Memaparkan catatan dengan label fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fakta. Papar semua catatan

Ahad, 28 Jun 2020

25 Fakta Menarik Tentang Dunia KPop



  1. Selalunya agensi-agensi pengurusan kumpulan kpop di Korea Selatan membuat ujibakat untuk pelatih yang masih sangat muda. Pelatih akan tinggal bersama pelatih-pelatih lain di dalam persekitaran yang terkawal. Mereka menghabiskan masa harian mereka dengan belajar muzik, tarian, bahasa asing dan lain-lain kemahiran sebagai persediaan untuk debut mereka. Sistem latihan ini selalu dikritik oleh media barat kerana mereka mendakwa ia melanggar hak asasi remaja bawah umur. Syarikat label melabur hingga 3 juta Dollar bagi setiap pelatih, mempertaruhkan peluang mereka mendapat keuntungan besar di dalam industri Kpop. 

  2. Rakyat Korea Selatan mempunyai perasaan sayang dan benci kepada Jepun. Ini juga termasuk kepada industri Kpop. Ini berkaitan dengan era zaman penjajahan Jepun suatu ketika dahulu, idola Kpop perlu berhati-hati dengan percakapan mereka. Jika tersilap langkah, karier dan imej mereka akan rosak dan jatuh dengan mudah, tidak kira betapa popularnya mereka pada ketika itu. 

  3. Selalunya untuk sesebuah kumpulan kpop mereka akan diberikan nama lain untuk setiap dan konsep tersendiri untuk setiap single dan album. Kadangkala sub-unit atau kumpulan kecil akan dibentuk dari kalangan ahli kumpulan. Terdapat juga masa di mana sub-unit atau kumpulan kecil ini hanya membuat promosi di luar negara seperti di Jepun atau China. 

  4. PAK atau ‘Perfect All Kill’ merupakan gelaran bagi penyanyi atau kumpulan Kpop yang mendapat tempat pertama pada carta masa sebenar, harian dan mingguan untuk setiap carta lagu yang wujud di Korea Selatan. Terdapat lebih dari 10 carta yang perlu dimenangi untuk mendapat PAK dan hanya sebilangan kecil sahaja yang mampu mendapat PAK. Antara penyanyi solo yang pernah mendapat PAK paling lama adalah IU – Blueming (117 kali), Zico – Any Song (274 kali) dan Lim Chang Jung - There Has Never Been A Day I Haven't Loved You (95 kali), manakala kumpulan Kpop pula adalah iKon – Lov Scenario (204 kali), Gfriend – Rough (66 kali), Twice – Knock Knock (69 kali) dan Blackpink – Ddu Du Ddu Du (92 kali). 

  5. Apabila idola Kpop keluar dengan lagu atau album terbaru perlu dipromosi, mereka akan pergi sehingga 6 rancangan muzik seminggu untuk mempromosikan lagu-lagu mereka. 

  6. Idola Kpop tidak akan mendapat bayaran sehingga hutang mereka dengan syarikat pengurusan pelatih habis dibayar. Sebagai contoh, jika ianya memerlukan 1 juta Dollar untuk melatih ahli-ahli kumpulan sehingga mereka debut, mereka tidak akan dibayar sehingga mereka menjelaskan kesemua hutang 1 juta Dollar tersebut. Sesetengah syarikat seperti SM atau JYP Entertainment, tidak meletakkan syarat tersebut kepada kumpulan yang baru debut di mana mereka tidak perlu membayar hutang mereka. 

  7. Terdapat lebih dari 100 kumpulan Kpop yang wujud di Korea Selatan dan hanya 5 peratus sahaja yang betul-betul berjaya. 

  8. Blackpink Lisa merupakan astis Kpop paling popular di Korea Selatan dan seluruh dunia di mana beliau mempunyai 34.7 juta pengikut Instagram ketika ini. 

  9. Kebanyakkan idola Kpop terutamanya dari syarikat kecil mendapat pendapatan yang kecil walaupun setelah mereka debut dan sesetengah daripada mereka terpaksa membuat kerja sambilan bagi menampung kos kehidupan mereka. 

  10. Artis barat seperti The Chainsmokers, Charli XCX, Steve Aoki, Akon, Kanye West, Desiigner, Ludacris, dan Snoop Dogg, semua pernah muncul di dalam lagu-lagu Kpop. 

