diketahui sejak dahulu lagi, dan ia adakalanya diandaikan sebagai lawan kepada kehidupan, di mana setiap saat membawa kita hampir kepada saat akhir kehidupan. Jadi bagaimanakah kita boleh memanfaatkan masa, bolehkah ianya dibeli, bagi membolehkan kita melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh kehidupan yang pendek ini?
 
Kita mungkin tidak menyedari selama ini, kita telah lama membeli masa. Mungkin apa yang berbeza adalah, sejauh manakah kita sudah membelinya atau mampu membelinya. Masa diukur dalam tempoh masa atau sebanyak manakah perkara yang boleh kita lakukan untuk suatu tempoh masa tertentu. Bagi pengukuran dalam bentuk tempoh masa, tiada banyak perkara yang boleh dilakukan, dimana kita tidak dapat mengubah atau menganjakkan tempoh masa yang telah berlalu. Namun dalam erti kata lain, kita masih boleh melakukan lebih banyak perkara dalam tempoh masa yang sama - (mendekkan masa untuk sesuatu perkara).

 
Sekiranya dilihat, kehidupan manusia sebelum era teknologi berlaku dengan amat perlahan. Sistem pengangkutan mengambil masa yang lama untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang baru. Perjalanan menggunakan kaedah pengangkutan yang kurang efisyen seperti menggunakan haiwan atau pengangkutan air yang perlahan dan adakalanya berbahaya. Penghantaran mesej atau surat menyurat juga amat perlahan dan mengambil masa beberapa hari hingga kepada beberapa minggu. Begitu juga sekiranya anda ingin mendapatkan sesuatu bekalan, ianya perlu didapatkan dari tempat di mana ianya dihasilkan atau, kemungkinan besar, anda tidak dapat mendapatnya langsung. Begitu juga dengan keperluan-keperluan harian seperti memasak, membasuh pakaian, membersihkan rumah, semuanya perlu dilakukan secara “tenaga manusia”. Pada masa tersebut, hanya segelintir dari mereka yang mampu mengupah sejumlah bilangan pembantu rumah bagi meringankan beban-beban kerja tersebut.

Teknologi pengangkutan membantu sistem perdagangan manusia berkembang lebih cepat.  

Keretapi laju, merupakan pengangkutan yang jauh lebih efektif bagi destinasi  di laluannya.

Pembangunan teknologi dan pembangunan tamadun manusia adalah mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk memenuhi keperluan-keperluan ini. Melalui pembangunan kehidupan secara bermasyarakat, setiap dari anggota masyarakat menyediakan sesuatu keperluan untuk mereka yang lain. Jadi ia bergantung antara satu sama lain bagi memenuhi keperluan bersama. Petani yang membekalkan sayuran, perlu mendapatkan pakaian daripada penenun kain yang mana beliau juga perlu mendapatkan bekalan daging dari penternak dan seterusnya. Begitulah rantainan hubungkait kehidupan bermasyarakat dan mengapa kita hidup dalam berkumpulan.

 
Pembangunan memperbaiki kehidupan manusia dalam bentuk mempercepatkan proses untuk melakukan sesuatu perkara. Sistem pengangkutan yang membolehkan manusia bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan lebih cepat dan selamat seperti kapal terbang dan keretapi laju (bullet train). Ia juga merupakan nadi utama perdagangan yang membolehkan barangan dijual kepada pengguna yang berada lebih jauh dari tempat dimana ia dihasilkan. Begitu juga dengan teknologi rekabentuk yang membolehkan bangunan dibina secara bertingkat-tingkat bagi memanfaatkan penggunaan ruang. Maka dengan itu, lebih ramai penduduk dapat tinggal berhampiran kawasan bandar yang juga membekalkan pekerjaan bagi sumber pendapatan. Manakala sistem perhubungan juga menjadi lebih pantas berbanding surat menyurat yang memerlukan tempoh penghantaran yang perlahan.

Teknologi keretapi laju yang terus diperbaiki, meningkatkan kepantasannya.

Hari ini kehidupan manusia lebih efisyen dengan rekaan pelbagai mesin untuk kegunaan di rumah. Sejak daripada bangun seawal pagi sehingga tidur, kita dibantu oleh pelbagai rekaan peralatan bagi membolehkan kita memanfaatkan masa dengan lebih baik. Sebahagian daripada mesin ini juga adalah beroperasi secara automatik dengan pengawasan yang minima. Manusia yang memerlukan beberapa orang pembantu di rumah, hari ini hanya memerlukan seorang atau boleh melakukannya sendiri. Hari ini, kesemua peralatan ini dianggap sebagai keperluan bagi membolehkan kita menjalani kehidupan dengan lebih selesa.

