Memaparkan catatan dengan label ibubapa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibubapa. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Jun 2016

Permainan-Permainan Menarik Minat Anak Anda Kepada Sains

Minat kanak-kanak mudah diransang dengan peralatan yang betul.

Sepertimana kita ketahui permainan dan kanak-kanak bagaikan tidak dapat dipisahkan. Walaupun adakalanya permainan menjadikan kanak-kanak leka dan terlupa kepada pelajaran mereka, permainan juga bole melakukan sebaliknya. Walaupun tajuk kita merujuk kepada minat kepada sains, ia juga boleh merujuk kepada sebarang minat yang memberikan hasil yang lebih positif kepada anak-anak anda.

Mengapa Permainan Melekakan?

Kebanyakan permainan direka bertujuan untuk mengisi masa lapang selain menguji keupayaan mental mahupun fizikal seseorang. Namun sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul (tanpa memenuhi objektif permainan), inilah yang menyebabkan permainan tersebut hanya melekakan dan tidak mendatangkan faedah yang positif (melainkan sekadar mengisi masa lapang).

Bagi memastikan permainan dapat merangsang daya pemikiran anak-anak anda  apa yang anda perlu lakukan adalah mengenali sesuatu permainan tersebut  sebelum memberikannya kepada anak anda. Ini tidak bemakna, ianya adalah permainan pilihan anda (anda hanya mengenali permainan kegemaran mereka dan bagaimanakah ianya boleh mendatangkan kesan positif kepada mereka).

Anda juga digalakkan bermain bersama dengan mereka bagi membincangkan objektif permainan supaya mereka memahaminya dengan lebih baik. Ia boleh dilakukan tanpa menghilangkan keseronokan bermain. Malah, ia akan menjadikan permainan lebih efektif dalam mencapai kualiti permainan terbaik. Adakalanya anda boleh bersama-sama mencari objektif permainan ini dengan mereka – dan ini memberikan mereka peluang meluahkan pendapat.

Pemantauan ibubapa memastikan permainan memberikan impak yang labih berkesan.

Berikut adalah beberapa contoh permainan dan bagaimana anda boleh menjadikan ianya lebih baik.

Lego – Lego merupakan permainan senibina (construction) yang adakalanya menguji kreativiti dan kesabaran. Ia mengajar anak anda untuk membuat perancangan, menyusun setiap blok Lego menjadi sebagaimana pelan yang cuba dihasilkan. Bincangkan pelan tersebut dan berilah peluang anak anda mencubanya sebelum memberikan pertolongan untuk membina satu-satu rekabentuk.

Kanta Pembesar – Ia merupakan permainan yang paling ringkas, namun boleh memberikan impak yang sangat besar. Ini kerana pada kanta pembesar mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diterangkan dengan baik (berkenaan sains dan optik). Namun begitu penjelasan ini boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Terangkan bagaimana cahaya dibengkokkan oleh kanta pembesar yang membolehkan objek kelihatan lebih besar. Anda juga perlu menjelaskan bahaya kanta pembesar yang boleh mengakibatkan kebakaran. Ia juga mempunyai kaitan dengan beberapa peralatan yang lain seperti mikroskop dan teleskop.

Globe dapat memberikan gambaran kedudukan geografi sesuatu kawasan.

Globe – Mungkin bukan merupakan sebuah permainan. Namun globe dapat menerangkan kedudukan geografi sesuatu tempat di bumi. Ia juga memberikan gambaran awal kepada anak anda mengenai perbezaan kawasan-kawasan di muka bumi. Pemahaman ini akan berkembang mengikut masa, namun globe merupakan pencetus keinginan kembara di peringkat awal.

Satu lagi permainan yang memerlukan kreativiti dan kemahiran.

Play Doh (clay) – Satu lagi permainan yang membangkitkan kreativiti mereka sesuatu pada anak anda. Ia juga melatih mereka menggunakan kemahiran tangan mereka dalam membentuk play-doh menjadi sepertimana yang diinginkan. Mulakan dengan membentuk objek-objek yang mudah sehingga kemahiran membentuk objek yang lebih kompleks tercapai. Anda boleh menarik minat mereka dengan membina karektor kegemaran mereka, objek-objek yang dilihat daripada alam mahupun kenderaan dan bangunan.

