Memaparkan catatan dengan label beracun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label beracun. Papar semua catatan

Jumaat, 1 Julai 2016

Buah Pelik Yang Sedap, Monstera deliciosa

Buah pelik dengan rasa yang unik, kenali sebelum memakannya!

Seperti yang kita ketahui banyak buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan berasal daripada kawasan lain di dunia seperti nenas, koko, kopi, jagung dan banyak lagi. Jadi kebarangkalian banyak lagi buah-buahan yang tidak kita ketahui adalah tinggi. Antaranya seperti buah Monstera deliciosa yang merupakan sejenis buah yang berasal dari kawasan hutan tropika di Mexico sehingga ke Panama. Namun ia juga pernah diperkenalkan keluar dari kawasan asalnya ke Hawaii, Seychelles, Ascension Island dan Society Islands.

Pokok tumbuhan ini melilit pada batang pokok lain dan memanjat sehingga 20 m (66 ft) dengan daun seperti pokok keladi yang juga merupakan tumbuhan dari family Araceae. Daunnnya mempunyai saiz sehingga 25–90 cm (10–35.5 in) panjang dan 25–75 cm (10–29.5 in) lebar. Ia tidak mempunyai lubang sewaktu muda dan mula menghasilkan lubang apabila ia semakin tua. Kebiasaannya tumbuh di kawasan yang gelap, dan kemudiannya tumbuh menjalar memanjat pokok untuk mendapatkan lebih cahaya apabila membesar.

Pokoknya ditanam sebagai hiasan. 

Bentuk daun yang besar dan cantik.

Bunga Monstera deliciosa.

Selain buahnya boleh dimakan Monstera deliciosa juga sering dijadikan sebagai tanaman hiasan. Ia lebih sesuai ditanam di kawasan tropika dengan suhu sekitar 20–30 °C (68–86 °F) selain memerlukan kelembapan dan kawasan yang redup. Cuaca sejuk dan frost boleh membunuh pokok ini.

Walaupun buahnya boleh dimakan, ia mengambil masa yang agak lama untuk mencapai usia matang (boleh dimakan), iaitu lebih dari setahun. Bagaimanapun rasanya dikatakan seakan-akan gabungan buah pisang, nenas dan mangga. Ia merupakan buah yang amat digemari dan digunakan sebagai bahan perasa dalam minuman, ice-cream atau dimakan begitu sahaja.

Setiap bahagian tumbuhan ini mengadungi racun daripada oxalic acid, kecuali buahnya yang telah masak. Ia akan menyebabkan keradangan pada tekak dan mulut. Jadi bukanlah mudah bagi kita yang kurang mengenali tumbuhan ini untuk menjadikan ia sebagai makanan. Bagaimanapun ia merupakan satu lagi keajaipan dunia tumbuh-tumbuhan yang unik.

Hanya buah yang benar-benar masak boleh dimakan.

Bauh ini dari dekat.

Merupakan buah kegemaran ramai.

Free Download



Isnin, 16 Mei 2016

Tasik-Tasik Pembunuh di Afrika

Antara mangsa Tasik Nyos di Cameroon.

Mungkin anda berfikir ianya adalah kisah dogengan semata, namun tasik-tasik ini telah meragut ribuan nyawa manusia dan juga banyak lagi hidupan-hidupan lain yang mendiami persekitran tasik-tasik ini. Para saintis cuba menghuraikan misteri tasik ini dan dalam usaha memperbaiki keadaan. Apakah sebenarnya yang terjadi di tasik-tasik ini dan mengapa ia sangat merbahaya?

