Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bencana. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Februari 2021

Malapetaka Berganda Dengan Serangan Belalang Juta

 
Petani yang cuba menghalau serangan belalang yang menyerang tanaman.


Tahun 2020 merupakan tahun yang dinanti-nantikan sebagai detik pembaharuan dalam sejarah peradaban manusia moden. Namun bagaimanapun, apa yang dinanti-nantikan bertukar sebaliknya apabila dunia dikejutkan dengan pelbagai musibah daripada kebakaran hutan di Australia, kebakaran hutan di California, US, Pandemik COVID-19 dan serangan belalang juta yang membawa kemusnahan besar-besaran.
 
Walaupun bencana belalang juta ini bermula sebelum tahun 2020 lagi. Tahun 2020 merupakan kemuncak daripada penyebaran belalang-belalang yang semakin merebak ke bahagian Timur daripada bahagian Timur Tengah dan Timur Afrika. Pergerakan belalang ini ke bahagian Timur membawa kumpulan belalang sehingga ke Utara India dan Pakistan. Sehingga kini pergerakan ke Timur cuba disekat oleh China menggunakan kumpulan ribuan itik untuk membantu menyekat kemaraan kumpulan belalang tersebut.
 
Belalang juta merupakan antara bencana yang amat ditakuti oleh semua penduduk dunia. Ini kerana kedatangnya merupakan tanda bakal bermulanya krisis kebuluran - akibat kemusnahan tanaman untuk ternakan dan juga sumber makanan manusia. Kumpulan belalang mencecah jutaan ahli dan jumlah ini akan berganda dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Kumpulan belalang juga akan memusnahkan sejumlah besar tanaman/tumbuhan bagi setiap kawasan di dalam laluannya.

Anak-anak belalang yang baru menetas bergerak dalam kumpulan.

Belalang dewasa yang sedia untuk bergerak dalam kumpulan ke kawasan yang baru.

 
Walaupun serangan belalang juta lebih kerap berlaku di kawasan Benua Afrika sehigga ke Utara India, kawasan-kawasan lain di dunia tidak terlepas daripada serangan belalang juta (apa yang berbeza adalah dari segi jenis dan saiz kumpulan belalang sahaja. Ini kerana belalang juta adalah daripada belalang biasa (mengikut spesies-spesies tertentu) - yang kemudiaanya membentuk kumpulan menjadi satu kumpulan besar. Perubahan sifat ini lah yang memulakan serangan belalang juta yang sebelumnya adalah tidak ketara. Ia mengambil masa yang lama sehingga kumpulan belalang akan hilang semula (dan belalang akan kembali hidup secara berasingan).
 
Serangan belalang juta merupakan antara perkara yang dianggap serius dan amat papular di dalam kisah-kisah sejarah manusia dan diceritakan seranggan nya dari zaman Mesir lagi. Pada tahun 1875 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Albert’s swarm menyerang United States di bahagian Barat Missouri. Ini diikuti pula oleh serangan belalang yang menyerang Palestin, Lebanon dan Syria yang dikenali sebagai 1915 Ottoman Syria locust infestation. 2003 - 05 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Africa locust infestation - yang menyerang bahagian Barat Benua Afrika. Pada 2013 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Madagascar locust infestation, menyerang kepulauan tersebut dengan jumlah yang dikatakan mencapai berbillion belalang. Pada 2016 pula Argentina mengalami serangan belalang yang dikatakan terburuk di dalam tempoh 60 tahun. Kumpulan belalang  ini terus bergerak ke kawasan-kawasan lain termasuk Paraguay dan menghala ke Selatan Brazil.

Serangan belalang juta, memenuhi setiap permukan pada pokok yang dihinggapinya.

