Memaparkan catatan dengan label kompos. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kompos. Papar semua catatan

Ahad, 8 Ogos 2021

Memanfaatkan Sisa Buangan Organik Melalui Vermiculture

Vermiculture, memanfaatkan cacing untuk proses penguraian bahan organik.

 
Vermiculture ataupun lebih dikenali sebagai penternakan cacing bukanlah satu perkara yang baru. Namun tidak semua memahami mengenai teknik dan kebaikan penternakan cacing ini. Penternakan cacing, tidak seperti penternakan hidupan-hidupan yang lain - di mana, faedah daripada penternakan tersebut lebih tertumpu kepada bahan yang dihasilkan oleh cacing berbanding daripada cacing itu sendiri.
 
Penternakan cacing adalah bertujuan untuk menghasilkan vermicompost, iaitu hasil daripada proses penguraian bahan organik dengan dibantu oleh cacing-cacing yang diternak. Berbanding dengan kaedah penguraian biasa tanpa cacing, proses ini akan mengambil masa yang lebih lama, menghasilkan gas seperti methane dan nitric oxide, menyebabkan proses pereputan yang menghasilkan bauan yang busuk, menggalakkan pertumbuhan bakteria merbahaya, pertumbuhan kulat, mengundang haiwan perosak dan sebagainya. Penternakan cacing antara lain hanyalah mengumpulkan bahan yang dimakan oleh cacing bersama dengan cacing-cacing tersebut.

 
Mengapa ia penting?
 
Kepentingan penternakan cacing terbahagi kepada dua perkara utama iaitu:
 
Penguraian bahan organik; bahan organik seperti sisa makanan amat sukar dilupuskan, dan ia adakalanya menyebabkan bau yang tidak menyenangkan, menyebabkan pembiakan serangga perosak seperti lalat yang menyebarkan penyakit serta haiwan lain seperti tikus. Bahan-bahan organik lain seperti sisa dari taman; daun-daun mati, rumput yang dipotong, najis haiwan seperti ayam, lembu, kuda, kambing dan burung juga boleh dijadikan makanan cacing. Selain itu, kotak dan kertas juga boleh dicampurkan bersama. Kesemua bahan ini, dapat mengurangkan sampah yang dibuang ke pusat pengumpulan sampah - yang menyebabkan keadaan yang tidak menyenangkan, serta air sampah yang mengalir ke dalam sungai.
 
Penghasilan vermicompost: merupakan hasil akhir daripada proses penguraian bahan-bahan organik oleh cacing. Bahan yang terhasil daripada penguraian oleh cacing ini mengandungi kurang bahan pencemaran dan mengandungi lebih banyak nutrient daripada yang terkandung di dalam bahan organik yang digunakan sebelum penguraian. Ia turut mengandungi nutrient yang larut air, bahan penyubur atau baja yang dapat mengembalikan kesuburan tanah. Ia amat sesuai sekali bagi para petani yang mengusahakan tanaman organik secara kecil-kecilan mahupun tanaman disekeliling rumah. Tidak seperti baja kimia, baja vermicompost mudah digunakan dan tidak merosakkan tanaman. Ia juga dapat mengurangkan penggunaan racun serangga dan kulat - kerana penggunaan vermicompost dapat mengurangkan serangan perosak dan penyakit.

Bahan-bahan organik yang sesuai digunakan sebagai makanan cacing bagi vermicompost.

Sebelum dan selepas proses penguraian sisa organik oleh cacing.

Kebun organik seperti ini boleh memanfaatkan baja vermicompost yang bagus untuk tumbuhan.

 
Selain daripada kedua faedah tersebut, cacing-cacing juga boleh digunakan sebagai bahan makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, burung, dan ikan. Ia samada diproses atau diberikan terus mengikut kesesuaian. Bagi penternak kecil, jumlah cacing ini mungkin sedikit - namun bagi pengusaha komersial, jumlah cacing yang membiak mungkin terlalu banyak dan ia boleh dimanfaatkan sebagai bahan makanan ternakan.
 
