Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Ahad, 13 November 2016

Kemanakah Hilangkan Cerita Rakyat Lama Malaysia?

Cerita Rakyat merupakan kekayaan budaya dan juga memupuk nilai murni.

Cerita Rakyat merupakan antara cerita yang penting suatu ketika dahulu di peringkat asas di sekolah-sekolah rendah. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak dalam memupuk nilai budaya malah budi bahasa dan pekerti yang tinggi anak-anak bangsa suatu ketika dahulu. Ia bagaimanapun hilang pada sekitar tahun 2000 dan usaha untuk mendapatkan buku cerita-cerita rakyat menjadi semakin sukar.

Cerita rakyat, walaupun adakalanya sukar diterima akal, namun masih mempunyai nilai-nilai murni. Adakalanya ia juga membuatkan kita tertanya mengenai kebenarannya. Apa pun ia sendiri memupuk sifat berfikir dan menilai. Mungkin faktor logika bukan menjadi tujuan utama dalam cerita-cerita rakyat, atau sesetengahnya tidak dapat lagi dibuktikan dengan pandangan akal semata. Namun begitu nilai-nilai kebudayaan serta teladan yang diselitkan di dalam cerita rakyat adalah terlalu tinggi untuk diabaikan.

Kami cuba menjejaki saki-baki cerita-cerita rakyat yang dikongsikan oleh penulis-penulis blogger yang lain termasuk juga buku-buku yang masih lagi ada di dalam penerbitan di pasaran. Sedikit sebanyak, cerita rakyat diketengahkan semula walaupun hari ini ia ditampilkan dalam bentuk yang berbeza.

Bahan dalam bentuk buku:

Bagi bahan bacaan berbentuk buku, antara buku yang masih boleh didapatkan antaranya adalah Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia yang diterbitkan semula oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Buku ini boleh dibeli secara online di lama web kedai buku mereka. Terdapat juga beberapa judul lain seperti:

*buku-buku ini adalah penerbitan semula pada tahun 2013

Manakala daripada penerbitan bahan multimedia pula Cerita Rakyat Malaysia (Buku & VCD-Rom) yang dikeluarkan oleh Unik Edu Solution boleh dibeli terus melalui Lazada secara online. Ia merupakan bahan yang mengandungi pelbagai media dalam menyampaikan maklumat dengan lebih menarik. Ia mengandungi pelbagai cerita-cerita rakyat lama dalam usaha meningkatkan semula nilai-nilai murni di kalangan golongan kanak-kanak.

Selain cerita tersebut terdapat lagi beberapa judul berkaitan cerita rakyat yang juga boleh didapati terus melalui Lazada.

Bahan baru, cerita rakyat diterbitkan dalam bentuk multimedia.

Manakala daripada bahan perkongsian blog pula, tiada blog yang secara khususnya berjaya menampilkan cerita rakyat secara konsisten. Kebanyakan blog-blog cerita rakyat ini tidak dikemaskinikan lagi. Walaupun ramai yang menunjukkan minat untuk mendapatkan isi kandungannya.

Antaranya:

  1. azman-hashim.blogspot.my – blog yang memuatkan sedikit mengenai cerita-cerita pendek dan juga beberapa tips lain berkaitan bercerita dan sajak. Ia dimulakan sekitar tahun 2011 dan tidak diteruskan lagi. Ia masih boleh dilawati melalui link seperti yang disediakan.
  2. butang-emas.net – blog yang lebih seruis yang juga memuatkan beberapa kesusasteraan merupakan bahan bacaan dan rujukan yang baik. Sama juga seperti blog yang pertama, isi kandungan terakhir yang dimuatkan adalah pada tahun 2011. Apa yang berbeza, bahan kandungan blog ini juga sesuai untuk bacaan orang-orang dewasa.
  3. alynn-media2u-koleksiceritarakyat.blogspot.my – blog yang ditulis lebih awal dengan sedikit kandungan mengenai cerita-cerita rakyat. Ia dimulakan dan berakhir pada tahun yang sama iaitu pada 2009. Blog ini walaubagaimanapun masih boleh di akses melalui link yang disediakan.
  4. muhammadnuradil.blogspot.my – mengandungi kisah-kisah ringkas yang menarik. Namun ia juga tidak diteruskan lagi. Kali terakhir ianya dikemaskini adalah pada tahun 2013. Namun bahan yang ditulis di dalam blog ini amat menarik untuk bacaan pembaca kecil kerana kisahnya ringkas namun mengandungi unsur-unsur teladan yang baik.
  5. ceritarakyatmalaysia.blogspot.my - merupakan sebuah blog yang dimiliki oleh sebuah sekolah. Merupakan satu usaha yang baik, namun tidak lagi diteruskan. Mengandungi sejumlah cerita-cerita pendek yang sesuai untuk bacaan murid-murid. Ia bagaimanapun hanya ditulis sehingga tahun 2010 sahaja. Adalah diharap ia dapat diteruskan semula dan dalam masa yang sama usaha ini dapat dicontohi oleh sekolah-sekolah yang lain. Ia adalah dimiliki oleh SMK Kuala Kubu Bharu.


