Memaparkan catatan dengan label inovasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label inovasi. Papar semua catatan

Selasa, 9 Februari 2016

Generator Hydro Mudah Alih Muat di Dalam Beg

Penjana tenaga 'Hydro' mudah alih yang praktikal.

Satu lagi rekaan unik yang kreatif adalah ‘Generator hydro’ mudah alih untuk kegunaan peribadi samada ketika berkelah mahupun bagi yang tinggal jauh dari punca bekalan elektrik. Walaupun kita hari ini mendapat punca bekalan elektrik dengan mudah, sebenarnya di luar sana masih terdapat sekitar 1.6 billion penduduk dunia yang masih tidak mendapat bekalan elektrik.

Selain mendapatkan punca tenaga, apa yang lebih penting sebenarnya adalah faktor keselamatan kepada pengguna mahupun alam sekitar. Penggunaan bateri sebenarnya menggunakan bahan kimia yang boleh mengakibatkan pencemaran, keracunan dan juga kesan-kesan negatif lain kepada manusia dan alam sekitar. Walaupun punca tenaga ini tidak dapat memberikan jumlah tenaga yang besar, namun ia mampu membantu dalam membekalkan tenaga untuk keperluan penting seperti peralatan komunikasi (telefon/radio) dan keselamatan (lampu isyarat keselamatan).


Rekabentuk yang menarik.

Unit 'turbine' yang diletakkan di dalam air.

Penghasilan Blue Freedom misalnya antara satu lagi rekaan kreatif bagi membolehkan para penggemar aktiviti lasak dan mereka yang tinggal jauh dari punca kuasa untuk menjana kuasa elektrik mereka sendiri menggunakan kuasa air (sungai-sungai kecil, laluan air dan parit). Saiznya yang kecil (20 centimeter) dan berat hanyalah 400 gram membolehkan ia di bawa kemana-mana dengan mudah di dalam ‘backpack’ mereka, selain tidak memerlukan sungai berarus deras untuk berfungsi.

Menggunakan kuasa daripada air yang mengalir, tenaga elektrik dapat dihasilkan pada waktu malam dan siang selagi Blue Freedom di letakkan di dalam arus air yang mengalir. Waktu penjanaan sejam oleh Blue Freedom dapat mengecas bateri telefon bimbit untuk tempoh 10 jam. Pengguna mungkin memiliki peralatan lain seperti kamera, peralatan navigasi, radio, tablet dan seabgainya.


Blue Freedom amat mudah digunakan.

Turbine dilepaskan tanpa anda perlu turun ke dalam air.

Peralatan inovatif kali ini adalah hasil kreativiti oleh Fürth, Germany. Peralatan ini bertujuan membantu para pengembara ataupun mereka yang melawati ke kawasan yang mengalami krisis tenaga selepas bencana.


Paparan kali ini adalah untuk membuka mata bagi para pereka peralatan enovatif untuk terus menyumbangkan idea-idea kreatif bagi kegunaan ramai dalam memberikan kemudahan kepada orang ramai di saat-saat memerlukan.






Free Download



Sabtu, 16 Januari 2016

Dr. Nicolas Wöhrl Mencipta Berlian Sintetik Demi Quantum Computer

Berlian merupakan bahan penting untuk quantum computer.


Dunia saintis amat menakjubkan kerana adakalanya untuk mendapatkan sesuatu para saintis perlu memikirkan bagaimanakah ia perlu dihasilkan. Tidak semua perkara yang diingini boleh didapati dengan mudah, dan kebanyakannya pula perlu dihasilkan sendiri kerana masih belum dicipta. Jadi untuk menjadi seorang saintis yang berjaya, adalah kemahiran untuk mengadakan sesuatu yang masih belum ada!...

‘Quatum Computer’ merupakan satu impian para penyelidik kerana kebolehannya untuk menyelesaikan masalah dengan lebih pantas berbanding dengan komputer ‘binary’ biasa. Namun begitu untuk menghasilkan processor yang berkemampuan untuk menghasilkan ciri-ciri yang diingini hanya satu bahan yang didapati sesuai – iaitu berlian.

