Kandungan garam yang tinggi menyebabkan anda mudah terapung. |
Kita semua sedia maklum yang air laut sememangnya masin. Sekiranya air laut berasal daripada sungai yang mengalir ke dalam laut - sedangkan air sungai tidaklah masin. Selain itu juga kadar kemasinan air laut juga berbeza-beza mengikut kawasan laut atau lautan di dunia walaupun kesemua lautan ini bersambung di antara satu sama lain.
Sememangnya garam yang berada di lautan dibawa melalui air sungai yang mengalir merentasi daratan dan membawa bersama garam yang terlarut mengalir terus ke dalam laut. Garam ini kemudiannya terus kekal tinggal di dalam laut memandangkan kitaran air (melalui air hujan) terus membawa lebih banyak garam ke dalam laut.
Berbanding dengan kadar kemasinan yang berbeza pula adalah disebabkan pergerakan arus laut yang berbeza-beza. Perbezaan suhu air menyebabkan berlakunya proses perolakan dan menimbulkan arus di dalam laut. Pergerakan arus ini memberi kesan kepada ciri-ciri seperti kadar kemasinan laut, suhu air malah juga hidupan yang menghuni sesebuah laut atau lautan tersebut.
Fenomena kemasinan laut ini mungkin lebih mudah untuk dilihat seperti fenomena yang berlaku di laut mati atau juga dikenali sebagai ‘Dead Sea’. Nama jolokan yang diberi adalah kerana tiada hidupan yang boleh hidup di dalam laut tersebut yang mempunyai kandungan garam yang terlalu tinggi iaitu kadar kemasinan yang mencecah sehingga 31.5 peratus atau sembilan kali ganda berbanding lautan biasa.
Perkara ini berlaku kerana laut mati bagaikan sebuah lautan kecil, di mana tidak terdapat air keluar daripada kawasan laut mati yang boleh mengalirkan larutan garam yang dibawa dari sungai yang mengalir ke dalamnya. Kandungan garam yang di bawa masuk terus terkumpul manakala air tersejat meninggalkan garam di dalam laut tersebut. Kandungan garam ini terus bertambah seiringan masa yang berlalu.
Pemadangan di sekitar Mono Lake |
Namun begitu laut mati bukanlah satu-satunya kawasan takungan (tasik) yang mengalami fenomena seperti ini. Antara tasik yang turut mengalami fenomena seperti laut mati ini adalah Mono Lake di Yosemite National Park, California dan juga The Great Salt Lake di Utah.
Sama juga keadaannya seperti laut mati kedua-dua tasik ini adalah merupakan kawasan takungan air tanpa aliran keluar (sungai) yang terus mengalir ke laut. Jadi garam yang terkumpul di dalam tasik terus kekal di dalam tasik tersebut dan terus terkumpul seiring peredaran masa. Selain itu antara faktor lain yang turut mempengaruhi kadar kandungan garam di dalam tasik ini tentulah kadar sejatan air yang berlaku dengan pantas sedangkan kandungan garam yang di bawa ke dalamnya pula agak tinggi.
Pemandangan lain dari Mono Lake, California. |
Bagi keadaan yang berlaku seperti di Mono Lake, aktiviti manusia juga turut menyumbang kepada kadar pengeringan tasik dengan lebih drastik. Pengalihan punca air yang mengalir ke dalam tasik ini pada tahun 1941 bagi membekalkan bekalan air kepada orang ramai menyebabkan paras air di dalam tasik semakin mengurang. Keadaan ini sudah tentu menambahkan lagi kadar kepekatan garam di dalam air tasik tersebut. Walaubagaimanapun kadar kemasinan di tasik ini adalah sekitar 10 peratus sahaja.
Terdapat pertubuhan yang ditubuhkan pada tahun 1978 bagi memelihara kepentingan tasik ini. Bermula dari situ semakin ramai yang memberikan sokongan untuk memastikan tasik ini terus dipelihara. Tidak seperti di laut mati, bagi Mono Lake masih terdapat hidupan yang mampu hidup di dalamnya walaupun ia tidak sesuai bagi spesis hidupan yang baisa. Ia juga sering dijadikan kawasan lawatan yang memberikan banyak pengalaman dan pengajaran.
Pemandangan persekitaran Great Salt Lake pada musim sejuk. |
Berbanding dengan tasik-tasik air masin yang lain The Great Salt Lake pula memberikan banyak kesan positif dalam membantu mengembangkan lagi sumber ekonomi kawasan sekitarnya. Selain menjadi pusat tarikan pelancongan, tasik itu sendiri dapat membekalkan pelbagai sumber yang boleh menjana pendapatan ekonomi setempat.
Namun begitu kadar kemasinan di tasik ini berubah-ubah mengikut paras air yang berada di dalam tasik. Seperti yang diketahui bagi tasik air masin – tiada aliran air keluar dan penambahan kuantiti air apabila musim lembab mengurankan kadar kemasinan air di dalam tasik tersebut. Bagi Great Salt Lake kadar kemasinannya adalah di antara 5 – 27 peratus.
Kolam pengeringan di Great Salt Lake. |
Sebagai perbandingan kadar kemasinan ini adalah diukur dalam unit ppt (parts per thousand) atau kadar kemasinan lautan secara purata adalah berada pada tahap 3.5% atau (35 parts per thousand). Jad sekarang dapatlah kita gambaran sebenar tentang fenomena kemasinan laut. Jadi bukanlah laut sahaja yang masin, malah tasik dan air sungai sendiri mempunyai tahap kemasinan yang berbeza-beza mengikut keadaan muka bumi masing-masing.
The Great Salt Lake, turut menjadi kawasan hidupan liar. |
Proses fenomena alam yang berlaku secara semulajadi ini sudah semestinya mempunyai keunikan tersendiri bagi kita untuk memahaminya. Mungkin antara salah satu perkara yang mungkin telah anda ketahui dan tidak saya sentuh dari awal adalah ada lebih mudah terapung di dalam air masin berbanding air tawar memandangkan air masin adalah lebih tumpat. Sebelum mengundur diri buat kali ini satu pesanan untuk anda, perhatikan sekeliling anda kerana terdapat pelbagai perkara menarik untuk difahami.