Memaparkan catatan dengan label cantik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cantik. Papar semua catatan

Rabu, 8 Disember 2021

Bunga Cantik Lebih Mudah Dengan Ros Jepun, Krokot atau Moss Rose

Ros Jepun (Portulaca), merupakan bungaan cantik yang mudah ditanam.
 
Bunga ros Jepun merupakan bunga yang telah lama dikenali ramai. Namun kini ia kembali diminati oleh kerana potensinya yang unik. Bunga yang mudah ditanam dan menghasilkan bunga yang cantik ini, mempunyai pelbagai warna. Oleh kerana ia mengambil masa yang singkat untuk menghasilkan bunga, jadi ia amat sesuai ditanam sementara menunggu bunga-bungaan lain menghasilkan bunga pula. Dikenali dengan pelbagai nama seperti krokot, moss rose, moss rose purslane, Mexican rose, sun rose, rock rose atau nama popularnya iaitu Ros Jepun (Portulaca grandiflora) boleh tumbuh di kawasan yang mendapat cahaya matahari dengan baik. Ia merupakan tumbuhan yang berasal dari Amerika Selatan
 
Bunga ros Jepun kembang apabila matahari mulai naik sehingga ke awal petang. Maka sebab itulah, ia lebih baik ditanam bersama-sama dengan bungaan lain yang lebih tahan lama. Walaubagaimanapun, bunga ros Jepun mampu menghasilkan bungaan yang cepat dalam jumlah yang banyak. Jadi faktor ini, menjadikan ia sebagai sokongan kepada taman anda, sekiranya anda mahu taman yang sentiasa mempunyai bunga yang mekar.

 
Bagi penanaman di kawasan beriklim panas, bunga ini adalah lebih mudah ditanam kerana tidak mempunyai masalah. Bunga ros Jepun amat menyukai cahaya matahari, malah ia lebih sesuai diletakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang penuh. Penanamannya yang mudah juga menjadikannya sesuai ditanam walaupun oleh kanak-kanak. Sekiranya, anda ingin melatih anak-anak untuk projek tanaman, tumbuhan ini amat sesuai digunakan sebagai bahan tanaman.

Contoh bungaan rimpun ros Jepun.

Rimbunan seperti ini dihasilkan dengan menanam pokok dalam jarak yang agak rapat (dengan pembajaan yang baik). 
 
Kaedah Penanaman;
 
1) Sediakan bekas tanaman dengan tanah yang sesuai. Pastikan tanah mempunyai pengaliran air yang baik. Ini kerana ros Jepun tidak sesuai dengan tanah yang berair. Campurkan baja ke dalam tanah bagi menggalakkan pertumbuhan pokok yang baik.
 
2) Bagi mendapatkan tanaman yang rapat dan rimbun, sediakan keratan batang sepanjang anggaran 2 inci dan cucukan pada jarak yang agak rapat antara satu sama lain. Ini bagi menghasilkan pokok dengan cabang yang banyak dan menutupi keseluruhan bekas tanaman.
 
3) Pokok perlu disiram setiap hari, sekurang-kurangnya sekali sehari. Apabila ia telah bertunas, bolehlah diletakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang banyak.
 
4) Periksa keadaan tanah supaya sentiasa mempunyai saliran yang baik dan pembajaan sekiranya perlu.
 

Selain tanaman di dalam bekas tanaman, bunga ros Jepun juga sesuai ditanam terus di atas tanah. Seperti biasa, pastikan tanah mempunyai saliran yang baik dan pembajaan yang cukup bagi tumbesaran dan penghasilan bunga yang menggalakkan. Anda boleh menyusun tanaman ros Jepun mengikut jenis dan warna bunga, bagi menghasilkan hasil tanaman yang lebih menarik.
 
Walaupun pokok bunga ros Jepun mudah di tanam di kawasan beriklim tropika. Ia masih boleh ditanam di kawasan-kawasan bercuaca sejuk pada penghujung musim bunga sehingga awal musim luruh iaitu pada bulan Jun, sehingga September. Pokok ini boleh mula disemai di dalam rumah dan diletakkan di luar rumah apabila keadaan cuaca mula menjadi lebih panas.

