Memaparkan catatan dengan label kerjaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kerjaya. Papar semua catatan

Khamis, 24 Disember 2015

Peralatan Untuk Melukis Manga

'Nib pen' yang menjadi peralatan klasik dalam melukis manga.

Memandangkan kemahiran melukis manga mempunyai potensi yang tinggi bukan sahaja untuk dijadikan sebagai kerjaya, malah ia juga sesuai untuk mengasah bakat kreativiti seseorang, maka kita akan terus melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan dunia manga ini dari semasa ke semasa. Hari ini kita akan lihat pula peralatan-peralatan yang diperlukan dalam menyediakan sesebuah lukisan manga.

Perlu diingat bagi peralatan dalam melukis manga, terdapat beberapa peralatan yang anda perlukan sebagai peralatan asas. Manakala yang lainnya pula adalah peralatan tambahan yang hanya bertindak sebagai penyokong (memudahkan kerja) atau aksesori (mencantikkan lagi) hasil karya manga anda. Perkembangan industri ini, sudah semestinya menambahkan lagi pelbagai bahan-bahan sampingan berbanding bahan khusus yang terdiri daripada beberapa peralatan asas sahaja pada mulanya.

Peralatan Asas Penting

Pensil


Pensil yang sesuai amat penting untuk lakaran yang baik.


Pensil diperlukan untuk tujuan asas lakaran. Jadi ia merupakan peralatan utama dalam menghasilkan manga. Pensil ini perlulah yang hanya menghasilkan lakaran asas seperti 2H sehingga ke HB namun ia juga bergantung dengan kesesuaian seseorang pelukis itu sendiri.

Pensil yang digunakan mungkin terdiri daripada pensil biasa ataupun pensil mekanikal yang tidak perlu diasah berulang-ulang. Ini dapat memudahkan para pelukis dengan hanya menukar ‘lead’ nya mengikut keperluan. Lead mungkin akan terdiri daripada kelas ‘B’ untuk mata yang lebih lembut dan gelap, manakala ‘H’ untuk mata yang agak keras dan garisan yang lebih pudar.

Apapun jenis pensil yang digunakan, untuk lukisan manga kebiasaannya pensil hanya digunakan dalam menghasilkan garisan panduan kerana hasil akhir lukisan akan menggunakan pen dakwat bagi menghasilkan garisan yang lebih jelas dan hitam.

Kertas 8.5"x11"

Bagi pelukis manga, anda perlulah memiliki bekalan kertas putih yang cukup untuk tujuan penghasilan manga anda dan juga untuk tujuan latihan lakaran karektor dan sebagainya. Kertas yang diperlukan kebiasaannya dari kertas yang bersaiz 8.5"x11" – memandangkan ia saiz yang biasa digunakan untuk komik standard.

Terdapat pelbagai jenis kertas yang berada di pasaran. Bagi seseorang pelukis manga pula anda perlu tahu membezakan jenis-jenis kertas ini kerana ia boleh membantu anda mengenal kualiti kertas dan kegunaannya dengan baik. Sebagai contoh anda mungkin boleh menggunakan kertas 70 gsm untuk tujuan lakaran biasa. Manakala untuk tujuan penghasilan hasil akhir kertas yang perlu digunakan adalah dari jenis 80 gsm dan ke atas.

Pembaris 12”

Pembaris adalah antara peralatan yang penting dalam manga untuk membantu anda membuat lakaran-lakaran garisan panduan. Pembaris panjang 12” (30 cm) dapat memudahkan anda melukis garisan panduan untuk keseluruhan panjang kertas yang digunakan. Ini dapat menjimatkan masa berbanding sekiranya anda menggunakan pembaris biasa 6” (15 cm).

Ruang Kerja


Ruang kerja yang selesa penting untuk menghasilkan kerja yang baik.
Meja kerja idaman para pelukis manga.