 
Berbalik kita kepada tajuk asal, “bagaimana kita membeli masa”, adalah bagaimana kita memanfaatkan peralatan yang ada di pasaran bagi membolehkan kita melakukan perkara-perkara lain yang lebih penting. Ya, ia bukanlah datang dengan percuma, melainkan kita perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mendapatkannya. Apa yang baik, kebanyakan rekaan ini menjadi semakin murah dan mampu dimiliki oleh kebanyakan dari kita. Ia tidak perlu dilihat sebagai satu perkara mewah, sebaliknya sebagai faktor utama membolehkan kita menjimatkan masa yang perlu diluangkan untuk perkara-perkara yang lebih bermanfaat - adakalanya termasuk berehat!


Peralatan rumah yang membantu kerja-kerja seharian menjadi lebih mudah dan pantas.


'Smart Home', merupakan teknologi yang sedang diperbaiki bagi meningkatkan lagi kualiti kehidupan manusia.
 
Tidak terhenti di situ, banyak lagi rekaan yang akan datang untuk memperbaiki rekaan-rekaan yang telah sedia ada sekarang. Melalui penggunaan sistem AI, banyak lagi fungsi boleh ditambah bagi menjadikan proses sesuatu kerja diperbaiki. Kerja-kerja seperti mengemaskan rumah boleh dilkukan sepenuhnya oleh robot, begitu juga dengan mencuci pakaian. Melalui kemudahan-kemudahan seperti inilah kita mempunyai lebih masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, atau menyumbangkan idea dan rekaan baru untuk memenuhi keperluan kita sendiri.
 
Penulisan ini antara lain menggalakkan kita untuk menggunakan kemudahan rekaan-rekaan yang bermanfaat mengikut kemampuan. Kita sepatutnya meluangkan masa untuk menjadi lebih produktif dengan berkongsi perkara-perkara yang lebih bermanfaat, termasuk melakukan perkara untuk tujuan kesihatan seperti bersenam dan berehat. Gunakan masa untuk mempelajari sesuatu yang baru, berkumpul ban berbincang mengenai idea yang lebih baik, mereka dan mencuba rekaan-rekaan yang belum pernah dicuba. Kehidupan perlu menjadi penjelajahan mental dan fizikal yang berterusan. Jadi, setakat ini sahaja buat kali ini, sehingga bertemu lagi di dalam artikel yang seterusnya.

 

Selasa, 22 Disember 2020

Internet Satelit Starlink Untuk Liputan Serata Dunia

Pelancaran 60 buah satelit Starlink ke angkasa.


Internet merupakan antara teknologi terpenting buat masa ini bagi membolehkan orang ramai mendapat capaian maklumat yang cukup sama ada untuk tujuan komunikasi ataupun mendapatkan maklumat. Walaupun tahap kelajuan capaian internet di bandar-badar utama adalah membanggakan, namun masih terdapat bahagian-bahagian dunia yang mendapat capaian yang kurang memuaskan atau tiada capaian langsung.
 
Bagi membolehkan keseluruhan bahagian dunia mendapat liputan internet ini kaedah yang lebih efektif adalah dengan capaian internet dari angkasa! Ia merupakan satu usaha yang sangat besar kerana menelan belanja yang amat tinggi. Namun, sekiranya kaedah biasa digunakan seperti penggunaan kabel, ianya hampir mustahil. Sehubungan itu, beberapa syarikat cuba bersaing untuk menyediakan perkhidmatan ini bagi memastikan penguasaan pasaran yang sekian lama dikenal pasti ini.
 
Starlink merupakan antara Syarikat yang berjaya memulakan servis internet angkasa seperti yang dirancangkan. Berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain, Starlink yang mendapat sokongan daripada syarikat induknya iaitu SpaceX mempunyai kelebihan bagi mendahului dalam arena ini. SpaceX bukan sahaja mempunyai roket pelancar satelit sendiri, malah teknologi pelancaran nya yang efisyen menjimatkan lagi kos pelancaran satelit-satelit yang diperlukan di dalam sistem Starlink.

Perancangan gugusan satelit Startlink di angkasa.

 

Meskipun Starlink merupakan nama yang sangat popular berkaitan dengan internet satelit, ia bukanlah merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan operasi ini. Antara syarikat yang sedang beroperasi antaranya adalah Viasat dan HughesNet di Amerika. Namun begitu, kualiti pengoperasiannya masih lagi tidak dapat menyamai atau memenuhi keperluan pengguna internet pada hari ini. Ini kerana kedua-dua syarikat ini menggunakan pendekatan teknologi yang berbeza daripada yang digunakan oleh Startlink.
 
Manakala, antara syarikat lain yang bersaing dalam pembinaan internet satelit pula termasuklah OneWeb, yang baru-baru ini hampir mengalami masalah bankrupsi. Ia bagaimanapun mendapat sokongan pelaburan sebanyak lebih daripada USD1 billion daripada kerajaan UK dan juga Bharti Global. Ini membolehkan OneWeb meneruskan semula program internet satelitnya - yang telahpun melancarkan kira-kira 110 satelitnya menjelang December, 2020.
 
