Memaparkan catatan dengan label kebudayaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kebudayaan. Papar semua catatan

Ahad, 12 Mac 2017

Kunjungan Ke Muzium Subak, Tabanan, Bali

Pintu gerbang ke Muzium Subak.

Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kita akan terus melihat beberapa perkara lagi mengenai keunikan Bali secara lebih dekat iaitu mengenai cara kehidupan mereka bersawah. Ini merupakan keunikan Bali yang paling istimewa kerana sawah-sawah di Bali diairi dengan sumber air daripada 4 tasik (danu) utama yang terletak tinggi di atas gunung yang diagih-agihkan kepada para petani melalui sistem pengurusan air melalui ‘Subak’.

Oleh kerana fungsinya yang amat penting maka, sebuah muzium khas mengenai Subak siap dirasmikan pada Oktober 1981. Subak bukan sahaja berfungsi sebagai organisasi pengurusan sumber air bagi para petani, malah ia turut mencorakkan budaya hidup Bali yang menjadikan pulau istimewa ini berbeza daripada pulau-pulau disekitarnya. Penghasilan beras di Bali amat produktif sekiranya dikira berdasarkan penghasilan beras per hektar. Namun oleh kerana keluasan sawah yang dimiliki oleh para petani adalah kecil, maka pendatapan para petani masih lagi dikatakan rendah.

Apangan air seperti di Subak di perkarangan Muzium Subak.

Mewakili keadaan bagaimana tali air masuk ke pura-pura (temple) di sekitar Bali.

Penanaman padi di Bali disusun dengan dipengaruhi oleh cara hidup orang-orang Bali yang unik dimana pura (temple) memainkan peranan yang amat penting sebagai pusat aturan masa menanam, pengairan, atucara perjumpaan dan pelbagai perkara lagi. Ini menjadikan cara hidup para penduduk Bali yang menjalankan aktiviti tanaman padi tersusun dengan rapi melalui panduan yang telah disediakan dari turun-temurun.

Melalui kunjungan ke Muzium Subak juga paparan yang disediakan di sini banyak memberi pengajaran mengenai tatacara hidup penduduk Bali dan teknik-teknik penanaman padi yang dipengaruhi dengan kepercayaan mereka terhadap prisip ketuhanan. Namun dari kepercayaan ini jugalah yang menjadikan dapat diperbaiki dan seterusnya sistem pengairan yang amat berkesan dilakukan di Bali.

Patung Dewi Sri.

Patung Rare Angon.

Antara paparan penting adalah patung ‘Dewi Sri’ atau Dewi Padi yang menjadi semangat padi dikatakan mempengaruhi keberhasilan tanaman padi yang diusahakan oleh para petani. Selain itu patung ‘Rare Angon’ yang digambarkan sebagai anak kecil menaiki kerbau dengan serulingnya. Ia dikatakan sebagai jelmaan ‘Dewa Shiva’ yang mengajarkan cara menanam padi selain bermain muzik sebagai hiburan. Ia adalah dua perkara penting dalam kehidupan iaitu pekerjaan dan hiburan bagi menenangkan hati.

Selain daripada itu pameran yang disediakan di sini dapat dilihat bahawa teknik-teknik penanaman dan pengairan di Bali bukanlah disediakan dengan mudah. Bermula daripada pengurusan sumber air, peralatan sukatan air (mengikut keluasan tanah petani), sistem perparitan (tali air), penyusunan waktu tanaman (kalendar Bali), peralatan pertanian dan perbincangan sesama ahli merupakan faktor yang menjadikan penghasilan tanaman yang berjaya. Sistem ini mampu memastikan keseluruhan masyarakat dapat mengambil bahagian bagi menjadikan tanaman padi dapat dijalankan dengan baik.

Carta organisasi Subak mengikut kawasan.

Panduan pengurusan Subak ditulis pada kepingan buluh.

Lesung panjang menumbuk padi.

Bagaimana lesung panjang digunakan.

Jika dilihat kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh para petani bermula daripada pembukaan tanah seterusnya menyediakan tanah untuk dijadikan petak-petak sawah adalah merupakan antara kerja asas yang boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Namun bagi pengagihan sumber air, ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi memastikan semua petani mendapat pembahagian yang adil. Maka di sinilah alat pengukuran dan pembahagian digunakan. Malah terowong-terowong air juga turut digali di beberapa bahagian bagi memastikan sumber air dapat mengairi kawasan-kawasan sawah yang dikerjakan.

