Memaparkan catatan dengan label belut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label belut. Papar semua catatan

Jumaat, 4 Jun 2021

Apakah Perbezaan Belut Sawah dan Belut?

European eel, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak.


Semasa kecil saya amat suka dengan aktiviti memancing dan menangkap ikan. Sesekali apabila terserempak dengan ikan ganjil ini (semasa mula-mula berhadapan dengan belut), pasti perkara luar biasa akan berlaku.. hahaha.. ular! Belut merupakan hidupan air yang istimewa, kerana ia berbeza sekali dengan ikan-ikan lain yang mirip dengannya. Namun apabila diamati, belut sawah dari family (Monopterus), adalah berbeza daripada belut-belut yang lain dari family (Anguilla). Perbezaan paling utama adalah, belut dari family Aguilla, melakukan penghijrahan ke laut untuk membiak!
 
Adakah ikan-ikan seperti belut, merupakan belut?
 
Tidak seperti ikan biasa, di mana kita lebih mudah untuk membezakannya. Bagi kumpulan ikan seperti belut ini, ianya agak sukar kerana kita tidak membiasakan diri dengan kumpulan-kumpulan ikan ini. Terdapat banyak ikan-ikan yang mempunyai rupa bentuk seperti belut, merupakan ikan-ikan daripada kumpulan yang berbeza dan spesies yang berbeza pula. Perkara ini ditambah dengan nama yang diberikan - menyebabkan kita menjadi bertambah keliru, seperti belut elektrik (Electrophorus electricus), yang sebenarnya merupakan sebahagian dari kumpulan ikan pisau (knifefish: Gymnotiformes). Begitu juga ikan dari kumpulan: Macrognathus, atau spiny eels, yang merupakan kumpulan ikan yang mempunyai bentuk seperti belut, namun mempunyai sisik dan muncung yang tirus. Ikan-ikan dari kumpulan ini juga mempunyai duri-duri yang tajam pada bahagian belakangnya - ia juga mempunyai nama tempatan sebagai ikan tilan, manakala ia juga dikenali dengan nama seperti, peacock eel, tire track eel, fire eel dan beberapa jenis lagi .

 
Setelah kita mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai ikan-ikan ini. Tinggal dua kumpulan utama yang rapat iaitu dua kumpulan utama: belut sawah (Monopterus) dan juga belut (Anguilla) - yang berhijrah ke laut untuk membiak (walaupun ia terkenal dengan nama European Eel) - terdapat beberapa spesies yang berada di luar Eropah dan beberapa spesies lagi di bahagian Asia.
 
Kedua-dua kumpulan ini dikenali sebagai belut - namun mempunyai perbezaan yang ketara dan lebih mudah dikenali dengan beberapa ciri-ciri tertentu. Belut sawah, bukan sahaja tidak berhijrah ke laut, malah ia tidak mempunyai sirip tepi pada badannya (membuatkan ia lebih mirip kepada ular). Berbeza dengan belut dari keluarga Anguilla, ia mempunyai sirip seperti ikan, pada bahagian tepi badannya dan terdapat belahan insang - ini tidak terdapat pada belut sawah.

Belut elektrik yang merupakan sebahagian dari keluarga ikan pisau (knife fish).

Ikan 'tire track eel', merupakan ikan yang menyerupai belut.

Terdapat beberapa spesies berbeza ikan ini, yang juga dikenali sebagai ikan tilan.

 
Adakah nilai komersial untuk kedua kumpulan ini?
 
Ya, kedua-dua kumpulan belut ini mempunyai nilai komersial. Apa yang membimbangkan, kumpulan belut dari jenis Anguilla, tidak boleh dibiakkan di dalam kurungan dan mempunyai jumlah bilangan yang semakin berkurangan di habitat liar - oleh kerana penangkapan anak-anak belut yang masih kecil untuk diternak secara komersial. Malah, kebanyakan aktiviti pengumpulan anak benih belut ini dilakukan secara tidak sah - dan dieksport melalui pasaran gelap.
 
Berbeza dengan belut sawah, ia bukan sahaja boleh diternak, malah boleh dibiakkan di dalam kurungan. Namun begitu, oleh kerana kegiatan penangkapan yang tinggi juga menyebabkan, jumlah belut sawah semakin berkurangan (mungkin kerana aktiviti bersawah yang semakin berkurangan). Belut-belut sawah adakalanya dilihat sebagai musuh - oleh kerana tabiatnya yang suka membuat lubang pada tebing kolam ataupun petak sawah. Namun, seperti juga belut lain, ia turut menjadi sebahagian makanan penting bagi masyarakat di mana sahaja ia boleh didapati.

