Memaparkan catatan dengan label koleksi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label koleksi. Papar semua catatan

Ahad, 12 Julai 2015

Kemeriahan Di Hari Raya; Lagu Raya

Seleksi 30 lagu-lagu Raya yang boleh didapati daripada iTunes.

Apabila menjelang perayaan tidak mengira apa perayaan sekalipun suasana sentiasa dimeriahkan oleh seleksi lagu-lagu raya. Walaupun ia bukan merupakan keperluan penting untuk perayaan tersebut namun fungsi lagu raya tidak dapat dinafikan mejadikan suasan persediaan menjelang raya lebih bertenaga.

Di negara kita, lagu-lagu raya sememangnya telah direka sejak dahulu lagi seawal zaman Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi yang banyak menyumbang kepada hasil karya lagu-lagu raya ini. Dari situ maka lagu-lagu raya lain terus ditambah oleh artis-artis lain dan hingga ke hari ini beberapa diantaranya masih bertahan menjadi lagu ‘evergreen’ bersempena datangnya bulan Syawal setiap tahun.


Antara artis-artis yang terdapat di dalam koleksi tersebut.

Lagu-lagu yang bertahan inilah yang menjadi penyumbang utama kepada kemeriahan suasana Hari Raya bagi stesyen-stesyen radio dan juga aset penting bagi pasaraya-pasaraya menjadikan suasana membeli-belah lebih meriah. Tidak dinafikan dengan adanya lagu raya ini, kita merasa lebih seronok untuk membuat persiapan menjelang tibanya hari raya. Bagi yang di perantauan pula mungkin merasa tiak sabar untuk pulang ke kampung bertemu ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Berikut adalah beberapa seleksi lagu raya yang masih bertahan sehingga ke hari ini. Disertakan bersama adalah link untuk pembelian dari iTunes bagi memudahkan anda untuk membuat pembelian sekiranya perlu.

1) Selamat Hari Raya – Ahmad Jais
2) Suasana Hari Raya – Sharifah Aini
3) Selamat Hari Raya – Saloma
4) Dari Jauh Kupohon Maaf – Sudirman
5) Seloka Hari Raya – Uji Rashid & Hail Amir
6) Kepulangan Yang Dinanti – Aman Shah
7) Pulang Di Hari Raya – Noorkumalasari
8) Dendang Perantau – P. Ramlee
9) Di Pagi Aidilfitri – Rosemaria
10) Bila Takbir Bergema – Rafeah Buang
11) Bersabarlah Sayang – Sanisah Huri
12) Menjelang Hari Raya – DJ Dave
13) Selamat Berhari Raya – Rahimah Rahim
14) Suasana Riang Di Hari Raya – Junainah
15) Balik Kampung – Sudirman
16) Cahaya Aidilfitri – Black Dog Bone
17) Satu Hari Di Hari Raya – M. Nasir
18) Suasana Di Hari Raya – Anuar & Ellina
19) Inang Di Aidilfitri – Sudirman & Zaleha Hamid
20) Selamat Hari Raya – Fazidah Joned
21) Hari Yang Mulia – Sharifah Aini
22) Doa Di Hari Mulia – Uji Rashid
23) Ku Pohon Restu Ayah Dan Bonda – Al Jawaher
24) Hari Raya Hari Bahagia – Ideal Sisters
25) Aidilfitri – Sanisah Huri
26) Legang Mak Limah – Halil Chick
27) Nostalgia Aidilfitri – Sharifah Aini
28) Kembara Di Tanah Gersang – Al Jawaher
29) Hari Mulia – Sheila Majid
30) Minal Aidil Wal Faizin – Sharifah Aini

Kesemua lagu-lagu di atas dimuatkan di dalam satu album ‘Best Hit Nostalgia Hari Raya Aidilfitri Koleksi 30 Lagu Hit Nostalgia Hari Raya’ juga boleh didapati daripada iTunes.


Antara kulit album lagu raya yang lain.

Walaupun terdapat lagu-lagu lain di dalam seleksi pilihan lagu-lagu raya, 30 senarai di atas merupakan yang paling dominan dan boleh dibeli terus melalui iTunes. Ia mungkin dapat mengiringi perjalanan sewaktu anda pulang ke kampung halaman nanti atau dimainkan di pagi hari raya untuk menambahkan lagi kemeriahan.

Namun sebelum itu saya sendiri ingin mengambil kesempatan in untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’ kepada semua para pembaca blog MyRokan. Terima kasih atas sokongan anda.