 

Selain daripada bencana-bencana besar belalang juta seperti di atas, kes belalang juta turut melanda Australia daripada spesies belalang yang berbeza daripada belalang juta di Afrika. Namun dari segi pembentukan kumpulan dan pergerakan belalang ini adalah hampir sama sahaja. Apabila keadaan cuaca tertentu dicapai - yang menyediakan keadaan sesuai bagi belalang, ia akan mula membentuk kumpulan dan bergerak dalam kumpulan mengikut arah angin. Kebiasaannya, keadaan lembab perlu dicapai bagi memudahkan belalang membiak selain menyediakan jumlah makanan yang cukup untuk pengembangan kumpulan yang besar.
 
Walau bagaimanapun daripada ribuan spesies belalang, hanya 22 daripadanya yang boleh dikelaskan sebagai (belalang juta atau “locust”). Pengkelasan ini adalah berdasarkan kepada kebolehannya yang menukar keadaannya daripada keadaan bersendiri (“solitary”), kepada berkumpulan atau lebih dikenali sebagai “gregarious state”, sehingga membentuk kumpulan yang besar sehingga berbillion ahli. Perubahan ini turut merubah fisiologi belalang dari warna hijau/kusam kepada warna terang dan garang. Fisiologi lain adalah saiz kaki lompatnya yang lebih pendek, dan saiz otak tengah yang lebih besar yang memberikannya kelebihan kepada gaya hidup barunya.

Perbezaan keadaan belalang dalam peringkat "solitary" dan "gregarious".

 
Bagi bencana kali ini keadaan lembab bermula apabila Taufan Mekunu dan Taufan Luban dari Lautan Hindi melanda bahagian padang pasir Arab pada Mei dan Oktober 2018. Ini memulakan keadaan yang sesuai untuk belalang mula membentuk kumpulan. Pergerakan belalang kemudiannya dibantu lagi oleh Ribut Pawan pada Dis 2019 yang menggalakkan lagi pergerakan kumpulan belalang yang menghala ke Somalia, Ethiopia dan Kenya yang terjejas teruk dalam bencana kali ini. Walaupun sebahagian besar kumpulan belalang menghala ke arah Barat - terdapat juga kumpulan yang bergerak ke arat Timur yang menyerang sehingga ke Pakistan dan Utara India.
 
Oleh kerana bencana ini berlaku di zaman teknologi, bantuan lebih mudah diberikan daripada serata dunia. Sekiranya ia berlaku pada masa-masa dahulu, bencana-bencana seperti ini sudah pastinya akan memberikan kesan yang lebih buruk - kerana ia mungkin tidak diketahui dan menyebabkan kebuluran yang lebih tinggi. Namun begitu kita masih lagi belum menemui kaedah terbaik untuk berhadapan dengan bencana serangan belalang. Walaupun kita mungkin mengetahui beberapa data dari segi taburan dan penyebaran mereka. Kaedah penggunaan racun serangga bukanlah kaedah terbaik kerana ia turut memberikan kesan kepada hidupan lain malah manusia.

Peta serangan belalang pada Mei, 2020. Peta terkini boleh dilihat di sini.

 
Bencana belalang juta adalah sebahagian daripada bencana semulajadi yang perlu difahami. Walaupun ia dipandang dari segi negatif (kepada manusia), ia mungkin bertujuan mengawal keseimbangan alam - kerana belalang-belalang ini sendiri merupakan sumber makanan kepada sebahagian besar haiwan-haiwan yang lain. Semoga kajian dapat diteruskan dan kita lebih bersedia dalam menghadapi situasi seperti ini tanpa mengancam keseimbangan alam yang lebih penting.
 
 
Rujukan:
 
 

Rabu, 9 Mac 2016

Kesan Gerhana Kepada Cuaca Global

Fenomena gerhana matahari penuh. 

Gerhana merupakan fenomena alam yang amat menarik perhatian sejak dahulu lagi. Ia menimbulkan pelbagai reaksi manusia mengikut adat, budaya, masyarakat dan agama. Kesemua manusia mempunyai pandangan berbeza-beza terhadap kesan gerhana dan kesan yang diakibatkannya. Apa pendapat anda sebelum meneruskan bacaan ini?

