Memaparkan catatan dengan label jangkitan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jangkitan. Papar semua catatan

Jumaat, 20 Januari 2017

Selamatkah Udara Di Dalam Pesawat?

Pernahkah anda terfikir mengenai kualiti udara di dalam pesawat?

Bagi yang sering menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara tentunya ingin sekali mengetahui sejauh manakah keselamatan kualiti udara di dalam pesawat dalam memastikan masalah ianya selamat. Perkara ini penting bagi mengelakkan kita merasa risau setiap kali melakukan perjalanan menggunakan pengangkutan udara.

Sistem pengankutan udara membawa jutaan manusia bergerak dengan lebih pantas ke serata dunia setiap hari. Ia membawa bersama mereka yang mungkin dijangkiti dengan masalah kesihatan yang mungkin berpotensi menjangkiti penumpang-penumpang yang lain. Semasa berada di dalam pesawat, pernafasan mereka yang dijangkiti semestinya akan berada di dalam ruangan kabin kapal terbang bersama penumpang-penumpang yang lain.

Sistem pengaliran udara di dalam pesawat; Lufthansa.

Tombol saluran udara di atas setiap penumpang.

Sistem pengudaraan pesawat moden sememangnya mengutamakan tahap kebersihan kualiti udara ini. Malah ianya direka dengan keupayaan penapisan kualiti udara setaraf dengan bilik pembedahan di hospital. Penggunaan penapisan HEPA berkeupayaan memerangkap antara 94 ~ 99.0 peratus partikel di dalam udara termasuk mikro-organisma yang dihembuskan ke dalam udara.

Kandungan udara di dalam kapal terbang adalah gabungan udara yang disedut dari enjin dan bukanlah semata-mata udara yang dikitar semula dari dalam kabin. Keadaan sistem pengudaraan ini adalah antara perkara yang diberikan penekanan oleh syarikat-syarikat pengeluar kapal terbang seperti Airbus dan Boeing dalam memastikan keselamatan pengguna sistem pengangkutan tersebut.

Anda mungkin tidak perlu berkadaan begini.

Sekiranya mengalami masalah kesihatan gunakan "face mask".

Berbanding dengan sistem pengudaraan, proses jangkitan atau perpindahan patogen berlaku dengan secara terus seperti; duduk bersebelahan/hampir dengan mereka yang dijangkiti, bersentuhan dengan objek atau peralatan yang disentuh oleh pesakit seperti tombol pintu tandas, peralatan-peralatan dan sebagainya.


Jadi apa yang perlu anda risaukan bukanlah sistem pengudaraan tetapi adalah perkara-perkara lain yang lebih utama. Jadi pastikan anda tidak bersentuhan dengan objek-objek ini dan sentiasa membersihkan tangan dengan sempurna sebelum menyentuh makanan dan sebagainya. Ini bagaimanapun diharap tidak menjadikan anda terlalu takut untuk menggunakan perkhidmatan udara sebaliknya mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengelakkan sebarang kemungkinan.



Free Download



Sabtu, 16 Januari 2016

Misteri Kehilangan Katak

Kumpulan katak-katak kecil yang cantik tetapi beracun.

Misteri kehilangan katak mungkin tidak menarik perhatian ramai, namun sekiranya anda mengetahui kepentingan dan hubungkait antara haiwan di dalam ekosistem, ia mungkin sedikit sebanyak merisaukan. Jadi katak juga mempunyai fungisnya tersendiri, selain mengawal populasi serangga, ia sendiri menjadi sumber makanan bagi haiwan lain seperti ular, burung, kucing, biawak dan juga manusia!

Misteri kehilangan katak dilaporkan sejak beberapa tahun yang lalu. Di mana populasi sebahagian katak semakin berkurangan sehingga ke tahap mencapai kepupusan. Kehilangan katak ini lebih ketara bagi spesis-spesis yang jarang ditemui seperti di hutan-hutan tanah tinggi di pergunungan Andes, dan Amazaon di Amerika Selatan. Punca sebenar kehilangan katak ini cuba dikesan bagi mengelakkan ia dari terus pupus. Aktiviti manusia dikatakan menjadi punca utama daripada kepupusan haiwan amfibia ini, namun punca sebenar yang lebih menakutkan adalah – serangan penyakit.


Spesis blue dart frog ini memang beracun - digunakan pada jarum sumpit. 

Satu lagi spesis katak 'Red-backed poison frog'.

