Kit model Gundam merupakan salah satu kit model paling popular di dunia. Hanya satu syarikat sahaja yang mengeluarkan kit model ini iaitu, Bandai. Sebelum itu, mari kita lihat sejarah Bandai.
Bandai merupakan syarikat pengeluar plastik terkemuka di Jepun. Nama gelaran kit model Gundam ialah 'Gunpla' yang merupakan singkatan kepada ayat "Gundam Plastic Model". Bandai mula mengeluarkan Kit model Gundam yang pertama pada tahun 1980. Bandai kemudian menukar slogan syarikat kepada "Impian dan Ciptaan" dan menukar logo syarikat mereka seperti apa yang kita lihat hari ini pada tahun 1983. Pada tahun yang sama, Bandai mula menggunakan teknologi acuan pelbagai warna bagi bingkai bahagian yang mempunyai empat warna untuk kit model Gundam terbaru mereka. Ini untuk mengurangkan kerja mengecat yang mana model sebelum ini tidak datang dengan apa-apa warna.
Pada tahun 1987, Bandai mula memperkenalkan model plastik jenis "patahkan dan pasang" yang mana ianya tidak memerlukan gam seperti model-model plastik sebelum ini. Pada tahun 1990, kit model Gundam High Grade (HG) 1/144 mula diperkenalkan sebagai ukuran piawai. Pada tahun 1995, Master Grade (MG) 1/100 mula diperkenalkan untuk mereka yang mahir dalam memasang kit model Gundam. Pada tahun 1998, Bandai mengeluarkan gred tertinggi untuk kit model Gundam iaitu Perfect Grade (PG) 1/60. Pada tahun 2010, Bandai mula melancarkan kit model Gundam jenis Real Grade (RG) yang mempunyai saiz yang sama seperti High Grade iaitu 1/144. Model Real Grade 1/144 ini dicipta bagi peminat kit model Gundam yang suka kepada rupa yang lebih realistik.
Terdapat pelbagai jenis dan saiz untuk kit model Gundam. Rupa kit model Gundam adalah berdasarkan watak robot di dalam manga, anime ataupun filem. Kit model Gundam mempunyai pelbagai jenis gred yang menentukan saiz dan ketelitian rupa dan juga ketika memasang.
JENIS GRED
SD Gundam |
SD (Super Deformed)
Saiz kecil yang ala-ala pertumbuhan yang terbantut tapi comel. Juga digelar sebagai 'Chibi Gundam'. Mempunyai bahagian pemasangan yang sedikit dan senang untuk dipasang. Ada yang boleh digerakkan dan ada yang tidak boleh digerakkan. Bergantung jika ianya jenis EX atau tidak.
FG (First Grade)
Kit ini bersaiz 1/144 dan mempunyai harga termurah jika dibandingkan dengan harga gred-gred lain. Popular di kalangan mereka yang hanya inginkan sesuatu yang mudah dipasang dan terus boleh dipamerkan di almari atau rak pameran. Kadangkala dibeli oleh golongan profesional kerana inginkan bahagian yang boleh digabungkan atau dipasang dengan kit model HG atau RG mereka. Tidak banyak gaya gerakan yang boleh dibuat.
HG 1/144 Astray Red Frame Flight Mode |
HG (High Grade)
Bersaiz 1/144. Mempunyai ketinggian dalam 5 ke enam inci. Mempunyai gaya pergerakan yang banyak. Merupakan pilihan popular terutamanya golongan yang beru berjinak dengan kit model Gundam. Kelemahan HG adalah memerlukan banyak kerja jika inginkan hasil yang cantik. Sama ada anda perlu cat bahagian tertentu atau pun memasang pelekat yang mudah tercabut dalam jangka masa tertentu.
No Grade 1/100 Astray Red Frame |
Tiada Gred (No Grade)
Selalunya jenis ini bersaiz
1/100. Di kotak hanya tertulis saiz 1/100 sahaja dan tiada gred yang
dipaparkan. Pemasangan adalah seperti gred HG. Dengan erti kata lain,
gred ini adalah HG bersaiz 1/100. Bergantung kepada jenis kit,
sebahagiannya mempunyai ketelitian rupa yang lebih teliti dari HG.