Berbalik kepada asal mengapa keperluan untuk mereka satu kaedah baru amat penting adalah, keupayaan saiz transistor yang dimuatkan ke dalam cip silicon hampir mencapai tahap maksimum. Walaupun menurut Moore's law di mana kepadatan transistor di dalam cip silicon berganda setiap dua tahun, namun ia mempunyai tahap tepu – iaitu ia tidak akan mencapai saiz yang lebih kecil daripada satu atom. Maka di sinilah, kaedah sistem komputer perlu berpindah kepada quatum computer yang menggunakan ‘quantum bits’ (qubits).


Berlian yang dihasilkan dengan teknik penghabluran carbon.

Bidang mengenai quantum computer mula diperkenalkan pada tahun 1980 oleh Paul Benioff dan juga Yuri Manin, Richard Feynman pada tahun 1982, dan David Deutsch pada tahun 1985. Walaubagaimapun sehinga pada tahun 2016, penghasilan quantum computer masih dikira sebagai tahap permulaan. Namun begitu ia mendapat perhatian yang amat serius daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan dan tentera untuk pelbagai aplikasi yang boleh dimanfaatkan.

Apakah yang menyebabkan ianya suatu yang sukar? Kesukarannya adalah untuk mendapatkan bahan yang mampu untuk menyimpan dan mempergunakan quantum bits (qubits). Oleh kerana keadaan quatum mudah berubah dan menjadikan ia sukar dikawal, cabaran yang paling utama adalah untuk mendapatkan bahan yang boleh menyimpan qubits untuk satu jangkamasa yang lama. Kemampuan ini hanya boleh dibekalkan oleh berlian.

Dari sinilah Dr. Nicolas Wöhrl iaitu seorang professor dari University of Duisburg-Essen dari bidang fizik mencari kaedah untuk menghasilkan berlian secara sintetik. Dua kaedah yang digunakan adalah termasuk melalui kaedah penghasilan yang menyamai bagaimana berlian dihasilkan secara semulajadi. Penghasilan secara begini bagaimanapun menghasilkan berlian yang mepunyai warna disebabkan oleh kehadiran atom nitrogen yang tinggi. Jadi kaedah yang digunakan seterusnya adalah secara penyusunan atom carbon untuk membentuk kristal berlian.

Amat menarik kerana ia menghasilkan berlian yang boleh digunakan untuk menyimpan data qubits seperti yang diperlukan untuk quatum computer. Dr. Nicolas Wöhrl bukan sahaja menghasilkan berlian untuk quantum computer pada asalnya, namun ia merupakan salah satu bahan yang paling sesuai untuk tujuan ini.

Penghasilan quantum computer amat penting bagi membolehkan manusia terus menerokai lebih banyak bidang yang masih belum mampu diterokai oleh teknologi hari ini antaranya termasuk teleportation, astronomi, fizik, kimia dan juga untuk tujuan keselamatan sistem komputer itu sendiri seperti meng-encrypt kod keselamatan peribadi atau maklumat sulit. Jadi ia satu kajian yang perlu diteruskan.


D-Wave antara quantum computer terawal.

Pada December 2015 NASA mendedahkan quantum computer pertama dengan harga USD15 juta yang dihasilkan oleh syarikat perkomputeran Canada iaitu D-Wave di Quantum Artificial Intelligence Laboratory. Peralatan tersebut adalah dibeli pada tahun 2013 dari gabungan bersama Google dan Universities Space Research Association.


Jadi apa yang menarik di sini adalah dalam mencipta sesuatu adakalanya anda perlu mencipta suatu bahan lain terlebih dahulu, dan ianya juga tidak kurang menarik. Sekalipun quantum computer masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan, sekurang-kurangnya berlian tersebut masih boleh digunakan untuk barangan perhiasan!.



Free Download



Jumaat, 15 Januari 2016

Penghasilan Biofuels Dari Bahan Buangan Kopi

Kopi antara minuman kegemaran penduduk bandar-bandar besar di dunia.

