Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan

Ahad, 12 Ogos 2012

Kain Pelikat Pakain Selesa Masyarakat Serata Dunia



Kain pelikat merupakan antara kelengkapan harian yang biasa bagi kita Orang Melayu. Malah di negara kita Malaysia, kain ini turut dipakai oleh bangsa-bangsa lain juga. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyangka banyak lagi masyarakat di dunia yang lain turut memakai kain pelikat dalam kehidupan seharian mereka. Artikel saya kali ini menampilkan kain pelikat bersempena hari raya yang hampir tiba dan teringatkan kain pelikat yang sering saya jadikan sebagai 'cenderahati' untuk hari yang istimewa ini. Mungkin pemakaian kain pelikat tidak se 'gah' pakaian berjenama yang lain, tetapi dapat menampilkan ciri-ciri keunikan nilai budaya yang tinggi.

Kain pelikat sememangnya selesa dipakai kerana ianya memudahkan pergerakan. Keadaan kain yang hanya diikat di bahagian atas kain menjadikan si pemakai merasa lebih sejuk kerana aliran udara yang lancar. Bagi kain pelikat yang dibuat menggunakan benang yang bermutu pula keselesaannya lebih terasa disamping kain kelihatan lebih menarik. Terdapat banyak variasi dari segi corak dan bahan buatan kain yang lebih dikenali sebagai 'sarong' ini.

Bagi kita hari ini kain pelikat mungkin hanya dipakai di rumah atau semasa ke masjid/ surau ketika menunaikan sembahyang. Malah bagi sesetengah orang memakai kain pelikat ketika tidur merupakan satu kemestian untuk mendapatkan keselesaaan. Saya juga tidak lupa membawa sehelai kain pelikat setiap kali melancong ke mana-mana. Kain pelikat juga pernah saya berikan sebagai hadiah kepada teman-teman yang berasal dari luar negara sebagai tanda pertukaran budaya.

Seorang tua Somalia memakai pelikat
Kain pelikat sebenarnya bukan hanya digunakan oleh masyarakat kita Orang Melayu sahaja malah popular di kalangan orang India, Bangladesh, Sri Lanka, Yaman dan Somalia. Mungkin perbezaannya hanya sedikit iaitu dari segi corak dan tenunannya sahaja. Ini kerana rata-rata kain pelikat diperbuat daripada benang kapas. Bagi masyarakat lain seperti di India dan Sri Lanka, kain pelikat turut dipakai sewaktu melakukan aktiviti seharian.

Begitulah hebatnya kain pelikat sebenarnya. Hari ini kain pelikat dipelbagaikan dengan ciri-ciri yang lebih menarik seperti tenunan dan bahan (benang kapas) yang lebih istimewa. Bagi kain pelikat yang berkualiti tinggi, kainnya lebih nipis dan ringan tetapi lebih berkilat. Kainnya juga tidak mudah berbulu setelah digunakan beberapa tahun lamanya. Terdapat juga kain yang agak licin dan berat menjadikannya nampak lebih lurus dan menarik. Jadi, pengguna kain pelikat hari ini sememangnya mempunyai banyak pilihan dalam rangkaian fesyen kain pelikat sahaja.

Memandangkan saya telah menulis artikel mengenai kain pelikat ni, saya teringat yang tahun ini saya masih lagi belum membeli kain pelikat untuk hari raya. InsyaAllah saya akan cuba cari kain pelikat yang istimewa untuk saya sendiri.

Free Download



Isnin, 6 Ogos 2012

Pokok Nibung Juga Tumbuhan Seribu Guna

Pokok nibung biasanya tumbuh di kawasan lembah. Gambar oleh: rozamit

Mungkin tak semua generasi baru pernah melihat pokok nibung atau tidak mengenali pokok ini secara lebih tepat. Pokok nibung seperti juga beberapa pokok lain seperti kelapa, buluh, rotan, nipah, bakau dan lain-lain begitu berperanan sekali dalam masyarakat di Asia. Beberapa keunikan pokok nibung memberikan kelebihan padanya berbanding dengan pokok-pokok lain. Kali ini saya memilih pokok nibung sebagai bahan kerana seingat saya 'embut nibung' merupakan antara sajian yang sering disajikan ketika majlis perkahwinan masyarakat di sini (Bukit Rokan) suatu masa dahulu.

