Memaparkan catatan dengan label katak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label katak. Papar semua catatan

Sabtu, 16 Januari 2016

Misteri Kehilangan Katak

Kumpulan katak-katak kecil yang cantik tetapi beracun.

Misteri kehilangan katak mungkin tidak menarik perhatian ramai, namun sekiranya anda mengetahui kepentingan dan hubungkait antara haiwan di dalam ekosistem, ia mungkin sedikit sebanyak merisaukan. Jadi katak juga mempunyai fungisnya tersendiri, selain mengawal populasi serangga, ia sendiri menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti ular, burung, kucing, biawak dan juga manusia!

Misteri kehilangan katak dilaporkan sejak beberapa tahun yang lalu. Di mana populasi sebahagian katak semakin berkurangan sehingga ke tahap mencapai kepupusan. Kehilangan katak ini lebih ketara bagi spesis-spesis yang jarang ditemui seperti di hutan-hutan tanah tinggi di pergunungan Andes, dan Amazaon di Amerika Selatan. Punca sebenar kehilangan katak ini cuba dikesan bagi mengelakkan ia dari terus pupus. Aktiviti manusia dikatakan menjadi punca utama daripada kepupusan haiwan amfibia ini, namun punca sebenar yang lebih menakutkan adalah – serangan penyakit.


Spesis blue dart frog ini memang beracun - digunakan pada jarum sumpit. 

Satu lagi spesis katak 'Red-backed poison frog'.

Serangan penyakit yang disebabakan oleh jangkitan dari Batrachochytrium dendrobatidis, atau ‘chytrid fungus’ juga dikenali dengan nama singkatan sebagai Bd menyebabkan penyakit ‘chytridiomycosis’ pada haiwan amfibia. Ia mula dikesan semenjak tahun 1998 dan dikesan hampir di seluruh dunia. Spesis terbaru yang dikesan adalah, B. Salamandrivorans yang menyebabkan ‘chytridiomycosis’ dan kematian pada salamander.

Fungus ini menjadikan kulit haiwan amfibia sebagai tempat untuk ia hidup dan membiak melalui dua peringkat iaitu pegun (sessile), peringkat penghasilan zoosporangium dan juga bergerak (motile), apabila ia dibebaskan daripada zoosporangium. Dalam proses pembiakan inilah fungus ini menjadikan kulit amfibia  sebagai sumber nutrient baginya dengan membebaskan enzimes yang menghadamkan kulit haiwan itu. Proses ini boleh menyebabkan cyst di bawah kulit katak dan lama-kelamaan mengakibatkan kematian pada katak.


Spesis katak kaca yang boleh dilihat tembus.

Antara katak-katak unik yang mendiami hutan.

Penyakit dan jangkitan merupakan antara penyumbang utama kepada kepupusan haiwan selain daripada aktiviti manusia. Ini kerana kita secara tidak langsung menyebarkan jangkitan ini  tanpa disedari seperti memindahkan sesuatu spesis ke tempat baru dan sebagainya. Sebelum ini kita juga digemparkan dengan misteri kehilangan lebah yang disebabkan serangan oleh sejenis hama Varroa destructor yang juga menyebabkan kematian populasi lebah yang besar. Malah kejadian yang sama boleh menimpa spesis yang lebih besar seperti antelope, saiga dan kudu (disebabkan oleh pelbagai faktor semulajadi).


Kefahaman mengenai kejadian ini memudahkan untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang. Kehilangan sesuatu spesis secara mendadak boleh mengakibatkan kesan yang serius – termasuk kita sendiri kehilangan bahan makanan. Alam sentiasa mencari jalan untuk mengimbangkannya semula, namun manusia hanyalah sebahagian dari spesis yang hidup di dalamnya. Fikir-fikirkan.



Free Download



Khamis, 6 Ogos 2015

Keunikan Katak African Bullfrog

African bullfrog mempunyai saiz yang besar.
African bullfrog (Pyxicephalus adspersus) juga dikenali sebagai ‘pixie frog’, merupakan antara katak yang boleh mencapai saiz yang besar. Oleh kerana ia hidup di persekitaran yang amat mencabar katak ini mempunyai pelbagai keistimewaan untuk membolehkan ia menyesuaikan diri.