Ruang kerja mungkin merangkumi meja khas untuk anda melakukan kerja-kerja melukis manga. Ruang kerja penting bagi memastikan anda dapat melukis dengan selesa dengan peralatan yang lengkap tanpa gangguan. Anda mungkin tidak mahu peralatan anda diganggu sehingga menyebabkan kerja-kerja anda terbengkalai. Adalah lebih baik sekiranya anda memiliki meja lukisan atau sekurangnya papan lukisan khusus untuk itu.

Pemadam

Pemadam juga merupakan salah satu peralatan penting dalam melukis manga. Kerja-kerja melukis sentiasa memerlukan anda membuat perubahan kepada lakaran asal yang dibuat menggunakan pensil. Jadi pemadam yang sesuai amat penting bagi memastikan hasil kerja yang bersih lagi kemas. Ciri-ciri pemadam yang baik adalah, dapat membersihkan kesan yang ingin dipadamkan, tidak meninggalkan kesan pada kertas dan tidak pula merosakkan kertas.

Peralatan Manga: Permulaan (Asas)

Pen Dakwat


Pen dakwat dalam pelbagai saiz.

Pen Dakwat inilah yang membezakan antara komik dan lukisan biasa. Seterusnya terdapat perbezaan teknik mendakwat (inking) bagi teknik manga Jepun dan juga komik US misalnya. Namun begitu ia tetap memerlukan pen dakwat untuk memastikan lukisan komik dapat disiapkan. Pen Dakwat ini terdiri daripada pelbagai saiz daripada: 0.1, 0.5, 1.0, 2.0, dan sebagainya. Anda tidak perlu memiliki kesemua saiz pen tersebut, tetapi setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa perbezaan saiz mata pen untuk memudahkan kerja mendakwat.

Template


Template untuk mempercepatkan proses melakar/melukis.

Template adalah peralatan yang mempunyai tebukan bentuk-bentuk dengan pelbagai rupa dan saiz. Walaupun bentuk-bentuk ini boleh dilukis sendiri, namun penggunaan template dapat menjimatkan masa dan juga menghasilkan lukisan yang lebih bersih/kemas. Terdapat juga template untuk melukis lengkuk, huruf dan nombor.

Kompas/jangka sudut

Penggunaan kompas dan jangka sudut ini juga penting bagi seorang pelukis manga. Untuk memastikan ia dapat digunakan dengan baik, anda perlulah mempunyai kemahiran menggunakannya dalam lukisan. Terdapat pelbagai jenis jangka sudut, dan ianya berguna mengikut fungsi-fungsinya tertentu.

Pembaris Lengkung

Pembaris lengkung juga adalah peralatan tambahan yang dapat menjimatkan masa. Walaupun lengkung biasanya dilukis menggunakan template lengkung atau ‘free hand’, penggunaan pembaris lengkung dapat menghasilkan garisan yang lebih kemas dengan pantas. Jadi ia merupakan peralatan tambahan yang dapat membantu.

T-Square


T-Square boleh menjadi peralatan yang menjimatkan masa.

Pembaris T-Square, hanya berfungsi dengan baik sekiranya anda menggunakan papan lukisan atau meja lukisan. Namun penggunaan peralatan ini juga dapat  menjimatkan masa apabila dipadankan penggunaannya dengan set-square (iaitu dua lagi pembaris segitiga yang bersudut 90 darjah). Penggunaan peralatan ini juga memerlukan kemahiran khusus. Jadi sekiranya anda baru bermula, peralatan ini mungkin merupakan peralatan tambahan sahaja.

Peralatan Manga: Advanced

Dakwat


Dakwat yang digunakan untuk melukis manga.

Dakwat diperlukan sekiranya anda memilih untuk melukis manga menggunakan pen lukisan ‘nib’. Terdapat pelbagai jenis dakwat dan jenis yang terbaik adalah dari jenis kalis air (waterproof) dan juga tahan pudar (fadeproof) yang dapat memastikan kualiti lukisan anda tahan untuk jangka masa yang lebih lama. Sebagai permulaan, anda bolehlah menggunakan dakwat dalam botol kecil untuk mengenal pasti dakwat yang sesuai.