  11. Irene dari kumpulan Kpop Red Velvet mengikuti ujibakat di SM Entertainment kerana dia hanya menemani rakannya yang ingin mengambil ujibakat tersebut. Pada mulanya beliau gagal dalam ujibakat tersebut dan kemudiannya dihubungi semula oleh syarikat tersebut dan dijemput untuk menjadi pelatih. 

  12. Pada awalnya kumpulan EXID pernah membuat sesi bertemu dengan peminat di taman permainan dan hanya 15 orang sahaja yang hadir. Mereka kemudian membuat sesi tanda tangan dan hanya 3 orang sahaja yang hadir pada ketika itu. Pengurus kumpulan pula pernah tidak dibayar gaji untuk beberapa bulan tetapi masih lagi bersama kumpulan EXID sehingga mereka berjaya. 

  13. Semasa menyanyikan lagu debut pertama mereka Mr. Ambiguous di dalam rancagan Mnet M Countdown, kumpulan Kpop Mamamoo hanya diberi sokongan dan sorakan oleh ahli-ahli keluarga mereka sahaja manakala bagi Wheein, beliau hanya diberi sokongan oleh kawan baik beliau yang hadir ketika itu. Bunyi sorakan tersebut boleh didengar di dalam video oleh saluran Youtube Mnet Official. 

  14. Bagi industri Kpop, berat ideal bagi idola Kpop wanita adalah dari 40kg hingga 49kg. Mempunyai berat 50kg ke atas adalah dikira sebagai gemuk, tidak kira berapa tinggi idola wanita tersebut. Sistem ini juga selalu dikritik oleh peminat-peminat dan juga media antarabangsa.  

  15. Syarikat pengurusan menanggung segala perbelanjaan untuk setiap pelatih-pelatih mereka termasuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Jika seseorang pelatih ingin berhenti dari menjadi pelatih, mereka perlu membayar kembali hutang atau kos yang telah dikeluarkan oleh syarikat kepada mereka.  

  16. Pada era 70an, budaya DJ mula menjadi sangat popular di korea Selatan. Banyak kedai-kedai minum dan kafe-kafe mempunyai DJ yang memainkan lagu-lagu kepada pelanggan. 

  17. Pada awal kemunculan budaya Kpop, penyanyi dan kumpulan Kpop tidak digelar sebagai idola dan tidak ada sorakan ‘khas’ daripada peminat-peminat. Gelaran idola dan sorakan khas asalnya adalah dari budaya Jepun. Di Jepun, idola biasanya adalah penyanyi yang wujud khas untuk menghiburkan peminat. Mereka selalunya akan disampingi dengan sorakan ‘khas’ dari peminat-peminat mereka ketika mereka sedang menyanyi. Budaya ini kemudiannya mula masuk ke Korea Selatan dan digunakan oleh peminat-peminat Kpop untuk menyokong idola kegemaran mereka. Ini termasuk lampu khas rasmi yang digunakan oleh peminat-peminat di konsert-konsert Kpop. 

  18. Pelatih-pelatih Kpop menghabiskan 20 jam sehari untuk belajar muzik, menyanyi, tarian dan kemahiran-kemahiran lain bagi persiapan mereka sebelum debut. 

  19. Idola Kpop tidak dibenarkan mempunyai pasangan sehingga berumur 29 tahun. Ini untuk memberikan imej bersih sebagai idola dan juga untuk mengelakkan khabar angin dan skandal yang boleh memberikan kesan buruk kepada idola dan juga syarikat. 

  20. Idola Kpop dijangka untuk masih membuat persembahan walau pun ketika mereka sedang sakit.  Selah satu sebab kenapa anda lihat ada seorang ahli yang sedang duduk dan menyanyi sambil ahli-ahli lain menari sambil menyanyi ketika membuat persembahan. 

  21. Penyanyi dari Girl’s Generation (SNSD) iaitu Taeyeon pada mula benci kepada lagu ‘Gee’ semasa mendengar lagu tersebut untuk pertama kali. Beliau sangat benci kepada lagu tersebut sehingga membuatkan beliau menangis kerana terpaksa menyanyikan lagu tersebut. 

  22. Lisa (Blackpink) dan Bambam (GOT7) adalah kawan sejak kecil. Mereka mempunyai kumpulan tarian yang digelar We Zaa Cool. Kumpulan tarian mereka ada memenangi beberapa pertandingan tarian di Thailand. 