Katak African bullfrog boleh didapati di kawasan sekitar  Angola, Botswana, Kenya, Malawi, Mozambique, Namibia, South Africa, Swaziland, Tanzania, Zambia, Zimbabwe, dan juga Democratic Republic of the Congo. Walaupun begitu katak ini menjadi kegemaran pemelihara haiwan – jadi ia telah dibawa keluar daripada kawasan asalnya. Ia boleh mencapai saiz sehingga 23 cm (9 inci) dengan berat sehingga 1.4 kg (3.1 lb), namun ada juga yang mencapai saiz sehingga 2 kg (4.4 lb).

Antara keunikan African bullfrog adalah kemampuannya untuk bertahan disepanjang musim kemarau. Untuk mengatasi cuaca panas dan kering, katak ini akan menanamkan diri mereka di dalam tanah dan tinggal di dalamnya sehingga musim hujan berikutnya tiba. Adakalanya memakan masa lebih dari setahun. Semasa dalam keadaan ini katak berada dalam keadaan tidur dan tidak akan makan ataupun minum.


Tikus merupakan antara makanan biasa bagi katak ini.

Hujan yang turun berikutnya akan mengejutkan katak-katak ini keluar daripada tanah dan tibanya musim untuk membiak. Katak-katak dewasa akan bertelur di dalam lopak-lopak air yang cetek berhampiran dengan kolam yang lebih besar. Katak jantan dewasa biasanya akan mengawal anak-anak mereka.

Katak African bullfrog mempunyai gigi yang tajam. Ia makan hampir apa sahaja hidupan yang lebih kecil daripadanya termasuklah serangga, mamalia kecil, reptilia, burung-burung kecil dan juga amphibia yang lain. Ia juga merupakan spesis katak yang akan bertindak aggresif apabila diganggu. Katak African bullfrog dari Pretoria Zoo di South Africa pernah memakan sehingga 17 ekor anak ular cobra (Hemachatus haemachatus).


Katak-katak semasa musim membiak.

Walaupun mempunyai kelebihan-kelebihan tersebut katak ini tetap mempunyai pemangsanya sendiri. Semasa bersaiz kecil ia merupakan mangsa yang  mudah bagi kura-kura dan biawak. Burung-burung yang bersaiz besar pula mungkin akan memakan katak dewasa, begitu juga dengan buaya dan ular. Selain haiwan, manusia juga mungkin akan menjadikan haiwan ini sebagai makanan.


Walaupun spesis katak ini tidak terancam dan boleh dipelihara di kebanyakan negara di dunia. Ia boleh mengalami kepupusan dengan kehilangan habitatnya akibat pembangunan. Katak-katak African bullfrog walaupun mudah dipelihara namun adalah lebih sesuai di habitat asalnya.








Free Download



Rabu, 22 Julai 2015

Katak Pelik “Gastric-brooding Frog”

Anak katak yang muncul dari dalam perut ibunya.

Katak ‘gastric-brooding’ juga dikenali sebagai ‘platypus frog’ merupakan spesis katak yang baru sahaja ditemui dan telahpun dikatakan pupus pada pertengahan 1980-an. Mendiami kawasan kecil dan hanya terdapat di daerah Queensland di bahagian Timur Australia.

Berbeza dengan katak-katak lain, keunikan katak ini adalah ia membesarkan anaknya di dalam perut berbanding menetaskan telur di dalam air seperti katak-katak biasa. Selepas bertelur, ibu katak akan menelan telurnya dan menyimpan telur tersebut sehingga anaknya mencapai tahap umur yang cukup untuk keluar mencari makanan.

Katak ini tidak akan makan selama tempoh anaknya membesar di dalam perutnya dalam jangka masa antara 6 ke 7 minggu. Semasa tempoh itu juga, katak ini mampu menahan perutnya daripada mengeluarkan asid yang digunakan untuk proses penghadaman. Telur-telur katak akan menetas dan melengkapkan kitaran metamorphosis di dalam perut ibunya. Anak-anak katak yang cukup matang akan keluar daripada mulut ibunya.


'Rheobantrachus silus' yang pupus secara tiba-tiba.