Jenis-jenis cacing untuk vermiculture
 
Walaupun semua jenis cacing menghasilkan kompos, namun bagi tujuan teknik vermiculture, sebahagian daripadanya adalah lebih sesuai. Ini kerana, ia lebih aktif dan menghasilkan kompos dengan lebih cepat. Sebahagian cacing-cacing pula tidak sesuai bagi keadaan cuaca yang terlalu panas atau sejuk, manakala terdapat juga cacing yang lebih cenderung berada pada kedalaman tanah yang lebih dalam. Jadi pemilihan cacing yang sesuai juga dapat membantu penghasilan vermicompost yang lebih efektif. Bagi kawasan-kawasan tropika seperti Asia Tenggara, jenis-jenis cacing yang sesuai adalah termasuk;
  • Cacing Merah (red worm/Lumbricus Rubellus).
  • African nightcrawlers/Eudrilus Eugeniae.
  • Pheretima Elongata.
  • Cacing Biru (blue worm/Perionyx Excavatus).
 
Bagi negara-negara yang mempunyai cuaca yang lebih sejuk pula, jenis-jenis cacing yang sesuai termasuklah;
  • Red wiggler/Eisenia fetida atau tiger worm/Eisenia andrei.
  • European nightcrawlers/Eisenia hortensis.
Cacing merah (Lumbricus rubellus), cacing yang sesuai untuk kawasan tropika.

Red wiggler (Eisenia fetida), spesies yang amat aktif dalam mengurai sisa organik.

Tiger worm (Eisenia andrei), satu lagi spesies yang amat aktif dalam mengurai sisa organik.


Pemilihan cacing-cacing ini adalah berdasarkan tabiat kehidupan mereka bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran yang disediakan untuk tujuan penternakan seperti, kedalaman kotak kompos, cuaca persekitaran dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk penghasilan kompos. Cacing-cacing ini dikatakan akan menguraikan bahan yang sama berat dengannya untuk tempoh sehari - iaitu kadar bahan makanan yang boleh ditambah ke dalam kotak kompos bagi memastikan cacing-cacing mendapat makanan yang cukup.
 
Penghasilan kotak ternakan
 
Kotak ternakan boleh dihasilkan dengan mudah dan bagi pengusaha kecil-kecilan kebiasaannya memilih menggunakan bahan terpakai seperti tub mandi ataupun takungan plastik dengan saiz yang sesuai. Takungan ini perlulah mempunyai saluran buangan bagi membolehkan lebihan cecair dikeluarkan daripada takungan tersebut. Terdapat dua jenis cecair dihasilkan iaitu daripada bahan yang digunakan, serta cecair yang dihasilkan oleh cacing semasa proses pereputan.

 
Cecair yang berwarna coklat gelap ini juga dikenali sebagai leachate, iaitu cecair yang dihasilkan oleh bahan-bahan berair di dalam bahan yang mereput - ia tidak sesuai digunakan terus kerana kemungkinan mengadungi organisma perosak (pathogens) dan toxin. Sebaliknya ia samada dibuang atau dimasukkan semula ke dalam kotak ternakan bagi menambahkan kelembapan. Manakala cecair yang dihasilkan oleh cacing pula lebih pekat dan melekat kepada tanah yang menjadikan kompos yang dihasilkan lebih lembab dan sedikit melekit.
 
Antara lain ciri-ciri kotak ternakan yang sesuai adalah, mempunyai kedalaman yang sesuai dengan spesies cacing yang dibela (kedalaman minima 8 inci dan tidak pula terlalu dalam). Diletakkan ditempat yang bebas daripada musuh cacing tersebut seperti semut, burung, tikus, haiwan ternakan lain, dan juga haiwan perosak. Jadi anda mungkin memerlukan kawasan yang sesuai serta menyediakan perlindungan secukupnya mengikut persekitaran.
 