  23. Terdapat pelatih-pelatih yang menjadi pelatih lebih dari 6 tahun tetapi masih tidak berpeluang untuk debut atau menjadi ahli kumpulan Kpop.

  24. Kumpulan-kumpulan Kpop biasanya mempunyai kelab peminat mereka sendiri dan mempunyai nama dan warna rasmi. Sebagai contoh kumpulan Kpop GFRIEND mempunyai kelab peminat yang bernama BUDDY. Manakala warna rasmi pula adalah Cloud Dancer, Scuba Blue, dan Ultraviolet. 

  25. Bagi pelatih-pelatih yang lebih kepada visual, mereka selalunya mendapat peluang muncul di dalam video muzik ataupun di iklan-iklan. Sebagai contoh, Sowon atau nama sebenar Kim So Jung pernah muncul di dalam klip video muzik kumpulan RAINBOW sebelum beliau debut dengan kumpulan GFRIEND.

Selasa, 23 Jun 2020

20 Fakta Menarik Yang Mampu Mengejutkan Anda


  1. Sesetengah orang alergik kepada kucing. Tapi tahukah anda yang sesetengah kucing juga alergik kepada manusia?

  2. Unikorn merupakan haiwan kebangsaan bagi negara Scotland. Ianya dipilih kerana ia berkaitan dengan dominasi dan kesopanan serta kesucian dalam mitologi Celtic.

  3. Anda boleh mendengar degupan jantung ikan paus biru dari jauh jarak 2 batu. Jantung ikan paus biru adalah seberat 180 kilogram. Ianya lebih kurang saiz sebuah piano.

  4. Burung Lyre boleh meniru semua bunyi yang didengar - termasuk bunyi gergaji bermotor. Pemerhati hidupan liar telah melihat burung ini meniru suara bunyi haiwan seperti koala, termasuk bunyi elektronik seperti bunyi penggera kereta dan juga bunyi kamera.

  5. Berasa takut pada nombor 13 dipanggil Triskaidekafobia. Takut pada badut pula dipanggil coulrophobia manakala takut untuk menyeberangi jambatan pula dipanggil gephyrophobia.

  6. Jika Facebook merupakan sebuah negara, jumlah rakyatnya adalah 1 billion lebih dari negara China. Mempunyai 2.45 billion pengguna bulanan, Facebook melepasi populasi China (1.4 billion) dan India (1.3 billion). Malah Instagram mempunyai tiga kali lebih banyak pengguna daripada Amerika Syarikat ketika ini.

  7. Sesetengah orang boleh mengalami gangguan psikologi yang disebut Boanthropy yang membuatkan mereka percaya bahawa mereka adalah lembu. Mereka akan cuba menjalani kehidupan mereka sebagai lembu.

  8. Dua daripada permainan Playstation 1 iaitu FIFA 2001 dan Grand Turismo 2 mempunyai fungsi "gores & bau" pada cakera (DISC) permainan tersebut. FIFA 2001 mempunyai bau padang bola manakala Grand Turismo 2 mempunyai bau tayar kereta.

  9. Kolar pada kemeja baju lelaki pada asalnya boleh ditanggalkan dan dipasang kembali. Ini untuk mengurangkan kos caj cucian kerana hanya bahagian tersebut yang paling kerap perlu dicuci.

  10. Trivago, Expedia.com, Hotels.com, Hotwire.com, Travelocity, and Orbitz kesemuanya dimiliki oleh syarikat yang sama iaitu Expedia Inc.

  11. Beberapa kawasan di Scotland dan Jepun beralih ke lampu jalan berwarna biru pada waktu malam, dan menunjukkan penurunan kadar jenayah & bunuh diri di kawasan tersebut.

  12. Terdapat buah strawberry yang berwarna putih atau kuning, dan ada juga yang mempunyai rasa seperti nanas!

  13. Nama teknologi "Bluetooth" dinamakan sempena nama raja abad ke-10 iaitu raja Harald Bluetooth, di mana dia telah menyatukan Norway dan Denmark, sebagaimana penyatuan komputer dan telefon pintar melalui sistem tanpa wayar.

  14. Haiwan iguana mempunyai tiga mata. Dua mata normal dan mata ketiga di atas kepalanya yang hanya dapat melihat kecerahan.