Terdapat dua spesis yang diketahui iaitu Rheobatrachus silus yang ditemui pada tahun 1972 dan Rheobatrachus vitellinus yang ditemui pada tahun 1984. Kedua-dua spesis tersebut dikatakan lenyap pada tahun 1980-an iaitu setahun selepas R. vitellinus ditemui.

Kedua-dua katak ini mendiami kawasan pada ketinggian 350 meter sehingga 1,000 meter pada keluasan yang sangat kecil iaitu sekitar 1,400 km2 bagi R. silus dan 500km2 bagi R. vitellinus. Ia akan berada di kawasan yang berhampiran dengan sumber air dan jarang sekali berada jauh darinya.

Ia mempunyai saiz yang agak kecil iaitu bagi katak jantan adalah 33 millimeters (1.3 in) ke 41 millimeters (1.6 in) manakala bagi katak betina pula adalah 44 millimeters (1.7 in) sehingga 54 millimeters (2.1 in) panjang. Bagi spesis R. vitellinus pula saiznya adalah lebih besar berbanding R. silus.

ARKive species - Southern gastric-brooding frog (Rheobatrachus silus)
Imej dari Arkive.org


Tiada penjelasan yang pasti mengenai kehilangan spesis katak ini yang dikatakan hilang secara tiba-tiba. Walaupun berlaku pencerebohan pada habitat mereka pada tahun 1972 dan 1979, katak-katak ini masih terus mendiami habitat tersebut. Ianya dikatakan terus hilang pada tahun 1980-an secara mendadak. Punca kepupusan ini berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan penyakit yang menyerang katak-katak tersebut.

Sehubungan itu satu usaha untuk menghasilkan semula katak ini menggunakan kaedah ‘somatic-cell nuclear transfer’ (SCNT), iaitu salah satu kaedah ‘cloning’ cuba dijalankan oleh saintis dari University of Newcastle Australia yang diketuai oleh Prof Michael Mahony bersama Prof Mike Archer dari University of New South Wales.


Ia bukanlah satu usaha yang mudah, namun ia mungkin dapat memberikan lebih banyak peluang untuk para saintis mempelajari lebih banyak tentang spesis katak istimewa ini lebih-lebih lagi berkenaan kemampuan mereka menahan rembesan asid perut semasa menetaskan telur-telurnya di dalam perut. Ia mungkin berguna pada manusia yang menghidap masalah gastrik.


Free Download



Ahad, 27 April 2014

Kumpulan Katak Cantik Tapi Beracun

Golden Poison Frog
Golden Poison frog yang sangat beracun.

Katak merupakan haiwan amfibia yang unik kerana sebahagian hidupnya tinggal di dalam air dan sebahagian lagi di daratan. Bagi yang pernah melihat haiwan ini secara dekat mungkin tidak menyangka di bahagian dunia yang lain terutamanya Amerika Selatan terdapat kumpulan katak-katak yang sangat berbisa dan boleh mengakibatkan maut.

‘Poison dart frog’ itulah gelaran yang diberikan kepada kumpulan katak-katak ini kerana ia digunakan pada jarum sumpitan dan panah puak-puak asli di Amerika Selatan yang digunakan untuk tujuan berburu. Terdapat pelbagai jenis katak berbisa yang menghuni di kawasan hutan Amazon yang luas kebanyakannya sangat cantik kerana ia berwarna-warni dan terang. Mungkin satu perkara yang perlu diketahui tentang alam ialah – warna terang seperti merah dan jingga menunjukkan tanda amaran atau beracun.

Blue poison dart frog
Cantik tetapi beracun.
Antara variasi warna kumpulan 'Poison dart frog'.

Terdapat lebih daripada 175 species katak-katak yang mendapat gelaran ini. Namun begitu hanya 4 daripadanya yang diketahui digunakan sebagai racun pada jarum sumpitan dan anak panah. Ini bukan bermakna yang lainnya tidak beracun, tetapi keempat-empat spesis tersebut merupakan antara yang mempunyai racun yang kuat (atau yang mudah digunakan untuk tujuan tersebut).