Pembahagian laluan air ke petak sawah suatu masa dahulu diperbuat daripada kayu dengan ukuran jari. Sebagai contoh kiraan 4 jari luas laluan air adalah bagi sawah dengan keluasan 50 ‘ara’ atau (50m2 X 50m2), manakala bagi keluasan 2 jari pula adalah bagi sawah dengan keluasan 24 ‘ara’ atau (25m2 X 25m2). Hari ini alatan ini telah diganti dengan binaan daripada simen. Banyak peralatan yang digunakan untuk melaksanan aturan ini - yang menggambarkan kepintaran rekaan dan penyusunan yang teliti.

Pembahagi air ke petak sawah daripada kayu.

Kerja-kerja menyukat air ke sawah para petani.

Pembinaan terowong air.

Antara jentera moden yang digunakan di sawah.

Walaupun hari ini peralatan-peralatan moden turut digunakan di sawah-sawah di Bali, tenaga manusia masih lagi menjadi sumber tenaga utama. Mungkin banyak lagi perkara yang boleh diperbaiki dalam meningkatkan hasil tanaman para penduduk Bali, namun ia perlu dilakukan dengan teliti tanpa merosakkan aturan yang telah disusun dengan baik. Apa yang penting, para petani perlu melatakkan kelestarian (keseimbangan) antara hasil tanaman dan kesejahteraan alam seperti yang telah diamalkan oleh para penduduk Bali sejak sekian lama.


Banyak lagi perkara yang dapat dipelajari daripada kehidupan orang Bali yang unik. Antara perkara yang menarik untuk dilihat adalah bagaimana mereka menyediakan persembahan (offering) melalui ‘canang’ setiap hari dan berdoa untuk kesejahteraan. Ia melambangkan keikhlasan serta kemurahan pembuat ‘canang’ tersebut selain harapan daripada kuasa yang tidak dapat dilihat yang menguasai alam. Mungkin kita perlu mencontohi perkara ini mengikut kesesuaian agama masing-masing.








Free Download




Rabu, 8 Mac 2017

Apa Ada Dengan Bali?

Bali merupakan destinasi pelancongan popular antarabangsa.

Bali, Indonesia antara destinasi pelancongan dunia yang amat popular dikunjungi jutaan manusia setiap tahun kerana keunikannya. Namun begitu timbul perasaan tanda tanya; Apakah keunikan tersebut? Satu cara mengetahuinya adalah berkunjung sendiri ke Bali.

Bali seperti juga pulau-pulau lain mempunyai tarikan dari pantai-pantai yang cantik sehinggalah kepada bentuk muka buminya yang menyediakan pemandangan-pemandangan yang indah. Selain itu, ciri-ciri kebudayaan penduduk tempatan Bali yang unik sendiri menjadikan Pulau Bali berbeza daripada daerah-daerah lainya di Indonesia. Keunikan budaya penduduk Bali ini merupakan cara hidup setempat yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

Sekiranya anda ke bahagian bandar yang membangun seperti Kuta, Denpasar dan Sanur apa yang kelihatan adalah kesibukan bandar pelancongan yang dipenuhi para pengunjung. Deretan kedai-kedai dan hotel memenuhi setiap ruang dengan keadaan jalan yang sempit yang amat sesak dengan motokar dan motorsikal. Keadaan di sini begitu sibuk dengan jumlah pelancong yang ramai. Harga barangan juga agak mahal (kerana ianya adalah mengikut standard harga pelancong).

Pura (temple) memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Bali.

Panduan perundangan subak yang dicatatkan di atas kepingan 'bamboo'.

Kalendar Bali menerangkan waktu sesuai untuk tanaman padi.

Pak Gusti yang menerangkan mengenai 'Subak'.

Walaupun di kawasan bandar juga dipenuhi dengan penduduk tempatan, namun ia lebih menjurus kepada menyediakan keperluan bagi para pelancong yang membanjiri Bali setiap hari. Restoran menyediakan makanan juga adalah makanan mengikut citarasa pelancong sendiri seperti makanan barat, Thai, India, Cina, Itali dan sebagainya. Namun ini juga merupakan faktor menjadikan Bali sebagai destinasi yang disenangi oleh para pengunjung. Begitu juga dengan kemudahan lainnya seperti kemudahan hiburan yang mudah didapati terutamanya di kawasan-kawasan berhampiran pantai kunjungan utama.

Berbeza dengan daerah di pendalamannya, Bali adalah kawasan yang terbina atas satu organisasi yang tersusun dalam mengolah sumber alamnya. Sejak ribuan tahun Bali berjaya menyusun sumber alam ini bagi menyediakan keperluan para petani yang mengerjakan sawah-sawah di Bali. Organisasi ini dikenali sebagai “Subak”. Tanpa tata aturan seperti ini, tentulah air yang mengalir dari tasik (danau-danau) utama di Bali tidak akan berjaya mengairi kesemua sawah yang memenuhi kawasan-kawasan di Bali.