Antara tasik-tasik merbahaya ini adalah Tasik Kivu yang terletak di antara Congo dan Rwanda. Selain itu tasik-tasik lain adalah Tasik Nyos dan Tasik Monoun keduanya di Cameroon. Tasik-tasik ini mempunyai sejarah hitam di mana ribuan manusia dan haiwan peliharaan mati secara senyap secara misteri. Antara kejadian yang direkodkan adalah kejadian pada tahun 1934 di Tasik Monoun di mana seramai 37 orang ditemui mati berhampiran jalan. Manakala pada tahun 1986 pula Tasik Nyos meragut 1,700 kematian. Manakala Tasik Kivu adalah tasik dalam ketegori yang sama dengan saiz 2,000 kali ganda lebih besar dari Nyos dengan penduduk hampir 2 juta orang yang tinggal di tepian tasik ini. Walaupun tiada kejadian direkodkan, ia tidak bermakna Tasik Kivu adalah selamat.

Tasik-tasik ini sebenarnya menyimpan kuantiti gas Karbon Dioksida yang besar dan gas ini merupakan punca berlakunya kes-kes kematian misteri tersebut. Kandungan Karbon Dioksida ini adalah disebabkan oleh kesan geologi gunung berapi yang menyebabkan gas Karbon Dioksida terlarut di dalam air. Gas ini lebih berat dari udara dan akan bergerak di permukaan tanah dan melemaskan siapa sahaja yang menghidunya. Sebarang gangguan kepada tasik (seperti tanah runtuh) boleh mengakibatkan ia membebaskan kandungan gas tersebut.


Tasik Nyos dari jauh.

Gas yang dibebaskan dari tasik ini membunuh manusia dan haiwan.

Kejadian-kejadian seperti ini turut berlaku di tempat-tempat lain sebagai perbandingan antaranya adalah di Itali dan juga Yellowstone National Park yang adakalanya menyebabkan kematian beruang-beruang grizzly yang menghampiri lembah yang dikenali sebagai Death Gulch.

Bantuan daripada seluruh dunia dikerahakn ke tasik ini dalam usaha mengenalpasti punca dan usaha untuk mengelakkan kejadian yang sama daripada berlaku. Antaranya adalah  Minoru Kusakabe dari Okayama University yang pada mulanya tidak mengetahui di manakah letaknya negara tersebut. Pakar volcanologists dari Perancis, German, Itali dan para saintis dari Swiss dan Britain; pathologists, geologists dan chemists dari US kesemuanya berkumpul di Nyos untuk tujuan tersebut.

Nyos adalah terbentuk daripada kawah dan aktiviti gunung berapi. Selain daripada mepunyai kedalaman sehingga 682 kaki dan berada di atas runtuhan gunung berapi lama. Karbon Dioksida mungkin tertinggal daripada kesan aktiviti lama gunung berapi tersebut, atau ia juga mungkin terus dihasilkan dengan aktiviti magma di bawah tasik tersebut. Oleh kerana tekanan air yang tinggi, gas tersebut terperangkap di dasar tasik dan mengelakkannya daripada membentuk gelembung udara. Sama seperti sebotol air soda yang mana akan membebaskan tekanan tersebut apabila penutupnya dibuka.


Tasik Kivu di Rwanda, dari angkasa.

Tasik Kivu lebih luas dengan penduduk yang lebih ramai.

Nelayan tasik mencari hasil tangkapan di Tasik Kivu.

Bagi tasik Nyos, keputusan akhirnya dibuat iaitu dengan memasang pancutan air yang akan mengeluarkan gas Karbon Dioksida yang terkandung di dalamnya. Ia adalah proses yang panjang dalam mengurangkan tekanan gas di dasar tasik yang menyerupai proses semulajadi seperti geyser. Sebelum langkah ini diputuskan antara cadangan yang diajukan termasuklah menggunakan bom (agak mahal); memasukkan sejumlah batu kapur ke dalam tasik untuk meneutralkan gas (agak mahal); menggali terowong paip ke dasar tasik untuk mengeluarkan gas (agak mahal).


