Memaparkan catatan dengan label hutan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hutan. Papar semua catatan

Khamis, 29 Disember 2016

Hutan Dalam Bandar, KL Eco Park

KL Eco Park, taman unik di tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

KL Eco Park bukanlah satu lokasi baru, ia sebelumnya dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Ia merupakan kawasan yang dikhaskan sebagai hutan simpan semenjak 1906 lagi. Lokasinya berhampiran Menara Kuala Lumpur menambahkan lagi keunikan kedua-dua lokasi penting ini dan memudahkan lawatan daripada para pengunjung.

KL Eco Park mempunyai tarikan tersendiri bagi para pelawat dengan menyediakan laluan-laluan khas seperti Laluan Merbau (360m), Laluan Jelutong (300m) dan Laluan Kanopi (200m) dengan ketinggian 21 meter di atas pokok. Ia merupakan antara tarikan yang membantu para pengunjung untuk mengenali hutan tropika dengan lebih dekat.

Gerbang di KL Eco Park. 

Dahulunya dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nanas.

Antara laluan di KL Eco Park.

Secara keseluruhannya terdapat sekitar 233 spesis pokok dan 12 spesis haiwan yang menjadikan KL Eco Park sebagai habitat mereka. Manakala spesis haiwan-haiwan tersebut tidak termasuk burung-burung yang kebiasaannya dilihat melewati taman ini pada masa-masa tertentu.

Walaupun bayaran masuk ke taman ini adalah PERCUMA, cadangan untuk mengenakan bayaran kepada para pengunjung untuk masa akan datang telahpun disuarakan. Bayaran yang dikenakan adalan untuk membantu kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan dengan lebih kerap dalam memastikan kemudahan taman berada dalam keadaan yang baik. Harga tiket yang dicadangkan adalah RM12 bagi dewasa dan RM4 bagi kanak-kanak. Manakala tiket bagi pelancong pula adalah RM40 dewasa dan RM18 bagi kanak-kanak.

Titian 'Canopy Walk'.

Melalui laluan 'Canopy Walk'.

Berlatar belakangkan Bandaraya Kuala Lumpur.

Laluan ke 'Canopy Walk'.

Sekiranya anda berminat untuk melihat lebih lanjut keunikan KL Eco Park bolehkah mengunjungi taman ini dengan segera sementara ianya masih lagi percuma. Bayaran tiket masuk tersebut tidaklah terlalu tinggi sekiranya taman ini dapat mengekalkan kemudahan yang baik dan juga pengurusan yang efektif.

Waktu lawatan adalah di antara 7:00 am hinggalah 6:00 pm setiap hari.

Untuk maklumat lanjut, anda bolehlah menghubungi:

Forestry Department of Peninsular Malaysia Headquarters,
Jalan Sultan Salahuddin, 50660 Kuala Lumpur.

Phone No: +603-2070 6342
Fax No: 603-2692 5657
Hotline : 1-800-88-5776

Email : webmaster@forestry.gov.my
website: www.forestry.gov.my








Free Download



Ahad, 15 Mei 2016

Mengenali Tumbuhan Hutan Tropika di Taman Rimba Alam, Putrajaya

Tumbuhan unik yang sukar ditemui.

Hutan Tropika mengandungi pelbagai jenis hidupan dan spesis kayu-kayan yang selama ini merupakan bahan penting dalam pembinaan mahupun lain-lain kegunaan manusia. Samada kayu keras untuk kegunaan bahagian-bahagian penting dalam pembinaan rumah, mahupun kayu separa keras atau lembut untuk kegunaan-kegunaan lain seperti dinding dan perabot. Namun hari ini spesies-spesies kayu-kayan ini bukan sahaja semakin sukar ditemui, malah ia juga tidak dikenali lagi.

Bagi mengenali serba sedikit pokok-pokok hutan yang penting di negara kita, mahupun di negara-negara berhampiran terutamanya SE Asia, Taman Rimba Alam di Putrajaya merupakan antara tempat terbaik untuk anda mulakan. Taman ini menempatkan beberapa spesies liar tumbuh-tumbuhan terancam, mahupun tumbuhan yang biasa dimakan dan digunakan untuk tujuan pembinaan dan sebagainya.





Walaupun persekitaran tanaman tidak menyamai persekitaran asal tumbuh-tumbuhan, ia setidak-tidaknya memudahkan anda mengenali pokok-pokok ini dari segi rupa bentuk batang, daun, bunga dan buah. Ciri-ciri ini sukar diperhatikan di habitat asal mereka di dalam hutan. Ini kerana pokok-pokok di hutan mempunyai dahan yang lebih tinggi dan kerja-kerja mengenal bahagian pokok (seperti daun, bunga dan buah) sukar dilakukan melainkan dibantu oleh mereka yang berpengalaman.