Tata aturan ini di jalankan dengan penuh dedikasi oleh semua masyarakat yang mengerjakan sawah di Bali. Malah setiap kawasan kecil (kampung) mempunyai Pura (temple) yang menjalankan atucara perkumpulan yang menyusun atur setiap peringkat tanaman bagi seluruh petani di dalam kawasan yang sama. Kesatuan ini memastikan setiap petani mendapat air yang sama banyak di sepanjang musim menanam. Kaedah ini juga, dapat mengelakkan penyakit padi merebak (dan sekian lamanya tanaman padi di Bali tidak menggunakan racun perosak). Walaupun hari ini tanaman padi di Bali telahpun dicampuri dengan benih-benih baka padi baru.

Danu Bratan, merupakan salah satu tasik utama di Bali. 

Air merupakan sumber utama yang membolehkan sawah dikerjakan di Bali.

Senibina unik Bali menggunakan sumber asli tempatan sendiri.

Penduduk Bali sedia menyediakan permintaan mengikut selera pengunjung.

Pura (temple) merupakan kawasan yang amat penting bagi penduduk Bali. Walaupun ia boleh dikunjungi oleh para pelawat, kawasan-kawasan penting adalah tidak dibenarkan masuk. Selain itu juga para pelawat diminta memakai pakaian yang sesuai ketika mengunjungi pura ini. Pura yang dibina sejak ratusan tahun, dijaga dengan baik dengan dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan seperti sebuah taman.

Penduduk Bali mempunyai kepercayaan yang amat kuat dan berdoa serta menyediakan “canang” (persembahan) setiap hari. Anda boleh melihat persembahan ini hampir di mana sahaja di sekitar Bali. Keadaan ini sedikit sebanyak menyatakan hubungan penduduk Bali dengan kepercayaan mereka selain kemurahan mereka dalam menyediakan persembahan tersebut.

Keadaan pesat dapat dilihat sehingga di kawasan Ubud. Apa yang berbeza, Ubud tidak dibiarkan dipenuhi dengan premis hiburan seperti disko dan bar. Namun ia masih memenuhi keperluan para pengunjung yang lainnya seperti restoran-restoran dengan hidangan antarabangsa. Amat mengejutkan penduduk di Bali sedia mempelajari penyediaan keperluan para tamu dari pelbagai lapisan masyarakat ini dengan baik sekali, dalam masa yang sama anda masih dapat melihat ciri-ciri keistimewaan Bali bersamanya.


Walaupun kebudayaan Bali masih utuh, kepesatan industri pelancongan tetap menjadi ancaman kepada keaslian kebudayaan di Bali. Pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup yang semakin meningkat menjadi faktor utama persaingan taraf hidup, terutamanya bagi mereka yang mendiami kawasan-kawasan bandar utama. Semoga Bali tetap utuh dan generasi baharunya dapat mengekalkan keunikan cara hidup mereka tanpa dicemari oleh industri pelancongan yang membangun di sana – kerana itulah yang menjadikan Bali yang unik.



Free Download



Isnin, 21 November 2016

Muzium Etnologi Dunia Melayu, Kuala Lumpur

Bahagian hadapan Muzium Etnologi Dunia Melayu.

Satu lagi muzium yang agak menarik bagi para peminat sejarah kebudayaan dan tradisi dunia Melayu. Ini kerana muzium ini bukan sahaja dikhususkan untuk orang-orang Melayu di Malaysia sahaja malah turut melibatkan semua masyarakat rumpun Melayu yang merangkumi kawasan yang lebih luas.

Terletak berhampiran bangunan Muzium Negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu ini adalah lebih kecil dan di bahagian hadapan binaannya diperbuat daripada kayu yang menyerupai binaan rumah-rumah Melayu lama. Apa yang menarik di sini, muzium ini turut menyertakan bahan-bahan pameran dari serata kawasan rumpun Melayu termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Afrika Selatan, Madagaskar dan juga daripada rumpun Melayu Polenesia. Ini akan membuka lebih pengetahuan anda mengenai dunia Melayu secara keseluruhannya.

Antara koleksi pameran yang diperagakan di muzium ini termasuklah barangan tekstil, senjata, ukiran, alat logam dan teknologi, perhiasan diri, alat muzik dan sebagainya. Tidak lupa juga aktiviti riadah lain orang Melayu seperti wau, wayang kulit (yang merangkumi beberapa buah negara Malaysia, Indonesia dan Thailand), gasing dan lain-lain lagi. Melalui pendedahan ini maka agak mudah untuk kita memahami mengenai kaitan antara kita yang sebenarnya berada di dalam satu rumpun yang besar.