Bahan-bahan penyediaan kotak kompos
 
Bahan-bahan yang digunakan untuk penyedian kotak penternakan vermicompost adalah bahan-bahan organik seperti sisa penternakan dan pertanian, sisa dapur dan industri (selagi ianya merupakan bahan organik yang boleh dilupuskan), bahan kertas seperti kotak dan tisu yang tidak terdedah kepada bahan kimia. Bahan sisa pertanian dan taman biasanya digunakan sebagai tapak asas dan bahan-bahan lain ditambah di atas bahan asas ini.
 
Setelah tapak asas dihuni dengan baik oleh koloni cacing-cacing ini, barulah bahan makanan baru boleh ditambah dengan jumlah mengikut kesesuaian (mengikut jumlah cacing dan kadar yang mampu dimakan sehari - mungkin untuk tempoh beberapa hari hingga seminggu). Bahan ditambah sehingga 3 - 4 cm, bagi memastikan pengaliran udara yang baik. Kepadatan bahan tambahan boleh mengakibatkan pereputan “anaerobic” berlaku, yang juga menghasilkan ammonia dan bau yang busuk. Keadaan ini juga tidak sesuai untuk pertumbuhan cacing-cacing di dalam sistem vermicompost anda.

Vermicompost di rumah boleh disediakan dengan lebih teratur.

Terdapat kotak kompos yang mudah digunakan di pasaran.

Pelan vermicompost komersial di Pur Ver dari Belgium

 
Bagi memastikan proses penghasilan kompos yang lancar pastikan anda tidak menambah bahan-bahan seperti bahan berkayu, yang memerlukan cacing bekerja keras untuk mengurainya. Bahan daripada bawang dan spesies bawang (alliums) tidak ditambah terlalu banyak - atau anda perlu meneutralkan nya terlebih dahulu (iaitu dengan menjemurkannya sebelum ditambah ke dalam kotak ternakan). Kulit buah-buah citrus juga hanya ditambah dalam jumlah yang kecil. Manakala bahan daripada hasil tenusu, daging dan juga bahan-bahan berminyak perlu dielakkan sama sekali - ini kerana cacing-cacing ini tidak boleh menghadamkan bahan-bahan ini (ia akan menyebabkan kotak ternakan menjadi tercemar). Anda juga tidak menambah najis haiwan seperti kucing dan anjing ke dalam kotak ternakan anda.

 
Keseluruhan proses penghasilan vermicompost di dalam sesebuah kotak ternak mungkin mengambil masa sehingga beberapa bulan - mengikut saiz kotak ternakan dan jumlah cacing yang terdapat di dalam kotak tersebut. Namun jumlah cacing akan bertambah mengikut persekitaran - kerana ia akan membiak apabila keadaan sesuai dan ia mempercepatkan lagi proses penguraian. Cacing-cacing perlu dialihkan ke dalam kotak yang baru dan kompos anda bolehlah diasingkan untuk digunakan) selepas proses peneutralan.
 
Itu sahaja buat kali ini sebagai pengenalan kepada proses penyediaan vermicompost, satu lagi kaedah penguraian sisa organik selain daripada penggunaan penternakan BSF (black soldier fly) - yang sedikit berbeza. Namun kedua kaedah ini sekiranya dimanfaatkan dengan baik boleh mendatangkan banyak manfaat dari segi mengekalkan kebersihan dan juga menyediakan bahan yang berguna untuk tanaman dan ternakan - selain menjimatkan, ia mungkin menambahkan satu lagi peluang pendapatan. Selamat mencuba.



* Salah satu kaedah penyediaan kotak ternakan cacing yang mudah bagi pengusaha kecil. 

Selasa, 14 Januari 2014

Mengawal Rumpai di Kawasan Halaman Dan Taman Anda

Penggunaan racun rumpai perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan keselamatan pengguna dan alam sekitar.