Mungkin bagi anak-anak muda hari ini tidak mengetahui akan cerita ini lagi kerana embut nibung tidak lagi dijadikan sajian hari keraian sepertimananya satu ketika dahulu. Memandangkan proses untuk mendapatkan embut nibung bukanlah satu tugas yang ringan maka hari ini kita lebih senang dengan menyediakan juadah menggunakan bahan yang boleh dibeli dengan mudah. Namun begitu apa rasionalnya suatu masa dahulu masyarakat di sini menggunakan embut nibung sebagai sajian. Apa yang menarik disebalik penggunaanya? Mari kita saksikan...

Pokok nibung dipenuhi duri sepenuhnya

Proses kenduri kendara masyarakat dahulu merupakan proses yang akan dilakukan secara bermasyarakat. Ini bermakna ianya dilakukan secara bergotong-royong beramai-ramai oleh sebilangan besar penduduk dalam sesuatu kawasan. Majlis ini bukan sahaja di tanggung secara individu oleh tuan rumah (walaupun tuan rumah masih lagi menjadi individu yang bertanggungjawab di dalam majlis tersebut). Ini bermakna penyediaan bahan dan peralatan yang akan digunakan akan diusahakan secara bermasyarakat juga (inilah rahsia keutuhan masyarakat dahulu seperti kata pepatah - yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul).

Berbalik kepada pemilihan embut nibung sebagai salah satu bahan juadah adalah kerana kemapuan masyarakat secara bergotong-royong untuk mendapatkan bahan secara percuma sebagai hasil hutan. Sememangnya untuk mendapatkan embut nibung bukan semudah yang disangkakan kerana perlu melalui beberapa proses seperti membersih kawasan (memastikan pokok tidak menimpa pokok lain dan tersangkut). Kemudian proses menebang pokok dengan memastikan pokok tumbang ke arah yang diinginkan bagi memudahkan proses berikutnya. Proses mengeluarkan embut yang memerlukan kemahiran untuk menghadapi bahagian-bahagian nibung yang berduri.

Biasanya semasa 'hari berkampung' iaitu hari di mana mesyuarat mengenai sesuatu majlis itu diakan, keputusan mengenai tarikh-tarikh untuk mengadakan gotong-royong ini akan diputuskan beramai-ramai. Ini bagi memastikan semua orang dapat menghadirkan diri bagi membantu tuan rumah mengadakan majlis dengan lancar. Biasanya hari mengambil embut nibung akan diadakan pada hari yang sama dengan mengambil kayu api (yang menjadi bahan bakar) kerana kedua-dua bahan ini datang dari satu kawasan yang sama iaitu hutan.

Seingat saya dahulu sajian embut nibung sewaktu kenduri kendara ini masih popular sekitar tahun 80'an namun terus hilang menjelang 90'an sehingga sekarang. Embut nibung sememangnya enak sebagai hidangan keramaian. Antara sajian yang biasa disediakan dengan bahan ini adalah embut kari, gulai lemak, atau 'rebus air'. Rasanya yang manis namum mempunyai tekstur yang berbeza berbanding dengan makanan-makanan yang lain menjadikan sajian ini tiada pengganti. Jadi disamping rasa makanan ini yang cukup istimewa ianya juga menunjukkan betapa masyarakat di sesebuah kawasan tersebut mampu bekerjasama.

Memandangkan hari ini hutan-hutan di sekitar kawasan Bukit Rokan ini telah ditebang, harapan untuk menikmati hidangan istimewa ini semakin tipis. Walaupun pokok ini mudah tumbuh di kawasan lembah, namun hanya boleh ditemui di dalam hutan sahaja. Fizikalnya yang dipenuhi duri tidak mengizinkannya untuk mendiami kawasan yang biasanya didiami/ dilalui oleh manusia.

Hubungan pokok nibung dengan masyarakat juga bukanlah sekadar dijadikan juadah makanan. Antara lain batangnya turut digunakan untuk dijadikan titi, sudip besar, dinding serta lantai pondok (binaan-binaan kecil seperti reban ayam, stor barangan), dan bahan kraftangan. Manakala daun digunakan sebagai atap dan buah boleh di makan bagi menggantikan pinang.

Begitulah istimewanya pohon nibung kepada masyarakat kita dahulu. Walaupun pohonnya dipenuhi duri tetapi masih boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan dari pangkal sampai ke hujung. Adalah satu kerugian bagi generasi kini yang tidak mengenali pohon yang telah berjasa kepada masyarakat kita dahulu kala, yang membantu membangunkan masyarakat sehingga sampai ke tahap kita hari ini. Mungkin ianya sukar untuk ditemui lagi, namun perlukah kita melupakannya?