Mewarna melatih daya fokus dan ketekunan.

Buku Mewarna – Juga merupakan aktiviti yang melatih kemahiran melihat dan menyalin (meniru) semula ke dalam buku mewarna. Adakalanya ia juga boleh ditambah dengan sedikit kreativiti dan imaginasi anak-anak anda sendiri. Ia juga melatih kemahiran anak-anak anda menggunakan jari dan tangan mereka untuk menghasilkan sesuatu – iaitu salah satu ciri yang penting bagi menghasilkan kerja-kerja kreatif seperti melukis, mengukir, menjahit, menyulam, menganyam dan bermacam-macam lagi.

Chess melatih kanak-kanak mengatur strategi.

Catur (Chess) – Permainan catur memerlukan kemahiran berfikir yang lebih kompleks. Namun ia merupakan permainan strategi yang amat baik dimulakan pada usia yang muda. Permainan chess dapat melatih seseorang untuk membuat kiraan beberapa langkah dan membuat andaian gerakan lawan. Ini merupakan satu proses yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi.

Permainan magnet mengungkap pelbagai keajaiban dunia sains.

Magnet – Magnet merupakan satu lagi permainan yang penting untuk anak anda. Mengenali magnet sebagai pengenalan kepada bahan yang digunakan dalam kebanyakan peralatan di dalam rumah anda. Magnet juga mempunyai hubungan rapat dengan elektromagnet dan tenaga elektrik. Jadi permainan magnet antara permainan terpenting dalam memberikan pengenalan kepada bagaimana elektrik dihasilkan.

Peralatan muzik berfungsi melalui getaran gelombang bunyi.

Peralatan Muzik – Walaupun ianya adalah peralatan muzik mainan, anda boleh menekankan mengenai bagaimana perbezaan gelombang bunyi (frekuensi) menghasilkan bunyi yang berbeza-beza. Ia juga membawa kepada perbezaan bunyi mengikut peralatan yang dimainkan. Ini boleh menerangkan lagi bagaimana daya pendengaran manusia berbeza daripada daya pendengaran sesetengah hidupan yang lain. Muzik juga merupakan salah satu cabang seni yang memperkembangkan kreativiti.


Kebanyakan permainan direka untuk meransang daya pemikiran atau direka berdasarkan sesuatu prinsip ilmu yang perlu difahami. Anak-anak anda mungkin tidak mampu menghuraikannya sendiri. Maka bantuan anda boleh membantu mereka dalam mendapatkan manfaat yang optimum hasil daripada permainan tersebut. Sekiranya anda tidak memahaminya, usahakanlah mencari jawapan kerana anda juga belum terlambat untuk belajar.



Free Download



Ahad, 29 Mei 2016

Permainan Yang Meningkatkan Minat Anak Anda Kepada Pelajaran

Permainan membantu anak anda memperkembangkan bakat mereka.

Persekitaran dunia moden hari ini jauh berbeza dengan keadaan suatu masa dahulu di mana kanak-kanak banyak berinteraksi dengan dunia luar semasa bermain dan ini membantu merangsang perkembangan otak yang cerdas. Namun hari ini kanak-kanak bergantung dengan permainan-permainan yang disediakan (permainan siap) selain daripada permainan utama iaitu video games.

Sebagai ibubapa ataupun penjaga, menentukan jenis permainan yang betul untuk anak-anak adalah penting. Ini adalah bagi membantu mereka memperkembangkan daya berfikir, kreativiti, membuat keputusan dan sebagainya. Namun tanpa bantuan anda adalah sukar bagi mereka memilih permainan manakah yang boleh memberikan faedah-faedah seperti ini.

Dalam memilih permainan yang sesuai untuk anak-anak anda, pilihlah beberapa ciri utama seperti;

1) Bagaimanakah ia membantu anak anda berfikir dalam menyelesaikan masalah permainan tersebut?