Sama juga seperti SpaceX, OneWeb menggunakan sekumpulan ribuan satelit untuk membolehkan liputan capaian internet ke seluruh dunia. Namun kedua-dua syarikat ini mempunyai satelit yang berbeza dan beroperasi pada ketinggian yang sedikit berbeza di antara keduanya. Namun dalam perlumbaan ini, ternyata Starlink lebih mendahului OneWeb di mana, ia telahpun melacarkan service Beta nya di bahagian Utara Amerika dan Selatan Canada pada Nov, 2020.

Loon menggunakan belon udara untuk memancarkan isyarat ke bumi.

Kapal terbang solar, Aquila oleh Facebook.

 

Namun begitu selain daripada kedua syarikat ini, Samsung juga pernah membentangkan cadangan untuk melancarkan rangkaian internet satelitnya. Rancangan melancarkan 4,600 satelit ini telah pun dicadangkan pada 2015 bagi membolehkan capaian ke seluruh dunia. Ini mungkin bagi menyokong peranti-peranti Samsung yang rata-ratanya memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi seperti telefon bimbit, 4K TV dan juga 8K TV. Namun sehingga hari ini, Samsung masih lagi belum melancarkan sebarang satelit untuk tujuan ini.
 
Antara teknologi lain adalah termasuk penggunaan belon yang digunakan oleh Google, melalui projek Loon. Oleh kerana belon berada pada altitud yang lebih rendah, maka ia tidak menggunakan teknologi seperti satelit malah hampir sama sepertimana di permukaan bumi iaitu LTE. Selain Loon, Facebook juga pernah cuba menerokai teknologi internet melalui kapal terbang solarnya. Namun usaha ini bagaimanapun berakhir pada 2018 dan hanya sebuah kapal terbang solar yang dikenali sebagai Aquila dihasilkan.

Replika satelit yang digunakan oleh OneWeb.

Starlink digunakan di kawasan yang hampir mustahil untuk mendapat liputan internet.

 

Teknologi internet menjadi rancak semula, apabila Starlink mula melancarkan service Beta nya yang menunjukkan hasil yang positif. Ini kerana, masih terdapat peluang yang besar bagi pengguna-pengguna yang masih tidak lagi mempunyai capaian internet (yang berkualiti) di dunia. Walaupun mengikut perangkaan iaitu seramai 4.66 billion (59%) penduduk dunia merupakan pengguna aktif internet, kebanyakan mereka tidak mendapat capaian berkelajuan tinggi. Tambahan pula masih terdapat sebilangan besar yang tidak dapat menggunakan kemudahan ini kerana tidak mempunyai infrastuktur yang sesuai.
 
Maka dengan inilah peluang ini cuba digunakan oleh syarikat-syarikat ini. Terdapat banyak peluang bagi mereka yang berada jauh di pendalam untuk menggunakan teknologi ini. Ini bukan sahaja membolehkan mereka yang jauh di pendalaman mendapat capai internet, malah pembangunan yang lebih baik dapat dibangunkan - dengan impak yang lebih minima, di mana selama ini agak sukar untuk dilakukan tanpa kemudahan perhubungan komunikasi dan data.
 

Walaupun mungkin terdapat syarikat-syarikat yang baru akan turut bersaing di masa akan datang. Apa yang penting, semoga usaha ini dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dunia dalam mencapai pembangunan yang lebih lestari. Mungkin ia dapat digunakan untuk memperbaiki semula kerosakan yang telahpun dilakukan seperti pencemaran plastik di lautan, mengembalikan semula spesies-spesies haiwan yang hampir pupus akibat pemburuan dan tangkapan berlebihan, pencemaran dan sebagainya.
 
 
Rujukan:
 
1. wikipedia.org
2. space.com
3. starlink.com
4. wikipedia.org
5. wikipedia.org
6. loon.com
7. wikipedia.org

Ahad, 17 April 2016

Teknologi Yang Jauh Lebih Baik Dari WIFI Iaitu LIFI 100 Kali Lebih Laju

LI-FI mempunyai kelajuan 100 kali ganda berbanding WI-FI.

Dalam anggaran 2 tahun lagi teknologi yang berkemampuan 100 kali ganda daripada WIFI hari ini mungkin boleh digunakan di rumah.

Teknologi ini mula dibentangkan di Mobile World Congress di Barcelona oleh sebuah syarikat dari Perancis iaitu Oledcomm yang menunjukkan kemampuan LIFI yang menggunakan lampu untuk memainkan video melalui smartphone.