Pokok nibung secara dekat dipenuhi duri sehingga ke hujungnya.. :D

Free Download



Isnin, 23 Julai 2012

Suatu Masa Dahulu,Teringat Pucuk Paku

Pokok pucuk paku yang biasanya tumbuh di kawasan paya
Entah macam mana dah petang-petang ni saya boleh pulak teringatkan sayur pucuk paku. Bagi kami yang tinggal di kampung ni tentu pernah bertemu dengan pokok pucuk paku ni.. katalah anda tidak pernah masuk ke kebun sekali pun tentu pernah makan pucuk paku ni kan?.. O.K.. kalau tak pernah jugak takper lah!.. Orang California pun kenal pucuk paku ni..

Sebenarnya kenangan yang paling indah mengenai pucuk paku adalah sewaktu memungut pucuk paku. Biasanya pucuk paku memang banyak tumbuh di kawasan berpaya yang biasanya lembab dan gelap. Hmm, walaupun saya tak pernah bersua dengan apa-apa yang ditakuti ketika mengutip pucuk paku ni.. tetapi jauh di dalam hati terkadang ada juga perasaan risau. Maklumlah di kawasan semak dan berpaya ni kan. Paling tidak perasaan tu membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Semasa memungut pucuk paku pergerakkan akan menjadi terhad kerana rimbunan pokok pucuk paku ini agak rapat meninggalkan hanya sedikit lorong laluan. Tambahan kawasan yang ditumbuhi pucuk paku biasanya berair.. silap hari bulan kalau nak berkejaran di sini boleh tersembam ke dalam lubuk. Jadi walaupun kerja mengutip pucuk paku ni taklah mencabar sangat tetapi kalau tak betul gayanya macam-macam bahaya boleh mengundang.

Dulu sewaktu saya mula-mula tinggal di bandar juga, saya tidak pernah membeli pucuk paku yang di jual di kedai sebagai hidangan yang sudah siap dimasak. Maklumlah kalau pulang ke kampung nanti saya boleh berkejar ke kebun dan mendapatkannya dengan percuma - cuma kena keluarkan sedikit tenaga. Lagipun saya memang menganggap aktiviti-aktiviti seumpama ini sebagai riadah apabila pulang ke kampung. Namun apabila jarang pulang ke kampung saya semakin tak tahan dengan selera untuk menikmati keenakan pucuk paku ni.. Jadi mahu tidak mahu terpaksa juga saya membelinya sebagai lauk yang telah siap di masak. Takperlah.. kalau pulang ke kampung nanti boleh cari lagi kan!.. memujuk hati lah tu.

Pucuk paku yang sudah dipetik dan sedia untuk dijual.
Terdapat beberapa jenis pucuk paku yang terdapat di sekitar kampung (Bukit Rokan). Namun yang paling popular adalah pucuk paku masak yang biasa didapati di pasar-pasar. Terdapat sejenis lagi pucuk paku yang lebih enak, namun sukar didapati iaitu pucuk paku sagat (mungkin orang lain mengenalinya dengan nama yang berlainan). Kemudian terdapat sejenis lagi yang jarang-jarang dimasak kerana habitatnya yang berlainan dan mungkin kurang popular sebagai hidangan iaitu pucuk paku merah.


Pucuk paku merah tidak sepopular spesisnya yang lain

Pucuk paku boleh dikatakan popular di seluruh negara kita Malaysia, dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia mengenali sayur pucuk paku. Antara sajian yang popular disediakan menggunakan pucuk paku adalah kerabu pucuk paku, masak lemak pucuk paku, rendang pucuk paku, pucuk paku goreng belacan dan macam-macam lagi resepi moden yang kita berikan kepada sayur tradisional ini.

Mungkin pucuk paku ini bukan sekadar sedap pada rasanya sahaja. Apa yang membuatkan ianya sentiasa segar dalam iangatan adalah kenangan bagaimana sewaktu kecil dulu saya pernah meredah semak-samun untuk mendapatkannya. Hilai ketawa bersama kawan-kawan sewaktu kami bergurau di kawasan paya yang memecah kesunyian pada masa itu. Penghujungnya adalah senyuman kepuasan dengan sedikit usaha kecil yang kami lakukan kami membawa pulang sedikit sayuran yang dapat dijadikan santapan sekeluarga. Seronoknya di kampung!...