Rumpai merupakan masalah biasa yang dihadapi oleh siapa sahaja yang mempunyai halaman atau taman. Penggunaan racun rumpai adakalanya membawa kesan bukan sahaja kepada tanaman malah kepada pengguna, hidupan lain dan kesan sampingan kepada alam sekitar. Penggunaan racun rumpai yang tidak dikawal boleh membawa bahaya.

Memahami tentang racun rumpai merupakan asas yang perlu diketahui sebelum anda mengendalikan racun rumpai. Racun rumpai boleh membawa mudarat dan mungkin membawa maut. Kebanyakan racun rumpai disertakan dengan maklumat-maklumat penting seperti bahan aktif dan juga langkah keselamatan. Ini amat penting bukan sahaja sebagai langkah berhati-hati malah untuk memberikan maklumat yang lebih tepat tentang keberkesanan racun rumpai tersebut terhadap rumpai-rumpai tertentu.

Sekiranya anda mempunyai kawasan tanaman yang kecil atau taman yang sederhana besar, adalah lebih baik sekiranya anda melakukan proses merumput sahaja dan tidak menggunakan racun rumpai. Bagi kawasan yang sederhana besar, ianya bolehlah dibahagi-bahagikan kepada beberapa bahagian dan proses merumput boleh dilakukan secara berselang-selang di antara bahagian-bahagian tersebut. Rumput atau rumpai yang telah dicabut bolehlah digunakan untuk membuat baja kompos yang boleh digunakan semula untuk menyuburkan tanaman anda.

Racun rumpai turut membawa kesan pada tanaman.

Kesan penggunaan racun rumpai:


- Racun rumpai boleh membunuh tanaman anda sekiranya terkena semburan racun tersebut semasa penggunaannya.

- Sesetengah racun rumpai turut diserap oleh akar dan membawa kesan kepada tanaman dari segi kesuburan dan boleh juga menyebabkan kematian tanaman.

- Penggunaan racun rumpai akan menyebabkan permukaan tanah terdedah dan ini akan menyebabkan nutrient di dalam tanah dibawa oleh air hujan (siraman air) dan juga permukaan tanah menjadi lebih kering/keras.

- Racun rumpai boleh diserap oleh tumbuhan (walaupun ianya tidak menyebabkan kematian kepada tumbuhan tersebut) dan ianya mungkin kurang selamat apabila dimakan.

- Racun rumpai menyebabkan hidupan lain seperti cacing tanah, siput, kumbang, gongok, lintah bulan dan sebagainya mati apabila tanah terdedah dan hilang lembapan.

- Racun boleh diserap oleh kulit semasa membuat semburan dan mengancam kesihatan. Sebahagian kesan racun ini hanya boleh dilihat dalam jangka masa yang panjang, kerana serapan racun rumpai melalui kulit dalam kuantiti yang sedikit – dalam kuantiti yang banyak kesannya akan lebih ketara.

Kaedah Membunuh Rumpai Dengan Lebih Selamat:


Sekiranya anda masih perlu membunuh rumpai yang terdapat di halaman atau taman anda gunakanlah kaedah ini yang kurang merbahaya.

- ¼ cawan cuka (sebarang jenis cuka makan) -**bukan cuka getah

- ¼ cawan garam

- ¼ cawan serbuk pencuci

Cairkan campuran ini menggunakan air yang cukup dan sembur pada rumpai yang anda ingin hapuskan. Sekiranya anda memerlukan kuantiti yang banyak bolehlah gandakan kesemua bahan-bahan tersebut. Bahan ini adalah lebih selamat sekiranya kawasan semburan menjadi tempat kanak-kanak bermain atau kawasan di mana haiwan peliharaan anda selalu berada.

Kawasan terdedah selepas diracun boleh menyebabkan hakisan.