 
Berbeza dengan belut Anguilla yang mempunyai saiz penternakan yang lebih besar - kerana pasarannya yang amat tinggi. Bagi belut-belut European Eel, negara-negara seperti Netherlands, Italy, dan Denmark merupakan negara penternak utama, selain Spain, Greece, Sweden dan Germany juga turut mempunyai penternakan dalam saiz yang lebih kecil. Belut-belut juga turut diternak di Jepun dan US (dari spesies Anguilla di Jepun dan US). Penternakan belut-belut ini merupakan industri terkenal dengan penggunaan teknologi moden bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa yang amat tinggi bagi belut. Harga belut boleh mencecah sehingga 1,000 HKD (128.86 USD) sekilogram, dan harganya pernah mencecah sehingga 5,000 HKD.
 
Bagaimana dengan belut sawah?

Belut sawah dari dekat, tiada kelihatan sirip atau insang.

Belut sawah secara keseluruhannya.

 
Belut sawah juga mempunyai nilai komersial, namun oleh kerana ia lebih mudah ditangkap di sawah dan kawasan-kawasan paya, ia jarang diusahakan secara komersial. Namun begitu, keadaan mula berubah, di mana kawasan pembiakan belut kini semakin berkurangan, malah penangkapan belut bukanlah satu pekerjaan yang mudah. Maka, penternakan belut sawah mula menjadi salah satu usaha yang mendapat perhatian.
 
Belut sawah bukan sahaja popular di negara-negara Asia Tenggara, malah ia turut menjadi sumber makanan berkhasiat di mana sahaja ia membiak. Negara-negara lain seperti China dan India telah lama memanfaatkan khasiat belut sawah di dalam hidangan mereka melalui pelbagai resepi. Hidangan-hidangan ringkas seperti ‘
stir fries’ dan ‘casseroles’ sehingga gandingan bahan-bahan seperti daun bawang, rebung, wine beras, gula, kanji dan sos soya - merupakan antara bahan-bahan yang digunakan untuk meningkatkan rasa sejati belut ini. Begitu juga dengan kawasan di India yang dikenali sebagai Daerah Assam, penggunaan kari merupakan kaedah yang lebih sesuai dengan citarasa tempatan. Selain daripada itu, belut-belut ini juga turut terdapat di negara-negara seperti Amerika Tengah dan Amerika Selatan, Afrika dan Australia. Ia juga dikatakan mula membiak di Amerika Utara oleh kerana pembebasan tidak terkawal (mungkin disebabkan oleh industri ikan-ikan akuarium).

 
Maka tidak hairanlah sekiranya, industri penternakan belut sawah juga merupakan antara industri yang semakin popular. Oleh kerana, ia masih berada di peringkat awal. Industri penternakan ini mempunyai peluang yang tinggi untuk dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan pasaran, selain memenuhi standard kesihatan dan keselamatan pengguna. Bagi pengeluar belut sawah ini, negara Indonesia merupakan negara pengeluar utama bagi pasaran dunia, selain Thailand dan Malaysia. Di Malaysia khususnya, penternakan belut masih lagi berada dalam tahap pembangunan, walaupun terdapat pengusaha-pengusaha yang berjaya seperti En. Zakaria Harun, dari Kampung Kubang Puyu, Terengganu, yang mencuba menternak belut sawah semenjak 2012.
 
Apakah khasiat pemakanan belut sawah?

Penternakan belut sawah atau 'swamp eel', merupakan industri yang masih baru.

Belut sawah mempunyai khasiat pemakanan yang sangat baik, setanding dengan khasiat pemakanan ikan-ikan yang lain. Antaranya, ia mengandungi Vitamin A sehingga 15,000 IU/100 gram, manakala ia juga mengandungi DHA mencapai 1,337 mg/100 gram yang jauh lebih tinggi berbanding dengan ikan salmon yang hanya mengandungi sekitar 820 mg/100 gram, manakala ikan makarel yang hanya mengandungi sekitar 748 mg/100 gram.
 