Pak Pandir merupakan kisah popular sebagai teladan.

Sang Kancil yang menjadi idola simbol kebijaksanaan. 

Begitulah sukarnya untuk kita menemukan semula cerita-cerita lama yang telah hilang, yang kini semakin dirasakan betapa baiknya nilai-nilai yang terkandung di dalam cerita tersebut. Adalah diharap kita dapat memanfaatkan bahan-bahan yang cuba dihasilkan oleh mereka-mereka yang berusaha menampilkan bahan-bahan ini bagi kita. Manakala bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya pula adalah diharap dapat menggiatkan lagi usaha ini. Inilah makna penghargaan selagi sesuatu perkara itu masih boleh didapati, berbanding apabila ia telah hilang, maka tidak semuanya akan kembali lagi.



Free Download


Sabtu, 10 Oktober 2015

Perpustakaan Tercantik Di Dunia – Clementinum

Dewan 'Baroque library', Clementinum. 

Perpustakaan Clementinum (Klementinum dalam Czech) adalah sebahagian daripada kompleks bangunan di Prague yang memiliki pelbagai nilai seni, budaya dan sejarah. Kompleks bangunan ini sendiri dibina sejak 1232 lagi merupakan antara kompleks terbesar di bahagian Bandar Lama (Old Town) yang meliputi kawasan seluas 2 hektar. Kekal sehingga hari ini Perpustakaan  Clementinum dijadikan National Library of the Czech Republic. Ia juga menerima pengiktirafan UNESCO Jikji prize (Memory of the World) pada tahun 2005.

Clementinum mengalami pelbagai perubahan arus masa yang menjadikan ia kaya dengan keunikan sejarah senibina yang ditempuhinya. Ia turut dipengaruhi oleh sebahagian daripada ahli astronomi, saintis, ahli falsafah, ahli muzik dan ilmuan Eropah pada zaman pertengahan yang pernah bekerja atau belajar di sini. Faktor inilah yang banyak menyumbangkan keunikan Clementinum dari segala aspek. Para arkitek yang terlibat dalam rekabentuk bangunan ini adalah Carlo Lugano, Franz Maximilian Kanka atau Kilian Ignaz Dientzenhofer.


Pintu masuk Timur.

Keseluruhan kompleks Clementinum.

Perpustakaan ini adalah sebahagian daripada beberapa bahagian yang terdapat pada keseluruhan kompleks yang turut menempatkan gereja, dewan perpustakaan dan juga menara astronomi. Jadi ia merupakan pelengkap kepada keseluruhan kompleks ini sebagai bahan rujukan dan menempatkan hasil penulisan para ilmuan yang bertugas di sini.

Perpustakan ini menempatkan lebih kurang 20,000 buah buku semenjak kurun ke-17 dan ke atas. Selain daripada buku-bukunya keseluruhan bangunan ini delengkapi atau dihiasi dengan hasil seni yang bersejarah juga. Buku-buku di sini turut di imbas dan di kongsi di dalam Google Books untuk memberikan peluang kapada lebih ramai pembaca dari seluruh dunia.


Menara Astronomi.

Turut melengkapi kompleks bangunan ini adalah menara kaji bintang (astronomi) yang juga merupakan antara tarikan utama pelawat. Dari menara ini pengunjung boleh menikmati pemandangan 360° Bandar Prague. Terdapat lift untuk membantu memanjat menara bagi sebahagian perjalanan sahaja. Manakala di tingkat-2 terdapat Meridian Hall – dimana ia dibina untuk menentukan waktu tengahari.