Kopi merupakan antara minuman popular masyarakat dunia dengan kewujudan banyak kedai-kedai kopi kegemaran ramai seperti Starbucks, Café Nero, Dome, Gloria Jeans, Costa Coffee dan macam-macam lagi. Hasil daripada jumlah pengguna yang ramai ini, maka bahan buangan daripada kopi juga merupakan salah satu bahan buangan tertinggi yang harus dimanfaatkan.

Biofuels atau juga dikenali sebagai bahanapi-bio merupakan bahanapi yang dihasilkan daripada bahan-bahan tumbuhan berbanding daripada bahan petroleum. Penghasilan biofuels ini adalah bagi mengurangkan kesan penggunaan petroleum selain daripada memanfaatkan bahan-bahan lain (apatah lagi dalam kes ini bahan buangan yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih baik).

Salah sebuah syarikat berpusat di London iaitu Bio-bean merupakan antara syarikat yang mempelopori penghasilan biofuels daripada bahan buangan kopi ini. Bahan buangan kopi yang dihasilkan daripada kilang kopi, kedai-kedai minuman kopi, pejabat dan sektor pengangkutan dan lain-lain. Walaupun ia hanya dapat mangambil bahan buangan kopi ini pada kadar beberapa ratus tan seminggu, syarikat ini menyasarkan untuk menaikkan keupayaan ini kepada 50,000 tan pada tahun 2016.


Bahan buangan kopi yang diproses.

Antara bahan yang dihasilkan daripada bahan buangan kopi.

Palet daripada bahan buangan kopi Bio-bean.

Bahan buangan ini akan dikeringkan sebelum minyaknya diasingkan melalui proses bio-kimia yang dikenali sebagai “hexane extraction”. Bahan serat yang tertinggal, iaitu lebih kurang 80 peratus, akan dimampatkan untuk membentuk palet yang digunakan sebagai bahan bakar untuk memanaskan dandang. Palet ini dikatakan mengandungi 150 peratus lebih tenaga berbanding palet yang dihasilkan daripada bahan kayu kerana mengandungi kalori yang lebih.

Menurut Arthur Kay, iaitu pemilik Bio-bean, berharap untuk menukarkan 85 peratus daripada bahan buangan kopi ini kepada biofuels untuk memanaskan bangunan dan juga sebagai bahanapi kenderaan. Menurut Kay lagi, bahan buangan kopi yang dihasilkan oleh London sahaja adalah sekitar 200,000 tan setahun.


Ia merupakan satu lagi inovasi dalam memanfaatkan bahan buangan yang boleh mengelakkan pencemaran. Sama-sama kita saksikan kejayaan syarikat ini nanti, dan diharap lebih banyak usaha seperti ini di masa akan datang.



Free Download



Isnin, 3 Ogos 2015

Robot Kecil Yang di Ilhamkan Daripada Pencakar Air (Water Striders)

Robot yang memiliki kebolehan 'pencakar air' (water strider).

Pencakar Air atau ‘Water Stiders’  dari family Gerridae terkenal kerana kemampuannya untuk bergerak di atas air dengan menggunakan reganggan permuakan air (surface tension). Ia merupakan slah satu keistimewaan dunia serangga yang dikagumi di dalam alam dan juga merupakan punca mengapa robot seumpamanya cuba direka oleh beberapa penyelidik terkemuka.

Di dalam alam semulajadi ‘pencakar air’ kebanyakannya memilih kawasan berair tawar di mana 90% dari spesis Gerridea adalah serangga air tawar dan hanya spesis Halobates merupakan serangga air masin. Ia merupakan antara serangga yang dikaji dengan terperinci antara tahun 1822 dan 1883 apabila Bhucanan-White mengumpulkan beberapa spesis hasil daripada ‘Challenger Expedition’.


Pencakar Air di atas air.