Berikut pula adalah bahan aktif yang biasa digunakan di dalam racun rumpai dan kegunaanya. Ini adalah untuk memberikan anda lebih kefahaman mengenai racun rumpai dan keberkesanan penggunaanya. Walaubagaimanapun adalah lebih baik sekiranya anda dapat mengelakkan daripada menggunakan bahan-bahan ini.

Sebahagian Daripada Bahan Aktif Dalam Racun Rumpai dan Kegunaannya
Bahan Aktif1
Kawalan Rumpai
Kegunaan
Nota
Glyphosate: semua rumpai, baru tumbuh
Hampir kesemua
Kawalan bertompok atau rumpun rumpai
Membunuh rumpai sekiranya semburan mengenainya.
Plant oils termasuk cengkih, serai dan eugenol: semua rumai, baru tumbuh
Daun lebar yang muda
Pada rekahan dan kawalan bertompok
Diterima secara organik. Tidak membunuh daun yang tua atau malar hijau. Lebih berkesan semasa cuaca panas 21°C dan keatas
Trifluralin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Taman dan halaman
Siram atau gunakan tanah selepas penggunaan. Guna apabila tanaman telah tumbuh.
Benefin: Tertentu, baru tumbuh
Kebanyakan rumpai
Laman
Biasa digunakan untuk mengawal ‘crabgrass’.
Dithiopyr: Tertentu, baru tumbuh
Crabgrass, annual bluegrass, oxalis, spurge, dan lain-lain
Laman
Membunuh rumput fescue dan bentgrass.
Dicamba: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal rumpai berdaun lebar pada laman.
Fluazifop: Tertentu, baru tumbuh
Rumput termasuk bermudagrass
Pada rumpai berdaun lebar dan penutup bumi.
Gunakan semasa rumput tumbuh dengan aktif.
2,4-D or 2,4-Dichloro-acetic acid: Tertentu, baru tumbuh
Daun lebar
Laman
Mengawal dendalion dan rumpai berdaun lebar yang lain.

Maklumat di atas adalah sebahagian contoh bagi memberikan anda gambaran tentang bahan aktif yang digunakan di dalam racun rumpai. Ini kerana racun rumpai mempunyai sasaran penggunaan tersendiri dan penggunaan tidak mengikut peraturan tidak akan mendatangkan hasil seperti yang diinginkan. Sedangkan racun tersebut tetap boleh mendatangkan bahaya bagi anda yang mengendalikannya.

Jadi adalah lebih baik sekiranya anda menggunakan alternatif yang selamat dan mengamalkan kaedah penanaman yang selamat bagi mengelakkan rumpai tumbuh secara tidak terkawal. Adakalanya kesan jangka panjang adalah lebih penting difikirkan berbanding dengan kesan jangka pendek yang bersifat sementara.

Pastikan kawasan halaman atau taman anda ditanam dengan tumbuhan tutup bumi yang sesuai bagi mengelakkan hakisan serta kehilangan 'nutrient' di dalam tanah. Kemudian carilah tanaman yang sesuai untuk ditanam yang boleh memberikan pulangan daripada kawasan tersebut. Walaupun rumpai boleh mendatangkan masalah tapi ia juga masih boleh digunakan untuk menghasilkan kompos yang akan menyuburkan semula tanah. Jadi, uruskan kawasan tanaman anda dengan cara yang lebih efektif dan selamat. 



Free Download



Khamis, 7 November 2013

Baja Kompos Lebih Menjimatkan Dan Mudah Dibuat

Penghasilan baja kompos di rumah
Sekiranya anda memiliki halaman yang agak luas dan memiliki tanaman yang mencukupi adalah lebih menjimatkan bahan-bahan lebihan dari taman anda dikitar semula untuk dijadikan baja kompos. Ini kerana baja ini bukan sahaja menjimatkan malah selamat dan tidak mendatangkan mudarat pada tanaman anda.