Sehingga hari ini ia merupakan antara tarikan di Bandar Prague yang menawarkan lawatan berpandu  dan juga pakej ‘concert package’ sekiranya anda ingin melihat Miror Chapel. Melihat daripada gambar yang disertakan, jelas Clementinum bukan sahaja cantik, malah kaya dari pelbagai aspek yang penting untuk dipelihara.



Rujukan:

- Laman Clementinum


- Wikipedia Clementinum



Free Download





Rabu, 18 Julai 2012

Steven R. Covey Meninggal Pada Usia 79 - Terima Kasih Atas Sumbangan Beliau

Nama beliau mungkin tidak asing lagi bagi mereka yang terlibat dalam pengurusan terutamanya. Walaupun secara tidak langsung hasil kerja beliau begitu dikenali di seluruh dunia malah di Malaysia juga. Bagi yang minat membaca tentunya anda pernah mendengar hasil penulisan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People".

Pertama kali saya mengenali hasil kerja beliau adalah semasa di tahun 'satu' semasa di UTM iaitu pada tahun 1995. Pada masa itu saya cuma dikenalkan dengan kaedah pengurusan masa yang disampaikan oleh beliau melalui bukunya "First Thing First" - satu lagi hasil kerja beliau yang amat popular. Apa yang menarik ianya disampaikan sendiri oleh seorang pensyarah di UTM (jadi mudahlah untuk ianya difahami). Karangan beliau terus popular dan saya semakin tertarik dengan hasil kerjanya. Jadi saya cuba untuk mengenal hasil-hasil kerja beliau bermula dari situ.

Setelah menempuh alam pekerjaan pula saya terlibat dengan lebih banyak program yang berasaskan daripada "The Seven Habbits of Highly Effective People", menjadikan nama beliau lebih menonjol kepada saya. Begitu juga dengan kemudahan jaringan internet untuk saya mendapatkan maklumat terperinci tentang hasil kerjanya yang lain.


Nama penuh beliau ialah Stephen Richards Covey dilahirkan pada 24 Oktober, 1932 di Salt Lake City, Utah dan meninggal dunia pada 16 Julai, 2012 di Idaho Falls, Idaho US. Membesar di sebuah ladang pembekal telur di luar kawasan bandar. Semasa kecil beliau mengalami masalah pada pembesaran kakinya yang memerlukan beliau menggunakan tongkat. Namun semangatnya yang tinggi tidak menghalang beliau untuk terus mencipta pelbagai kejayaan demi kejayaan.


Buku karangan beliau "The Seven Habits of Highly Effective People", bersama buku-bukunya yang lain terjual melebihi 25 juta naskah di serata dunia. Buku-buku beliau juga turut diterjemah kepada bahasa-bahasa lain bagi mudah difahami. Antara buku lain yang ditulis oleh beliau ialah "First Thing First", "Principle Centered Leadership", dan "The Seven Habits of Highly Effective Families". Pada tahun 2004 beliau melengkapkan hasil penulisan beliau melalui buku "The 8th Habit". Manakala sebagai penutup pada tahun 2008 beliau menghasilkan pula "The Leader In Me - How School and Parents Around the World Are Inspiring Greatness, One Child at a Time".

Pada tahun 1996, Majalah Time menamakan beliau sebagai salah seorang tersenarai di dalam 25 Rakyat Amerika yang berpengaruh, manakala Forbe pula menobatkan "Seven Habits" sebagai salah satu daripada 10 buku pengurusan terbaik.

Beliau membuka Covey Leadership Center pada tahun 1983 dengan mempertaruhkan segala hak miliknya sebagai sebuah pusat latihan dan consultant. Pada tahun 1997 pula ia bergabung bersama Franklin Quest, pakar dalam pengurusan masa dan membentuk Syarikat Franklin Covey Co. Sehingga hari ini syarikat ini telah beroperasi di 50 buah negara dan memperolehi jualan sebanyak USD160.8 juta pada tahun lepas.

Jadi itulah sedikit sebanyak mengenai Stephen R. Covey yang ingin saya kongsi bersama. Tujuan saya menceritakan mengenai beliau adalah sebagai tanda memperingati hasil usaha beliau dalam membina kejayaan diri dalam memajukan orang lain. Sudah tentu ramai lagi tokoh-tokoh cemerlang di luar sana untuk kita sama-sama hargai dan semestinya akan cuba untuk saya kongsi dalam blog saya ini. Mungkin anda boleh membantu dengan memberi cadangan tentang tokoh kesayangan anda di ruangan komen. Terima kasih.




Free Download



Arkib Blog