Free Download



Isnin, 23 Mac 2015

Mikro Post; Herbarium

Herbarium sample
Contoh koleksi herbarium yang digunakan untuk tujuan simpanan dan rujukan.

Herbarium merupakan koleksi tumbuhan yang diawet (dengan pelbagai kaedah) samada mengandungi keseluruhan atau sebahagian besar tumbuhan tersebut. Kebiasaan adalah dalam bentuk kering dan diletakkan di atas helaian kertas, namun begitu bagi sesetengah specimen pendekatan lain mungkin perlu diambil apabila ia tidak boleh menggunakan kaedah yang biasa.

Kaedah klasik penyediaan herbarium adalah dengan mengeringkan sampel tumbuhan dengan meletakkannya di antara helaian kertas penyerap. Sample yang telah kering akan diletakkan di atas kertas keras yang berwarna terang, dilabel dengan baik dengan data-data yang lengkap seperti tempat dan tarikh ia dijumpai, lokasi dan ketinggian habitat asalnya. Ia kemudiannya akan diletakkan dalam bekas pelindung untuk mengelakkan serangan serangga.

French National Museum of Natural History
Muséum National d'Histoire Naturelle di Paris ini juga mempunyai koleksi herbarium terbesar.

Bagi specimen yang tidak sesuai untuk dikeringkan secara ini, ia akan diawet menggunakan kaedah yang berlainan seperti penggunaan ‘formaldehyde’ ini bagi memastikan sampel dapat mengekalkan bentuk yang diinginkan. Terdapat juga sampel yang dikeringkan menggunakan udara dan diletakkan di dalam sampul. Namun begitu dalam penyediaan herbarium ini, data-data tumbuhan tersebut juga adalah penting bagi memastikan ianya berguna untuk rujukan dimasa-masa akan datang.

Cabaran utama dalam menguruskan koleksi herbarium yang besar adalah penjagaannya selain daripada pengurusan maklumat data herbarium itu sendiri. Kebiasaannya koleksi herbarium yang besar dikendalikan oleh organisasi yang besar seperti muzium, badan pendidikan juga persendirian. Malah badan-badan ini saling bekerjasama untuk memastikan ia diklasifikasikan dengan standard yang betul.

Herbarium management
Pengurusan koleksi herbarium - United States National Herbarium

Berikut adalah senarai institusi yang memiliki koleksi herbarium (susunan mengikut saiz koleksi) yang besar untuk dijadikan rujukan. Malah sebahagian daripadanya menyediakan bahan yang boleh dirujuk dengan kaedah digital (melalui internet):

New York Botanical Garden (NY) (Bronx, New York, USA)
Komarov Botanical Institute (LE) (St. Petersburg, Russia)
Royal Botanic Gardens (K) (Kew, England, UK)
Conservatoire et Jardin botaniques de la Ville de Genève (G) (Geneva, Switzerland)
Missouri Botanical Garden (MO) (St. Louis, Missouri, USA)
The Natural History Museum (BM) (London, England, UK)
Harvard University (HUH) (Cambridge, Massachusetts, USA)
Museum of Natural History of Vienna (W) (Vienna, Austria)
Swedish Museum of Natural History (S) (Stockholm, Sweden)
United States National Herbarium (Smithsonian Institution) (US) (Washington, DC, USA)
Nationaal Herbarium Nederland (L) (Leiden, Netherlands)
Université Montpellier (MPU) (Montpellier, France)
Université Claude Bernard (LY) (Villeurbanne, France)
Herbarium Universitatis Florentinae (FI) (Florence, Italy)
National Botanic Garden of Belgium (BR) (Meise, Belgium)
University of Helsinki (H) (Helsinki, Finland)
Botanischer Garten und Botanisches Museum Berlin-Dahlem, Zentraleinrichtung der Freien Universität Berlin (B) (Berlin, Germany)
The Field Museum (F) (Chicago, Illinois, USA)
University of Copenhagen (C) (Copenhagen, Denmark)
Chinese National Herbarium, (Chinese Academy of Sciences) (PE) (Beijing, People's Republic of China)
University and Jepson Herbaria (UC/JEPS) (Berkeley, California, USA)
Herbarium Bogoriense (BO) (Bogor, West Java, Indonesia)
Royal Botanic Garden, Edinburgh (E) (Edinburgh, Scotland, UK)
Herbarium Hamburgense (HBG) (Hamburg, Germany)

Simple herbarium
Contoh ringkas herbarium.