Pen Dakwat Nib


Mata pen 'nib' dalam pelbagai bentuk dan saiz.


Ia adalah jenis pen dakwat klasik yang digunakan untuk melukis komik dan kaligrafi. Pen-pen ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis. Jadi anda juga perlu mengenali pen ‘nib’ yang sesuai untuk digunakan. Salah satu kelemahan menggunakan pen ini adalah ia perlu sentiasa dicelup ke dalam dakwat. Bagi yang kurang mahir, ia mungkin boleh menyebabkan hasil yang kurang kemas.

Cecair Pemadam (White Out)

Ia didatangkan dalam bentuk cecair di dalam botol atau pen. Bagi anda yang menggunakan dakwat, cecair pemadam ini adalah penting untuk membuat pembetulan pada kesilapan-kesilapan kecil. Penggunaan berlebihan mungkin mengakibatkan hasil lukisan anda kelihatan comot/buruk.

Manuscript Paper

Kertas ini digunakan untuk memudahkan anda menghantar kerja-kerja komik anda kepada penerbit. Jadi sebab itulah ia berada dalam kategori peralatan advance. Namun begitu sebelum anda menggunakan mana-mana ‘manuscript paper’ anda perlulah terlebih dahulu memastikan spesifikasi yang diperlukan oleh penerbit tertentu. Sebagai permulaan, kertas biasa juga adalah memadai.

Tones


Penggunaan 'tones' dalam komik/manga.

Tones, banyak digunakan dalam manga-manga klasik hitam-putih untuk menimbulkan kesan yang lebih menarik. Ia mungkin berbentuk garisan, titik-titik, corak dan sebagainya. Penggunaan tones mungkin akan memakan belanja yang agak mahal. Kebiasaannya pelukis komik mempunyai cara tersendiri menghasilkan tones dengan kaedah yang lebih murah.

Papan Pemotong

Papan pemotong dapat mengelakkan kerosakan pada meja anda sekiranya anda menggunakan ‘tones’ di mana anda biasanya perlu memotong ‘tones’ mengikut rupa bentuk yang diperlukan. Papan pemotong yang sesuai dapat memastikan ruang kerja yang efisyen dan kerja-kerja anda dapat dihasilkan dengan lebih pantas.

Pisau Pemotong

Anda memerlukan pisau pemotong untuk kerja-kerja memotong. Pisau pemotong kebiasaannya amat tajam. Jadi anda perlu berhati-hati dan memastikan ia berada dalam keadaan yang baik untuk memastikan hasil pemotongan adalah baik. Selain itu anda juga selamat sewaktu mengendalikannya.

Paper Cement


Paper Cement untuk melekatkan tones pada lukisan.

Paper cement bertindak seperti gam untuk melekatkan ‘tones’ kepada tempatnya. Ia perlu dilakukan dengan teliti kerana ia akan melekat dengan kuat. Jadi sekiranya berlaku kesilapan, adalah agak sukar untuk menanggalkannya semula.

Tersebut adalah peralatan-peratalan asas untuk anda menghasilkan manga. Walaupun terdapat peralatan yang tergolong di dalam kriteria “advanced”, di sini hanyalah keperluan asas untuk menghasilkan manga secara asas sahaja. Peralatan lengkap penghasilan manga merangkumi media yang lebih luas yang akan dibentangkan pula dalam artikel yang lain. Teknik penghasilan manga moden adalah merangkumi bahan media bewarna dan juga melibatkan perisian komputer.



Free Download



Rabu, 16 Disember 2015

Ingin Mengasah Bakat Menjadi Pelukis Manga?

Langkah-langkah melukis manga untuk latihan.

Manga sememangnya menjadikan sesuatu perkara lebih menarik untuk diikuti. Maka dengan itu tidak hairanlah mengapa ia bukan sahaja menjadi satu budaya penting di Jepun malah digunakan dengan meluas untuk segala macam aspek kehidupan terutama dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Jadi ia bukan sahaja digunakan untuk komik-komik seperti di negara kita, malah karakter manga ini turut digunakan untuk menjelaskan undang-undang trafik. Selain itu juga borang untuk jawatan kosong juga turut dihiasi dengan karakter manga yang menerangkan proses mengisi borang tersebut.