  15. Datuk Bandar di Takeetna, Alaska bernama Stubb sejak Julai 1997 adalah seekor kucing.

  16. Pada awal tahun 1900-an, udang kara dianggap sebagai "lipas laut" dan sinonim dengan orang miskin yang biasanya dimakan oleh gelandangan, hamba dan tahanan. Selepas Perang Dunia II, udang kara menjadi makanan istimewa dan menjadi makanan yang berkaitan dengan golongan bangsawan.

  17. Penerbit filem Jeffrey Katzenberg menghidupkan semula The Walt Disney Studios dengan menghasilkan beberapa hit terbesar mereka: The Little Mermaid, The Lion King, Beauty and the Beast dan Aladdin. Selepas itu dia meminta untuk dinaikkan pangkat, dan kemudian dipecat secara tiba-tiba oleh mereka. Dia kemudian bersumpah untuk membalas dendam terhadap Disney dan mengasaskan DreamWorks Studios yang kini menghasilkan banyak filem animasi popular seperti Kung Fu Panda, Madagascar, Shrek dan How To Train Your Dragon.

  18. Pakar bedah yang bermain permainan video sekurang-kurangnya 3 jam seminggu melakukan pembedahan 27% lebih cepat dan membuat kesalahan 37% lebih sedikit.

  19. Uncang teh merupakan ciptaan secara tak sengaja. Ini berlaku pada tahun 1908 ketika peniaga teh Thomas Sullivan mengedarkan sampel tehnya ke dalam beg kecil sutera. Pelanggan-pelanggannya yang tidak mengetahui yang ianya adalah sampel terus menggunakannya tanpa membuka sampel tersebut terlebih dahulu, dan kemudiannya Thomas terus dibanjiri dengan pesanan yang banyak untuk uncang teh beliau.

  20. Semasa Perang Dunia Pertama, terdapat banyak serigala kelaparan yang membentuk kumpulan yang besar sehingga menyebabkan pasukan Jerman dan Rusia membentuk perikatan sementara untuk memerangi mereka!

Sabtu, 23 Julai 2016

Mengenal Antara Fakta dan Dogengan Sains

Di dalam sains juga terdapat dogengan berbanding kebenaran.

Banyak fakta yang kita ketahui hari ini sebahagiannya bukanlah berdasarkan kepada pengetahuan sains yang tepat. Adapun sesetengah perkara pula telah dibuktikan tidak benar berdasarkan kajian-kajian terbaru apabila kita mempunyai kebolehan untuk melakukan kajian dengan lebih terperinci. Sains bukanlah satu perkara yang sempurna, jadi pengetahuan ini akan terus berkembang maka tidak perlu anda merasa hairan sekiranya perkara yang dikatakan hari ini menjadi kurang tepat pada masa akan datang.

Adapun di sini kita akan melihat beberapa perkara yang lebih mudah untuk kita ketahui bahawa ianya tidak benar kerana boleh dibuktikan dengan lebih mudah. Maka dengan itu, sebelum kita menerima sesuatu perkara sebagai pasti, ada baiknya kita lakukan sedikit pemeriksaan dan kiraan mengenai kesahihan perkara tersebut terlebih dahulu. Ia bukanlah satu perkara yang sukar, malah melatih anda untuk menjadi orang yang lebih peka mengenai fenomena di sekeliling anda.

Mari kita saksikan beberapa perkara tersebut;

Syiling yang dijatuhkan dari bangunan tinggi boleh membunuh seseorang

Setiap objek yang jatuh akan terus memecut sehingga mencapai halaju terminal.

Berdasarkan kepada kiraan halaju jatuh objek, perkara ini kelihatan sahih dan kelajuan syiling yang jatuh akan terus bertambah. Namun begitu, setiap objek yang jatuh mempunyai halaju terminal (terminal velocity). Perkara ini adalah disebabkan rintangan angin yang bertindak ke atas objek yang jatuh tersebut. Faktor rintangan ini turut dipengaruhi oleh berat objek, saiz dan ketumpatan. Maka berbalik kepada kes syiling yang jatuh tadi, halaju terminalnya adalah sekitar 44km/h yang akan dicapai setelah mencapai jarak jatuh 15 meter. Pada kelajuan ini, ia mungkin menyebabkan sedikit rasa sakit namun tidak mencederakan.