Pengumpulan spesimen ini amat penting bagi mengenalpasti tumbuh-tumbuhan yang berguna kepada manusia dan mengelakkan ianya daripada terus pupus. Jadi sekiranya anda berpeluang untuk melihat koleksi herbarium ini silalah luang-luangkan masa.


Free Download



Isnin, 23 Julai 2012

Ke Mana Perginya Semua Burung-burung Ini?

Burung Bayan kelihatan seperti burung kakak tua.
Seronok rasanya dapat pulang ke kampung halaman ni. Maklumlah dah lama merantau, balik pun sekejap-sekejap. Tapi kali ni saya balik untuk masa yang agak lama jadi dapatlah saya membuat lebih pengamatan tentang susana sekeliling. Memanglah banyak perkara yang dah berubah, walaupun tak kampung ni tak berubah menjadi sebuah bandar ada beberapa perkara yang mungkin saya lebih suka dalam keadaan sebelumnya. Timbul dalam persoalan saya, ke mana hilangnya burung-burung yang dulunya menjadi buruan saya?

Haha, mungkin keadaan ini kurang mendapat perhatian bagi kaum wanita (pendapat saya sahaja).. bukan apa, bagi kami yang lelaki ni, dulu-dulu suka merayau ke dalam semak-samun semata-mata untuk mencari burung-burung (apa sahaja yang boleh dilastik). Saya bukanlah pakar dalam melastik seperti kawan-kawan yang lain. Bagi saya burung merupakan haiwan yang cantik. Saya suka memerhatikan pergerakan haiwan ini. Macam-macam yang saya perhatikan, rupa bentuk, warna, cara kehidupannya, tabiat, bunyi, dan lain-lain lagi. Pernah saya mengumpulkan gambar burung-burung ini untuk dimasukkan ke dalam koleksi lukisan saya. Macam tu lah antara minat saya terhadap burung.

Kalau anda nak tahu antara burung-burung yang ketara berkurangan dan ada yang dibimbangi telah pupus dari bumi Bukit Rokan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

i) Burung Bayan;

Burung bayan merupakan burung yang paling saya minati kerana ianya menyerupai burung kakak tua. Malah burung ini turut berkelakuan seperti burung yang popular itu. Biasanya burung ini suka memegang makanannya dengan kaki untuk dikunyah dengan paruhnya yang kuat. Sebahagian besar badannya berwarna hijau. Tapi bagi burung bayan yang tua, warnanya akan bertambah cerah dan lebih menarik.

Burung bayan biasanya bergerak dalam kumpulan. Ini bagi menjamin keselamatan kumpulan tersebut. Biasanya burung bayan akan singgah di kawasan ini apabila tiba musim buah rambutan. Namun terdapat juga buah-buahan hutan yang biasanya menjadi makanan burung ini.

ii) Burung Tiong Batu;

Tiong Batu bersaiz lebih besar dengan bulu yang berkilau.

Burung ini masih kelihatan sesekali terbang di kawasan ini. Tapi amat membimbangkan kerana tiada lagi tempat untuk burung ini membiak dan agak sukar baginya untuk mendapatkan makanan. Tiong batu kelihatan seolah-olah seperti burung tiong, namun sebenarnya ia amat jauh berbeza.

Tiong batu agak unik, paruhnya yang merah serta bulunya yang berkilat menjadikan ia lebih menarik berbanding tiong biasa. Saiznya juga adalah jauh lebih besar. Manakala cara ia terbang juga nampak berbeza daripada burung tiong. Suka bersarang di tempat yang tinggi dan mempunyai tabiat makanan yang cerewet menjadikan ianya sukar untuk dipelihara.

iii) Burung Kuning;

Dendang Selayang lebih mudah dilihat pada waktu senja.
Burung Dendang Selayang, atau biasanya dipanggil burung kuning (nama bagi kami semasa kecil dulu) juga didapati semakin berkurangan. Walaupun masih terdapat burung ini beterbangan sesekali, namun jumlahnya terlalu sedikit berbanding semasa saya meninggalkan kampung dulu.

Makanan utama burung ini adalah serangga yang biasanya beterbangan di waktu senja. Biasanya burung ini akan membuat bunyi yang bising sewaktu makan di waktu senja. Jadi pastilah kehilangan burung ini mudah untuk dikenalpasti. Suaranya agak lantang tetapi merdu (kalau dibandingkan dengan suara manusia, burung ini mungki bertaraf penyanyi).. Oleh kerana burung ini merupakan pemangsa utama bagi serangga yang terbang pada waktu senja (terutamanya anai-anai), maka adalah dibimbangi jumlah anai-anai akan semakin bertambah.. huhu

Mungkin itu sebahagian daripada kehilangan spesis burung yang utama. Malah banyak lagi burung-burung lain yang tidak dapat dikesan seperti burung sepah, burung kelicap jantung, burung berek-berek (tetapi burung ini hanya singgah mengikut musim sahaja), burung layang-layang, burung helang, ruak-ruak dan lain-lain spesis lagi.