Walauun masih tiada keputusan yang pasti samada kaedah tersebut dapat mengelakkan daripada bencana berulang, namun ia sedikit sebanyak menambahkan lagi kefahaman mengenai tragedi yang berlaku. Pada masa yang sama para pengkaji masih meneruskan usaha bagi mengelakkan kecelakaan yang lebih besar di Tasik Kivu dalam usaha menyelamatkan hampir 2 juta penduduk yang tinggal di persekitarannya.

Mampukah usaha ini mengelakkan bencana berikutnya.



Free Download



Rabu, 20 April 2016

Pokok Yang Paling Beracun Dan Perlu Dijauhi - Gympie Gympie

Rerambut duri pada daun gympie gympie.

Anda mungkin mengetahui beberapa spesies tumbuhan beracun yang boleh membawa maut, tetapi gympie gympie adalah jauh lebih menakutkan. Gympie gympie (Dendrocnide moroides) juga dikenali sebagai stinging brush, gympie stinger, mulberry-leaved stinger, gympie gympie, gympie, stinger, the suicide plant, atau moonlighter adalah tumbuhan yang berasal dari Australia juga terdapat di Moluccas di Indonesia.

Kisah gympie gympie yang menakutkan ini semakin tersebar luas, namun sekiranya anda berhadapan dengan pokok ini secara tidak sengaja, ianya mungkin sudah terlambat. Pokok ini kelihatan biasa namun dipenuhi dengan duri-duri sangat halus dan hanya boleh dilihat dari dekat. Apabila kulit anda menyentuhnya, ia boleh mengakibatkan kesakitan yang amat dahsyat, sehingga ada yang membunuh diri kerana tidak tahan menanggungnya.

Pokok ini menghasilkan buah seperti buah beri dan ianya boleh dimakan – sekiranya rerambut beracun tersebut dapat dibuang kesemuanya. Walaupun ia dikatakan membunuh beberapa spesies binatang seperti kucing, anjing dan kuda, ia masih menjadi makanan beberapa spesies haiwan yang terdapat di habitatnya seperti haiwan marsupial red-legged pademelon, serangga dan burung.

Rerambut halus pada daun, hanya dapat dilihat pada jarak dekat.

Bahagian-bahagian lain turut diselaputi oleh rerambut duri.

Racunnya dikenali mengandungi ‘moroidin’ iaitu bahan utama yang menjadikan racunnya memberikan kesan yang amat lama. Ia masih boleh memberikan kesan yang sama walaupun bagi spesimen yang telah lama dikeringkan. Ia akan segera memberikan kesan terbakar apabila anda tersentuh bahagian pokok ini dan terus memberikan kesakitan pada setiap jam berikutnya. Ini diikuti dengan kesakitan pada sendi-sendi  anda dan bahagian ketiak mula membengkak.

Marina Hurley iaitu seorang entomologist dan juga ecologist yang turut mengkaji tumbuhan ini menyifatkan kesan gympie gympie sebagai “dibakar dengan asid panas dan dikenakan kejutan elektrik dalam satu masa”. Manakala antara kisah mangsa yang terselamat daripada gympie gympie adalah Margaret Paterson yang berhadapan dengan tumbuhan ini sewaktu melakukan hiking bersama anak perempuannya. Kejadian tersebut menyebabkan aktiviti mereka terpaksa dihentikan. Beliau turut menyifatkan kesakitan yang diakibatkan oleh gympie gympie adalah 15/10 berbanding dengan kesakitan melahirkan anak.

Antara langkah awal dalam rawatan sekiranya disengati oleh duri gympie gympie adalah menggunakan asid hidroklorik yang telah dicairkan pada nisbah (1:10) dan mengeluarkan duri-duri halus tersebut menggunakan pelekat seperti Elastoplast atau apa sahaja seumpamanya. Walaupun ia boleh mengurangkan kesakitan, namun ia mungkin masih boleh dirasai walaupun setelah lama dirawat.

Buahnya juga dipenuhi rerambut duri.

Secara kasar pokoknya kelihatan seperti pokok biasa.