RG 1/144 Astray Red Frame |
RG (Real Grade)
Kit ini mempunyai saiz yang sama seperti HG iaitu 1/144. Beza RG dengan HG ialah RG mempunyai tulang rangka dalaman seperti MG dan PG. Pemasangan adalah lebih rumit dari HG tetapi tidak serumit gred MG. Ketelitian rupa dan gerakan adalah bagaikan gred MG. Dengan erti kata lain, boleh dikatakan yang RG merupakan versi mudah untuk MG.
MG 1/100 Astray Red Frame |
MG (Master Grade)
Bersaiz 1/100. Walaupun saiz yang agak besar dari HG dan RG, pemasangan selalunya lebih rumit dari RG. Popular di kalangan mereka yang berasa agak selesa memasang HG dan ingin mencuba cabaran baru. Ketelitian dan pergerakan cantik. Sebab utama ianya selalu dipamerkan di kedai-kedai hobi.
PG 1/60 Astray Red Frame |
PG (Perfect Grade)
Bersaiz 1/60. Ketelitian rupa dan pergerakan adalah sangat tepat dan tajam. Tetapi harganya sangat tinggi. Yang betul-betul berminat sahaja yang akan beli gred ini. Pemasangan sangat rumit. Jika di dalam 'game', PG adalah bos terakhir. Di dalam pertandingan memasang kit model Gundam, kategori gred PG merupakan acara yang paling dinanti-nantikan oleh peminat-peminat kit model Gundam.
MSM (Mega Size Model)
Bersaiz 1/48. Walaupun saiz yang lebih besar dari 1/60, harganya adalah lebih murah dari PG. Kualiti dan artikulasi kit ini adalah sama seperti HG. Kit model ini dikeluarkan khas bagi mereka yang baru belajar memasang dan inginkan saiz Gundam yang besar. Kerana saiz yang besar, kit ini menjadi pilihan kedai-kedai hobi untuk dijadikan bahan pameran.
JG (Jumbo Grade)
Bersaiz 1/35. Gred ini adalah dari garis masa 'Universal Century'. Ianya sudah siap dipasang dan sedia untuk dipamerkan selepas keluar dari kotak. Datang sekali dengan aksesori tambahan.
HY2M 1/12 RX-78-2 |
HY2M (Hyper Hybrid Model)
Gundam ini bukanlah kit model. Kedai-kedai hobi selalu membeli Gundam ini untuk diletakkan sebagai pameran di depan kedai. Gundam ini dipenuhi dengan LED. Selalunya mempunyai saiz sebesar 1/24 dan 1/12. Keluaran terakhir mempunyai tinggi 150cm dan seberat 35 kg dan datang dengan alat kawalan untuk kawalan lampu dan bunyi.
PERALATAN YANG DISYORKAN
Anda boleh gunakan jenama-jenama biasa untuk peralatan yang disyorkan. Tetapi jika anda inginkan peralatan yang berjenama selalunya adalah dari Bandai, Tamiya, Mr. Hobby atau Alfa.
Pad Memotong Getah
Memasang kit model Gundam memerlukan banyak kerja pemotongan. Dinasihatkan menggunakan memotong supaya tidak mencalarkan meja dan bahagian kecil kit senang untuk dilihat.
Pemotong (Nipper Cutter) |
Pemotong (Nipper Cutter)
Pemotongan bahagian pada rangka memerlukan ketelitian supaya tiada kesan yang tertinggal. Di sini 'mipper cutter' merupakan alat yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja pemotongan.
Pisau Ukir |
Pisau Ukir Jenis Pen
Pisau ini selalu digunakan apabila terdapat kesilapan ketika pemotongan pada rangka kit. Bahagian yang nampak 'cacat' dapat dibuang dengan mudah kerana pisau ukir memang sangat tajam.
Penyepit / Pinset |
Penyepit / Pinset
Penyepit digunakan semasa menampal pelekat 'decal'. Jangan sesekali menggunakan jari semasa menampal pelekat 'decal' kerana kotoran pada jari akan melekat pada pelekat dan membuatkan pelekat nampak kotor.