Tikus menyukai keju!

Adakah benar tikus menggemari keju?

Satu lagi perkara yang kita ketahui dari rancangan kartun yang ditonton di kaca TV. Walaupun ia tidak menyatakan bahawa tikus menyukai keju, namun secara tidak langsung perkara ini turut menanamkan kepercayaan tersebut sejak sekian lama. Kajian yang dilakukan di University of Birmingham mendapati tikus yang ditangkap secara liar tidak mempunyai minat kepada keju dan lebih menyukai biji-bijian serta bijirin.

Tabiat pemakanan tikus mahupun hidupan-hidupan lain banyak dipengaruhi oleh persekitarannya. Tiada haiwan yang terlalu memilih melainkan memerlukan makanan untuk meneruskan hidup. Namun haiwan jarang sekali memilih makanan yang boleh memudaratkan mereka (sekiranya mereka mengesan nya melalui bau bahan tersebut).

Anda memerlukan 8 gelas air sehari

Air sepatutnya diminum mengikut keperluan.

Air merupakan keperluan penting untuk badan berfungsi dengan baik. Namun begitu keperluan jumlah air dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Apa yang pasti, jumlah air yang keluar dari badan perlu diganti (sekiranya anda melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh). Sebaliknya sekiranya cuaca sejuk dan anda kerap membuang air, anda tidak perlu pula mengambil minuman yang banyak untuk menggantikannya. Begitu juga dengan faktor saiz badan dan aktiviti yang dilakukan memberikan impak kepada keperluan pengambilan air yang diperlukan.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kepentingan air adalah dari sumber yang bersih mengikut keperluan. Selagi air tidak diambil dalam jumlah berlebihan, badan akan mampu mengimbangi jumlahnya di dalam badan dengan baik. Apa yang penting sentiasa awasi keadaan badan anda dan minumlah air apabila anda merasa dahaga.

Kita hanya menggunakan 10 peratus daripada otak

Benarkah manusia hanya menggunakan 10% daripada otaknya?

Perkara ini adalah tidak benar kerana setiap bahagian otak mempunyai fungsi-fungsi tertentu dan ianya tidak boleh digantikan dengan bahagian-bahgian lain. Hanya ianya mungkin tidak diaktifkan dalam satu masa (sebaliknya secara bergilir-gilir dan mengikut keadaan dan rangsangan). Ini adalah berbeza dengan keupayaan berfikir seseorang kerana ianya perlu dipelajari dan dilatih. Jadi setiap kita mempunyai potensi otak yang sama dan apa yang berbeza adalah usaha yang dilakukan untuk memiliki tahap berfikir yang lebih baik. Jangan putus asa!

Memainkan muzik klasik kepada bayi akan menjadikan mereka lebih bijak

Walaupun mendengar muzik klasik itu baik, namun ia bukan faktor utama.

Memainkan muzik klasik kepada bayi mungkin tidak menjadi faktor utama kepada bayi yang membesar dengan lebih bijak. Namun rangsangan kepada bayi secara berterusan adalah penting dan ini tidak semestinya dengan muzik klasik sahaja. Namun, rangsangan dengan muzik klasik adalah lebih baik berbanding dengan genre muzik-muzik yang lain (rock dan heavy-metal misalnya). Apa yang menjadi faktor utama kepada pembesaran bayi yang bijak adalah pemantauan berterusan daripada ibubapa yang mengisi masa lapang mendidik bayi tersebut.


Jadi itu adalah beberapa contoh kenyataan yang sering kita dengar diperkatakan. Walaupun sesetengah perkara kelihatan amat meyakinkan, namun kebanyakannya tidak terbukti secara ilmiah (melalui kajian yang terperinci/ perbezaan kemajuan teknologi hari ini). Jadi kita tidak perlu terlalu berpegang kepada sesuatu kenyataan sebelum kita mampu menemukan kesahihannya, antara lain kita juga perlu memikirkan sesuatu di luar jangkaan (di luar kotak) dan bersedia menerima perubahan apabila terdapat kaedah pembuktian yang lebih baik. Fikir-fikirkan


Free Download



Ahad, 2 Februari 2014

Fakta Menarik Mengenai Bulan

Hanya sebahagian bulan sahaja yang boleh dilihat daripada permukaan bumi.