Pengetahuan awal berkenaan pokok ini mungkin boleh membantu ada daripada mengalami pengalaman mengerikan. Namun begitu mungkin ia juga mempunyai fungsi tersendiri di dalam alam. Maka kita sebagai manusia haruslah bijak mengendalikannya dan bukan menjadi mangsa kepadanya. Menakutkan!






Free Download



Selasa, 11 Ogos 2015

Haiwan Beracun dan Berbisa Menakutkan?

Tedung Selar, spesis ular berbisa paling digeruni.

Haiwan beracun dan berbisa sememangnya menakutkan kerana ia boleh mendatangkan mudarat dan adakalanya menyebabkan maut kepada manusia. Manakala racun bukan sahaja terdapat pada haiwan malah juga tumbuh-tumbuhan. Manusia sejak sekian lama cuba mengenali spesis-spesis haiwan dan tumbuhan beracun mahupun haiwan berbisa untuk mengelakkan kemudaratan tersebut dan adakalanya ia juga membawa kebaikan!.

Sememangnya dari dulu lagi manusia telah belajar menggunakan racun dan bisa dari haiwan mahupun tumbuhan untuk pelbagai kegunaan. Racun dari hidupan-hidupan ini adakalanya digunakan untuk memburu dan adakalanya untuk tujuan perubatan. Melalui perkembangan dunia perubatan moden khasiat racun dan bisa hidupan-hidupan ini lebih banyak dikaji untuk mengetahui potensinya dalam bidang perubatan.

Racun dan bisa dari haiwan merangkumi pelbagai kumpulan haiwan terdiri daripada mamalia, burung, amfibia, reptilia, ikan, serangga, dan haiwan-haiwan invertebrata yang lain. Jadi mengenali hidupan dan haiwan berbisa sememangnya penting bagi kita mengenalpasti  mudarat dan manfaat daripada hidupan-hidupan ini. Walapun racun dan bisa berpotensi untuk memnyebabkan maut kepada manusia, namun haiwan-haiwan ini juga mungkin boleh menyelamatkan nyawa dengan bisa itu juga.

Ikan Buntal


Ikan buntal boleh mengakibatkan kematian.

Ikan buntal atau pufferfish mempunyai racun dikenali sebagai tetrodotoxin yang boleh mengganggu sistem saraf dan menyebabkan kelumpuhan pada otot-otot penting untuk mengawal pernafasan serta degupan jantung.

Namun begitu toxin ini juga boleh digunakan untuk menahan kesakitan yang teruk seperti dalam kes chemotherapy. Para pengkaji di John Theurer Cancer Center mendapati toxin ini adalah 3,000 kali lebih kuat daripada penahan sakit ‘morphine’, tanpa gejala-gejala seperti ketagihan ataupun muntah-muntah.

Ujian lebih lanjut dilakukan termasuk pengujian ke atas pesakit-pesakit kanser untuk memastikan ia selamat digunakan. Ia adalah bertujuan sebagai perbandingan dengan ubat-ubatan yang lain sebelum mendapat kelulusan daripada U.S. Food and Drug Administration (USFDA).

Tedung Selar

Tedung selar merupakan ular paling digeruni dan mempunyai bisa yang boleh membawa maut. Namun begitu bisa ular ini seperti juga racun pada ikan buntal berpotensi sebagai ubat tahan penyakit yang lebih baik daripada morphine.

Kajian mengenai bisa ular tedung selar dilakukan oleh Professor Manjunatha Kini dari National University of Singapore yang menghasilkan bahan dari bisa ular tersebut mendakwa ia mungkin lebih kuat di antara 20 ke 200 kali ganda daripada morphine.

Kajian yang dilakukan ke atas tikus mendapati tikus-tikus yang mendapat rawatan daripada bahan tersebut adalah dua kali lebih tahan terdapat kesakitan thermal (suhu).

Kutu


Kutu yang terbenam sukar ditanggalkan.