Tidak seperti ular atau kala jengking yang menggunakan bisanya untuk tujuan memburu mangsa, katak-katak ini menggunakan racunnya hanyalah untuk tujuan pertahanan/perlindungan daripada gangguan sahaja. Namun begitu sebahagian spesis katak-katak ini mempunyai racun yang amat kuat sehinggakan ajing atau ayam boleh mati hanya bersetuhan dengan tuala kertas yang dilalui oleh katak ini (Golden Poison frog).

Strawberry dart frog
Strawberry dart frog, kecil namun tetap beracun.
Warna merah terang adalah amaran bahawa ianya beracun.

Spesis katak beracun - Ronitomeya amazonica.

Antara nama yang diberikan adalah 'Bumble bee dart frog'.

Apa yang istimewa mengenai racun katak-katak ini adalah ia berpunca daripada sumber makanannya. Secara tidak langsung tanpa sumber makanan tersebut katak ini tidak mempunyai racun tersebut pada tubuhnya. Tapi, bagaimana kita akan mengetahui katak ini beracun ataupun tidak? Adalah lebih baik untuk tidak mengganggunya.

Saintis cuba menggunakan bahan kimia yang terdapat pada kulit katak-katak ini untuk tujuan perubatan. Antara kegunaan yang digunakan adalah sebagai penahan sakit, malah ianya adalah 200 kali lebih kuat berbanding ‘morphine’ yang dipanggil ‘epibatidine’. Bagaimanapun kajian lanjut perlu dijalankan bagi memastikan ubat tersebut selamat digunakan ke atas manusia.


Menarik bukan kisah mengenai katak-katak berbisa ini. Namun begitu tanpa mengenalinya anda mungkin menjadi mangsa racunnya yang boleh membawa maut. Walaubagaimanapun  ia tetap berguna kepada manusia dengan pelbagai cara. Jadi sama-samalah kita mempelajari dan memanfaatkan sumber alam yang terdapat di sekeliling kita. Terima kasih.


Free Download









Ahad, 29 Julai 2012

Ingin Tahu; Makanan Eksotik Masyarakat Filipina


Balut makanan yang popular di Filipina
Hai apa khabar ya, mungkin anda rasa ruangan makanan-makanan eksotik saya ini akan menjadi lebih reda dengan artikel-artikel baru-baru. Hmm, sebaliknya saya bercadang membawakan anda keunikan makanan-makanan eksotik masyarakat dunia sebenar yang kita perlu ketahui. Ya, mungkin dari situ kita boleh belajar yang kita ini dijadikan berbeza rupa, pendapat, kecenderungan, minat, kepandaian dan sebagainya. Jadi seharusnya kita lebih menghargai tentang keunikan masing-masing kerana seperti yang telah saya katakan "Anda mungkin pelik dengan orang lain. dan orang lain juga pelik dengan anda". Mari kita ikuti artikel seterusnya.


Telur Itik

Ya kali ini kita akan melihat makanan yang dikenali sebagai 'balut' atau telur. Apa keistimewaan telur ini adalah ianya perlu melalui beberapa proses sebelum boleh dimasak dan dinikmati. Telur biasanya adalah dari jenis telur itik namun boleh juga dari telur ayam. Apa yang berbeza telur tersebut sudah pun hampir mengeram sebelum ianya dijadikan hidangan. Proses pemilihan telur perlu dilakukan dengan teliti untuk mendapatkan balut yang memenuhi citarasa. Ini kerana ianya menentukan samada embrio yang terbetuk di dalam telur masih kecil atau telah membentuk keseluruhan struktur anak itik.

Balut dikatakan mengandungi khasiat yang tinggi, selain mampu menambah kekuatan seks. Sering dihidangkan dengan arak, namum balut juga turut disediakan dengan pelbagai variasi resepi-resepi yang digubah oleh pakar-pakar pembuat balut.

Tikus Ladang

Tikus ladang begini makanan biasa
Tikus ladang merupakan tikus yang hidup liar di kawasan perladangan. Perbezaannya adalah tikus-tikus ini tidak mendiami longkang-longkang dan pembentungan. Terdapat pelbagai resepi penyediaan bagi tikus ladang ini antaranya turut dimasak dengan santan kelapa atau lebih dikenali sebagai "ginataang daga" atau dengan kunyit sebagai "sinampalukang daga". Lebih mudah lagi, tikus ini juga boleh digaul tepung dan digoreng.

