Punca-punca kematian manusia. |
Kita sering dipaparkan dengan keganasan haiwan-haiwan besar yang boleh
membunuh manusia dengan mudah seperti singa, buaya, badak sumbu, badak air,
ular tedung dan macam-macam lagi. Namun begitu setelah diselidiki dan diamati
daripada data yang dikumpulkan ternyata hidupan yang banyak menyebabkan punca
kematian sebenar berpunca daripada serangga kecil iaitu nyamuk.
Nyamuk banyak menyebarkan kuman (bakteria & virus) serta cacing yang
boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang membawa maut. Apa yang membimbangkan
nyamuk tinggal berhampiran sekali dengan kita dan ada kalanya bersama kita di
dalam rumah. Satu kaedah yang boleh mengurangkan jangkitan ini adalah dengan
memastikan keadaan di dalam rumah yang teratur (tiada tempat persembunyian
nyamuk) dan luar rumah yang bersih (tiada saliran tersumbat tempat pembiakan
nyamuk).
Terdapat beberapa penyakit bawaan nyamuk yang terkenal dan merbahaya
antaranya ialah:
- Malaria
- Denggi
- Demam Kuning (Yellow Fever)
- Eastern Equine Encephalitis
- St. Louis Encephalitis
- LaCrosse Encephalitis
- Western Equine Encephalitis
- West Nile Virus
- Dog Heartworm (juga mengjangkiti kucing)
Aedes aegypti nyamuk penyebar denggi yang mudah dikenali melalui belang-belang pada badannya. |
Seperti yang kita ketahui Malaria dan Denggi merupakan dua wabak yang
begitu popular bukan sahaja di negara-negara membangun malah juga di
negara-negara yang membangun. Kematian akibat denggi boleh di dengar di mana
sahaja samada di bandar atau di kampung-kampung (malah sering berlaku di
bandar).
Bagi kes-kes besar denggi pernah dilaporkan menyerang Venezuala dan
menyebabkan lebih daripada 11,600 kes pada tahun 2004 – jumlah kematian tidak
dipastikan. Manakala wabak yang sama pernah menyerang Indonesia yang
menyebabkan 600 kematian dan sebanyak lebih 54,000 jangkitan pada tahun 1999.
Dengan perangkaan yang sebegitu besar maka sudah pastinya membuktikan
nyamuk merupakan punca kematian besar-besaran dengan kemampuan menyebarkan
penyakit pada skala yang amat besar berbanding dengan haiwan-haiwan merbahaya
yang lain – mungkin akan mengakibatkan kematian akibat kecederaan serangan
namun ia tidak menular.
Namun begitu Denggi bukanlah satu-satunya penyakit merbahaya bawaan nyamuk.
Seperti yang disenaraikan di atas dan banyak lagi jenis-jenis penyakit yang
mungkin tidak disenaraikan sebagai penyakit utama bawaan nyamuk kerana tidak
membawa maut – seperti untut.
Negara kita pernah mengalami kes besar-besaran penularan wabak JE (Japanese Encephalitis) dan mengorbankan ramai pesakit di sekitar tahun 1999.
Walaubagaimanapun wabak ini menular hanya di kawasan-kawasan yang kebiasaannya
terdapat kandang-kandang pembelaan khinzir serta sawah padi. Ia mungkin
disebabkan kawasan-kawasan tersebut terdapat air bertakung yang sesuai bagi
nyamuk-nyamuk tersebut membiak (juga virus yang dibawanya merebak).
Anopheles stephensi merupakan nyamuk penyebar Malaria. |
Secara keseluruhannya penyakit bawaan nyamuk yang paling banyak membawa
kepada kematian di dunia adalah Malaria (mungkin tidak di negara kita).
Dikatakan Malaria menyebabkan kematian lebih sejuta orang setahun dan antara
300 – 500 juta kes dilaporkan setiap tahun. Ia juga menyebabkan punca kematian
seorang kanak-kanak bagi setiap 40 saat.
Mungkin banyak lagi perkara yang masih perlu disingkap untuk anda
mengetahui setiap penyakit bawaan nyamuk ini. Bagi yang ingin mengetahui lebih
lanjut bolehlah membuat rujukan di laman-laman yang membincangkan mengenai
kesihatan juga masalah penyakit bawaan nyamuk ini.
Apa yang penting langkah pencegahan perlu diambil dengan memastikan kawasan
persekitaran kita sentiasa bersih. Tiada saliran atau sungai-sungai berhampiran
kediaman anda yang tersumbat kerana nyamuk sememangnya sentiasa ada – namun bekteria/virus
yang dibawa oleh nyamuk tersebut merupakan punca sebenar wabak yang membawa
maut tersebut perlu dielakkan daripada membiak di kawasan anda.
Jadi sama-samalah kita menjadi peka tentang persekitaran, tentang rumah
kita dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dengan mengambil
sedikit tindakan yang mungkin dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan
orang-orang yang kita sayangi.