Banyak lagi bahan-bahan pameran di sini yang akan menimbulkan banyak pertanyaan mengenai Dunia Melayu sebenarnya. Mungkin sebahagiannya akan terjawab dan yang selainnya anda perlulah mengusahakan jawapannya. Ia bagaikan menyatukan cebisan-cebisan teka-teki yang agak menarik untuk diperhatikan. Namun setelah anda mengetahuinya, maka ketahuilah oleh kita bahawa kita semua berasal dari rumpun yang sama.

Keris dari senegap dunia Melayu.

Peralatan dapur yang digunakan oleh orang-orang Melayu.

Teknologi pengangkutan air dan perkapalan.

Seni ukiran kayu.

Harga Tiket Muzium Etnologi Dunia Melayu

Jenis Pelawat

Warganegara: RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara): Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara): Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara): RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM): Percuma
Bukan Warganegara: RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara): RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara): Percuma

Waktu Buka

Dibuka setiap hari dari pukul 9.00 pagi - 6.00 petang.
*Tutup pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Pengangkutan

Dengan Bas atau Teksi Dengan Komuter/ Putra LRT Turun di stesen KL Sentral, berjalan sejauh 0.5 km ke Muzium Negara. Termasuk juga MRT apabila ia mula beroperasi nanti


Note: kredit gambar dari hafidzahmad.com



Free Download





Ahad, 20 November 2016

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Kuala Lumpur

Pintu masuk utama ke Muzium Seni Kraf Orang Asli.

Muzium Seni Kraf Orang Asli (Orang Asli Craft Museum) terletak di Jalan Damansara iaitu bersebelahan dengan bangunan Muzium Negara, Kuala Lumpur. Ia berbeza dengan Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak, Selangor. Sesuai dengan namanya, ia bertujuan untuk memperkenalkan seni kraft orang asli kepada orang ramai selain perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kebudayaan masyarakat ini.

Selain daripada barangan kraft tersebut ia juga turut memaparkan kaitan-kaitan barangan tersebut bagi kehidupan orang asli yang menyentuh kisah-kisah mitos dan lagenda, kebudayaan dan kepercayaan mereka. Bahan-bahan pameran ini ada diantaranya yang dipamerkan secara tetap dan ada juga yang dipamerkan secara bermusim.

Terdapat galeri yang telah diperbesarkan dibahagi kepada lapan segmen yang menggambarkan kehidupan orang asli yang turut merangkumi latar belakang suku kaum orang asli, taburan geografi dan demografi, ukiran patung, ukiran topeng, kediaman tradisi, peralatan memburu dan menangkap ikan, kematian, alat muzik, aksesori pakaian dan anyaman. Segala bahan ini disampaikan menggunakan pelbagai kaedah termasuklah penggunaan multimedia bagi memudahkan lagi proses pembelajaran mengenai kehidupan masyarakat orang asli ini.


Koleksi topeng-topeng yang dipamerkan.

Ukiran-ukiran kayu masyarakat orang asli.

Peralatan menangkap ikan.

Harga Tiket Muzium Kraf Orang Asli

Jenis Pelawat
Kadar
Warganegara
RM 2.00
Warga Tua dan Orang Kelainan Upaya (OKU)
RM 1.00
Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah berpakaian Seragam (warganegara)
Percuma
Pelajar Sekolah Menengah tidak berpakaian Seragam (warganegara)
RM 2.00
Ahli International Council of Museums (ICOM)
Percuma
Bukan Warganegara
RM 5.00
Kanak-kanak berumur (6 tahun hingga 12 tahun) (bukan warganegara)
RM 2.00
Kanak-kanak berumur kurang daripada 6 tahun (bukan warganegara)
Percuma

Waktu Buka
9.00 pagi - 6.00 petang (setiap hari)
Tutup pada hari raya pertama Aidilfitri & Aidiladha

Pengangkutan

Pengunjung boleh menaiki teksi atau bas KL HOP-ON  HOP-OFF, bas percuma (Go KL) atau pengangkutan alternatif lain yang berpusat di Stesen KL Sentral, iaitu komuter, LRT, Monorel atau berjalan selama 20 minit. Anda juga bakal berpeluang menggunakan perkhidmatan MRT apabila ianya dibuka nanti.

Pegawai untuk dihubungi

Asmawi Bin Mohamed Yunos - Ketua Muzium MSKOA (asmawi@jmm.gov.my)

Address:

Muzium Seni Kraf Orang Asli, Jabatan Muzium Malaysia, Jalan Damansara, 50566 Kuala Lumpur

Tel:  603-22671000 samb.154 / 171 / 153
Fax: 603-2282 7294 / 2287 1275









Free Download





Arkib Blog