Katak Ladang
Resepi katak boleh dipelbagaikan

Seperti juga tikus ladang tadi penyediaan untuk katak ladang ini juga hampir sama. Ini kerana menurut komen rasa kedua-dua makanan istimewa ini hampir sama dengan rasa ayam (betul ker ni?).. Katak juga boleh disediakan dengan teknik memanggang dan resepi ini dipanggil sebagai "rellenong palaka" - "palaka" bermaksud katak dalam bahasa Filipina. Seperti biasa katak ini juga sesuai disediakan sebagai 'adobo'.

Cengkerik

Cengkerik juga hidangan istimewa

Berbanding dengan makanan yang lain, cengkerik lebih popular di kalangan petani di Filipina. Bagi mereka cengkerik adalah jauh lebih sedap berbanding dengan daging ayam. Cengkerik di tangkap dengan menuang air di kawasan yang dirasakan didiami oleh banyak cengkerik. Kemudian mereka akan menari di atas kawasan tersebut. Ini akan membuatkan cengkerik keluar dan membolehkan ianya ditangkap. Huhu, hebat sungguh cara mereka menangkap cengkerik kan! Dari segi masakan pun terdapat pelbagai variasi untuk hidangan cengkerik.

Belalang

Hidangan belalang

Mungkin anda pernah mendengar tentang sajian belalang. Ya, di negara kita juga pernah saya dengar mengenai makanan daripada belalang terutama masyarakat dahulu. Oleh kerana belalang merupakan makluk perosak yang mengganggu tanaman jadi sebaliknya, para petani menjadikan ianya sebagai hidangan. Hidangan belalang ini popular di bahagian Utara Filipina. Belalang dibuang sayap serta kakinya sebelum dimasak. Rasa belalang ini (bagi pengemar belalang) adalah seperti udang!..

Kelawar

Kelawar sajian enak

Kelawar juga dikatakan mempunyai rasa yang seakan ayam!.. Kelawar dimasak dengan aneka resepi dan rasanya amat enak. Mungkin disebabkan kelawar ini mempuyai daging yang lebih, jadi kelawar lebih mudah dipelbagaikan di dalam masakan. Malah bukan sahaja di Filipina, kelawar ini juga turut dijadikan hidangan oleh masyarakat di serata Asia.

Kumbang dan Larva Kumbang (anak kumbang)

Kumbang digoreng tanpa minyak
Kumbang dan larva kumbang juga merupakan antara makanan yang popular bagi Masyarakat Filipina. Ianya boleh dipanggang, diperap atau di digoreng dengan garam beserta perasa. Antara kumbang yang terkenal dipanggil "salangubang" dan biasanya dipanggang (goreng tanpa minyak) akan menghasilkan bau yang kurang sedap, namun tetap rangup ketika dimakan. Biasanya makanan ini akan dihidangkan bersama-sama minuman keras.


Ular

Ular ini sedia untuk dimasak dengan aneka masakan terutama 'adobo'.
Ular juga termasuk dalam ketegori makanan kegemaran masyarakat di Filipina. Oh, sudah tentu rasanya seperti daging ayam juga - menurut mereka. Seperti biasa hidangan yang popular adalah disediakan dengan kaedah 'adobo', iaitu proses memerap. Jadi ular yang dijadikan hidangan ini termasuklah ular yang berbisa dan juga ular sawa.


Jadi itulah antara makanan eksotik Masyarakat Filipina yang dapat saya kongsi buat kali ini. Mungkin ada di antara makanan tersebut juga menjadi hidangan sebahagian masyakat kita di Malaysia ini ya. Seperti pepatah Orang Melayu "alah bisa tegal biasa", begitulah kita manusia sesuatu yang menjadi kelaziman sudah tentu tidak menjadi keganjilan lagi. Apa nak diherankan, sekiranya sesuatu itu selamat dijadikan hidangan sudah tentu ada penggemarnya melainkan dibatasi oleh sesuatu kepercayaan, adat atau pantang larang sesetengah kaum. Apa yang penting bagi kita memahami antara sesama kita dan orang lain bagi saling menghormati. 


Free Download



Arkib Blog