- Permainan seperti Lego merangsang kanak-kanak berfikir dalam menyelesaikan sesuatu rekabentuk yang ingin dihasilkan. Selain itu ia turut merangkumi beberapa faedah yang lain.

- Permainan seperti abacus juga mempunyai faedah yang sama, namun ia memerlukan latihan dan perhatian daripada anda atau individu lain.

Lego antara permainan peransang yang baik.

2) Adakah ia mempunyai kaitan dengan dunia kehidupan seharian terutamanya pendidikan yang merangkumi sains, geografi, astronomi, ekonomi, kreativiti, kognitif dan sebagainya?

- Sesetengah permainan dibina untuk merangsang minat anda terhadap sesuatu bidang kerjaya seperti kedoktoran (set permainan kedoktoran) , astronomi (teleskop), saintis (mikroskop), masakan (set masakan), muzik (peralatan muzik), sukan dan 
sebagainya.

- Sesetengah peralatan permainan lagi dibina menggunakan prinsip-prinsip sains yang boleh meransang minat anak-anak untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut seperti bandul (pendulum), lava lamp, permainan magnet, gyroscope, Magnetic Field Viewer, Super Springy dan macam-macam lagi. Permainan berbentuk ini memerlukan kemahiran anda untuk menerangkan bagaimana ianya berfungsi.

- Permainan-permainan seperti ini merupakan titik tolak menentukan kecenderungan anak-anak anda diperingkat awal. Sebaiknya bentuklah mereka mengikut minat mereka berbanding mengikut kemahuan anda.

Permainan sains dan astronomi.

Permainan yang menguji minda.

3) Adakah ia membantu dalam memberikan faedah-faedah lain seperti sensor motor, keseimbangan dan faedah berkaitan kesihatan?

- Sesetengah peralatan permainan mempunyai faedah lain seperti kesihatan dan fleksibiliti sistem badan. Permainan seperti “roller blade”, “skateboard”, badminton, basikal ataupun peralatan kesukanan yang lain mempunyai faedah seperti ini. Pada masa yang sama peralatan permainan ini turut memberi faedah kepada kemahiran berfikir.

- Bagi permainan seperti ini, ibu bapa dan penjaga perlulah memastikan anak-anak mendapat latihan yang cukup serta mematuhi garis-garis keselamatan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

"Roller blades" memerlukan daya imbangan yang tinggi.

4) Bagaimanakah anda boleh membantu untuk menjadikan permainan tersebut mencapai faedah seperti yang diinginkan?

- Ibubapa atau penjaga perlu memastikan bagaimana permainan-permainana yang dipilih dapat memberikan faedah yang positif kepada perkembangan pendidikan dan pemikiran anak-anak. Ini membolehkan ibubapa atau penjaga memastikan objektif permainan tersebut dicapai.

-  Walaupun ini kelihatan seperti membebankan, namun ia akan lebih menyeronokkan apabila anda sendiri terlibat dengan permainan yang dimainkan oleh anak-anak anda. Secara tidak langsung menjadikan mereka lebih fokus kepada hasil permainan mereka.

- Sesetengah permainan juga memerlukan latihan tambahan seperti muzik dan sukan professional. Ibubapa yang dapat mengesan bakat kecenderungan anak-anak mereka di peringkat awal akan berpeluang membantu mereka mengasah bakat ini diperingkat awal.


"Magnetic globe" - menggunakan prinsip magnetic.

Permainan magnet yang menarik "klikyballs".

Masih terdapat banyak ruang untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat hiburan yang berfaedah. Melalui pemantauan dan penglibatan kita dengan lebih aktif memastikan mereka dapat memperkembangkan minat, kebolehan serta bakat mereka. Ia juga memberi peluang kepada anda menerokai sesuatu yang baru sekiranya anda belum pernah terlibat dengan minat mereka tersebut. Ia juga dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.


Free Download



Jumaat, 11 Mac 2016

Mengajar Anak-Anak Anda Menjadi Lebih Minat Tentang Pelajaran

Menarik minat kanak-kanak amat mudah sekiranya betul caranya.