Penyediaan baja kompos juga tidaklah terlalu rumit sekiranya semua keperluan untuk membuat baja ini telahpun sedia ada dirumah anda kerana anda hanya perlu menggunakan barangan terpakai dalam tujuan penghasilannya. Langkah-langkah untuk penghasilan baja kompos adalah seperti berikut;

1) Sediakan bekas untuk membuat baja kompos samada daripada kayu, atau pun bekas plastik. Sekiranya anda memerlukan saiz penghasilan yang lebih besar anda dinasihatkan menyediakan tempat khas daripada papan (mungkin lubang daripada tanah juga sesuai bagi yang berkebun). Sediakan kawasan yang sesuai kerana proses ini mungkin menghasilkan sedikit bauan dan ia juga menarik haiwan seperti ayam dan burung untuk mencari makanan.

2) Masukkan bahan-bahan untuk dijadikan baja. Perlu diingat bahan-bahan tersebut perlulah yang boleh mereput dan terdiri daripada sisa-sisa tumbuhan. Ia perlu mengandungi beberapa bahan yang membantu baja anda lebih berkesan iaitu daun hijau, daun-daun kering dan lebihan daripada tumbuhan seperti kulit buah-buahan dan sisa makanan daripada tumbuhan. Daun-daun hijau seperti rumput yang dipotong atau dahan yang dicantas kaya dengan nitrogen dain ini menjadikan baja yang dihasilkan lebih baik. Anda juga boleh mencampurkan najis haiwan seperti ayam, arnab, lembu dan kambing. Haiwan seperti anjing dan kucing sama sekali tidak boleh!

3) Masukkan bahan ke dalam bekas yang disediakan dan gaul bahan tersebut (menggunakan garpu tanah atau sebagainya) sehingga agak rata (antara daun hidup dan daun kering). Biarkan bahan tersebut dalam keadaan sebegitu bagi membenarkan ianya mereput perlahan-lahan.

4) Anda boleh mengawasi penghasilan baja anda untuk mendapatkan hasil yang optimum. Ini kerana proses ini memerlukan kelembapan untuk berjalan dengan sempurna, dalam masa yang sama pengudaraan juga perlu. Jadi anda perlu menggaulkan sedikit bahan-bahan ini sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Pastikan ianya tidak terlalu basah atau terlalu kering. Jadi anda boleh menggunakan bekas yang sememangnya disediakan lubang di bawahnya. Sekiranya ia agak kering lembabkan sedikit dengan menyiram air atau menambahkan daun-daun hijau. Anda juga boleh meletakkan cacing ke dalam campuran ini untuk mempercepatkan lagi proses penguraian. Sekiranya semua berjalan lancar proses ini mengambil masa kira-kira 2 ke 4 minggu.

Bahan untuk menghasilkan baja kompos.

Proses tambahan untuk mempercepatkan penghasilan kompos.

Beberapa peringkat penghasilan kompos.

Kompos, baja yang sesuai untuk tanaman organik.


Perlu Diingat!

a) Jangan campurkan daging semasa membuat kompos.

b) Jangan gunakan najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

c) Jangan campurkan tumbuhan berbiji kerana ia boleh tumbuh kemudian.

d) Jangan gunakan tumbuhan yang telah diracun.

Begitulah cara mudah bagaimana anda boleh menghasilkan sendiri baja kompos di rumah. Penggunaan kompos juga dapat mengekalkan kelembapan untuk tanaman anda berbanding sekiranya anda menggunakan baja kimia. Ia juga sesuai untuk semua jenis tanaman samada tanaman pasu ataupun yang ditanam terus di tanah. Mungkin juga anda boleh menjual baja kompos yang anda hasilkan!



Free Download



Ahad, 26 Ogos 2012

Bagaimana Teknik Pelupusan Sampah di Rumah Penting Untuk Kebersihan Alam?

Kotak pelupusan sampah (incinerator) kegunaan rumah.