LIFI menggunakan cahaya nampak berkomunikasi seperti ‘Morse Code’ dan ia tidak boleh menembusi dinding. Selain daripada berkelajuan tinggi ia juga boleh mengelakkan penggunaan oleh pihak yang tidak dibenarkan. Jumlah data yang lebih banyak dapat dihantar berbanding menggunakan gelombang elektromagnet/radio yang digunakan oleh WIFI. LIFI adalah kata singkatan bagi ‘light fidelity’, yang berlaku pada kelajuan cahaya.

Simbol yang mungkin digunakan untuk LIFI nanti.


LED membekalkan frekuensi yang sesuai untuk LIFI.

System ini berfungsi menggunakan cahaya yang dipanggil ‘visible light communiction’ (VLC) dalam julat antara 400 ke 800 terahertz (THz) yang menghantar maklumat dalam bentuk binary dan ianya berlaku dengan kelajuan yang amat pantas tanpa dikesan oleh mata kasar.

Pengujian LI-FI di dalam makmal mencapai sehingga 200 Gbps, iaitu kelajuan yang cukup untuk memuat turun 23 DVD dalam tempoh satu saat, seperti yang dilaporkan oleh pengasas Oledcomm, Suat Topsu.

Teknologi ini mula diperkatakan semenjak tahun 2015 dan akan diuji pengguannya secara harian di Perancis termasuk di muzium-muzium dan pusat membeli belah. Ia juga telah diuji di beberapa negara lagi termasuk Belgium, Estonia dan India.




Free Download



Isnin, 12 Mei 2014

Bukan Sekadar Pengecaj Tanpa Wayar Telefon Bimbit

charging mat
Charging mat memudahkan proses mengecaj telefon.

Semua pengguna telefon bimbit mempunyai kebimbangan yang sama terhadap bekalan kuasa telefon mereka – apabila tiba masa untuk mengecaj telefon mereka. Masalah ini mungkin akan lebih ketara sekiranya mereka berada di tempat-tempat yang menyukarkan proses mengecaj dilakukan seperti di tempat-tempat awan atau pusat-pusat membeli belah.

Walaupun sebelum ini kaedah mengecaj tanpa wayar telahpun diperkenalkan iaitu menggunakan ‘charging mat’ namun ia masih lagi memerlukan seseorang membawa ‘charging mat’ tersebut bersama mereka ke bekalan kuasa tetap. Bagi mereka yang menggunakan telefon bimbit atau tablet mereka lebih dari sekadar menelefon dan menghantar mesej perkara ini akan menjadi lebih kritikal. Ini kerana peralatan tersebut mungkin merupakan pembantu peribadi yang sentiasa berkhidmat 24/7 tanpa henti.

Kaedah terbaru yang dicadangkan untuk mengecaj tanpa wayar adalah menggunakan cahaya infra merah. Menggunakan kaedah ini peralatan anda akan dicaj secara automatik sebaik sahaja melewati kawasan yang menyediakan peralatan sumber kuasa tersebut. Jadi anda tidak lagi perlu mencari palam kuasa atau menekan apa-apa butang untuk membolehkan peralatan anda mendapatkan bekalan kuasa semula.

Portable solar charging
Alat pengecaj solar yang biasa.

Menggunakan kaedah ini cahaya infra merah akan ditukarkan kepada tenaga elektrik untuk mengecaj telefon anda seperti sel suria. Ia mungkin diperkenalkan sama seperti gadget tambahan untuk peralatan anda. Namun apabila penggunaannya semakin diperkembangkan ia mungkin akan disediakan sekali bersama peralatan elektronik akan datang.

Semasa dalam peringkat kajian ini sebuah pemancar yang dipasang di syiling akan mampu mengecaj peralatan di dalam kawasan seluas kira-kira 50 kaki persegi (hampir 17 meter persegi) dan alat pemancar akan datang mungkin mampu untuk meliputi kawasan yang lebih luas lagi. Malah peralatan tambahan yang perlu dilekatkan pada peralatan anda mungkin hanya sebesar kamera telefon anda.



Proses ini dikatakan selamat kerana cahaya infra merah bukanlah bersifat elektromagnet atau frekuensi radio. Ia juga hanya akan berfungsi apabila peralatan penerima pada peralatan anda menukarkan cahaya tersebut kepada tenaga elektrik. Ia seakan-akan proses pemindahan kuasa pada dapur induksi – namun dapur induksi menggunakan aruhan gelombang elektromagnet.

Maka dengan ini mungkin ia merupakan berita yang dapat memberikan sedikit kelegaan bagi mereka yang memerlukan peralatan mereka sentiasa berfungsi setiap masa. Apa yang penting ia adalah peralatan yang dihasilkan oleh segelintir pereka yang begitu inovatif dan terus memikirkan tentang bagaimana untuk mengatasi masalah yang berlaku disekeliling mereka.

Semoga ia dapat dapat memberikan sedikit inspirasi kepada anda. 

MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Arkib Blog