Walaupun kita tidak bergantung dengan haiwan-haiwan ini semua, namun fungsi mereka dalam keseimbangan ekosistem pelu diambil kira. Mungkin fungsi mereka kecil tetapi boleh menyebabkan kehilangan yang besar sekiranya mereka terus hilang dari kawasan kita. Apa yang dapat dilihat punca utama kehilangan spesis burung-burung ini adalah kerana pokok buah-buahan yang menjadi sebahagian punca makanan mereka telah ditebang. Manakala penebangan hutan berhampiran juga mengurangkan lagi sumber makanan bagi mereka. Mungkinkah suatu hari nanti burung-burung ini akan kembali semula?


Free Download



Khamis, 19 Julai 2012

Koleksi Majalah Lama - Barang Lama Tapi Berharga

Saya percaya semua antara kita ada menyimpan benda-benda kegemaran tak kira apa bentuk sekalipun samada barang perhiasan, mungkin peralatan memasak, atau pakaian dan sebagainya. Bagi saya koleksi kegemaran saya adalah dua majalah lama yang saya simpan semenjak dari tahun 1994.

Apa yang istimewa mengenai majalah ini? Hmm, majalah ini adalah terbitan sekali dalam 2 minggu. Jadi saya perlu memastikan untuk mendapatkan satu naskah untuk setiap keluaran (2 keluaran, sebulan). Majalah ini adalah antara terbitan Syarikat Penerbitan Marshall Cavendish Ltd dari England. Sebagai majalah sains antarabangsa, majalah ini turut dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti yang membantu pembaca membuat pemerhatian dalam aktiviti-aktiviti eksperimen mudah. Malah terdapat juga aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain (hmm, kira memang berpatutan dengan harganya).

i) Majalah Quest;

Majalah ini penuh dengan misteri mengenai dunia sains. Dibahagikan kepada 6 bahagian utama (a - living world, b - planet earth, c - future, d - energy and resources, e - new technology, dan f - space frontiers) di mana kesemua halaman adalah dalam muka surat berwarna. Satu poster akan disertakan dalam setiap keluaran, di mana poster ini juga disediakan dalam bentuk grafik yang menarik.

Saya amat kagum dengan majalah ini pada waktu itu kerana mampu memaparkan berita-berita berkaitan sains dengan begitu menarik sekali. Antara teknologi yang membuka mata saya ketika itu dan hari ini dapat dilihat sendiri dengan jelas antaranya adalah teknology HDTV, spy satellite (seperti dalam Google Maps), IMAX 3D (pertama dibuka di Times Square, kini di Sunway Pyramid), pembangunan perisian pengenalan wajah (face detection) dan pelbagai lagi isu-isu menarik.

ii) Majalah Take Off;


Untuk majalah 'Take Off' ini tidak susah untuk diterangkan mengapa ianya menarik. Ianya adalah sebuah majalah yang menerangkan mengenai perkara-perkara yang berkaitan pesawat daripada pesawat komersial hinggalah kepada pesawat perang. Padat dengan rencana-rencana menarik disamping gambar-gambar pesawat yang menarik.

Padat dengan informasi serta maklumat penuh mengenai sesebuah pesawat, majalah ini juga turut menyediakan aktivit tambahan. Begitu berbeza dengan majalah biasa, majalah-majalah yang diterbitkan Marshall Cavendish ini sangat berkualiti berbanding harganya yang boleh dikatakan murah (berbanding apa yang disediakan). Bagi saya pada masa itu keseronokan ingin tahu semakin bertambah disamping dapat memperbaiki lagi penguasaan Bahasa Inggeris saya (kedua-dua majalah ini adalah dalam versi Inggeris).

Jadi itulah serba sedikit mengenai koleksi majalah kegemaran saya yang telah saya simpan selama 18 tahun (wow, tak sangka begitu lama sekali). Paling tidak saya boleh gunakan majalah ini untuk menggalakkan anak-anak buah saya untuk belajar seperti mana saya dahulu. Bagaimana dengan majalah atau koleksi barangan kesayangan anda?.. mungkin ada sesuatu yang menarik untuk anda ceritakan.


Free Download



Arkib Blog