Kerabu pucuk paku merupakan sajian yang paling biasa disediakan menggunakan pucuk paku.

Free Download



Ke Mana Perginya Semua Burung-burung Ini?

Burung Bayan kelihatan seperti burung kakak tua.
Seronok rasanya dapat pulang ke kampung halaman ni. Maklumlah dah lama merantau, balik pun sekejap-sekejap. Tapi kali ni saya balik untuk masa yang agak lama jadi dapatlah saya membuat lebih pengamatan tentang susana sekeliling. Memanglah banyak perkara yang dah berubah, walaupun tak kampung ni tak berubah menjadi sebuah bandar ada beberapa perkara yang mungkin saya lebih suka dalam keadaan sebelumnya. Timbul dalam persoalan saya, ke mana hilangnya burung-burung yang dulunya menjadi buruan saya?

Haha, mungkin keadaan ini kurang mendapat perhatian bagi kaum wanita (pendapat saya sahaja).. bukan apa, bagi kami yang lelaki ni, dulu-dulu suka merayau ke dalam semak-samun semata-mata untuk mencari burung-burung (apa sahaja yang boleh dilastik). Saya bukanlah pakar dalam melastik seperti kawan-kawan yang lain. Bagi saya burung merupakan haiwan yang cantik. Saya suka memerhatikan pergerakan haiwan ini. Macam-macam yang saya perhatikan, rupa bentuk, warna, cara kehidupannya, tabiat, bunyi, dan lain-lain lagi. Pernah saya mengumpulkan gambar burung-burung ini untuk dimasukkan ke dalam koleksi lukisan saya. Macam tu lah antara minat saya terhadap burung.

Kalau anda nak tahu antara burung-burung yang ketara berkurangan dan ada yang dibimbangi telah pupus dari bumi Bukit Rokan ini adalah seperti yang dinyatakan di bawah:

i) Burung Bayan;

Burung bayan merupakan burung yang paling saya minati kerana ianya menyerupai burung kakak tua. Malah burung ini turut berkelakuan seperti burung yang popular itu. Biasanya burung ini suka memegang makanannya dengan kaki untuk dikunyah dengan paruhnya yang kuat. Sebahagian besar badannya berwarna hijau. Tapi bagi burung bayan yang tua, warnanya akan bertambah cerah dan lebih menarik.

Burung bayan biasanya bergerak dalam kumpulan. Ini bagi menjamin keselamatan kumpulan tersebut. Biasanya burung bayan akan singgah di kawasan ini apabila tiba musim buah rambutan. Namun terdapat juga buah-buahan hutan yang biasanya menjadi makanan burung ini.

ii) Burung Tiong Batu;

Tiong Batu bersaiz lebih besar dengan bulu yang berkilau.

Burung ini masih kelihatan sesekali terbang di kawasan ini. Tapi amat membimbangkan kerana tiada lagi tempat untuk burung ini membiak dan agak sukar baginya untuk mendapatkan makanan. Tiong batu kelihatan seolah-olah seperti burung tiong, namun sebenarnya ia amat jauh berbeza.

Tiong batu agak unik, paruhnya yang merah serta bulunya yang berkilat menjadikan ia lebih menarik berbanding tiong biasa. Saiznya juga adalah jauh lebih besar. Manakala cara ia terbang juga nampak berbeza daripada burung tiong. Suka bersarang di tempat yang tinggi dan mempunyai tabiat makanan yang cerewet menjadikan ianya sukar untuk dipelihara.

iii) Burung Kuning;

Dendang Selayang lebih mudah dilihat pada waktu senja.
Burung Dendang Selayang, atau biasanya dipanggil burung kuning (nama bagi kami semasa kecil dulu) juga didapati semakin berkurangan. Walaupun masih terdapat burung ini beterbangan sesekali, namun jumlahnya terlalu sedikit berbanding semasa saya meninggalkan kampung dulu.

Makanan utama burung ini adalah serangga yang biasanya beterbangan di waktu senja. Biasanya burung ini akan membuat bunyi yang bising sewaktu makan di waktu senja. Jadi pastilah kehilangan burung ini mudah untuk dikenalpasti. Suaranya agak lantang tetapi merdu (kalau dibandingkan dengan suara manusia, burung ini mungki bertaraf penyanyi).. Oleh kerana burung ini merupakan pemangsa utama bagi serangga yang terbang pada waktu senja (terutamanya anai-anai), maka adalah dibimbangi jumlah anai-anai akan semakin bertambah.. huhu

Mungkin itu sebahagian daripada kehilangan spesis burung yang utama. Malah banyak lagi burung-burung lain yang tidak dapat dikesan seperti burung sepah, burung kelicap jantung, burung berek-berek (tetapi burung ini hanya singgah mengikut musim sahaja), burung layang-layang, burung helang, ruak-ruak dan lain-lain spesis lagi.