Contoh tanaman pada taman di halaman rumah.

Anak-anak pokok yang sedia untuk dialihkan ke kawasan tanaman berikutnya.

Walaupun tumbuhan ini tidak beracun kepada manusia, ia boleh menyebabkan kesan toksid kepada haiwan-haiwan seperti kucing, anjing, kuda dan haiwan ternakan yang lain. Jadi pastikan anda tidak secara tidak sengaja memberikan tumbuhan ini kepada haiwan-haiwan tersebut. Dalam masa yang sama, ia juga memberikan faedah kepada serangga seperti lebah, rama-rama dan juga serangga-serangga pendebungaan yang lain.

 
Terdapat pelbagai variasi ros Jepun yang boleh ditanam untuk mendapatkan hasil yang menakjubkan. Selain pelbagai warna, ia juga mempunyai bentuk dan saiz bunga yang berbeza antaranya;
 
* Afternoon Delight - mempunyai bunga yang besar sehingga 2 inci dan berkembang sehingga lewat tengahari (lebih lama dari varieti biasa).
 
* Duet - merupakan jenis dengan gabungan warna seperti kuning dan merah atau kuning dan merah jambu.
 
* Fairy Tale - jenis yang mempunyai bunga seakan-akan “Peony”, dengan di tengah-tengahnya terdapat bentuk ‘pom-pom’ dengan dikelilingi oleh kelopak yang lebih rata.
 
* Sundial - jenis yang berbunga lebih awal dan lebih toleran kepada cuaca mendung dan sejuk berbanding jenis-jenis lain.

Ros Jepun dengan gabungan warna menarik.

Antara varieti unik ros Jepun yang mempunyai kelopak yang unik.

Ros Jepun (Portulaca grandiflora), yang menyerupai bunga carnation.
 
Bagi peminat-peminat bunga ros Jepun, pasti mengetahui pelbagai lagi jenis dan varieti tumbuhan unik ini. Selain daripada ditanam sebagai hiasan, anda juga mungkin boleh mengumpul pelbagai jenis spesies sebagai koleksi. Tidak kurang juga yang menjadikan taman khas ros Jepun.
 
Itulah antara catatan mengenai ros Jepun buat kali ini. Sudah tentu terdapat pelbagai perkara yang boleh dikongsikan mengenai bunga istimewa ini. Jadi sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat untuk dikongsikan, bolehlah ditambah di ruangan komen. Selain itu, jangan lupa kongsi-kongsikan maklumat menarik ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

Ahad, 6 Disember 2015

Udang Yang Sesuai Untuk Akuarium

Sexy Shrimp (Thor amboinensis), cantik di dalam akuarium.

Memiliki akuarium merupakan salah satu hobi yang menyeronokkan. Ini kerana dalam penyediaan akuarium anda bukan sahaja terus memelihara hidupan air, tetapi sedikit sebanyak perlu belajar cara hidup hidupan-hidupan ini bagi memastikan ia hidup dengan baik di dalam ekosistem rekaan anda. Ia bukan sahaja memberikan anda peluang untuk mengenali spesies hidupan air dengan lebih dekat, malah anda akan mengaturnya sebaik mungkin bagi menjadikan ia mirip kepada keadaan sebenar mereka di habitat liar.

Pemilihan udang sebagai tambahan kepada hidupan di dalam akuarium anda merupakan salah satu pilihan yang baik. Namun sebelum anda membuat keputusan, anda perlu memastikan beberapa perkara penting untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak anda ingini. Sebelum itu, mari kita lihat apakah kebaikan spesies udang untuk menjadi sebahagian penghuni di dalam ekosistem buatan anda.

- Udang biasanya bersaiz kecil, penambahannya ke dalam akuarium tidak menjadikan akuarium terlalu sesak. Ia juga memerlukan ruang yang sedikit malah selalu bersembunyi di celahan batu dan tumbuh-tumbuhan.

- Udang dapat membantu kerja-kerja pembersihan akuarium dengan lebih baik. Menggunakan penyepitnya yang halus, ia mampu mencapai bahagian-bahagian sukar di dalam akuarium anda terutamanya pada permukaan hiasan akuarium seperti batu-batu dan tumbuh-tumbuhan yang sukar untuk dibersihkan.