Serangan penyakit yang disebabakan oleh jangkitan dari Batrachochytrium dendrobatidis, atau ‘chytrid fungus’ juga dikenali dengan nama singkatan sebagai Bd menyebabkan penyakit ‘chytridiomycosis’ pada haiwan amfibia. Ia mula dikesan semenjak tahun 1998 dan dikesan hampir di seluruh dunia. Spesis terbaru yang dikesan adalah, B. Salamandrivorans yang menyebabkan ‘chytridiomycosis’ dan kematian pada salamander.

Fungus ini menjadikan kulit haiwan amfibia sebagai tempat untuk ia hidup dan membiak melalui dua peringkat iaitu pegun (sessile), peringkat penghasilan zoosporangium dan juga bergerak (motile), apabila ia dibebaskan daripada zoosporangium. Dalam proses pembiakan inilah fungus ini menjadikan kulit amfibia  sebagai sumber nutrient baginya dengan membebaskan enzimes yang menghadamkan kulit haiwan itu. Proses ini boleh menyebabkan cyst di bawah kulit katak dan lama-kelamaan mengakibatkan kematian pada katak.


Spesis katak kaca yang boleh dilihat tembus.

Antara katak-katak unik yang mendiami hutan.

Penyakit dan jangkitan merupakan antara penyumbang utama kepada kepupusan haiwan selain daripada aktiviti manusia. Ini kerana kita secara tidak langsung menyebarkan jangkitan ini  tanpa disedari seperti memindahkan sesuatu spesis ke tempat baru dan sebagainya. Sebelum ini kita juga digemparkan dengan misteri kehilangan lebah yang disebabkan serangan oleh sejenis hama Varroa destructor yang juga menyebabkan kematian populasi lebah yang besar. Malah kejadian yang sama boleh menimpa spesis yang lebih besar seperti antelope, saiga dan kudu (disebabkan oleh pelbagai faktor semulajadi).


Kefahaman mengenai kejadian ini memudahkan untuk kita lebih berhati-hati di masa akan datang. Kehilangan sesuatu spesis secara mendadak boleh mengakibatkan kesan yang serius – termasuk kita sendiri kehilangan bahan makanan. Alam sentiasa mencari jalan untuk mengimbangkannya semula, namun manusia hanyalah sebahagian dari spesis yang hidup di dalamnya. Fikir-fikirkan.



Free Download



Selasa, 25 Ogos 2015

Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 2

Nyamuk merupakan parasit yang paling mudah dikenali.

Jika di dalam artikel yang pertama kita telah melihat sebahagian daripada parasit-parasit yang berkemungkinan pernah menjadikan kita sebagai mangsanya. Kita akan melihat sebahagian lagi parasit yang juga tidak kurang bahayanya. Secara tidak langsung memberikan kita lebih banyak maklumat penting mengenai parasit-parasit yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita mahupun kepada ahli keluarga yang lain.


Bahaya utama nyamuk adalah penyebaran wabak.

Nyamuk:

Nyamuk merupakan antara parasit yang paling mudah menjadikan manusia sebagai mangsanya. Selain daripada mempunyai sayap, ia juga dengan mudah menjadikan kawasan sekitar kediaman manusia sebagai habitat yang sesuai baginya. Jadi agak sukar bagi kita menghindari nyamuk 100% namun kita boleh mengurangkan pendedahan kepada mereka.

Bahaya nyamuk bukanlah sekadar menghisap darah tetapi ia adakalanya menyebarkan wabak penyakit seperti West Nile Virus, dengi, malaria, demam kuning, Japanese Encephalitis (JE), untut (Lymphatic filariasis) dan macam-macam lagi. Nyamuk yang membiak di kawasan-kawasan yang kotor (tercemar) mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk menyebarkan wabak penyakit-penyakit ini.

Bagi mengurangkan masalah ini, apa yang boleh dilakukan adalah dengan mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk di sekitar rumah anda. Pastikan persekitaran yang bersih. Gunakan penghalau nyamuk apabila terpaksa melakukan aktiviti di luar rumah, terutama di kawasan yang mempunyai nyamuk.


Hama amat halus dan sukar dilihat mata kasar.

Hama:

Hama juga merupakan parasit yang lebih hampir dengan manusia dan jarang sekali dikesan. Hama tinggal hampir pada semua haiwan termasuklah manusia. Namun begitu hama kurang membawa kesan negatif (kesan yang ketara kepada manusia) walaupun ia juga menjadikan darah dan sel-sel mati sebagai antara makanannya. Terdapat hama yang tinggal di atas kulit kepala kita dan ia dikenali sebagai hama umbi rambut (hair follicle mites) yang memakan minyak yang dihasilkan dari kulit kepala.