Oleh kerana negara kita masih belum menggunakan manga dengan begitu serius seperti Jepun, maka keperluan untuk mengasah bakat-bakat baru yang mampu menghasilkan manga adalah penting – supaya ia boleh digunakan untuk pelbagai tujuan. Dipadankan pula dengan teknologi maklumat, kemudahan untuk mempelajari teknik manga dan penghasilannya juga adalah jauh lebih menjimatkan berbanding suatu masa dahulu. Ini kerana penghasilan manga secara digital ternyata dapat mengurangkan banyak kos.

Kali ini kita akan melihat bagaimana untuk mendapatkan informasi mengenai teknik-teknik melukis manga melalui ‘internet’. Jadi bagi mereka yang berminat bolehlah mendapatkan beberapa maklumat asas bagi anda mengasah bakat dalam menghasilkan manga ini. Mungkin dari sini nanti anda dapat menghasilkan manga anda dan dikongsi bersama dengan para peminat manga yang lain – atau mungkin menjadi kerjaya anda di masa akan datang.

Asas penghasilan manga perlulah dimulakan secara biasa, iaitu menggunakan pensil, pen komik, kertas dan dakwat. Ini bagi membolehkan anda membentuk asas yang kuat dalam membina karakter manga anda sendiri. Namun secara perlahan-lahan anda bolehlah terus belajar mengenai cara penghasilan manga secara digital – di mana ia akan membantu anda menghasilkan manga sendiri dengan lebih murah dan mudah untuk menemui para peminat.

Di sini saya akan kongsikan beberapa laman web yang menyediakan panduan untuk anda mengasah bakat melukis manga. Terdapat beberapa tutorial yang anda boleh pilih mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing. Pertama adalah tutorial biasa berbentuk teks – bagi yang mempunyai talian internet yang berkelajuan rendah dan sederhana. Manakala anda boleh mengikuti juga panduan berbentuk video yang menunjukkan cara yang lebih mudah untuk difahami dan diikuti. Anda juga digalakkan untuk membeli buku-buku panduan melukis manga bagi menambahkan lagi panduan dalam melukis manga ini secara lebih serius.

Panduan yang baik mudah diikuti.

Antara contoh karakter manga.

Antara laman web yang anda boleh ikuti adalah seperti berikut;


Manga tutorial menyediakan panduan yang lengkap dari segi konsep sehinggalah kepada penghasilan karakter, mimik muka, emosi, rupa bentuk dan sebagainya. Ia juga turut menyediakan tutorial dalam bentuk teks dan video. Terdapat juga artikel-artikel yang membincangkan perkara-perkara penting mengenai dunia manga dalam menghasilkan manga yang baik. Selain itu ia juga menyediakan forum bagi membolehkan para peminat dunia manga berkongsi masalah dan pandangan. Buku-buku berkaitan manga juga boleh didapati dari website ini. Jadi ia merupakan satu website yang lengkap untuk memudahkan kerja-kerja mengasah bakat anda dalam dunia manga.


Merupakan satu lagi laman yang menyediakan banyak panduan berguna kepada anda yang berminat untuk mempelajari tentang kaedah penghasilan manga. Terdapat banyak bahan menarik dari Manga University ini samada secara percuma mahupun yang berbayar. Namun begitu, buku panduan berbentuk e-book juga boleh dibeli dengan harga yang amat berpatutan. Panduan asas disediakan secara percuma melalui link “How to draw manga”. Sekiranya anda ingin menjadi ‘mangaka’ yang lebih serius, anda mungkin boleh memilih untuk mengikuti kursus di rumah dengan panduan daripada pelukis-pelukis manga yang lebih profesional. Melalui laman ini juga, anda boleh mengikuti panduan berbentuk video.

Penghasilan manga menggunakan 'software' lebih menjimatkan.