Seperti juga bidang-bidang lain, serangga-serangga yang sekian lama mendapat tumpuan ini lebih mudah dikaji dengan adanya teknologi hari ini seperti mikroskop elektron yang membolehkan ciri-ciri seni serangga ini dilengkapi dengan peralatan-peralatan lain untuk melengkapkan lagi kajian yang dijalankan.

Baru-baru ini kumpulan pengkaji berjaya menghasilkan robot yang mampu melakukan pergerakan di atas air sama seperti pencakar air, malah robot ini dapat melakukan pergerakan yang sama seperti serangga tersebut. Ia merupakan antara kejayaan terbaru dalam reka-bentuk mikro robot yang dihasilkan oleh beberapa pembuat selama ini seperti Festo, ReconRobotics, iRobot, Robotnik, Hexbug, dan lain-lain lagi untuk pelbagai jenis kegunaan termasuk permainan.

Rekaan ini adalah hasil daripada kajian yang dilakukan oleh saintis daripada Seoul National University, Harvard’s Wyss Institute for Biologically Inspired Engineering, dan juga Havard John Paulson School of Engineering and Applied Sciences.


Sekumpulan pencakar air memakan lebah yang jatuh ke dalam air.

Bagi mengenalpasti kelakuan serangga unik ini Ho-Young Kim, merupakan Wyss Institute Visiting Scholar bekerjasama dengan Eunjin Yang, graduan dari SNU’s Micro Fluid Mechanics lab untuk mengumpulkan sejumlah ‘pencakar air’ dan mengambil sejumlah video bagi mengenalpasti dan mengkaji mekanisma yang membolehkan serangga tersebut bergerak dan melompat daripada permukaan air.

Daripada pemerhatian ini didapati permukaan air perlu ditekan pada kelajuan yang betul dengan jumlah yang tepat sehingga pada kedalaman yang betul untuk membolehkan lompatan. Manakala serangga ‘pencakar air’ ini dapat melakukannya tanpa sebarang kecacatan – Kyu Jin Cho, Associate Professor, Department of Mechanical and Aerospace Engineering juga merupakan Director, Biorobotics Laboratory di Seoul National university.


Ia merupakan salah satu lagi contoh adaptasi dari alam dalam rekaan manusia. Ia bukanlah bertujuan untuk mencipta robot yang mampu menggantikan serangga sebenar, namun memahami bagaimana ia memanipulasikan unsur-unsur lain (dalam rekaan ini adalah tekanan permukaan air) yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk keperluan yang lain.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sabtu, 1 Ogos 2015

Projek Pembinaan Ultrascope dari OSA

Ultrascope boleh dihasilkan sendiri oleh para pengguna.

Sciencemag baru-baru ini memaparkan video yang dikeluarkan oleh OSA (Open Space gency) berkenaan projek terbaru mereka iaitu Ultrascope yang boleh didownload dan dihasilkan menggunakan 3D printer. Kesungguhan daripada ahli-ahli OSA mengambil masa lebih hampir 24 bulan untuk memastikan Ultrascope dapat berfungsi untuk pengguna persendirian.

Sesuai sebagai peralatan persendirian Ultrascope menggunakan peralatan yang telah sedia ada seperti padanan kepada smarthphone sebagai kamera dan juga konsol kawalan dan paparan. Kesemuanya disediakan secara ‘open source’ untuk memudahkan para pengguna menggunakannya dengan mudah. Malah Ultrascope juga direka untuk menjadi telescope yang bukan sahaja mudah dibina tetapi murah dari segi kos pembinaannya.


Pandangan Ultrascope dari hadapan.

Imej yang diambil dari Ultrascope juga akan di ‘upload’ ke dalam simpanan ‘cloud’ secara automatik bagi memudahkan perkongsian secara online. Jadi lebih banyak imej dapat dikumpulkan oleh segenap kumpulan pengguna-pengguna ‘Ultrascope’.

Keseluruhan sistem kawalan bagi Ultrascope dihasilkan menggunakan modul-modul sedia ada seperti Raspberry dan Arduino yang mempunyai harga yang lebih murah berbanding keseluruhan komputer biasa. Ia merupakan impian James Parr iaitu pengasas OSA untuk memastikan ia menggunakan teknologi yang boleh dimiliki oleh semua.