Hama yang menyebabkan masalah pada kulit adalah dikenali sebagai ‘scabies’. Ia menyebabkan kegatalan dan masalah kulit. Ia akan tinggal pada permukaan dan di dalam kulit. Masalah ini perlu dirawat kebiasaannya menggunakan ubatan dari jenis minyak.


Hama 'scabies' di dalam kulit manusia.


Lalat 'botfly', (sila cari sendiri di internet!..).

Lalat (Human Botflies):

Lalat ini agak menakutkan kerana ia menjadikan haiwan lain sebagai perumah untuk ia membesar. Haiwan seperti lembu, kambing, rusa, kerbau dan sebagainya... termasuklah manusia.

Lalat ini kebiasaannya didapati di bahagian Amerika Tengah dan di Amerika Selatan. Keunikan lalat ini adalah ia akan menangkap nyamuk dan bertelur padanya. Nyamuk yang kemudiannya menghisap darah pada manusia akan menjatuhkan telur ini, di mana anak lalat akan masuk ke dalam kulit perumah dan tinggal di dalamnya. Tempoh masa anak lalat ini membesar di dalam perumah adalah di antara 5-6 minggu sebelum keluar meninggalkan perumah nya. Apabila jatuh, ia akan membentuk kepompong di dalam tanah dan keluar sebagai lalat dewasa.

Anak lalat yang membesar di dalam daging ini memerlukan lubang untuk bernafas. Ia juga mungkin akan mengakibatkan daging menjadi bengkak (bergantung kepada keadaan). Proses pembuangan anak lalat ini perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelakkan masalah yang lebih serius.


'Tapeworm' boleh mencapai saiz yang amat besar.

Cacing Pita (Tapeworms):

Cacing pita merupakan parasit yang biasa menjangkiti manusia. Masuk ke dalam badan melalui telurnya yang terdapat pada bahan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna (seperti daging ataupun sayur-sayuran).

Cacing pita akan tinggal di dalam usus manusia dan membiak di dalamnya. Telur-telur mereka pula akan keluar semasa manusia ke tandas dan tinggal di dinding mangkuk tandas atau dibawa bersama air apabila di ‘flush’. Telur-telur ini kemudiannya akan dibawa air dan menjadikan saluran perparitan pula sebagai tempat di mana ia akan menunggu perumahnya yang baru.

Kesan jangkitan cacing pita ini sukar dikesan pada peringkat awal. Namun sekiranya dibiarkan ia boleh membesar sehingga mencapai kepanjangan 30 kaki di dalam usus manusia. Ia akan menyebabkan masalah kembung dan kekurangan zat kepada mangsa. Ia juga boleh terus tinggal di dalam usus manusia sehingga berpuluh tahun lamanya!


'Hookworms' lebih halus.

Cacing ‘Hookworms’:

Satu lagi jenis cacing yang boleh menjangkiti manusia. Telurnya disebarkan melalui najis dan akan menetas dan membesar di dalam tanah. Menjangkiti manusia apabila bersentuhan melalui kaki dan masuk ke saluran darah menuju ke jantung dan kemudiannya ke paru-paru. Ia adakalanya terkeluar melalui lendir apabila manusia terbersin dan sebahagiannya pula ada yang masuk semula ke saluran makanan. Ia merupakan peluang yang baik untuk cacing ini sampai ke bahagian usus manusia.

Di dalam usus, cacing ini akan melekatkan diri mereka di dinding usus untuk memakan darah manusia. Sekiranya berlanjutan ia boleh mengakibatkan gejala yang serius. Ia boleh menyebabkan anemia, kesakitan perut yang serius, cirit-birit, sembelit, keletihan, kelaparan yang luar biasa pada benda-benda yang pelik seperti tanah dan lumpur. Kitar semula hidup cacing ini akan berulang semula melalui pembuangan najis.

Ya, itulah dia sebahagian lagi parasit yang perlu kita ketahui. Ia sememangnya tidak menarik untuk dilihat, namun penting untuk difahami bagi kita mengambil langkah berjaga-jaga. Melalui pengetahuan inilah maka kita boleh mengelakkan daripada terdedah kepada bahaya parasit-parasit ini dengan menitik beratkan kebersihan dan menjauhi kawasan-kawasan yang mungkin berpotensi menjadi sarang kepada mereka. Semoga artikel kali ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam memberikan maklumat yang berguna.

Sekiranya tajuk ini menarik bagi anda, anda mungkin berminat untuk artikel sebelumnya iaitu: Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 1



Free Download



Arkib Blog