Penghasilan 'comic strip' juga memerlukan latihan.

Anda juga boleh mengikuti panduan melukis manga menggunakan apps melalui telefon pintar anda. Antara apps yang disediakan sebagai contohnya adalah “Draw Anime - Manga Tutorials” (aplikasi Android). Aplikasi ini menyediakan video-video tutorial yang mudah untuk diikuti terus dari telefon anda.

Video-video panduan ini juga boleh didapati terus melalui YouTube dengan mudah. Jadi anda perlulah bijak mencari bahan panduan yang dapat membantu anda bersesuaian dengan keperluan latihan anda. Pastikan juga anda meneruskan latihan anda secara berterusan bagi memastikan hasil yang lebih baik dan pantas. Antara kemahiran-kemahiran yang perlu anda kuasai dapat dilihat dalam laman-laman web seperti yang dinyatakan di atas.

Antara panduan berguna 'mangaka'.

Bagi menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya, anda perlulah juga mengikuti panduan-panduan yang berguna seperti yang dikongsikan oleh mereka yang arif di dalam bidang ini. Banyak artikel yang dapat menerangkan kepada anda tentang bagaimana anda menjadi seorang ‘mangaka’ yang berjaya seperti “Magnificent Manga: 10 Beginner Drawing Manga Tips”. Jadi, anda perlulah kreatif dalam menyusun strategi latihan anda sendiri – ataupun lakukan secara berkumpulan dengan mereka yang mempunyai minat yang sama dengan anda.


Sebelum saya menamatkan artikel kali ini, ingin saya berpesan supaya anda terus membuat perhatian tentang kegunaan manga dalam kehidupan harian – anda boleh membuat tinjauan mengenai perkara ini di kedai buku Jepun seperti Kinokuniya misalnya. Dimana anda akan dapati buku panduan memasak juga dihasilkan dalam bentuk manga. Amat menarik! Anda juga mungkin boleh menghasilkan kerja-kerja anda dalam bentuk manga nanti.






Free Download



Ahad, 8 November 2015

Selebriti Dengan Kebolehan Berutur Beberapa Bahasa

Ratu "Amidala" boleh bertutur banyak bahasa! Ya.

Kebolehan bertutur bahasa lain walaupun tidak menjamin kejayaan seseorang di dalam satu bidang, ia tetap merupakan salah satu aset tambahan yang boleh membantu dalam pelbagai perkara. Bahasa selain daripada untuk tujuan berkomunikasi ia juga menunjukkan kesungguhan seseorang untuk mengetahui budaya dan tradisi bangsa lain – inilah yang menyebabkan seseorang lebih mudah didekati sekiranya berkemampuan untuk bertutur lebih daripada satu bahasa. Seperti yang diterangkan sebelum ini, kemahiran bertutur lebih dari satu bahasa juga antara lain meningkatkan lagi keupayaan otak.

Hari ini kita akan melihat kemahiran beberapa orang artis (selebriti) terkemuka yang boleh bertutur dalam beberapa bahasa. Ia antara lain menunjukkan golongan artis juga memerlukan kemahiran yang istimewa yang mungkin sedikit sebanyak membantu di dalam kerjaya mereka.

Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa, budaya sesuatu masyarakat banyak tersimpan di dalam bahasa mereka iaitu dari segi gaya bahasa dan susunan sesuatu bahasa itu sendiri. Jadi berikut adalah antara beberapa artis yang mempunyai kebolehan tersebut;

Natalie Portman

Natalie Portman menguasai 6 bahasa dengan baik.

Merupakan antara artis yang mempuyai keolehan bertutur paling menakjubkan dengan menguasai bukan sahaja Bahasa Inggeris  (English), malah Yahudi (Hebrew), Perancis (French), Jepun (Japanese), German dan Sepanyol (Spanish).