Sering kedengaran ibu bapa mengeluh melihat anak-anak mereka yang lebih suka bermain daripada membaca buku dan membuat ulangkaji. Ia menjadi lebih serius apabila anak-anak mereka akan menghadapi peperiksaan penting seperti SPM, PMR, UPSR dan sebagainya? Mengapa anak anda sukar menumpukan perhatian mereka kepada bahan pendidikan?

Sudah menjadi lumrah bagi kanak-kanak melakukan apa yang mereka rasakan menggembirakan bagi mereka. Sebenarnya mengajar kanak-kanak bukanlah sukar. Apa yang penting, bagaimanakah caranya untuk membuatkan bahan pelajaran tersebut lebih menyeronokkan. Tahukah anda, sebagai ibu bapa anda lebih berpeluang untuk mencorakkan minat mereka berbanding guru mereka di sekolah?


Kanak-kanak mudah mengikut apa yang anda lakukan berbanding apa yang anda katakan.

Mari kita lihat beberapa eksperimen mudah yang anda boleh lakukan kepada anak-anak anda yang membuatkan mereka tertanya, “bagaimanakah anda melakukannya?”. Ini adalah salah satu kaedah yang menarik dan menyeronokkan apabila dilakukan bersama-sama seisi keluarga. Eksperimen-eksperimen mudah ini membuktikan anda juga mempunyai kemahiran dalam membuktikan sesuatu.

Telur Terapung

Bahan-bahan:

·        Telur
·         Air
·         Garam
·         Gelas (yang membolehkan telur terapung)


Sebaiknya sediakan dua biji gelas dan dua biji telur. Masukkan air biasa ke dalam gelas yang pertama. Manakala cairkan sehingga 6 sudu besar garam ke dalam gelas yang kedua. Jangan isikan terlalu penuh bagi membolehkan telur dimasukkan kemudiannya.

Minta anak anda memasukkan telur ke dalam gelas yang pertama; dan lihat hasilnya. Anda akan memasukkan telur ke dalam gelas yang kedua; dan lihat hasilnya pula. Bincangkan bersama anak-anak anda tentang perkara tersebut. Mulakan dengan bertanya beberapa soalan kepada mereka?

Mencampurkan Air dan Minyak

Bahan-bahan:

·         Bekas (gelas atau bekas minuman)
·         Air
·         Pewarna makanan
·         Sedikit minyak
·         Cecair pencuci pinggan

    Warnakan air dengan pewarna makanan untuk memudahkan kesan eksperimen ini nanti. Kemudian masukkan sedikit air tersebut ke dalam bekas. Masukkan pula minyak ke dalam bekas tersebut. Tutup dan goncangkan bekas; perhatikan apa yang akan berlaku. Minyak dan air akan berpisah semula mengikut kumpulan masing-masing.

    Masukkan pula sedikit cecair pencuci pinggan mangkuk, dan goncang semula bekas tersebut; perhatikan semula apa yang akan berlaku. Minyak dan air kini bergabung oleh kerana molekul sabun menarik kedua-dua molekul minyak dan air. Ia dipanggil sebagai bahan pengemulsi dan memudahkan kerja-kerja membersihkan permukaan berminyak.

    Mencucuk Kentang Dengan Straw

    Bahan-bahan:

    ·         Straw plastik yang masih baik (tidak koyak atau bocor)
    ·         Kentang



    Mulakan eksperimen anda dengan menggunakan straw yang tidak ditutup hujungnya dan tikamkan kepada kentang. Minta pula anak anda melakukan ini beberapa kali.

    Lakukan sekali lagi menggunakan straw yang baru (yang lama boleh digunakan sekiranya masih baik). Kali ini tutup hujungnya menggunakan ibu jari anda. Tikam kentang dengan pantas; perhatikan apa yang berlaku kali ini. Bincangkan bersama anak anda bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.

    Meletupkan Belon Dengan CO2

    Bahan-bahan:

    ·         Belon
    ·         Sedikit air (anggaran 40 ml – 4 sudu besar))
    ·         Botol air minuman – hujung untuk dimasukkan belon, sebaiknya botol kaca yang kuat.
    ·         Straw atau batang plastik yang panjang seperti ‘chop stick
    ·         Jus lemon
    ·         1 sudu kesil ‘baking soda’.