Di taman ini terdapat beberapa bahagian utama mengikut kelas-kelas yang dibahagikan. Jadi untuk memudahkan anda mencari pokok-pokok tertentu anda perlu menyemak peta taman ini samada yang disediakan di sekitar taman ataupun di dalam ‘brochure’ yang disediakan. Taman ini juga terdiri daripada bahagian lembah dan berbukit, jadi anda perlu bersedia untuk melakukan aktiviti yang sedikit memenatkan. Ambil masa yang mencukupi untuk berehat dan juga menjelajah sekitar taman dengan selesa. Anda juga dinasihatkan menyediakan krim penghalau serangga bagi mengelakkan gigitan nyamuk dan serangga-serangga lain.

Pokok-pokok yang ditanam di sini amat unik, kerana kebanyakannya adalah terdiri daripada tumbuh-tumbuhan penting kepada manusia seperti cengal, meranti, kempas, jelutong, merbau, keranji, kekatong, petai, sepetir licin, balau kumus, kayu manis, tampoi dan macam-macam lagi. Anda boleh membuat tinjauan dengan lebih terperinci berkenaan pokok-pokok tersebut di sini kerana anda berada dalam keadaan yang selesa (taman yang diselenggarakan); perkara ini sukar dilakukan sekiranya anda berada di dalam hutan yang mempunyai kepadatan tumbuhan yang tinggi. Anda mudah melakukan kesalahan tanpa bantuan mereka yang berpengalaman.

Kayu manis antara tumbuhan rempah terpenting.



Adakalanya anda mungkin terserempak dengan tumbuhan-tumbuhan lain.

Berada di taman ini membolehkan proses mengenali pokok berjalan dengan lebih mudah berbanding melihat gambarnya sahaja. Melalui gambar anda tidak dapat mengenali pokok-pokok ini dengan tepat kerana gambar tidak dapat memberikan kesan sebenar tekstur satu-satu permukaan. Selain itu sesetengah pokok turut mempunyai ciri-ciri khusus seperti bau, rerambut halus, saiz batang dan daun yang perlu anda amati dengan teliti. Maka, berada di sini adalah lebih baik berbanding melihatnya melalui gambar mahupun video.


Dengan melawati taman ini sedikit sebanyak dapat membantu anda dan anak-anak anda mengenali tumbuhan-tumbuhan berguna yang satu masa dahulu amat penting kepada masyarakat. Ini dapat menambahkan lagi kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar dan penghargaan kepada sumber alam. Selain daripada Taman Rimba Alam di Putrajaya, anda juga boleh melawat ke FRIM di Kepong. Hargai keunikan hutan di negara kita.

Daun dari pokok simpoh gajah. Lihatlah saiznya!


Free Download



Rabu, 29 Julai 2015

Keunikan Dunia Haiwan Landak

Landak yang sedia untuk mempertahankan dirinya.

Landak termasuk di dalam haiwan-haiwan rodensa (rodents) di bawah sub-order Hystricidae yang mempunyai beberapa spesis dengan taburan di beberapa kawasan di dunia dengan spesis yang berlainan daripada Asia Tenggara, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Haiwan landak mudah dikenali dengan badannya yang dipenuhi dengan bulu berbentuk duri.

Antara spesis yang terkenal di Asia Tenggara dan kawasan-kawasan berhampiran adalah ‘Malayan Porcupine’ juga dikenali sebagai ‘Himalayan porcupine’ (Hystrix brachyura) yang mempunyai taburan daripada Nepal sehingga ke bahagian Utara-timur India. Taburannya menjangkau sehingga ke Selatan China (Xizang, Hainan, Yunnan, Sichuan, Chongqing, Guizhou, Hunnan, Guangxi, Guangdong, Hong Kong, Fujian, Jianxi, Zhejiang, Shanghai, Jiangsu, Anhui, Henan, Hubei, Shaanxi, Gansu), Myanmar, Thailand, Lao, Cambodia, Vietnam, Semenanjung Malaysia, Singapore, Sumatra dan Borneo.

Antara speis-spesis lain landak termasuklah;

Crested Porcupine (Hystrix cristata)

Indian Porcupine (Hystrix indica)

Sumatran porcupine (Hystrix sumatrae)

Long-tailed porcupine (Trichys fasciculata)

African brush-tailed porcupine (Antherurus africanus)

Landak-landak di benua Amerika;

North American porcupine lebih suka menghabiskan masa di atas pokok.