Kesan gerhana secara global adalah disebabkan penurunan suhu bagi kawasan yang dilindungi oleh bulan, di mana bayang matahari akan melaluinya semasa tempoh gerhana matahari berlaku. I menjadi tanda tanya bagi kita sehingga kesan ini dapat dilihat dengan jelas melalui kesan penurunan suhu yang diukur pada August 1999.

Pada tahun tersebut Dr Suzanne Gray dari University of Reading yang melakukan pengamatan penurunan suhu yang berlaku bagi fenomena gerhana di Selatan England. Fenomena tersebut jelas menunjukkan berubahan kepada tekanan udara yang menyebabkan berlakunya perubahan arah angin.

Keputusan menunjukkan penurunan purata sebanyak 0.7 meter sesaat bagi kawasan-kawasan yang tidak diliputi awan, manakala arah angin berubah melawan arah putaran jam dengan suhu 17°C  pula. Kesan gerhana ini juga menyebabkan arah angin dari arah Timur dan penurunan suhu sebanyak 17°C 

Super computer seperti Cray, Luna dan Surge digunakan untuk kaji cuaca.

Kedudukan bulan dan matahari semasa fenomena gerhana.

Masyarakat dunia mempunyai pelbagai andaian mengenai gerhana matahari.

.
Perubahan ini dapat dilihat dengan ketara dengan model lengkap ‘ramalan cuaca’ sekiranya tiada fenomena gerhana berlaku. Ini kerana dengan adanya ‘high-resolution weather forecast models’ merupakan salah satu teknologi yang dimiliki, kesan yang disebabkan oleh gerhana ini dapat dilihat dengan jelas.

Bagi masyarakat dunia sejak dahulu lagi mengaitkan pelbagai perkara dalam menerangkan mengenai fenomena gerhana matahari mahupun bulan. Ada yang mengatakan ianya dimakan oleh beruang yang besar bagi orang-orang asli di bahagian Amerika Utara. Manakala bagi orang-orang Greek pula ia memberikan petunjuk mengenai kemarahan Tuhan dan petanda bagi kedatangan bencana dan kemusnahan.

Peralatan yang betul diperlukan untuk melihat gerhana.

Penapis cahaya yang cukup untuk menjaga keselamatan pemerhati.

Tidak kurang juga di bahagian Timur seperti di China, India, Asia Tenggara yang mempunyai kepercayaan masing-masing. Ia juga menimbulkan pelbagai reaksi seperti melakukan sembahyang tertentu, pemujaan tertentu dan adakala mengorbankan manusia dan sebagainya.


Kesan gerhana dan cuaca ini amat menarik kerana di dalam kajian di atas gerhana adalah berlaku di kawasan yang bersuhu sejuk. Namun apabila ia berlaku di kawasan bersuhu panas seperti benua Afrika pada waktu tengahari, ia akan membawa impak yang lebih jelas untuk diperhatikan. Sama-sama kita memerhati untuk memahami tentang fenomena di sekeliling kita.



Free Download



Sabtu, 27 Februari 2016

Buku Yang Membunuh Patogen di Dalam Air ‘The Drinkable Book’

The Drinkable Book mampu membunuh organisma di dalam air minuman.

Masalah kebersihan air minuman merupakan masalah bagi negara-negara membangun dan merupakan masalah yang serius dalam mengawal penyebaran penyakit. Namun begitu bagi negara-negara membangun juga keselamatan air minuman menjadi penting apabila sesuatu kawasan dilanda bencana seperti banjir, gempa bumi, tsunami,  dan sebagainya yang menyebabkan kita perlu bergantung kepada sumber air yang tidak di rawat.

Sehubungan itu satu rekaan yang membantu merawat sumber air dengan mudah iaitu ‘The Drinkable Book’ dapat membunuh hampir 99.9 peratus patogen di dalam sumber air minuman. Rekaan ini dihasilkan oleh Dr. Theresa Dankovich dari Carnegie Mellon University. Setiap helaian muka surat buku ini terdiri daripada kertas tebal yang mengandungi partikel nano (nanoparticles) perak dan tembaga yang akan membunuh patogen di dalam air  yang ditapis melaluinya.