Natalie Portman sendiri lahir di Jeruselam daripada bapa berbangsa Yahudi (Israel) dan ibu yang berasal dari Amerika. Disebalik kepintarannya Natalie juga merupakan bekas pelajar dari university terkenal Harvard. Natalie menunjukkan kebolehannya bertutur Bahasa German semasa di Berlin bagi pengambaran filem “V for Vendetta”, apabila beliau bertutur dengan krew pengambaran di dalam bahasa tersebut.

Jodie Foster


Jodie Foster pelakon berbakat.

Seorang lagi selebriti dengan kemahiran bahasa yang menakjubkan adalah Jodie Foster yang menguasai bebera bahasa termasuk Perancis (French), Itali (Italian), German dan juga Sepanyol (Spanish).

Jodie Foster dikatakan menguasai Bahasa Perancis dengan baik melalui ketika mengikuti kelas bahasa tersebut di Lycée Français de Los Angeles. Kemahiran beliau ini turut membuka peluang kepada beliau yang banyak mendapat tawaran di Perancis termasuk untuk beberapa filem seperti "Moi, fleur bleue" dan "A Very Long Engagement."

Shakira


Syakira bersemangat tinggi.

Shakira merupakan seorang lagi artis yang mempunyai kemahiran bertutur beberapa bahasa yang menakjubkan. Artis ini dilahirkan di Colombia dari bapa yang berbangsa Labenon dan ibunya berasal dari Colombia sendiri. Bahasa yang dikuasai beliau termasuklah Inggeris (English), Portugese, Sepanyol (Spanish) dan Itali (Italian).

Shakira menghasilkan lagu di dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Sepanyol dan albumnya terjual sehingga lebih daripada 50 juta di seluruh dunia. Malah Shakira pernah menyamar untuk mengikuti kelas di university UCLA (University of California Los Angeles) yang berakhir pada May 2007.

Jadi begitulah betapa berkarismanya ratu pop Colombia ini yang tidak hanya leka dengan populariti yang diraihnya.

Sandra Oh


Pelakon siri drama "Grey's Anotomy".

Sandra Oh mungkin tidak sepopular artis yang lain-lainya, namun beliau juga mempunyai kemahiran berbahasa yang menakjubkan. Artis yang membintangi siri “Grey’s Anotomy” ini boleh bertutur dalam bahasa Korea (Korean), Perancis (French) dan Inggeris (English).

Sanda merupakan anak kepada ibu bapa yang berbangsa Korea yang dilahirkan di pinggir Bandar Ottawa, Canada. Beliau mempelajari Bahasa Perancis semasa menghadiri pengajian di NaNational Theatre School of Canada di Montreal, Quebec.

Tom Hiddleston


Tom Hilldeston lebih dikenali sebagai 'Loki'.

Pelakon yang lebih dikenali sebagai ‘Loki’, ketika membintangi filem Avengers ini juga mempunyai kemahiran berbahasa yang luar biasa. Selain mampu berbahasa Inggeris (English) sudah tentu, beliau juga menguasai bahasa Sepanyol (Spanish), Perancis (French) dan Greek yang dipelajarinya ketika mempelajari seni klasik di University of Cambridge.

Beliau yang merupakan aktor British bukan sahaja membintangi Avengers, tetapi juga Thor dan beberapa filem sebelum ini termasuk War Horse (2011), The Deep Blue Sea (2011) dan beberapa filem lain. Beliau sebelumnya terlibat dengan BBC dalam siri Henry IV, Henry V.

Viggo Mortensen


Berlakon merupakan salah daripada bakat-bakat yang lain.

Artis yang membintangi filem trilogy “The Lord of the Rings” sebagai “Aragon” ini bukan sahaja mempunyai bakat berlakon, malah beliau juga merupakan penyajak, pemuzik, jurugambar dan pelukis. Maka tidak hairanlah sekiranya beliau juga menguasai beberapa bahasa sejak dari kecil lagi termasuk Inggeris (English), Denmark (Danish), Sepanyol (Spanish) dan juga Perancis (French). Menpunyai bapa yang berbangsa Denmark dan ibu dari Amerika membolehkan pendedahan kepada bahasa-bahasa lain di peringkat yang lebih awal.