Setelah seminggu berhari raya mungkin kita perasan dengan longgokan sampah yang banyak dan sukar untuk dilupuskan akan mendatangkan pelbagai masalah. Sampah bukan sahaja menimbulkan bau yang tidak disengani malah mengundang anjing liar serta penyakit merbahaya. Jadi bagaimana caranya untuk mengelakkan maslah longgokan sampah ini? 

Bagi kawasan kecil atau persendirian mungkin anda tidak terfikir untuk memiliki sebuah pelupus sampah sendiri. Tapi sebenarnya teknik pelupusan sampah persendirian ini boleh dibuat dengan menggunakan bahan-bahan yang terbuang. Malah lebih menjimatkan hasil pelupusan boleh digunakan untuk menyuburkan semula kawasan taman di rumah anda.

Pelupus sampah sebenarnya mengumpulkan haba yang cukup untuk membakar semua sampah dengan sempurna. Maka dengan itu hasil pelupusan merupakan bahan yang baik untuk menjadi nutrient kepada tanah. Berbanding dengan teknik pembakaran biasa, haba yang tersebar menjadikan banyak sampah yang tertinggal (tidak terbakar), maka pelupusan menjadi sukar terutama sampah yang agak lembab seperti sampah makanan.

Pelupus sampah ringkas untuk rumah.

Bagi pelupus sampah ringkas boleh dibuat menggunakan tong yang besar dengan menyediakan lubang-lubang udara di bahagian bawahnya. Aliran udara ini yang membantu untuk proses pembakaran berlaku dengan sempurna. Manakala ruangan di dalam tong memerangkap haba supaya dapat membakar keseluruhan sampah sehingga betul-betul habis. Sekiranya anda boleh menyediakan satu ruangan khas untuk pelupusan sampah ianya boleh dibuat menggunakan konkrit bagi struktur tetap (permanent).

Sekiranya anda memilih untuk tidak menggunakan proses pembakaran sebagai teknik pelupusan pula, anda bolehlah menggunakan teknik pelupusan secara kompos. Teknik ini memerlukan masa yang lebih panjang. Ianya juga akan memakan kawasan yang lebih luas sekiranya bahan buangan anda adalah banyak. Teknik pelupusan kompos lebih mudah kerana anda hanya perlu menyediakan lubang dan memasukkan bahan buangan organik ke dalam lubang tersebut. Cuma perlu diingatkan teknik ini hanya untuk bahan organik sahaja. Tutup lubang ini bagi mengelakkan gangguan binatang serta menggalakkan aktiviti organisma pengurai.

Incinerator untuk kegunaan ladang (buangan haiwan).

Incinerator untuk bahan buangan perubatan (medical waste).

Adalah penting bagi kita memastikan persekitaran yang bersih dan selamat. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk membantu alam sentiasa bersih;

i)                    Kurangkan penggunaan bahan plastik terutama untuk bungkusan barang.

ii)                   Sentiasa kitar semula barang yang telah digunakan.

iii)                 Gunakan teknik pelupusan yang betul. Ini dapat mengelakkan pencemaran punca air bagi skala yang besar.

iv)                 Lupuskan bahan buangan anda sendiri dengan kaedah yang betul.

Mungkin sebahagian kita tidak memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang serius. Tetapi jelas dapat dilihat kadar penurunan kebersihan di beberapa kawasan yang dijadikan tapak pelupusan sampah kepada penduduk amat membimbangkan. Bau yang dihasilkan juga tidak menyenangkan selain menjadi tumpuan kepada haiwan liar seterusnya air dari kawasan inilah yang masuk kedalam sungai kita yang menjadikan punca air kita tidak selamat, begitu juga ikan yang hidup di dalamnya. Perlu diingat kesanya boleh mendatangkan keburukan bagi kita dalam jangka masa panjang.


Pelupus sampah seperti ini lebih efisyen untuk ladang-ladang kecil.



Free Download



Arkib Blog