Kutu akan meludah selepas ia membenamkan kepalanya kedalam kulit/daging. Air liurnya ini memastikan bekalan darah dapat terus mengalir tanpa gangguan (beku).

Ia adalah antara bahan yang dikataka berpotensi untuk mengelakkan para pesakit dengan risiko darah tersumbat (akibat darah beku). Kajian ini adalah satu lagi bahan yang dikaji oleh Professor Manjunatha Kini dari National University of Singapore yang mengasingkan molekul daripada air liur kutu untuk menghasilkan ubatan dengan kekuatan 70 kali lebih kuat berbanding agen anti-pembekuan darah semulajadi di dalam badan manusia.

Ubatan ini dikatakan memberikan kesan yang baik ke atas haiwan setakat ini, namun ujian lebih lanjut masih perlu dijalankan sebelum ia sedia untuk digunakan ke atas manusia.

Sea Anemone (buran)

Sebuah syraikat biotechnolgy dari Seattle iaitu Kineta pula menghasilkan rawatan menggunakan toxin daripada ‘sea anemone’ untuk para pesakit dengan masalah auto-immune seperti penyakit ‘multiple sclerosis’ di mana sell-sell immune di dalam badan menyerang sell-sell badan yang baik/sihat.

Toxin yang dibebaskan oleh sea anemonea adalah bertujuan untuk mengelakkan gangguan pemangsa seperti udang/lobster mengandungi bahan yang dikenali sebagai ShK-186 yang memberi kesan kepada laluan potassium (potassium channels) tertentu dalam badan. Antibodi yang mengikat pada laluan ini mungkin menyebabkan keadaan autoimmune, dan menyasarkan pada kesan ini akan memberikan rawatan yang lebih efektif.

Menurut CEO dan President bagi Kineta, Dr. Chuck Magness, kaedah terapi biasa mematikan lebih banyak sistem immune, yang boleh mengakibatkan pesakit terdedah kepada masalah berkaitan immune yang lain. Ubatan ini juga menunjukkan rangsangan kepada metabolism, dan mempunyai potensi untuk merawat masalah obesity.

Fire-bellied toad


Warna garang melambangkan beracun.

Katak kecil yang beracun ini akan merembeskan racun apabila diganggu, namun begitu disebalik racunnya ini turut mengandungi protein yang boleh merawat luka.

Peptides (sejenis protein) daripada racun tersebut menggalakkan pertumbuhan saluran darah menurut professor Christopher Shaw daripada Queen's University di Belfast School of Pharmacy yang menjalankan kajian ke atas katak tersebut. Ubatan yang menggunakan toxin ini berpotensi mengurangkan kesan parut dengan mempercepatkan proses penyembuhan.

Ubatan ini adalah dalam peringkat akhir sebelum menemui pasaran untuk kegunaan manusia dan di patentkan di China dan United States.

Katak ‘Waxy Monkey


Katak 'waxy monkey' mempunyai racun yang pelik.

Katak yang mendapat gelaran sebegini tentunya melambangkan kesan daripadanya racunnya. Racun katak ini pernah digunakan untuk merangsang kuda perlumbaan dan mengakibatkan kuda terebut menjadi kebas dan hyperactive.

Penggunaan dengan betul bagaimanapun dapat mengawal pertumbuhan salur darah dan dikenali sebagai ‘angiogenesis’. Jadi ubatan daripada toxin katak ini dapat mengawal penyakit disebabkan pertumbuhan salur darah tidak terkawal seperti buta akibat diabetes dan juga rheumatoid arthritis yang berkait rapat dengan saluran darah.

Menurut Christopher Shaw daripada Queen's University di Belfast School of Pharmacy ciri-ciri anti-angiogenic pada toxin katak tersebut boleh membuktikan ia boleh digunakan untuk mewarat penyakit-penyakit tersebut.


