Memaparkan catatan dengan label kajian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kajian. Papar semua catatan

Khamis, 8 Jun 2017

10 Haiwan Yang Mempunyai Kebijaksanaan Luar Biasa

Gagak dikatakan antara haiwan (burung) terpaling bijak.

Kemampuan manusia untuk berfikir dan melakukan pelbagai perubahan menyebabkan manusia berbeza dengan hidupan-hidupan lain di dunia. Walaupun hidupan lain tidak mempunyai keupayaan yang menyamai manusia, namun jelas haiwan juga mampu berfikir dan menyelesaikan masalah. Inilah yang membantu haiwan-haiwan tersebut untuk menyesuaikan diri untuk hidup dalam perubahan alam di sekeliling mereka. Berikut adalah antara beberapa haiwan yang dikenal pasti mempunyai kebijaksanaan luar biasa.


1. Gagak

Gagak merupakan haiwan yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa. Kehebatan gagak ini sering menjadi kajian para pengkaji untuk mengukur sejauh mana keupayaan mereka. Kehebatan gagak mengatasi haiwan-haiwan lain termasuk chimpanzee dan juga dolphin yang juga termasuk di dalam kumpulan haiwan-haiwan bijak. Inilah yang membantu gagak untuk terus membiak dengan pantas di mana sahaja berbanding dengan haiwan lain di kawasan yang padat dihuni manusia.


2. Dolphin

Berbeza dengan gagak kebijaksanaan dolphin merangkumi kebijaksanaan emosi yang lebih mirip kepada manusia. Ini menjelaskan mengapa dolphin amat mudah berinteraksi dengan manusia yang dapat dilihat dengan jelas. Dolphin dikatakan mempunyai struktur otak yang lebih besar yang membolehkan ini mempunyai keupayaan ini.


3. Tikus

Walaupun dianggap sebagai haiwan yang kotor dan menyebarkan penyakit, tikus adalah haiwan yang bijak. Ini dapat dilihat dengan jelas dengan kemampuannya menyesuaikan diri dan membiak dengan pesat di mana sahaja bersama populasi manusia. Ini dijelaskan oleh pengkaji dari University of Guelph, Ontario sebagai bagaimana tikus dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang disediakan oleh para pengkaji melalui kaedah yang adakalanya tidak dijangka oleh manusia.


4. Khinzir

Khinzir mungkin merupakan haiwan peliharaan yang paling bijak. Melalui pelbagai ujian mendapati khinzir mampu menggunakan cermin untuk mendapatkan makanan mereka. Malah khinzir juga boleh menggunakan helah ke di antara sesama mereka untuk mendapatkan makanan yang lebih. Khinzir juga mudah menguasai teknik-teknik baru yang diajarkan kepadanya seperti melompat ke dalam gelungan sehinggalah kepada permainan video games menggunakan joysticks.


5. Bonobos

Bonobo merupakan spesies monyet yang hampir kepada chimpanzee yang juga merupakan haiwan bijak sangat popular. Bonobo merupakan spesies yang terancam dan hanya terdapat di bahagian tengah Afrika. Melalui kajian bonobo pernah diajarkan bahasa isyarat dan simbol. Bonobo bernama Kanzi itu mempunyai papan komunikasi bagi membolehkan ini berinteraksi bersama pengkajinya menggunakan simbol untuk menyampaikan pendapatnya.


6. Itik

Itik juga menunjukkan kemampuan untuk mengenali persekitaran melalui kajian-kajian yang dilakukan. Kajian perilaku ini dapat dikesan pada anak-anak itik sendiri dalam mengenali persekitaran mereka dan mengenal semula persekitaran yang sama pada set yang lain. Jadi anak-anak itik ini bukan sahaja mengikuti apa yang dilakukan oleh ibunya, tetapi mempunyai tindak balas sendiri mengikut persekitaran sama seperti haiwan-haiwan bijak yang lain (antaranya primate, gagak, kakak tua dan lain-lain). Ini membuktikan, itik juga mempunyai pemikiran terhadap persekitarannya.