Setiap muka surat juga terdiri daripada 2 penapis yang boleh digunakan untuk menapis sehingga 100 lliter (26 gallon) air. Sebuah buku pula mampu menapis keperluan air minuman seseorang sehingga empat tahun.


Setiap muka surat boleh digunakan untuk menapis air.

Langkah-langkah penggunaan 'The Drinkable Book'.

Dr. Dankovich membuat ujian di Bangladesh.

Setelah ia diceraikan dari muka surat asalnya kertas kemudian akan dibentuk menjadi sebuah corong dan diletakkan di atas pemegang khas (untuk mengelakkan ia daripada jatuh) di atas sebuah bekas seperti baldi atau tong air. Air yang ingin ditapis akan dituang melaluinya – sama juga seperti proses tapisan biasa.

Ia telahpun diuji di beberapa kawasan seperti Afrika Selatan, Ghana, Haiti dan Kenya dan membuktikan kejayaannya dalam menghapuskan 99.9 bahan terkandung di dalam air yang terdiri daripada pelbagai organisma dan bahan lain. Walaupun terdapat partikel dari perak dan tembaga yang terkandung di dalam air tapisan, namun masih berada dalam tahap yang selamat – berbanding bahaya penyakit yang mungkin boleh disebabkan oleh air yang tercemar.

Rekaan ini amat baik sebagai langkah berhati-hati walaupun pengguna masih lagi perlu memastikan air minuman dimasak dengan sempurna. Bahkan air bersih yang dibekalkan melalui pair air ke rumah-rumah juga masih perlu di tapis dan di masak untuk mengelakkan daripada sebarang bahan yang boleh menyebabkan gangguan kesihatan.

Terdapat banyak bahan pencemaran yang berada di dalam air yang disebabkan oleh pelbagai faktor pula. Rekaan ini; ‘The Drinkable Book’ setidak-tidaknya dapat menyediakan langkah asas dalam memastikan air yang digunakan tidak mengandungi organisma-organisma bahaya. Selain untuk kegunaan kawasan-kawasan tanpa bekalan air yang bersih, ia juga berpotensi digunakan untuk kawasan-kawasan dilanda bencana.

Organisma-organisma di Dalam Air

Terdapat banyak organisma di dalam air yang boleh menyebabkan komplikasi yang serius daripada pelbagai jenis hidupan seni daripada pelbagai kumpulan ataranya; Protozao, parasit kecil, bakteria, virus dan alga.

Antara kumpulan Protozoa adalah:

Entamoeba histolytica, Cryptosporidium parvum, Cyclospora cayetanensis, Giardia lamblia, Microsporidia (lebih menghapiri fungus).

Kumpulan parasit kecil pula;

Schistosoma, Dracunculus medinensis, Taenia (sejenis cacing pita), Fasciolopsis buski, Hymenolepis nana, Echinococcus granulosus, Ascaris lumbricoides, Enterobius vermicularis. Multiceps

** iaitu parasit-parasit kecil yang terkandung di dalam air seperti cacing-cacing halus yang boleh menjangkiti manusia.

Kumpulan bakteria pula adalah;

Clostridium botulinum, Campylobacter jejuni, Vibrio cholerae, Escherichia coli  (E. coli), Mycobacterium marinum, Shigella, Salmonella, Shigella dysenteriae, Legionella, Legionella pneumophila, Leptospira, Salmonella typhi, Vibrio vulnificus, Vibrio alginolyticus, dan Vibrio parahaemolyticus.


Salmonella mencemari air dan bahan makanan lain.


Kumpulan virus pula antaranya;

Coronavirus, Hepatitis A virus (HAV), Poliovirus, Polyomavirus: JC virus dan BK virus.

Manakala contoh alga yang boleh mendatangkan bahaya adalah desmodesmus armatus yang mebawa kesan yang sama seperti jangkitan fungus.