Berikut dengan kehilangan habitat haiwan-haiwan ini, para penyelidik bukan sahaja perlu membuktikan kajian mereka untuk kegunaannya sebagai ubatan, malah sebelum hidupan itu sendiri pupus. Bukan itu sahaja, oleh kerana haiwan-haiwan beracun dan berbisa ini amat ditakuti ia biasanya mendapat reputasi buruk di kalangan manusia dan dihapuskan. Ya, mungkin kita perlu berfikir sejenak tentang fungsi mereka yang belum kita ketahui.



Free Download



Sabtu, 20 Jun 2015

Ikan Buntal (Pufferfish)

Ikan buntal walaupun berduri dan beracun tetap menjadi makanan manusia.

Ikan buntal merupakan antara ikan yang unik kerana kebolehannya untuk mengembangkan saiz badannya menjadi lebih besar bagi mengelakkan ia daripada dimakan oleh pemangsanya. Selain itu juga ia sangat beracun dan boleh mengakibatkan kematian – dan ini tidak menghalang manusia kerana ia dikatakan enak dan ramai yang mengambil risiko (kematian) semata-mata untuk menikmati makanan eksotik hidangan daripada ikan ini.

Ikan buntal tergolong dalam family Tetraodontidae dari order Tetraodontiformes. Ikan buntal terdiri daripada 120 spesis daripada 19 genus menjadikan ia satu kumpulan ikan yang besar. Mendiami kawasan perairan tropika sehingga ke bahagian laut bersuhu sederhana dan tidak terdapat di laut yang bersuhu sejuk. Terdapat juga spesies yang mendiami perairan air payau dan berair tawar. Terdapat pelbagai nama yang merujuk ikan buntal di dalam Bahasa Inggeris sahaja antaranya adalah pufferfish, puffers, balloonfish, blowfish, bubblefish, globefish, butterfish, swellfish, toadfish, toadies, honey toads, sugar toads, dan sea squab. Oleh kerana ia terdapat hampir di serata dunia, setiap masyarakat mempunyai nama tersendiri untuk ikan-ikan ini.


Guineafowl puffer sebelum mengembang.


Guineafowl puffer selepas mengembang.

Daripada 120 spesies tersebut, 29 daripadanya mendiami perairan air tawar sepenuhnya. Walaupun kesemua spesies ini mendiami perairan tropika namun ia berada di lokasi yang berbeza dengan satu spesies terdapat di Amerika Selatan, tiga spesies lagi terdapat di Afrika Tengah dan selebihnya 25 spesies terdapat di Asia Tenggara. Jadi kini anda mengetahui betapa pentingnya kawasan Asia Tenggara sebagai habitat penting spesies-spesies tertentu.

Ikan buntal terdiri daripada pelbagai saiz daripada yang bersaiz kecil di antara 2.5 cm (1 inci) sehinggalah kepada yang bersaiz 61 cm (2 kaki). Malah ada yang mencecah sehingga 1 meter (3 kaki) panjang. Ia tidak mempunyai sisik namun kulitnya agak kasar dan ada di antaranya seperti duri yang akan mengembang apabila ia diancam.


Anak ikan buntal kecil mungkin terlekat di rumpai-rumpai laut.

Ikan buntal mempunyai empat gigi yang membentuk seperti paruh dan gigi ini digunakan untuk memakan makanan termasuk kerang-kerangan yang keras – namun begitu makanan ikan buntal terdiri daripada pelbagai invertebrate dan juga algae. Makanan ikan-ikan buntal ini juga dikatakan menjadi punca kepada racun ikan tersebut yang boleh membunuh 30 orang lelaki dewasa dan tiada penawar (antidote) yang diketahui setakat ini.