7. Gajah

Kebijaksanaan gajah telah lama dikesan. Gajah menunjukkan kemahiran menggunakan peralatan seperti kayu untuk membuang kutu, atau pelepah palma untuk memukul lalat. Gajah mampu memikirkan beberapa kaedah penyelesaian kepada masalah dan merangka jalan penyelesaiannya. Ini tidak termasuk kecenderungan gajah seperti kehidupannya di dalam komuniti yang saling bantu-membantu.


8. Lembu

Walaupun lembu dilihat sebagai haiwan yang diam dan hanya sibuk dengan mengunyah rumput yang dimakannya. Lembu didapati mempunyai keupayaan memproses emosi yang lebih kompleks. Lembu-lembu mempunyai kecenderungan berkawan dan ada pula di antaranya menjadi musuhnya pula. Lembu-lembu juga akan menunjukkan perasaan seperti sakit, sedih dan kemurungan – ia juga dikatakan memikirkan apakah yang akan berlaku pada masa akan datang.


9. Lebah

Lebah lebih dikenali sebagai gerombolan bijak. Kebijaksanaan lebih ini dapat dilihat dalam sekumpulan lebah di dalam satu koloni yang besar. Lebah-lebah mempunyai kaedah berkomunikasi, menyusun atur kerja antara mereka malah, ia juga boleh memberikan reaksi di dalam kumpulan. Bagi lebih yang menunjukkan perasaan tidak bersetuju, ia akan melakukan tidak balas untuk menyatakan keputusan tersebut.


10. Tupai

Tupai juga merupakan antara haiwan yang bijak terutamanya dalam mendapatkan sumber makanan. Walaupun tupai sering dilihat melintas jalan tanpa mengetahui akan bahayanya. Tupai sebenarnya dapat mempelajari teknik-teknik baru, terutamanya teknik mencuri makanan daripada tempat makanan burung misalnya. Malah kemahiran ini turut dipindahkan kepada tupai-tupai lain. Comel dan bijak.

Itu adalah sebahagian daripada kebijaksanaan yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan yang dikaji setakat ini. Namun begitu setiap haiwan mempunyai ciri-ciri keistimewaan masing-masing dan boleh dikatakan setiap haiwan mempunyai kebijaksanaan untuk berinteraksi dengan sekelilingnya. Sebagai manusia, perkara ini sepatutnya dapat membantu kita dalam menguruskan alam bagi menjaga kesejahteraan hidup antara manusia haiwan dan alam secara keseluruhannya.



Free Download



Isnin, 22 Mei 2017

Bagaimana Jagung Menjadi Tanaman Penting

Plastik yang dihasilkan daripada jagung.

Seperti yang kita ketahui, jagung merupakan bijirin yang paling banyak ditanam di seluruh dunia. Jagung-jagung ini bukanlah ditanam semata-mata untuk bahan makanan sahaja. Jagung mempunyai banyak lagi kegunaan lain hasil kajian yang dijalankan. Ini menjadikan permintaan jagung terus meningkat dan menambahkan lagi hasil pendapatan bagi pengusaha-pengusaha tanaman jagung.

Jagung-jagung yang dahulunya ditanam untuk tujuan sebagai bahan makanan manusia dan ternakan hari ini digunakan juga untuk menghasilkan pelbagai bahan lain yang mungkin tidak ramai yang  kita ketahui. Bahan utama yang dihasilkan oleh jagung adalah ethanol yang digunakan sebagai bahan api kenderaan. Ia merupakan antara kegunaan penting jagung yang dapat membantu mengurangkan harga bahan api fosil yang semakin meningkat naik.

Plastik yang dihasilkan sama seperti plastik biasa.

Proses penguraian plastik jagung (PLA).

Kajian terbaru pula berjaya menghasilkan plastik daripada jagung. Ini juga merupakan satu lagi kejayaan penting kerana plastik yang dihasilkan menggunakan jagung adalah ‘biodegradable plastiscs’, yang boleh dihuraikan secara semula jadi oleh alam tidak seperti bahan plastik yang dihasilkan menggunakan ‘petrochemicals’.