Selain daripada artis-artis yang disebutkan di atas terdapat ramai lagi selebriti yang lain yang menguasai lebih daripada satu bahasa. Selebriti tersebut termasuklah Mila Kunis, Diane Kruger, Leonardo DiCaprio, Gwyneth Paltrow, Ben Affleck, Sandra Bullock, Charlize Theron, Eva Mendes, Penélope Cruz, Johnny Depp, Arnold Schwarzenegger, Tommy Lee Jones dan banyak lagi.

Kemahiran berbahasa sama juga dengan kemahiran lain seperti matematik yang memerlukan ketajaman memori dan pemikiran yang cekap dalam menyusun tatabahasa (grammar) dalam sesuatu bahasa. Jadi selain daripada meningkatkan peluang anda dalam kerjaya, bertutur dalam banyak bahasa juga secara tidak langsung membantu otak anda untuk sentiasa kekal aktif.

 Antara artikel yang berkaitan:






Free Download



Ahad, 20 September 2015

Pereka Fesyen Terkemuka Malaysia

Taylor Swift mengenakan kasut jenama Jimmy Choo.

Bidang pereka fesyen merupakan satu bidang yang berpotensi dan merupakan salah satu cadang daripada bidang ‘designer’ seperti yang pernah diperbincangkan sebelum ini. Bagi melihat sejauh mana para pereka fesyen tanahair dapat mengukir nama di peringkat antarabangsa untuk sama-sama bersaing dengan pereka-pereka handalan yang lain. Berikut merupakan antara pereka kita yang berjaya mencipta kejayaan dalam bidang yang mereka minati.

Jimmy Choo

Jimmy Choo mempunyai rangkaian jenamanya sendiri yang telahpun dikenali di serata dunia. Dato’ Jimmy Choo sendiri adalah berasal daripada keluarga tukang kasut dan mula membuat kasut seawal berumur 11 tahun lagi. Membuka tapak perniagaannya di London pada tahun 1986 dan mula mendapat perhatian apabila mendapat liputan di dalam majalah vogue pada tahun 1988. Kasut buatannya turut dipakai oleh Puteri Diana pada tahun 1990 dan pada tahun 1996 beliau mempunyai rangkaian barangan sendiri melalui Jimmy Choo Ltd.


Zang Toi menempa nama di New York melalui usaha keras.

Zang Toi

Zang Toi memilih New York sebagai tapak untuk kerjayanya. Melalui hasil rekaan beliau yang kreatif dan mampu memberikan kepuasan kepada pelanggan untuk tampil berani, anggun, dramatik serta glamour menjadikan ia antara pilihan ramai artis seperti Sharon Stone, Ivana Trump, Kirstie Alley, Meg Ryan dan ramai lagi. Zang Toi dikenali dengan rangkaian barangan samada dari ‘House of Toi’ atau ‘Z collection’.

Bernard Chandran

Merupakan seorang pereka berbakat daripada Paris American Academy. Beliau merupakan bukan pemenang beberapa anugerah fesyen berprestig di Eropah (yang sebelumnya hanya di dominasi oleh rakyat Eropah sendiri). Pada tahun 2005 pula beliau menampilkan rangkaian koleksi “Autumn/Winter 2006 Ready-To-Wear” yang pertamanya di London Fashion Weekend dan dari situ juga ia semakin dikenali termasuk Lady Gga dan Estelle, yang mengenakan rekaan beliau pada malam anugerah Grammy Award 2009.

Farah Khan

Merupakan seorang pengiat fesyen yang banyak membantu meningkatkan lagi industri ini di Malaysia. Beliau juga merupakan pengasas dan Presiden bagi The Melium Group yang ditubuhkan pada 1989 yang menguruskan industri retail lebih 50 jenama antarabangsa dibawahnya. Selain merupakan seorang usahawanita yang berjaya, beliau juga merupakan pereka fesyen yang mewakili oleh jenama FARAH KHAN di mana koleksi ‘Spring/Summer 2008’nya terjual di lebih 31 bandaraya di dunia.