Walaupun kita tidak bergantung dengan haiwan-haiwan ini semua, namun fungsi mereka dalam keseimbangan ekosistem pelu diambil kira. Mungkin fungsi mereka kecil tetapi boleh menyebabkan kehilangan yang besar sekiranya mereka terus hilang dari kawasan kita. Apa yang dapat dilihat punca utama kehilangan spesis burung-burung ini adalah kerana pokok buah-buahan yang menjadi sebahagian punca makanan mereka telah ditebang. Manakala penebangan hutan berhampiran juga mengurangkan lagi sumber makanan bagi mereka. Mungkinkah suatu hari nanti burung-burung ini akan kembali semula?


Free Download



Ahad, 8 Julai 2012

Hospital Besar Kuala Pilah

Hari ni tak tahu macam mana boleh pulak ke Hospital Besar Kuala Pilah pulak. Sebab dengan tak disangka-sangka rupa-rupanya anak buah saya menimang cahaya mata baru beliau di sini. Hmmmm, tahniah, tahniah...

Hospital Kuala Pilah ni boleh dikatakan antara hospital utama di Negeri Sembilan selepas Hospital Besar Seremban. Dilengkapi dengan kemudahan yang agak terkini Hospital Kuala Pilah menjadi satu kemudahan terpenting kerana lokasinya yang agak strategik (di tengah-tengah Negeri Sembilan).

Tapi setiap kali ke sini akan mengimbau semula kenangan semasa arwah ibubapa saya dirawat di sini. Apa yang memilukan arwah ayah menghembuskan nafas terakhir di hospital ini. Redha dengan pemergiannya namun kenangan tetap tidak melupakan.

Mungkin sebahagian daripada anda juga ada kenangan-kenangan berkaitan di sini. Samada pahit atau manis biarlah kenangan tinggal kenangan. Bagi kita yang masih meneruskan hidup perlu tabah dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Oh ya, bagi yang mempunyai kenangan di sini bolehlah dikongsi bersama di ruangan komen nanti.





Free Download



Sabtu, 7 Julai 2012

Saat-saat Memerlukan, Sediakanlah Minyak Angin

Memang tiada siapa menyangka adakalanya kita ditimpa sesuatu yang tidak diduga seperti sakit kepala, sengatan serangga dan sengal-sengal sendi akibat bekerja. Mungkin ada di antara kita masih ingat dan masih menggunakan ubatan tradisional ini; minyak angin Cap Kapak.

Tiba-tiba terlintas pulak di fikiran saya ni pasal minyak angin ni. Maklumlah sedari kecil minyak ni memang selalu digunakan bukan sahaja oleh ahli keluarga saya malah kadang-kadang ada yang menyimpan minyak ini dan sentiasa dibawa bersama.

Mungkin minyak Cap Kapak bukan minyak seribu guna, tapi dalam saat-saat penting ianya berguna selalu. Antara kes-kes yang popular untuk minyak Cap Kapak ni biasanya adalah sakit kepala. Semasa di zaman persekolahan dulu biasanya digunakan oleh murid-murid yang mengalami sakit perut (mungkin perut masuk angin akibat menunggu waktu persekolahan yang panjang). Bagi golongan para guru pula sebaliknya adalah akibat dari sakit kepala dalam melayan kerenah pelajar yang seribu satu macam.

Berlainan pula di rumah Minyak Cap Kapak digunakan untuk melegakan kesan gigitan serangga dan mengurangkan lenguh-lenguh sendi ibubapa yang teruk bekerja. Pendek kata boleh dikatakan setiap rumah akan menyimpan sebotol Minnyak Cap Kapak.

Mungkin hari ini masih ada di antara kita yang masih menggunakannya. Saya dah lama tak gunakan minyak ni. Namun ingatan mengenai Minyak Cap Kapak ni masih segar dalam ingatan. Kotak hijau dengan logo tangan yang memegang kapak yang dulu selalu melegakan sedikit sebanyak kesakitan yang saya alami.

Terima kasih Minyak Cap Kapak.




Free Download



Arkib Blog