Memaparkan catatan dengan label kerabu pucuk paku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kerabu pucuk paku. Papar semua catatan

Isnin, 23 Julai 2012

Suatu Masa Dahulu,Teringat Pucuk Paku

Pokok pucuk paku yang biasanya tumbuh di kawasan paya
Entah macam mana dah petang-petang ni saya boleh pulak teringatkan sayur pucuk paku. Bagi kami yang tinggal di kampung ni tentu pernah bertemu dengan pokok pucuk paku ni.. katalah anda tidak pernah masuk ke kebun sekali pun tentu pernah makan pucuk paku ni kan?.. O.K.. kalau tak pernah jugak takper lah!.. Orang California pun kenal pucuk paku ni..

Sebenarnya kenangan yang paling indah mengenai pucuk paku adalah sewaktu memungut pucuk paku. Biasanya pucuk paku memang banyak tumbuh di kawasan berpaya yang biasanya lembab dan gelap. Hmm, walaupun saya tak pernah bersua dengan apa-apa yang ditakuti ketika mengutip pucuk paku ni.. tetapi jauh di dalam hati terkadang ada juga perasaan risau. Maklumlah di kawasan semak dan berpaya ni kan. Paling tidak perasaan tu membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Semasa memungut pucuk paku pergerakkan akan menjadi terhad kerana rimbunan pokok pucuk paku ini agak rapat meninggalkan hanya sedikit lorong laluan. Tambahan kawasan yang ditumbuhi pucuk paku biasanya berair.. silap hari bulan kalau nak berkejaran di sini boleh tersembam ke dalam lubuk. Jadi walaupun kerja mengutip pucuk paku ni taklah mencabar sangat tetapi kalau tak betul gayanya macam-macam bahaya boleh mengundang.

Dulu sewaktu saya mula-mula tinggal di bandar juga, saya tidak pernah membeli pucuk paku yang di jual di kedai sebagai hidangan yang sudah siap dimasak. Maklumlah kalau pulang ke kampung nanti saya boleh berkejar ke kebun dan mendapatkannya dengan percuma - cuma kena keluarkan sedikit tenaga. Lagipun saya memang menganggap aktiviti-aktiviti seumpama ini sebagai riadah apabila pulang ke kampung. Namun apabila jarang pulang ke kampung saya semakin tak tahan dengan selera untuk menikmati keenakan pucuk paku ni.. Jadi mahu tidak mahu terpaksa juga saya membelinya sebagai lauk yang telah siap di masak. Takperlah.. kalau pulang ke kampung nanti boleh cari lagi kan!.. memujuk hati lah tu.

Pucuk paku yang sudah dipetik dan sedia untuk dijual.
Terdapat beberapa jenis pucuk paku yang terdapat di sekitar kampung (Bukit Rokan). Namun yang paling popular adalah pucuk paku masak yang biasa didapati di pasar-pasar. Terdapat sejenis lagi pucuk paku yang lebih enak, namun sukar didapati iaitu pucuk paku sagat (mungkin orang lain mengenalinya dengan nama yang berlainan). Kemudian terdapat sejenis lagi yang jarang-jarang dimasak kerana habitatnya yang berlainan dan mungkin kurang popular sebagai hidangan iaitu pucuk paku merah.


Pucuk paku merah tidak sepopular spesisnya yang lain

Pucuk paku boleh dikatakan popular di seluruh negara kita Malaysia, dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia mengenali sayur pucuk paku. Antara sajian yang popular disediakan menggunakan pucuk paku adalah kerabu pucuk paku, masak lemak pucuk paku, rendang pucuk paku, pucuk paku goreng belacan dan macam-macam lagi resepi moden yang kita berikan kepada sayur tradisional ini.

Mungkin pucuk paku ini bukan sekadar sedap pada rasanya sahaja. Apa yang membuatkan ianya sentiasa segar dalam iangatan adalah kenangan bagaimana sewaktu kecil dulu saya pernah meredah semak-samun untuk mendapatkannya. Hilai ketawa bersama kawan-kawan sewaktu kami bergurau di kawasan paya yang memecah kesunyian pada masa itu. Penghujungnya adalah senyuman kepuasan dengan sedikit usaha kecil yang kami lakukan kami membawa pulang sedikit sayuran yang dapat dijadikan santapan sekeluarga. Seronoknya di kampung!...

Kerabu pucuk paku merupakan sajian yang paling biasa disediakan menggunakan pucuk paku.

Free Download



Arkib Blog