Racun ikan buntal dikenali sebagai tetrodotoxin merupakan racun yang 1,200 kali ganda lebih kuat daripada cyanide. Racun ini turut dimiliki oleh beberapa spesies haiwan beracun yang lain seperti newt dari genus Taricha, kodok dari genus Atelopus, blue-ringed octopus dari genus Hapalochlaena, beberapa spesies tapak sulaiman (sea stars), spesies angelfish, beberapa jenis cacing yang dikenali sebagai polyclad flatworm, arrow worms, ribbon worms dan beberapa spesies ‘xanthid crabs’. Walaupun ia boleh membunuh manusia dan pemangsanya, beberapa pemangsa semulajadi haiwan ini didapati tidak terjejas dengan racun tersebut seperti tiger shark dan juga ular laut.


Torafugu di pasar Tsukiji Jepun.

Walaupun beracun ikan buntal atau dikenali sebagai Fugu (河豚 or ; フグ) di dalam Bahasa Jepun merupakan antara hidangan yang amat popular. Torafugu atau tiger blowfish merupakan hidangan yang paling berprestige dan juga yang paling beracun. Ini diikuti dengan beberapa spesies lain seperti Higanfugu (T. Pardalis), Shōsaifugu (T. vermicularis syn. snyderi), dan Mafugu (T. Porphyreus). Memandangkan makanan daripada ikan ini amat merbahaya langkah-langkah keselamatan turut dititikberatkan oleh Kementerian Kesihatan Jepun. Ini termasuklah menguat kuasakan lesen penyediaan makanan berasaskan fugu semenjak tahun 1958 lagi. Kaedah pengambilan lesen yang memerlukan pelbagai kriteria termasuk ujian bertulis, pengenalan ikan dan juga ujian praktikal membolehkan hanya 35 peratus daripada calon berjaya mendapat lesen penyediaan fugu.


Blue and white dot puffer fish.

Terdapat pelbagai kaedah penyediaan fugu dan yang paling popular adalah sashimi di mana daging ikan ini akan dipotong nipis dengan teknik yang dikenali sebagai usuzukuri. Selain itu ia juga turut disediakan dalam bentuk goreng, bakar,  stew, salad selain telur malah ovari (bahagian yang beracun) turut digunakan sebagai sebahagian daripada hidangan istimewa. Fugu merupakan makanan yang tidak boleh dimakan oleh Maharaja Jepun sebagai langkah keselamatannya.

Saintis dari Nagasaki University dikatakan telah berjaya membesarkan ikan-ikan dari jenis torafugu melalui pengawalan pemakan ikan ini. Setelah berjaya membesarkan lebih daripada 4,800 ikan buntal yang tidak beracun, mereka yakin bahawa punca pemakanan dan sistem penghadaman ikan menyebabkan ia menghasilkan racun (sama juga dengan spesies katak beracun) dengan mengekalkan rasa ikan. Namun ada juga yang menyangkal dakwaan ini.


Fugu sashimi yang digemari daripada ikan buntal.

Sejauh mana benarnya dakwaan ini tidak diketahui kerana masih terdapat kes keracunan dan kematian yang berpunca daripada pemakanan fugu di Jepun. Terdapat 23 kejadian yang dilaporkan di Jepun sepanjang 1993 sehingga 2006 dan hanya satu kes dilaporkan berlaku di restoran dan antara kes terbaru adalah pada March 2015. Kes-kes kematian yang disebabkan oleh ikan ini banyak juga berlaku di tempat-tempat lain termasuk Malaysia sendiri. Jadi adalah lebih baik sekiranya anda mengelakkan daripada mencubanya.

Ikan buntal walaupun beracun tetap menarik dan merupakan spesies yang penting di dalam ekosistem terutamanya kawasan terumbu karang. Sekiranya anda berminat bolehlah melihat keseluruhan 120 spesies ikan tersebut. Mengenalinya mungkin boleh mengelakkan anda daripada bahaya racun ikan ini nanti.

Rujukan:
  1. Wikipedia – Tetraodontidae
  2. Wikipedia – Fugu
  3. Wikipedia – Tetrodotoxin
  4. National Geographic
  5. The Guardian


Free Download



Arkib Blog