Bulan merupakan objek paling dekat berada dengan bumi. Selain merupakan satelit semulajadi kepada bumi ia juga mempunyai kaitan yang rapat dan mempunyai pengaruh yang kuat kepada kehidupan di bumi. Pengetahuan umum terhadap bulan semakin berkurangan berikutan penggunaan sistem calendar yang berpandukan kepada matahari. Jadi apa kata kita lihat beberapa fakta menarik mengenai bulan.

Ringkasan Profil Bulan:

- Ukur lilit bagi garis tengah bulan: 10,917 km
- Diameter bulan: 3,475 km
- Berat: 73,476,730,924,573,500 juta kilogram (0.0123 x Bumi)
- Jarak purata dari bumi: 384,000 km
- Jangkamasa Orbit: 27.3 hari bumi
- Suhu Permukaan: -233 ~ 123 °C

Keadaan fasa bulan yang menentukan tarikh dalam kalendar Bulan.

1) Bulan mempunyai diameter 27% dan ketumpatan sebanyak 60% daripada bumi. Berbanding dengan bulan-bulan pada planet-planet yang lain di dalam sistem solar bulan merupakan yang kedua tumpat selepas Io – iaitu satelit bagi planet Mustari.

2) Kajian mengenai bulan telah dilakukan sejak beribu tahun dahulu. Antara yang diketahui manusia sejak abad ke-5 BC, iaitu para pengkaji Babylon telah berjaya memahami ‘Saros cycle untuk mengetahui kejadian gerhana bulan yang mengambil masa kira-kira 18 tahun. Begitu juga dalam memahami garis orbit bulan yang memanjang (bukannya bulat). Ini menjadikan kebanyakan masyarakat dunia mempunyai kalendar mereka yang berdasarkan peredaran bulan (Cina, Maya, Mesir, Greek, Babylon dan lain-lain).

3) Bulan menghadap ke bumi pada permukaan yang sama. Ini menjadikan sebahagian lagi kawasan bulan tidak boleh dilihat dari permukaan bumi. Keadaan yang sama juga berlaku bagi planet-planet lain yang mempunyai bulan masing-masing.

4) Walaupun bulan kelihatan tetap berada pada orbitnya, ia adalah semakin menjauh daripada bumi pada kadar 4 cm setahun. Kedaan ini disebabkan oleh conservation momentum pada orbit bumi. Ia akan memakan masa yang lama sehingga bulan berada cukup jauh dari bumi dan kelihatan berada pada satu tempat yang sama (kira-kira 50 billion  tahun).

5) Saiz bulan kelihatan seakan-akan sama dengan matahari walaupun saiz sebenar matahari adalah 400 kali ganda berbanding saiz bula dan dalam masa yang sama berada pada jarak 400 kali ganda juga berbanding bulan. Bulan dikatakan berada lebih hampir dengan bumi billion tahun dahulu (dan ia masih lagi dalam proses menjauhi bumi) dan pada masa itu ia kelihatan lebih besar berbanding hari ini.

Kedudukan bulan dan keadaan pasang surut air laut.

6) Graviti bulan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi pasang surut air laut di permukaan bumi. Dalam keadaan gravity bulan dan matahari berada dalam satu baris maka berlakulah pasang besar dan air surut. Malah bukan itu sahaja keadaan ini juga turut mempengaruhi kerak bumi. Anda sebenarnya ditarik beberapa meter bersama kerak bumi tanpa menyedarinya!

7) Bulan merupakan yang kelima terbesar bagi satelit-satelit semulajadi dalam sistem solar. Bulan terbesar adalah bulan bagi planet Mustari iaitu Ganymede (5,262 km), diikuti oleh bulan bagu planet Zuhal iaitu Titan, bulan Mustari Callisto, juga Io dan barulah bulan bagi kita dengan diameter 3,475 km.


Di dalam artikel yang berasingan saya akan berkongsi dengan anda bagaimana membaca kedudukan bulan. Di sebahagian negara, pengetahun mengenai peredaran bulan termasuk di dalam silibus pembelajaran di peringkat sekolah rendah dengan kaedah pemerhatian (observation) dan catatan berjadual. Amat memeranjatkan kerana masyarakat kita semakin melupakan kepentingan waktu peredaran bulan dalam kehidupan mereka.



Free Download



Arkib Blog