Jadi begitulah banyaknya hidupan yang mungkin berada dalam air minuman. Apatah lagi air minuman yang tidak dirawat dengan sempurna. Bagi kawasan-kawawan yang tidak mempunyai saliran dan sistem pembentungan yang tidak diurus dengan baik, pelbagai penyakit merebak dengan mudah. Begitu juga apabila berlakunya bencana seperti banjir dan bekalan air minuman anda tercemar. Bagaimana pula anda memastikan air minuman anda selamat untuk diminum?






Free Download



Rabu, 27 Januari 2016

Projek Menyelematkan Kepupusan - Svalbard Global Seed Vault

Pintu masuk utama ke dalam Svalbard Global Seed Vault.

Keadaan dunia dengan cuaca yang tidak menentu dan pencemaran yang berleluasa menjadikan kita menyedari bahawa kepupusan mungkin akan melanda dunia. Malah ancaman kepupusan bukan sahaja boleh berpunca daripada manusia, sejarah lampau menunjukkan fenomena kepupusan besar-besaran telah beberapa kali melanda.

Berbanding merisaukan tentang bencana tersebut, mungkin tidak ramai yang mengetahui tentang usaha bagi berhadapan dengan fenomena ini telahpun dilakukan. Svalbard Global Seed Vault (Norwegian: Svalbard globale frøhvelv) merupakan sebuah simpanan biji benih tumbuh-tumbuhan terbesar sebagai langkah berhati-hati sekiranya berlaku sebarang kemungkinan. Gudang simpanan khas ini di bina di sebuah pulau iaitu Spitsbergen di Norway. Kepulauan tersebut dikenali sebagai Svalbard yang terletak kira-kira 1,300 kilometer (810 mi) daripada Kutub Utara.

Lokasi kedudukan Kepulauan Svalbard.

Rupabentuk keseluruhan bangunan simpanan.

Terowong masuk utama ke dalam bahagian simpanan.

Perbelanjaan awal pembinaan simpanan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Norway dengan belanja sekitar NOK 45 juta (USD9 juta). Manakala perbelanjaan pengurusannya pula ditampung bersama oleh Norway dan juga Global Crop Diversity Trust (GCDT). Penderma utama dana tersebut adalah juga berasal dari badan kebajikan yang tidak asing lagi iaitu Bill & Melinda Gates Foundation dan dari pelbagai badan dari seluruh dunia.

Penyimpanan biji-bijian ini menekankan penjagaan supaya ia mampu bertahan untuk tempoh yang lama. Ruang simpanan yang berada pada suhu yang rendah iaitu antara −18 °C (−0.4 °F) mengurangkan kadar metabolism bijian tersebut seterusnya mengelakkan ia daripada rosak. Persekitaran yang sejuk di kawasan tersebut juga memastikan biji-bijian berada dalam keadaan yang hampir sama sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Rak-rak yang digunakan untuk simpanan biji benih.

Antara bijian yang disimpan rapi.

Svalbard Global Seed Vault bertindak seperti peti simpanan selamat bagi semua negara di dunia yang berminat untuk menyimpan simpanan benih-benih tanaman mereka di sana. Syarat-syarat penggunaannya pula adalah tertakluk kepada “International Treaty on Plant Genetic Resources for Food and Agriculture” yang dipersetujui oleh 118 buah negara atau badan.

Walaupun pembinaan ruang simpanan ini tidak dapat lari daripada pelbagai spekulasi dan teori conspirasi, ia merupakan satu usaha yang mungkin suatu hari nanti dapat membantu manusia daripada bencana besar-besaran. Fenomena kepupusan besar-besaran sebelum ini adalah disebabkan daripada pelbagai bencana alam termasuk hentaman ‘asteroid’. Jadi tiada siapa tahu apa yang akan berlaku dan ia hanyalah sebagai satu langkah berhati-hati yang patut diberikan sokongan.



Free Download



Khamis, 23 Julai 2015

Kesan Sebenar Bencana Alam

Tinggalan Tambora iaitu kawah berukuran 6 km diameter.