    Regangkan belon untuk memudahkan ianya mengelembung. Masukkan 40 ml ari ke dalam botol. Masukkan pula baking soda ke dalam air tersebut dan kacau dengan straw sehingga ianya larut. Masukkan pula jus lemon dan dengan pantas masukkan hujung belon ke muncung botol.

    Tindak balas ‘baking soda’ dan lemon akan menghasilkan karbon dioksida (CO2) dan ia akan mengembangkan belon anda sehingga meletup. Sebaiknya ianya dilakukan di luar rumah dan anak-anak anda amat menyukainya.


    Minat anak-anak banyak dipengaruhi oleh ibu bapa. Ini kerana anak-anak anda sentiasa memerhatikan setiap perbuatan anda. Agak sukar mengulangkaji pelajaran sekiranya anda hanya menghabiskan masa dengan menonton TV di rumah. Banyakkan berbincang sesekali dengan mereka tentang perkara-perkara menarik mengenai pelajaran dan juga jangan lupa berikan pujian sekiranya mereka menunjukkan kemajuan; berikan sokongan sekiranya mereka tidak dapat memberikan jawapan yang betul pula.



    Free Download



    Rabu, 29 April 2015

    Kanak-kanak Pintar Jacob Bernett

    Jacob Bernett
    Jacob Bernett percaya setiap orang mampu memiliki kepintaran seperti beliau.

    Kisah kepintaran Jacob Bernett sudah mendapat liputan yang meluas, namun di sini ingin dikongsikan sekali lagi sebagai peransang kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka. Dikesan sebagai Autism pada peringkat awal pembesarannya dia dikatakan tidak akan mampu belajar bercakap dan membaca – malah tidak tahu mengikat tali kasutnya. Sehingga kini Jacob kelihatan tidak mengikat tali kasut ketika hadir dalam ucapannya di TEDx.

    Sebagai ibu bapa yang diberitahu mempunyai anak yang bermasalah sudah tentu akan merasa gelisah. Ibu bapanya yang kemudiannya mengambil keputusan untuk mengajar Jacob di rumah. Kisah bagaimana ibunya mengasuh Jacob ini dimuatkan dalam buku “The Spark: A Mother’s Story of Nurturing Genius”.

    Kisah mengenainya bermula semasa dia berumur 8 tahun mengikuti kelas fizik di Indiana University. Manakala pada usia sembilan tahun pula telah membina siri model matematik yang membesarkan cabang teori relativiti Einstein dan ini turut mendapat perhatian professor daripada Princeton University. Pada usia 12 tahun pula dia dibenarkan menyertai universiti secara sepenuh masa dan menerbitkan kertas fizik pertamanya.

    Jacob sewaktu muncul di TEDx.

    Kanak-kanak pintar ini sangat tertarik dengan subjek matematik dan sains. Perbezaan yang ketara pada Jacob hanyalah minat  dan tumpuannya pada subjek yang digemarinya. Berkata di TEDx bahawa setiap orang mampu memiliki kemampuan seperti beliau sekiranya tumpuan pemikiran tersebut diberikan.

    Berikutan minat mendalam itulah, Jacob menukarkan bilik di rumahnya menajdi makmal – melalui duit yang dimenanginya dalam pertandingan. Malah di kelihatan akan menulis formula matematik/fizik hampir di setiap ruang kosong di rumahnya sehingga ke tingkap.


    Jacob, kanak-kanak istimewa.

    Kisah mengenai jacob Bernett ini boleh diikuti dari beberapa artikel tersedia di internet dan video-video di You Tube serta TEDx. Bukanlah mudah untuk menerima apa yang pada awalnya diberitakan oleh para doktor mengenainya – namun begitu dengan ketabahan ibu bapanya dalam usaha memberikannya yang terbaik telah membuahkan hasil. Satu yang perlu diingat – Setiap manusia adalah istimewa. 






    MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.

    Arkib Blog