North American porcupine (Erethizon dorsatum)

Brazilian porcupine (Coendou prehensilis)

Bicolor prehensile-tailed porcupine (Coendou bicolor)

Stump-tailed porcupine (Echinoprocta rufescens)

Indian Crested porcupine dari India.

Terdapat kira-kira 29 spesis landak daripada family Erethizontidae (dari genus; Coendou, Sphiggurus, Erethizon, Echinoprocta, dan Chaetomys) dengan pelbagai saiz daripada yang terkecil Rothschild's Porcupine dari Amerika Selatan dengan berat kurang daripada satu kilogram (2.2 lb). Manakala Crested porcupine dari Italy, Sicily, Afrika Utara dan sub-Sahara Afrika boleh mencapai berat sehingga 27 kg (60 lb).

Spesis landak di Amerika Utara mempunyai cara hidup yang berbeza dengan landak-landak Asia yang biasanya hidup di dalam lubang. Landak-landak Amerika Utara lebih menghabiskan masanya di atas pokok.  Bicolor prehensile-tailed porcupine misalnya mempunyai ekor yang akan dilitkan pada dahan pokok untuk mengelakkan ia daripada jatuh semasa memanjat.

Brazillian porcupine mempunyai bulu yang lebih pendek.
Malayan porcupine mencari makanan dari lantai hutan.

Landak tidak boleh menembak durinya apabila diganggu. Namun ia akan mengembangkan duri-durinya ini untuk menghalang pemangsa mengganggunya. Apabila tercucuk pada pemangsa ia akan mudah tertanggal dan sukar ditanggalkan (kerana duri mempunyai sisik-sisik halus yang menghalang ia daripada tertanggal). Bulu-bulu yang tertanggal akan tumbuh semula. Landak dari Amerika Utara mempunyai bulu yang paling lebat dengan kira-kira 30,000 atau lebih bulu pada seekor landak.

Ibu landak akan melahirkan antara seekor sehingga 4 ekor anak bergantung kepada spesis. Semasa dilahirkan, duri-duri pada anak landak adalah lembut dan akan mengeras dalam tempoh beberapa hari. Anak-anak landak akan mencari makan sendiri setelah tempoh 2 bulan di dalam sarang.


Landak merupakan haiwan herbivor yang suka memakan pucuk tumbuhan. Ia akan menyelinap di lantai hutan atau belukar – atau memanjat pokok seperti spesis di Amerika Utara. Landak adakalanya boleh sampai berhampiran kawasan yang didiami oleh manusia untuk mencari makanan daripada buah-buahan yang jatuh.


Free Download



Khamis, 5 Mac 2015

Mengenali Hutan Malaysia di FRIM

Keruing
Keunikan pokok kapur yang dapat dilihat daripada bawah pokok ini. Gambar: myrokan.com

Bagi warga kota yang tinggal di Kuala Lumpur dan kawasan yang berdekatan mungkin akan berasa sedikit keberatan untuk menjelajah keluar kota bagi melawat kawasan hutan hujan di negara kita. Kawasan-kawasan menarik di luar bandar seperti Taman Negara, Gunung Kinabalu, kawasan-kawasan air terjun di luar bandar mungkin agak sukar dilawati bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Namun begitu, bagi mendapat serba sedikit pengalaman sedemikian warga kota bolehlah berkunjung ke FRIM (Forest Reaearch Institute Malaysia) yang terletak tidak jauh dari ibu kota.

Melalui lawatan anda ke FRIM anda bukan sahaja dapat merasai suasana berada di kawasan hutan Malaysia, malah di sini anda boleh merasa pelbagai keadaan yang berbeza daripada segi tumbuh-tumbuhannya mahupun suasana seperti kawasan jeram, bukit-bukau, paya dan sebagainya. Ini kerana kawasan di sini dirancang bukan sahaja untuk mendidik para pengunjung malah juga untuk tujuan peyelidikan. Sekiranya anda menjejakkan kaki dan menjelajahi kawasan ini, anda telahpun menjelajah sebahagian besar keadaan kawasan hutan di negara kita.