- Ia akan membersihkan segala bahan buangan di dalam akuarium dan ini dapat mengurangkan kadar ammonia dan nitrat yang akan menyebabkan air di dalam akuarium bertukar menjadi hijau dengan cepat.

- Walaupun udang boleh membiak di dalam akuarium, ia juga merupakan antara makanan yang paling digemari oleh hidupan-hidupan lain. Jadi larva-larva udang biasanya akan menjadi makanan ikan-ikan yang lain dan jumlah mereka berada dalam keadaan terkawal. Berbeza dengan siput yang mana ia akan terus bertambah dan bertambah!!..

- Udang juga mempunyai warna dan perwatakan yang menarik, jadi penambahan udang sama juga seperti ikan. Malah ada spesies udang yang diternak menjadi hiasan utama seperti spesies udang yang lebih besar.

- Udang mendiami bahagian-bahagian tersorok/sempit di dalam akuarium ataupun kolam dan jarang sekali berada di bahagian yang terbuka. Penambahan udang memastikan bahagian ini sentiasa digunakan untuk mengelakkan pembiakan alga dan parasit lain.


Golden Coral Banded Shrimp (Stenopus zanzibaricus)

 Harlequin Shrimp (Hymenocera elegans)

Pederson Shrimp (Periclimenes brevicarpalis)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Red Caribbean Pistol Shrimp (Synalpheus species)

Saron Shrimp (Saron sp)


Jadi udang merupakan antara hidupan yang bagus sebagai hiasan di dalam akuarium anda. Cuma bagi memastikan ia dapat hidup dengan sihat, anda perlu memastikan beberapa perkara penting sebelum membeli benih udang untuk akuarium anda nanti.

- Pastikan udang yang ingin dibela dari spesies air tawar atau air masin. Seperti juga ikan, spesies-spesies ini tidak boleh berada di dalam air yang tidak sesuai bagi mereka.

- Udang perlu dikendalikan dengan baik. Semasa pemindahan dari kedai ke rumah (di mana ia akan dipindahkan) pastikan ia tidak terdedah kepada persekitaran yang terlalu berbeza – yang boleh mengakibatkan ia mengalami renjatan/stress. Ini juga boleh menyebabkan kemudaratan pada udang.

- Air yang dirawat dengan baik dapat memastikan udang hidup dengan sihat. Seperti juga ikan, air yang mengandungi klorin dapat membunuhnya. Jadi air yang diperolehi dari sumber paip – perlu dirawat dengan sempurna sebelum ditambah ke dalam akuarium.

- Bagi spesies air masin pula, penjagaan yang lebih khusus adalah diperlukan termasuk keadaan kemasinan air, pH air, suhu air dan pencahayaan juga perlu diambil kira. Segala perubahan perlu dilakukan dengan baik (tidak secara mendadak) kerana ia boleh menyebabkan renjatan/stress pada hidupan di dalam akuarium anda.

- Tidak memberikan makanan berlebihan kepada udang dan hidupan di dalam akuarium. Ia bukan sahaja menyebabkan air menjadi kotor malah boleh menyebabkan hidupan di dalam akuarium anda mati.

Coral Banded Shrimp (Stenopus hispidus)

Blood Red Fire Shrimp (Lysmata debelius)

Blue Body Coral Banded Shrimp (Stenopus tenuirostris)

Camel Shrimp (Rhynchocinetes durbanensis)

Candy Stripe Randalls Pistol Shrimp (Alpheus bellulus) bersama goby.

Jadi hobi seperti ini bukan sahaja memerlukan anda untuk mengawasi keadaan akuarium dan penjagaan air dan makanan, tetapi turut mempelajari gaya hidup hidupan-hidupan tersebut. Ia mungkin sedikit sebanyak mengajar anda, bagaimana haiwan ini memerlukan persekitaran yang begitu sensitif – namun keadaan tersebut mampu disediakan oleh alam selama ini dengan sempurna bagi mereka.
 

Scarlet Skunk Cleaner Shrimp (Lysmata amboinensis)

Tiger Pistol Shrimp (Alpheus bellulus)


Free Download



Selasa, 27 Mei 2014

Beberapa Keunikan Dunia Serangga I

Hercules Moth
Hercules moth (kupu-kupu Hercules) mempunyai saiz yang kepak yang besar.