Bencana alam merupakan salah satu fenomena yang sukar diduga dari segi akibat kemusnahan yang berlaku semasa bencana mahupun selepas bencana melanda. Kemusnahan yang berlaku pada jumlah yang sebegitu besar biasanya akan menyebabkan lebih banyak kemusnahan yang melanda berikutnya. Namun begitu usaha manusia sehingga ke hari ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam mengurangkan kehilangan nyawa.

Terdapat banyak bencana alam yang mungkin melanda daripada letusan gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, ribut taufan, puting beliung sehinggalah kepada kemarau kesemuanya boleh mengakibatkan kesan kemusnahan besar-besaran. Apa yang membimbangkan adalah bukan sahaja kesan semasa bencana, malah adalah kesan selepas bencana yang mungkin lebih hebat dan berpanjangan dan adakalanya meliputi kawasan yang lebih luas menjangkau diluar kawasan bencana itu sendiri.


Lahar adalah sebahagian daripada letusan gunung berapi.
Debu dan asap dari letusan Gunung Pinatubo pada 1991.

Kesan lepas bencana yang pernah melanda dunia adalah letusan gunung berapi Tambora di Indonesia yang berlaku pada April 1815 dimana letusan daripada gunung berapi ini mengakibatkan kesan berpanjangan dan dikatakan memberi kesan pada perubahan suhu dunia untuk tahun tersebut 1815 dan juga tahun berikutnya 1816. Ia menyebabkan salji turun pada musim panas dan tahun tersebut dikenali sebagai – tahun tanpa musim panas, memusnahkan tanaman serta menyebabkan kebuluran di serata dunia.

Walaupun letusan Gunung Berapi Tambora tidak begitu terkenal seperti Krakatau yang berlaku pada tahun 1883 pada jarak 900 batu daripada Gunung Tambora yang hanya dapat dilihat melalui hasil kajian para pengkaji gunung berapi untuk lebih memahami fenomena ini. Letusan Krakatau bagaimanapun banyak membantu dalam memahami kesan letusan besar gunung berapi yang juga dikenali sebagai “super volcano” dengan bukti catatan yang ditinggalkan. Namun begitu letusan Krakatau yang dikatakan menyebabkan bunyi yang terpaling kuat ini tidaklah sebesar letusan yang berlaku pada Tambora.


Jarak jangkauan debu daripada letusan Tambora.

Letusan Gunung Tambora meninggalkan kawah berukuran 6 km diameter dan sedalam 700 meter dalam bukan sahaja memusnahkan isi pulau di mana ia berada dalam sekelip mata malah isi pulau-pulau yang berhampiran juga. Abu yang dikeluarkan dari gunung berapi ini turut sampai ke Borneo dengan ketebalan 1cm yang berada pada jarak 500 km dari gunung tersebut.

Kemusnahan persekitaran gunung berapi tersebut mungkin berlaku dengan sekelip mata. Namun kawasan yang berhampiran seperti separuh daripada Pulau Jawa terus mengalami kematian tanaman, kematian ternakan dan kekurangan sumber makanan. Ia merupakan bencana susulan yang lebih besar daripada saat gunung itu sendiri meletus. Apabila berlaku kematian, yang mengikuti selepasnya adalah wabak penyakit.


Gunung Berapi St. Helens, USA, 1980.

Debu yang dikeluarkan dari gunung berapi ini turut mengakibatkan keadaan cuaca yang berbeza di seluruh dunia. Malah ia turut mengganggu penuaian hasil tanaman pada tahun tersebut yang menyebabkan hura-hara tanpa bekalan makanan yang cukup sehingga ke Eropah.


Setelah 200 ratus letusan Tambora berlaku, para pengkaji masih terus cuba memahami perkara sebenar yang melanda semasa bencana tersebut berlaku. Pemahaman ini mungkin dapat mengurangkan kesan kemusnahan yang akan dihadapi untuk masa-masa akan datang. Walaupun manusia tidak dapat menghalang fenomena sebegini daripada berlaku, namun kita sedikit sebanyak mampu bersedia untuk menghadapi kesan bencana dengan lebih baik.



Free Download



Arkib Blog