Modul Arduino yang digunakan pada Ultrascope.
Antara bahagian yang dihasilkan menggunakan 3D printer.

Sejurus dengan itu OSA akan melancarkan model dengan kaca berukuran 9 centimeter di “San Diego Maker Faire, California” pada Oktober ini. Dimasa akan datang model dengan cermin berukuran 30 centimeter dengan kemampuan cerapan yang lebih tinggi akan dilancarkan. Ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi termasuk untuk melihat objek-objek yang boleh mendatangkan kemusnahan kepada bumi.


Jadi itu adalah antara kombinasi projek yang sangat berguna menggabungkan keseluruhan peralatan untuk para peminat hobi kejuruteraan mekanikal, elektronik dan komputer menggunakan kesemua bahan/peralatan dari Raspberry Pi, Arduino dan juga 3D printer. Diharap ia sedikit sebanyak memberi inspirasi bagi yang lain.







Free Download



Rabu, 4 Februari 2015

Project Ara Inovasi Telefon Pintar Terbaru Dari Google

Project Ara, satu inovasi memberikan kebebasan pengguna untuk menentukan keperluan telefon pintar mereka.

Project Ara merupakan inovasi telefon bimbit terbaru dari Google di mana pengguna boleh menukar perkakasan yang ada mengikut keinginan pengguna sendiri. Google memberitahu bahawa telefon bimbit ini dicipta untuk "enam bilion pengguna". Google juga mahu menurunkan halangan bagi membolehkan pengeluar perkakasan untuk menghasilkan ratusan ribu pengeluar perkakasan sama seperti Google Play Store menghasilkan ratusan ribu pemaju aplikasi.


Melalui telefon pintar Ara, anda boleh menukar mana-mana modul yang rosak atau pun menaik taraf mana-mana modul yang anda mahu bagaikan memasang permainan Lego. Jadi ini akan menetapi kehendak semua jenis golongan sama ada golongan pengguna biasa, peminat muzik atau peminat tegar permainan video. Google telah menetapkan harga Kit Permulaan bermula pada harga US$50. Telefon bimbit ini telah pun di lancarkan pada persidangan Q1 di Puerto Rico pada Januari 2015.

Pengguna mempunyai kebebasan untuk memadankan sendiri spesifikasi telefon pintar mereka.

Mari kita lihat serba sedikit spesifikasi telefon bimbit Project Ara (berdasarkan apa yang telah diberitahu oleh Google). Telefon bimbit ini akan menggunakan chip dari Toshiba (pada tahun pertama) dan akan menggunakan sistem operanti Android. Telefon pintar Ara akan dikeluarkan dengan tiga saiz iaitu mini, sederhana dan besar. Saiz "mini" di dalam lingkungan saiz Nokia 3310, manakala saiz "Sederhana" di dalam lingkungan saiz LG Nexus 5 dan saiz "Besar" pula di dalam lingkungan saiz Samsung Galaxy Note 3.


Carta Saiz Bingkai

Mini          - 45 x 118 x 9.7 mm - 2 x 5 slot modul

Sederhana - 68 x 141 x 9.7 mm - 3 x 6 slot modul

Besar        - 91 x 164 x 9.7 mm - 4 x 7 slot modul

Saiz-saiz yang ditawarkan untuk sistem telefon Ara.
Google juga mengatakan modul boleh didapati dari laman rasmi Google Store dan mana-mana kedai pihak ketiga. Secara lalai, telefon pintar hanya menerima modul rasmi tetapi anda boleh menukar tetapan perisian untuk membolehkan penggunaan modul yang tidak rasmi. Ini adalah sama seperti bagaimana Android mengendalikan aplikasi ketika pemasangan.


Adakah anda teruja dengan inovasi ini? Yang pasti saya sudah pun teruja dan akan terus mengikut perkembangan mengenai telefon pintar Ara ini.




MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

Sabtu, 8 November 2014

Hyperloop Merupakan Sistem Pengangkutan Darat Terpantas Masa Hadapan

'Hyperloop' memerlukan terowong khas.

Pada masa ini pengangkutan pantas masih lagi dikuasai oleh sistem pengangkutan udara kerana selain daripada mempunyai kepantasan ia juga mampu merentasi halangan bentuk muka bumi dan lautan. Pengangkuan pantas di darat pula masih dikusai oleh keretapi-keretapi magnet (maglev) yang menggunakan sumber tenaga yang tinggi untuk beoperasi.

Untuk terus meningkatkan lagi mutu pengangkutan darat, inovasi terbaru diperlukan bagi mengatasi batasan maksima sistem pengangkutan sedia ada. Maka bagi menjangkaui kemampuan ini pereka inovasi perlu berani menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedia ada.


Hyperloop capsule/pod
Contoh 'capsule' atau 'pod' untuk 'Hyperloop'.

Sistem pengangkutan amat penting bagi memastikan banyak urusan dapat dilakukan dengan lebih pantas. Walaupun sistem pengangkutan udara adalah pantas, tetapi ia memerlukan banyak urusan yang menyebabkan para pengguna perlu meluangkan masa yang panjang seperti ‘daftar masuk’, ‘urusan bagasi’, ‘menunggu’ dan sebagainya yang menyebabkan ia memakan masa yang lebih lama.

Bagi memudahkan lagi para pengguna yang memerlukan pengangkutan pantas bagi destinasi-destinasi penting maka sistem pengangkutan baru iaitu ‘Hyperloop’ dicadangkan dalam menyingkatkan tempoh perjalanan. Sekiranya sistem pengangkutan ini dapat disiapkan, pengguna akan menikmati sistem pengangkutan darat yang mempunyai kelajuan pengangkutan udara. Ini bermakna bukan sahaja ia akan menawarkan perjalanan yang pantas, malah urusan perjalanan yang mudah seperti sistem pengangkutan darat yang lain.

‘Hyperloop’ berbeza dengan sistem pengangkutan darat biasa kerana memerlukan terowong khas. Selain itu juga ia meluncur di atas kusyen udara seperti ‘hovercraft’ dengan kelajuan sehingga 1,223 km/h (760 mph). Pada kelajuan ini ia mampu membawa penumpang dari Los Angeles ke San Francisco dalam masa 30 minit yang berada pada jarak 645 km. Jadi para pengguna dapat memanfaatkan masa yang sebelumnya dihabiskan dengan menunggu dengan perkara yang lebih penting.


Elon Musk
Elon Musk penyumbang idea disebalik 'Hyperloop'.

‘Hyperloop’ diilhamkan oleh pengasas Paypal, SpaceX dan Tesla Motors iaitu Elon Musk yang setakat ini telah membawa perubahan kepada orang ramai dari segi kehidupan dan ekonomi. Sekiranya ia berjaya dilakukan di Los Angeles, maka tidak mustahil ia akan turut di bina di lokasi-lokasi lain bagi menghubungkan bandaraya-bandaraya penting di seluruh dunia.


Hyperloop route
Laluan cadangan sistem 'Hyperloop'.

Perubahan yang diketengahkan oleh sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ jauh berbeza daripada sistem pengangkutan laju darat sedia ada iaitu keretapi magnet (maglev). Ini jelas menunjukkan inovasi berterusan membawa kita keluar daripada sistem keretapi magnet yang telah sekian lama digunakan. Ini kerana sistem tersebut menggunakan kuasa elektrik yang tinggi.

Mungkin ia akan mengambil masa beberapa lama untuk dibina dan diuji dari segi pelbagai aspek. Walaubagaimanapun idea dan usaha untuk membina sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ ini merupakan sesuatu yang perlu dilihat positif. Adalah diharap, bukan ‘Hyperloop’ sahaja yang akan berjaya, malah banyak lagi rekaan yang dapat membawa manfaat kepada manusia di masa-masa akan datang.


Free Download



Arkib Blog