Memaparkan catatan dengan label hadiah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hadiah. Papar semua catatan

Isnin, 13 Disember 2021

Pokok Hiasan Menarik Menjelang Christmas, Poinsettia

Poinsettia, tumbuhan menarik yang kurang dikenali.

Tumbuhan cantik yang mudah dilihat dari jauh, amat menarik perhatian kerana warnanya yang menarik. Tumbuhan yang amat diminati menjelang perayaan Christmas ini lebih dikenali sebagai Poinsettia (Euphorbia pulcherrima). Oleh kerana di negara kita Malaysia, tumbuhan ini hanya dikenali sejak kebelakangan ini, banyak perkara mengenai tumbuhan ini yang tidak diketahui, malah mungkin ada yang menganggapnya hanya sesuai bagi mereka yang beragama Kristian sahaja. Jadi, kali ini kita ingin mengenali satu lagi tumbuhan istimewa yang amat menarik.
 
Kali pertama saya melihat tumbuhan ini adalah pada tahun 2010, ketika melawat ke Genting Highlands menjelang perayaan Christmas. Semenjak dari itu, ia lebih popular dan lebih selalu dilihat terutamanya di pusat-pusat membeli belah menjelang perayaan Christmas. Warna daunya yang terdiri daripada dua warna yang amat ketara perbezaannya iaitu hijau gelap dan merah terang, mudah sekali menarik perhatian bagi yang melihatnya. Oleh kerana warna ini juga merupakan warna kebanyakan hiasan bagi perayaan Christmas, maka ia menjadi salah satu tumbuhan yang dijadikan bukan sahaja hiasan, malah hadiah menjelang perayaan ini.

 
Adakah tumbuhan ini mempunyai kaitan istimewa berbentuk keagamaan bagi penganut-penganut Kristian? Tumbuhan ini sebenarnya berasal daripada Mexico dan bahagian tengah Benua Amerika yang mempunyai iklim yang agak panas. I mula diperkenalkan di Amerika oleh diplomat Amerika yang bertugas di Mexico pada lewat 1820. Pegawai tersebut yang juga dikenali sebagai Joel Poinsett, dimana tumbuhan tersebut mendapat namanya, juga merupakan ahli kongress dan pengasas bagi Smithsonian Institution. Semenjak daripada pengenalan tersebut, tumbuhan ini melalui banyak fasa pembangunan dan perubahan yang membawa populariti nya menjadi tumbuhan penting menjelang perayaan Christmas setiap tahun.

Saiz sebenar Poinsettia boleh mencapai sehingga 12 kaki tinggi.

Selain berwarna merah, Poinsettia juga mempunyai pelbagai warna.

Tumbuhan ini pada asalnya merupakan tumbuhan yang tumbuh di kawasan-kawasan lereng-lereng berbatuan di Guatemala dan Mexico. Ia ditanam oleh orang-orang Mayan dan Aztec bagi menggunakannya dalam menghasilkan pewarna pakaian berwarna purple-kemerahan, dengan getah yang mempunyai fungsi perubatan.
 
Ia turut digunakan sebagai hiasan bagi rumah-rumah bagi budaya pagan, dalam perayaan pertengahan musim sejuk. Walaupun pada mulanya ia tidak disenangi, namun ia diterima oleh gereja awal menjelang 600 AD. Ia mula dikaitkan dengan perayaan Christmas di Selatan Mexico menjelang 1600’s, apabila paderi Franciscan menggunakan daun-daun berwarna tumbuhan tersebut bagi mengimarahkan hiasan “nativity scenes”.
 

Berbalik ke Amerika, tumbuhan istimewa ini terus diperkenalkan semenjak ianya mula dibawa masuk pada tahun 1827. Malah ia turut dipasarkan dengan menghadiahkannya kepada stesyen-stesyen TV dan Rumah Putih bagi membolehkan lebih ramai orang mengenali nya - dan menghubungkannya dengan perayaan perayaan (Christmas dan juga peringatan ulang tahun kematian Joel Poinsett pada 12 December, 1851).

Kemajuan teknologi banyak membantu industri ini berkembang membolehkan Poinsettia dipasarkan seperti hari ini.

Beberapa variasi Poinsettia yang sedia untuk dipasarkan.

Poinsettia merupakan pokok yang popular menjelang perayaan Christmas. Pada tahun 2014 kira-kira 33 juta pokok dihasilkan oleh penanam tumbuhan di Amerika. Lebih dari 11 juta dihasilkan di California dan North Carolina, yang merupakan pengeluar terbesar. Jumlah ini bernilai $141 juta dengan pertumbuhan pada kadar 5% setiap tahun. Populariti nya juga semakin meningkat di negara-negara lain seperti United Kingdom, Australia, Jepun, China dan negara-negara lain.
 