Kawasan yang diliputi oleh FRIM adalah seluas 545-ha dengan kawasan yang meliputi pelbagai keadaan muka bumi. Tujuan asalnya untuk menjalankan kajian yang dapat memberikan manfaat dalam penggunaan mahupun pemuliharaan sumber hutan. Dengan adanya pusat kajian ini, sumber hutan negara kita dapat diselenggarakan dengan lebih efektif dan sistematik. Ini dapat mengelakkan kepupusan sesetengah spesis tumbuhan malah dapat memanfaatkannya pula sekiranya sesuatu tumbuhan tersebut boleh digunakan secara komersil.

Kawasan FRIM yang luas ini dibahagikan kepada beberapa blok untuk memudahkan para pengunjung membuat tinjauan semasa berkunjung ke sini. Terdapat banyak tarikan yang boleh memberikan sedikit sebanyak pengetahuan baru kepada para pengunjung. Kawasan-kawasan ini boleh dilihat di dalam  peta kawasan yang terdapat di tempat-tempat utama lawatan. Sekiranya pengunjung perlu mendapatkan maklumat yang lebih lanjut mahupun bantuan, maka pengunjung bolehlah melawat ke FRIM One Stop Centre yang boleh memberikan bantuan yang diperlukan.

Tarikan-tarikan Utama;

Terdapat banyak tarikan yang disediakan untuk para pengunjung yang berkunjung ke sini. Selain daripada tarikan dari segi tumbuh-tumbuhan mahupun kawasan-kawasan riadah yang disediakan. Ia juga sering menjadi kawasan yang dijadikan sebagai laluan untuk berjogging mahupun aktiviti berbasikal pada hujung minggu oleh ramai warga kota.

Canopy Walkway
Canopy walkway yang perlu dikunjungi.


Canopy Walkway


Canopy Walkway merupakan antara tarikan utama semenjak ianya dibina bagi tujuan kajian flora dan fauna (pada ketinggian yang tidak dapat dilihat dari bawah). Ianya dibina pada tahun 1992 dengan kepanjangan binaan sepanjang 150 meter.

Terletak di atas kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong pada ketinggian kira-kira 300 meter dari aras laut ia juga turut menyediakan panorama menarik kawasan berhampiran termasuk pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur. Melalui titian ini, anda dapat melihat keadaan hidupan yang berada di atas pokok selain daripada debaran melalui titian itu sendiri.

Untuk melalui titian ini, anda perlu mendapatkan tiket daripada FRIM One Stop Centre, kerana ianya hanya dibuka untuk waktu-waktu tertentu sahaja. Bagi tujuan keselamatan pengunjung adalah penting bagi mematuhi setiap peraturan yang diberikan oleh pihak pengurusan.

Keadaan dari atas 'Canopy Walkway'.


Laluan-laun Khusus


Terdapat beberapa laluan khusus yang menarik untuk dilawati para pengunjung seperti ‘Keruing Trail’, ‘Salleh Nature Trail’, ‘Engkabang Trail’, ‘Rover Track’, ‘Sebasah Trail’ dan ‘Razak Walk’. Setiap laluan-laluan ini mempunyai keunikan tersendiri yang mungkin menarik minat pengunjung-pengunjung tertentu. Manakala nama laluan mungkin diberikan sempena nama tumbuh-tumbuhan tertentu mahupun sempena nama tokoh-tokoh yang berkaitan dengan Insitusi FRIM ini.

Bagi saya sendiri laluan yang menarik ingin dilawati semasa melawati FRIM adalah ‘Keruing Trail’ yang dinamakan sempena pokok dari family: Dipterocarpaceae yang juga dikenali sebagai pokok kapur. Keunikan pokok ini adalah daunnya yang tidak menyentuh antara pokok-pokok lain dapat dilihat dengan jelas daripada bawah. Selain itu juga pokok kapur telah digunakan oleh masyarakat setempat sejak dahulu lagi bagi menghasilkan bahan bauan. Bagi melihat pokok ini dengan lebih jelas, satu-satunya tempat yang paling sesuai adalah di FRIM.

Keunikan alam di FRIM.

Banyak lagi perkara yang anda perlu tahu mengenai taman yang unik ini. Bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut anda bolehlah melawati laman web FRIM untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Manakala pengalaman yang menarik hanya akan anda alami apabila berkunjung ke sini nanti. Untuk sebarang maklumat atau tempahan untuk ‘Canopy Walk’ pula anda bolehlah membuat tempahan awal dengan menghubungi ‘FRIM One Stop Centre’ dengan nombor seperti yang tertera di bawah.

FRIM One Stop Centre
Tel: 03-62797592 / 03-62797649
Fax: 03-62804619

Email: frim_enquiry@frim.gov.my


Free Download



Arkib Blog