Plastik yang dihasilkan menggunakan jagung ini juga sesuai untuk menggantikan barangan yang diperbuat daripada plastik biasa. Peralatan makanan seperti pinggan, sudu, garpu, cawan dan pisau plastik boleh dihasilkan sama seperti plastik biasa. Cuma bezanya ia akan dihuraikan dengan selamat setelah digunakan. Maka tiada lagi bahan plastik yang akan terus tinggal di laut seperti yang berlaku kepada plastik-plastik yang digunakan sebelum ini.

Bukan sahaja peralatan makanan boleh dihasilkan menggunakan plastik jagung ini. Ia juga sesuai digunakan untuk menggantikan kegunaan lain bahan plastik seperti peralatan kegunaan harian, alat tulis, permainan kanak-kanak, permainan dan peralatan bayi dan segala peralatan rumah. Ia malah digunakan untuk menghasilkan ‘packing peanuts’, yang digunakan di dalam pembungkusan barangan. Tidak seperti polystyrene, ia boleh dicairkan di dalam air setelah ia selesai digunakan.

Plastik jagung semakin popular.

Plastik jagung semakin tersebar luas ke seluruh dunia.

Ia juga sesuai digunakan untuk menghasilkan beg plastik menggantikan beg plastik sedia ada. Beg-beg plastik yang digunakan hari ini sukar dibendung dan biasanya akan tinggal sebagai sampah-sarap yang mengotori persekitaran. Begitu juga dengan ‘golf tees’, yang dihasilkan menggunakan plastik jagung ini adalah selamat untuk digunakan di padang-padang golf, sebaliknya akan menjadi bahan organik kepada rumput apabila ianya mereput.

Banyak lagi kegunaan lain jagung yang digunakan secara tidak langsung di dalam industri. Apa yang jelas, penyelidikan mengenai potensi bahan pertanian dapat membantu bukan sahaja para petani malah industri lain untuk berkembang pesat selain memberikan hasil yang lebih kepada alam sekitar. Malah potensi jagung ini juga perlu sejajar pula dengan pembangunan penanaman jagung itu sendiri. Penghasilan baka yang lebih baik serta jentera pengurusan ladang jagung yang lebih efisien merupakan faktor penting kepada tanaman yang sempurna.


Jagung gergasi, baka jagung yang paling besar.

Penggunaan mesin membantu pengeluaran.

Mungkin kita tidak menyedari bahawa penghasilan pertanian di negara kita sendiri mempunyai pelbagai potensi untuk dimajukan. Hanya dengan cara ini pendapatan para petani dapat ditingkatkan selain barang yang dihasilkan juga mempunyai lebih manfaat. Semoga menjadi renungan.



Free Download



Khamis, 19 Januari 2017

Mesin Cetak Kulit Manusia Satu Rekaan Penting

Printer kulit berbeza dengan printer-printer yang lain.

Mesin cetakan yang pada umumnya hanya digunakan untuk membuat cetakan pada kertas, namun hari ini dengan rekaan mesin cetakan 3D ia mampu mencetak pelbagai benda termasuklah kulit manusia! Ia merupakan satu usaha baru bagi kegunaan perubatan dan mungkin juga di dalam industri kosmetik.

Mesin cetakan kulit manusia merupakan antara rekaan penting kerana dalam kebanyakan kes berkaitan kulit terutamanya dalam merawat mangsa kebakaran yang boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak dirawat dengan segera. Ini kerana kulit merupakan pelindung utama pada badan manusia di mana ia membantu badan mengekalkan haba dan mengelakkan jangkitan.

L'Oreal juga menumpukan kajian dalam kajian cetakan kulit.

Kulit tiruan yang berjaya dihasilkan.

Terdapat beberapa pihak yang membangunkan mesin pencetak kulit manusia untuk tujuan kajian terdiri daripada pusat kajian perubatan dan universiti selain turut menarik minat syarikat kosmetik seperti L’Oreal. Mesin cetakan kulit kemungkinan besar akan dapat digunakan untuk tujuan rawatan ke atas manusia kerana ianya lebih mudah dilakukan berbanding cetakan organ yang juga cuba dihasilkan oleh para pengkaji.