Serangga jarang diberikan tumpuan seperti haiwan-haiwan atau hidupan yang lain. Ini mungkin kerana saiznya yang kecil dan sebahagian daripada serangga amat ditakuti manakala sebahagiannya pula menjadi punca pembawa penyakit.

Namun begitu keunikan hidupan serangga juga banyak memberikan manfaat kepada manusia serta hidupan-hidupan lain. Sejak sekian lama manusia menggunakan madu sebagai manisan asli yang dihasilkan oleh lebah, malah khasiat madu dapat membantu manusia dalam mengubati pelbagai penyakit. Lebah juga membantu proses pendebungaan yang memastikan pokok-pokok dapat menjalankan pendebungaan dan menghasilkan biji benih (buah yang juga menjadi sumber makanan kepada manusia).

Serangga lain seperti ulat sutera membekalkan sutera yang dijadikan bahan utama untuk membuat kain sutera yang merupakan salah satu daripada bahan pakaian mewah bagi manusia. Sutera dapat memberikan kualiti pakaian yang lembut, ringan dan sejuk apabila dipakai. Begitu juga serangga-serangga lain yang banyak membantu manusia untuk mendapat inspirasi dalam mereka bentuk peralatan-peralatan lain berilhamkan daripada keunikan dunia serangga.

Sehubungan itu di sini ingin saya kongsikan beberapa fakta menarik tentang dunia serangga bagi kita mengenali lebih dekat keunikan kumpulan hidupan ini antaranya:

Goliath Beetle
Kumbang Goliath yang mempunyai berat menyamai hamster.

Serangga Terberat:

Serangga terberat adalah kumbang Goliath di mana ia boleh mencapai berat menyamai seekor hamster. Berbanding serangga-serangga yang lain seperti nyamuk dan lalat, berat kumbang Goliath ini mungkin beratus/beribu kali ganda.

Giant stick insect
Kalau tiba-tiba hinggap di tangan semua orang akan terkejut kan!

Serangga Terpanjang:

Ulat Ranting Gergasi Indonesia (Indonesian Giant Stick Insect) merupakan serangga terpanjang dengan ukuran mencapai 33 centimeter. Keunikan serangga ini bukan sahaja kerana saiznya malah apabila berada pada dahan pokok adalah amat sukar untuk memastikan kehadirannya.

Monarch butterfly
Rama-rama Monarch bukan sahaja cantik, tetapi amat terkenal kerana perjalanannya selain beracun.

Perjalanan Terjauh:

Rama-rama Monarch melakukan perjalanan terjauh setiap tahun iaitu dari Canada hingga ke Mexico. Perjalanan tersebut adalah berjarak sekitar 3,500 kilometer. Ia juga merupakan antara serangga yang popular selain daripada ia juga adalah rama-rama yang beracun dan memiliki warna yang garang (berwarna oren pekat).

Pelari Terpantas:

Lipas tropika merupakan terpantas di dalam dunia serangga. Dengan kelajuan melebihi kepantasan 5 kilometer sejam. Ini kerana kebanyakan serangga boleh terbang ataupun melompat. Jadi saiznya yang kecil menjadikan mereka hidupan yang perlahan semasa bergerak. Ini menjadikan lipas tropika sebagai juara dalam bahagian ini.

Serangga Terbesar:

Kupu-kupu Hercules emperor merupakan serangga terbesar kerana mempunyai kepak dengan saiz keseluruhan adalah menyamai saiz pinggan makan malam. Terdapat juga kupu-kupu lain yang bersaiz besar seperti kupu-kupu atlas yang juga agak besar dan terdapat di kawasan tropika.


Itu mungkin beberapa bahagian daripada keunikan dunia serangga yang ingin saya kongsikan pada kali ini. Mungkin dalam artikel yang lain saya akan kongsikan beberapa lagi keunikan kumpulan hidupan yang adakalanya ditakuti ini. Melalui pengenalan ini diharap kita dapat mempelajari serba sedikit keunikan dan mendapat manfaat daripada pengetahuan tersebut.



Free Download



Arkib Blog