Melinda Looi

Juga merupakan antara pereka yang menempa nama di arena fesyen antarabangsa. Hasil kreativiti beliau yang berilhamkan kekayaan dan keunikan budaya Malaysia yang pelbagai. Memenangi pelbagai anugerah rekaan fesyen, rekaan beliau turut mendapat perhatian daripada merata pelusuk dunia termasuk US, Middle East, South Africa, China, Taiwan, Singapore dan Hong Kong. Antara artis antarabangsa yang pernah mendapat khidmat beliau adalah Cameron Diaz, Britney Spears and Mena Suvari.

Faisol Abdullah

Merupakan CEO dan Pengarah Kreatif di Jendela KL merupakan turut dinamakan sebagai ‘Malaysia’s Designer of the Year 2011’. Antara kejayaannya yang terpaling dikagumi adalah rekaan bagi baju termahal di dunia iaitu ‘Nightingale’ yang berharga RM100 juta yang dihiasi dengan 751 butir berlian dengan berat 1100 karat daripada jeweller antarabangsa Mouawad. Ia turut disertakan bersama 70 karat berlian pada bahagian dada kiri gaun tersebut.

Dexter Wong

Merupakan seorang pereka yang turut mendapat perhatian di arena antarabangsa sehingga dinyatakan sebagai “the man who defined the club-obsessed fashion of the early Nineties” oleh The Independent, UK. Rekaan beliau turut pernah dipakai oleh para pemuzik terkenal seperti David Bowie, U2 and Robbie Williams. Beliau kemudiaannya melancarkan rangkaian ‘Peoples Market’ pada tahun 2004 untuk pasaran golongan muda. Beliau juga merupakan pereka bagi rangkaian Lens di Topman.

Lew Fong Voon

Rangkaian barangan Lewre merupakan hasil ilham daripada Lew Fong Voon yang turut mempunyai rangkaian di Taiwan, Australia, New Zealand, Philippines, United Arab Emirates dan lain-lain lagi yang berjumlah lebih daripada 90 buah kesemuanya. Rangkaian barangan kasut dan beg tangan wanita ini turut boleh didapati di rangkaian pasaraya seperti Jusco, Parkson Grand, Isetan dan juga Metrojaya.

Khoon Hooi

Khoon Hooi membina tapak permulaannya di Malaysia sendiri sehingga berjaya menempatkan dirinya di persada dunia. Bermula selepas memenangi ‘Asian Young Designers Award in 1997’, usaha beliau diteruskan untuk membolehkan beliau lebih dikenali di serata dunia. Semasa bercuti di Paris, beliau turut membawa portfolionya dan menemui sebanyak mungkin agensi fesyen yang beliau mampu. Inilah yang membuahkan hasil kepada beliau apabila pada tahun 2006, beliau dipilih untuk menyertai pertunjukan di US, semasa pertunjukan di Singapore Fashion Week.

Edmund Ser

Edmund Ser mempunyai rangkaian barangannya yang tersendiri iaitu Edmundser, Spade, dan SER. Mendapat latihan di London, beliau memulakan kerjaya sebagai tukang jahit pada tahun 1980 di West Point Fashion House, di Pertama Komplek sebelum membuka kedai pertama Edmundser di Merlin Hotel (sekarang Concorde) pada tahun 1990. Kini rangkaian pakaian beliau turut dipasarkan di Indonesia, Japan, Philippines, Singapore and Thailand.

Lady Gaga dengan baju rekaan Bernard Chandran.


Itulah sedikit sebanyak kisah mengenai beberapa pereka-pereka fesyen Malaysia yang menempa nama di dalam arena fesyen antarabangsa. Apa yang membolehkan mereka mencapai kejayaan yang begitu memberangsangkan adalah hasil usaha yang gigih dan minat yang mendalam di dalam lapangan mereka ceburi. Sikap positif mereka tidak membenarkan tanggapan-tanggapan buruk menjejaskan impian mereka untuk terus maju.




Free Download



Arkib Blog