Antara pihak yang berjaya menghasilkan mesin cetakan kulit ini antaranya adalah Wake Forest Institute, University of Toronto, L’Oreal dan mungkin terdapat beberapa lagi pihak yang sedang mengusahakan mesin cetakan seumpamanya. Walaupun mesin cetakan kulit dibina untuk tujuan utama merawat mangsa kebakaran, kemalangan, masalah kulit seperti kanser kulit, tetapi bagi L’Oreal pula mesin cetakan ini boleh membantu mereka untuk membuat kajian penggunaan kosmetik ke atas kulit tersebut. Ini dapat mengelakkan penggunaan haiwan/manusia sebagai bahan ujian.


Sel kulit yang digunakan untuk cetakan.

Mesin pencetak yang direka oleh University of Toronto. 

Mungkin kajian seperti ini kelihatan agak pelik bagi kita pada masa ini, namun pada masa akan datang ia mungkin merupakan satu perkara biasa. Apa yang penting, sekiranya ia dapat mendatangkan manfaat kepada manusia ianya harus diberikan sokongan dan perhatian yang secukupnya.


Free Download



Ahad, 8 Mei 2016

Peralatan Ujian Darah Untuk Pesakit Kencing Manis Tanpa Jarum

Melakukan ujian darah adalah perkara penting bagi pesakit diabetes.

Bagi para pesakit kencing manis, kepentingan untuk membuat pemeriksaan darah setiap hari adalah penting. Manakala bagi mereka yang mengidap sakit ini pada tahap 1 (Type 1) pula, perlu melakukan ujian tersebut sehingga 6 kali setiap hari. Walaupun ia satu ujian yang mudah, namun tidak semua pesakit selesa untuk mencucukkan jarum dan membuat ujian darah sekerap itu.

Namun begitu sebuah peralatan yang direka untuk membuat ujian darah tanpa menggunakan jarum mungkin boleh membantu para pesakit untuk melakukan ujian tahap gula dengan selesa. Ia adalah hasil kajian para pengkaji dari Cardiff University di UK bagi membantu para pesakit diabetes melakukan ujian tahap gula dengan lebih mudah. Berbanding kaedah biasa di mana para pesakit perlu mengeluarkan sedikit darah untuk diuji, melalui alat ini ia hanya perlu diletakkan pada badan untuk melakukan pemeriksaan dengan menggunakan gelombang mikro untuk mendapatkan bacaan kandungan gula di dalam darah. Bacaan kandungan darah ini akan dipaparkan melalui peralatan seperti telefon ataupun komputer.

Peralatan yang dihasilkan oleh Cardiff University.

Cara menggunakan peralatan ditunjukkan oleh Dr Heungjae Choi.

Penyakit kencing manis adalah penyakit yang berpunca daripada kegagaln fungsi organ pakreas untuk menghasilkan insulin ataupun kegagalan untuk menggunakan insulin yang dihasilkan. Oleh sebab itu insulin perlu diambil oleh pesakit bagi mengimbangi keadaan gula di dalam darah mengikut keperluan. Ia merupakan cabaran yang memerlukan kesabaran pesakit dan juga mereka yang memberikan penjagaan kepada para pesakit diabetes.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai penggunaan gelombag mikro untuk alat ini boleh menjejaskan kesihatan pesakit, para penyelidik bagaimanapun menegaskan bahawa ianya adalah 1,000 kali ganda lebih lemah berbanding gelombang mikro yang dihasilkan oleh telefon bimbit. Maka peralatan ini adalah selamat.


Setakat ini ianya telahpun diuji ke atas 50 orang pesakit secara klinikal untuk menguji tahap keberkesanannya. Ia bagaimanapun akan mengambil masa bagi membolehkan peralatan ini untuk digunakan oleh orang ramai. Jangkaan yang diberikan adalah dalam anggaran 5 tahun. Harap-harap ia akan dipercepatkan.




Free Download



Khamis, 21 April 2016

Teknologi Purba Nasca Di Padang Pasir Peru

Binaan puquiois yang menjadi tanya tanya bagaimana ia berfungsi?