Walaupun masih terdapat sebahagian daripada kita yang agak sukar untuk menjadikan belut sebagai hidangan, namun ia telah lama menjadi hidangan yang amat digemari di serata dunia. Apatah lagi memandangkan khasiat pemakanan belut sawah yang baik, ia mungkin boleh dipertimbangkan. Apa yang penting, melalui amalan penternakan yang baik dan kaedah penyediaan masakan yang menarik, ia mungkin menukar persepsi mereka yang selama ini agak sukar mencuba daging belut sebagai makanan.
 
Sekian sahaja pengenalan mengenai belut air tawar buat kali ini. Saya akan pasti menulis lagi lanjutan daripada tajuk ini, kerana terdapat banyak lagi perkara yang perlu dikongsi dengan para pembaca berkaitan belut dan ikan-ikan yang seangkatan dengan nya. Melalui pengenalan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat kita mempelajari betapa pentingnya setiap haiwan di dalam alam. Selain itu, mungkin ia juga akan membuka mata bagi kita yang ingin memulakan satu peluang baru, atau seakannya. Bagi yang ingin berkongsi idea, ilmu pengetahuan, sila jangan segan untuk meluahkan pandangan anda di ruangan komen.
 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia: Eel
2) Wikipedia: Anguillida
3) Wikipedia: Swap eel
4) Wikipedia: European eel
5) Animaldiversity.org
6) Ocean and fisheries
7) Foa.org
8) Fao.org - II
9) Invasive.org
10) Aquanswers.com
11) Anim Agro Technology
12) MyMetro

Sabtu, 26 Disember 2015

Sedikit Perkara Mengenai Belut Elektrik

Belut elektrik berenang di dalam air.

Belut elektrik (Electrophorus electricus), sebenarnya adalah tergolong dalam kumpulan ikan yang dikenali sebagai ‘knifefish’ (seperti ikan belida) dari order (Gymnotiformes) dan bukannya dari kumpulan belut (Anguilliformes). Namun oleh kerana bentuknya yang panjang dan bentuk badan yang agak bulat maka ia lebih mirip menyerupai belut berbanding ikan.

Belut elektrik ini merupakan ikan yang unik, kerana berkemampuan menghasilkan renjatan elektrik sehingga 860 volt dan arus hampir 1 ampere (dengan kuasa sekitar 600 Watt) pada jangka masa 2 millisaat. Renjatan ini cukup kuat tetapi terlalu sekejap untuk menyebabkan maut kepada manusia. Walaubagaimanapun renjatan ini tetap menyebabkan kesakitan kepada siapa sahaja yang menerimanya.

Rupa bentuk belut elektrik dari hadapan.

Belut elektrik dan ikan kecil.

Pandangan atas belut elektrik.

Ikan ini mampu mencapai saiz sehingga  2 m (6 ft 7 in) panjang dan berat sehingga 20 kg (44 lb) yang turut menjadikan ia sebagai spesies Gymnotiformes terbesar. Mempunyai warna kelabu-coklat di bahagian belakangnya, manakala bewarna oren di bahagian bawahnya pula. Tidak mempunyai sisik seperti ikan sembilang atau belut. Mempunyai bentuk mulut yang agak bersegi. Ikan ini mempunyai deria pendengaran yang baik, namun deria pengelihatan yang lemah. Bagaimanapun ia kebiasaannya dijumpai di perairan yang agak keruh dan menggunakan daya elektrik lemah untuk mengesan kehadiran mangsanya.

Ikan ini berasal daripada lembangan Sungai Amazon dan Sungai Orinoco di Amerika Selatan dan merangkumi semua bahagian berair seperti paya, lopak-lopak air, tali air, sungai-sungai sehingga ke pinggir laut. Ia kebiasaannya akan memilih kawasan dengan dasar yang berlumpur dan berair tenang.
Selain ikan-ikan, hidupan invertabrate lain dan juga haiwan kecil juga menjadi makanan belut elektrik. Bagi anak-anaknya yang baru menetas pula adakalanya memakan telur-telur yang masih belum menetas selain haiwan-haiwan kecil yang lain.

Bagi tujuan pembiakan pula yang berlaku pada musim kering, di mana ikan jantan akan membuat sarang menggunakan air liurnya untuk membolehkan ikan betina bertelur. Sekitar 3,000 telur terdapat di dalam satu sarang. Selain itu, ikan-ikan jantan juga adalah bersaiz lebih kecil berbanding ikan betina.

Gambarajah bahagian penghasilan elektrik pada belut elektrik.

