Memaparkan catatan dengan label cekur manis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cekur manis. Papar semua catatan

Isnin, 4 November 2013

Makanan Tradisi Sayur Cekur Manis

Buahnya juga kelihatan menarik.
Apalagi yang menarik bagi saya di kampung adalah, sumber makanan yang tersedia di sekeliling rumah. Ini kerana di kampung hampir seluruh bahagian rumah akan ditanam dengan tanaman yang rata-ratanya boleh menyumbang kepada sumber makanan harian. Tanaman ini bukan sahaja tergolong dari kumpulan sayuran, malah buah-buahan, ulaman, rempah, penambah perisa, ubatan dan juga pokok hiasan. Apa yang menarik lagi tanaman ini turut menyegarkan suasana, sekeliling disamping mengindahkan lagi kawasan perkarangan rumah.

Pokok cekur manis mudah ditanam
Hari ini mengingatkan saya kepada satu sayuran yang biasanya ditanam di sekeliling rumah, adakalanya di sudut kecil berhampiran dapur. Sayur ini juga amat popular dan dikenali sebagai sayur cekur manis (sauropus androgynus). Terdapat beberapa nama yang biasa diberikan kepada sayur ini antaranya sayur manis dan asin-asin. Ia juga dikenali sebagai katuk di Sabah. Malah sayur ini bukan sahaja popular, malah orang Cina memanggilnya mani cai, orang Jepun pula mengenalinya sebagai amame shiba, orang Thai memanggilnya pak waan, di Vietnam ia dipanggil rau ngót dan di Kerla-India ia dikenali sebagai malay cheera.

Cekur manis mudah ditanam melalui batangnya. Sebab itulah ianya biasa tumbuh berhampiran dapur kerana batang tersebut terus dicucuk ke tanah setelah daunnya diambil untuk tujuan memasak. Pokoknya juga tidak terlalu tinggi kerana ia selalu diambil di bahagian daun barunya. Namun begitu ia akan tetap menghasilkan dahan baru dan terus mengeluarkan daun. Bagi pokok yang tidak diambil pucuknya atau pun dicantas ketinggiannya dikatakan boleh mencecah sehingga 8m.

Sayur ini mudah di masak dan dipelbagaikan. Walaupun kebiasaannya ia digoreng bermasa telur dan ikan bilis ada juga yang memasaknya sebagai masak lemak bersama labu. Biasa juga dijadikan sebagai ulam untuk pucuknya dimana ia direbus dan dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk atau sambal-sambal lain. Apapun kaedah masakan yang anda gemari, sayur cekur ini bagi saya sememangnya menggamit kenangan kerana semasa kecil, terdapat banyak pokok ini di sekeliling rumah. Tapi hari ini tiada lagi!

Bunga cekur manis

Cekur manis terutamanya bahagian yang digunakan untuk memasak dan segar mengandungi provitamin A karetinoid. Selain itu ia juga kaya dengan vitamin B, C, protein dan galian. Kandungan zat ini juga tinggi untuk daun yang matang - tetapi mungkin tidak sesuai untuk dijadikan makanan kerana keras dan agak pahit - mungkin akan ada resepi baru untuk ini nanti.

Cekur manis juga dikatakan mengandungi khasiat perubatan antaranya adalah untuk merangsang penghasilan susu ibu, bagi wanita yang baru bersalin. Air rebusan daun ini juga mampu merawat demam panas, masalah pembuangan air kecil, pening-pening, penyakit berkaitan saluran darah (kardiovaskular), pitam dan tekanan darah tinggi. Manakala daun dan akar pula direbus dan diminum airnya untuk merawat hidung berdarah, penyakit puru dan penyakit patik.

Walaubagaimanapun pengambilan berlebihan sayuran ini boleh menyebabkan masalah paru-paru kerana ia mengandungi kandungan alkaloid papverine yang tinggi - masalah ini di kesan di Taiwan berikutan penggunaanya yang tinggi pada pertengahan 90'an bagi mengawal masalah berat badan. Kajian terperinci dijalankan bagi mengenal pasti masah yang berpunca daripada pengambilan sayur ini secara berlebihan.

Itu sahaja apa yang ingin saya kongsikan berkenaan dengan sayur cekur manis ini. Mungkin ia sedikit sebanyak dapat mengingatkan kembali anda kepada sayuran ini atau ada di antara anda yang ingin menanam semula sayur ini di persekitaran rumah? Saya di antaranya.



Free Download





Arkib Blog