Lubang-lubang batu misteri di Padang Pasir Peru telah lama menarik minat para ‘archaeologists’, dalam menyingkap rahsianya. Selain daripada untuk mengetahui sejarah silamnya, para pengkaji juga ingin mengetahui fungsi sebenar lubang-lubang misteri tersebut.

Dikenali sebagai ‘puquios’, ia mungkin dibina oleh orang-orang Nasca yang mendiami kawasan tersebut sekitar 1,000 BC sehingga sekitar 750 AD yang juga merupakan antara kawasan yang paling kering di dunia. Malah puquios bukanlah satu-satunya tinggalan menakjubkan daripada puak ini semasa mendiami kawasan tersebut. Lukisan-lukisan gergasi di permukaan tanah yang dikenali sebagai 'Nasca lines' juga turut menjadi tanya tanya para pengkaji dari serata dunia.

Bagaimanakah mereka boleh tinggal di kawasan yang kering ini untuk tempoh masa yang lama? Puquios merupakan salah satu teknologi yang membantu mereka untuk mendapatkan sumber air bagi tujuan kegunaan harian mahupun untuk bercucuk tanam. Jadi mereka adalah golongan-golongan yang bijak dalam menyusun atur sumber penting bagi mereka terutamanya air untuk memastikan kawasan tersebut sesuai didiami.

Walaupun kewujudan puquios telah lama diketahui oleh oleh penduduk yang mendiami kawasan persekitaran Nasca, Peru dan juga para saintins, apa yang menjadi tanya adalah fungsinya serta bagaimana ia bekerja. Walaupun kaitan dengan fungsi pengairan boleh diteka, namun kaedah bagaimana ia bekerja juga adalah merupakan satu perkara yang penting untuk diketahui. Malah pembinaannya yang menggunakan bahan yang sama dengan persekitaran memebuatkan teknik pentarikhan karbon (carbon dating) tidak dapat digunakan. Sebaliknya teknik gambaran menggunakan satelit digunakan untuk mengesan poquios yang ada dan hubung kaitnya antara satu sama lain.

Antara kumpulan yang melakukan kajian ini adalah kumpulan yang diketuai oleh Rosa Lasaponara bersama Institute of Methodologies for Environmental Analysis, dari Itali yang mengeluarkan hasil kajian mereka di dalam; Ancient Nasca World: New Insights from Science and Archaeology, yang membentangkan hasil penemuan mereka menggunakan teknologi satelit dan apa yang mereka percaya mengenai penemuan mereka berkenaan orang-orang Nasca.


Bahagian dalam lubang puquios untuk menarik angin masuk.

Jaringan puquios dalam satu sistem pengairan yang besar.

'Nasca Lines' merupakan satu lagi keajaipan di Peru.

Daripada kajian tersebut mendapati puquios berfungsi dalam jaringan sistem hidrolik yang besar bagi sistem pengairan bawah tanah untuk membawa air tersebut ke kawasan kediaman mahupun ke kawasan pertanian. Lubang-lubang puquios berfungsi untuk menarik angin masuk ke dalam sistem perparitan ini seterusnya membolehkan air di bawah tanah mengalir dengan lebih baik – ia bertindak seperti pam semulajadi.

Daripada kaedah inilah yang membolehkan kawasan tersebut didiami oleh orang-orang dahulu walaupun ianya merupakan kawasan terkering di dunia. Sistem tersebut yang, masih boleh berfungsi sehingga ke hari ini nyata adalah lebih baik kerana ia tidak merosakkan punca air sebenar – kerana ia tidak dipam secara paksa sepertimana berlaku di kawasan industri atau pertanian moden.


Banyak lagi teknologi-teknologi purba yang cuba diungkaikan oleh para saintis. Pada masa yang sama pula kita menanamkan kepercayaan bahawa tiada lagi kegunaannya teknologi lama ini. Malah kita turut melupakan banyak perkara yang menjadi keunikan budaya kita yang mempunyai kaitan dengan kebijaksanaan ilmu orang-orang terdahulu.




Free Download



Arkib Blog