Dalam keadaan liar, tumbuhan ini boleh tumbuh sehinga mencapai ketinggian 12 kaki atau bangunan setingkat. Namun, kepesatan teknologi membolehkan tumbuhan bersaiz kecil dihasilkan. Malah, penanam-penanam Poinsettia mampu menghasilkan jumlah tumbuhan yang banyak bagi memenuhi permintaan bagi tempoh masa yang singkat (menjelang perayaan Christmas). Oleh kerana tumbuhan ini berasal dari Mexico, ia tidak sesuai untuk cuaca sejuk di bawah 12 darjah Celcius, dan perlu disimpan di dalam rumah bagi negara-negara bercuaca sejuk.

 
Selain daripada itu, terdapat pelbagai varieti Poinsettia turut dihasilkan hari ini dengan daun-daun berwarna merah jambu, krim, putih, gabungan warna dan sebagainya. Saiznya juga dikecilkan bagi memudahkan proses penanaman di dalam rumah dan juga untuk tujuan hiasan. Oleh kerana, ia kurang difahami, tumbuhan ini kebiasaannya dibuang selepas tempoh perayaan.

Selain sebagai hiasan, Poinsettia amat popular sebagai hadiah semasa perayaan Christmas.

Melalui kefahaman ini, maka, Poinsettia merupakan tumbuhan hiasan yang berpotensi untuk negara-negara beriklim tropika. Cuma penjagaannya perlu diberikan perhatian, kerana ia agak sensitif terhadap penyiraman air yang tidak boleh bertakung, namun tidak juga sesuai dengan keadaan yang kering. Selain itu, ia juga perlu berada dalam keadaan pencahayaan yang betul bagi menghasilkan daun dengan warna yang lebih terang. Jadi, ia merupakan antara tumbuhan yang bakal menjadi tanaman hiasan pilihan yang akan saya cuba. Di dalam artikel yang lain, mungkin kita akan melihat beberapa lagi perkara menarik mengenai tumbuhan ini.
 
 

Ahad, 12 Ogos 2012

Kain Pelikat Pakain Selesa Masyarakat Serata Dunia



Kain pelikat merupakan antara kelengkapan harian yang biasa bagi kita Orang Melayu. Malah di negara kita Malaysia, kain ini turut dipakai oleh bangsa-bangsa lain juga. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyangka banyak lagi masyarakat di dunia yang lain turut memakai kain pelikat dalam kehidupan seharian mereka. Artikel saya kali ini menampilkan kain pelikat bersempena hari raya yang hampir tiba dan teringatkan kain pelikat yang sering saya jadikan sebagai 'cenderahati' untuk hari yang istimewa ini. Mungkin pemakaian kain pelikat tidak se 'gah' pakaian berjenama yang lain, tetapi dapat menampilkan ciri-ciri keunikan nilai budaya yang tinggi.

Kain pelikat sememangnya selesa dipakai kerana ianya memudahkan pergerakan. Keadaan kain yang hanya diikat di bahagian atas kain menjadikan si pemakai merasa lebih sejuk kerana aliran udara yang lancar. Bagi kain pelikat yang dibuat menggunakan benang yang bermutu pula keselesaannya lebih terasa disamping kain kelihatan lebih menarik. Terdapat banyak variasi dari segi corak dan bahan buatan kain yang lebih dikenali sebagai 'sarong' ini.

Bagi kita hari ini kain pelikat mungkin hanya dipakai di rumah atau semasa ke masjid/ surau ketika menunaikan sembahyang. Malah bagi sesetengah orang memakai kain pelikat ketika tidur merupakan satu kemestian untuk mendapatkan keselesaaan. Saya juga tidak lupa membawa sehelai kain pelikat setiap kali melancong ke mana-mana. Kain pelikat juga pernah saya berikan sebagai hadiah kepada teman-teman yang berasal dari luar negara sebagai tanda pertukaran budaya.

Seorang tua Somalia memakai pelikat
Kain pelikat sebenarnya bukan hanya digunakan oleh masyarakat kita Orang Melayu sahaja malah popular di kalangan orang India, Bangladesh, Sri Lanka, Yaman dan Somalia. Mungkin perbezaannya hanya sedikit iaitu dari segi corak dan tenunannya sahaja. Ini kerana rata-rata kain pelikat diperbuat daripada benang kapas. Bagi masyarakat lain seperti di India dan Sri Lanka, kain pelikat turut dipakai sewaktu melakukan aktiviti seharian.

Begitulah hebatnya kain pelikat sebenarnya. Hari ini kain pelikat dipelbagaikan dengan ciri-ciri yang lebih menarik seperti tenunan dan bahan (benang kapas) yang lebih istimewa. Bagi kain pelikat yang berkualiti tinggi, kainnya lebih nipis dan ringan tetapi lebih berkilat. Kainnya juga tidak mudah berbulu setelah digunakan beberapa tahun lamanya. Terdapat juga kain yang agak licin dan berat menjadikannya nampak lebih lurus dan menarik. Jadi, pengguna kain pelikat hari ini sememangnya mempunyai banyak pilihan dalam rangkaian fesyen kain pelikat sahaja.

Memandangkan saya telah menulis artikel mengenai kain pelikat ni, saya teringat yang tahun ini saya masih lagi belum membeli kain pelikat untuk hari raya. InsyaAllah saya akan cuba cari kain pelikat yang istimewa untuk saya sendiri.

Free Download



Arkib Blog