Belut elektrik ini menjadi bahan kajian penting bagi para pengkaji ‘bioelectrogenesis’ dalam memahami bagaimana ia menggunakan acetylcholinesterase dan adenosine triphosphate. Kajian ini adalah untuk memahami potensi bagi menghasilkan elektrik secara semulajadi untuk menghasilkan tenaga bagi peralatan kecil digunakan pada manusia – seperti organ yang diimplan pada manusia. Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai teknik penghasilan elektrik pada ikan ini anda bolehlah membaca artikel tambahan di sini.

Semoga kajian tersebut akan berjaya memberikan hasil yang bermanfaat kepada manusia pada masa akan datang. Manakala kita akan terus memperhatikan banyak lagi keajaiban yang terdapat di sekeliling kita. Jangan ketinggalan menyaksikan video bagaimana ikan ini digunakan untuk menyalakan lampu di Jepun.








Free Download



Khamis, 25 Jun 2015

Mikro Post; Belut (Eel)

Belut mempunyai rupa bentuk seperti ular.

Belut atau juga dikenali sebagai “eel”merupakan sejenis ikan yang tergolong di dalam ‘oder’ Anguilliformes yang mengandungi empat sub-order, 20 family, 111 genus dan sekitar 800 spesies. Eel pada asalnya merujuk kepada spesies belut di Eropah namun ia kemudiaannya turut merujuk kepada semua jenis ikan yang hampir sama dengannya termasuk belut elektrik dan juga ‘spiny eels’ yang bukan tergolong di dalam order Anguilliformes.

Belut mempunyai rupa bentuk yang berbeza daripada ikan malah menyerupai ular. Terdapat pelbagai saiz belut daripada sekecil 5 cm (2 in) seperti (Monognathus ahllstromi) sehinggalah kepada belut berukuran 4 m (13 ft) ‘giant moray’ yang tinggal di laut. Mempunyai berat di antara 30 g (1.1 oz) sehinggalah melebihi 25 kg (55 lb). Jadi apakah yang membezakan ikan ini daripada ular? Belut mempunyai sirip ‘dorsal’ dan sirip ‘anal’ yang memanjang sehingga ke ekornya selain daripada bernafas menggunakan insang.


European conger yang mencapai berat paling tinggi.

Belut merupakan spesies pemburu yang keluar di malam hari dan tinggal di dalam lubang-lubang samada di sungai, kolam mahupun tasik, malah belut-belut yang tinggal di laut juga kebiasaannya tinggal di dalam lubang-lubang mereka sendiri.

Terdapat spesies belut yang tinggal sehingga ke kedalaman 4,000 m (13,000 ft), manakala spesies Anguilla pula kebiasaannya tinggal di perairan air tawar dan kembali ke laut hanya untuk membiak – berbeza dengan spesies salmon yang kembali ke tasik/sungai untuk membiak. Belut yang terpaling berat pernah direkodkan adalah daripada jenis European conger yang mencapai panjang 3 meter (10 ft) dan berat 110 kg (240 lb).


Moray eel yang tinggal di laut.

Seperti juga ikan-ikan yang lain, anak belut menetas daripada telurnya dan lahir sebagai larva (leptocephali) yang lutsinar. Bersaiz amat kecil ia dihanyutkan oleh air dan memakan hidupan kecil lain atau alga. Peringkat seterus tumbersarannya adalah menjadi ‘glass eels’ sebelum mencapai ke peringkat elvers dan bersedia untuk mencari kawasan habitatnya mencapai dewasa – sungai-sungai dan tasik air tawar. Perjalanan belut-belut ini seperti biasa akan menempuh pelbagai halangan yang hari ini dibina oleh manusia seperti empangan, parit, kolam, perangkap sampah dan sebagainya.

Namun begitu belut tetap merupakan ikan yang mempunyai nilai komersial yang tinggi, beberapa spesies yang popular adalah;
  • American eel (Anguilla rostrata)
  • European eel (Anguilla anguilla)
  • Japanese eel (Anguilla japonica)
  • Short-finned eel (Anguilla australis)
'Gerookte paling' - Dutch smoked eel.

Belut sungai yang dikenali sebagai ‘unagi’ di dalam Bahasa Jepun dan ‘anago’ iaitu belut laut merupakan antara makanan yang popular di Jepun bagi masakan seperti unadon dan juga unajÅ«. Malah ia juga merupakan antara sajian istimewa dalam masakan China. Di Hong Kong harga belut boleh mencapai sehingga 1,000 HKD (128.86 USD) per kg dan adakalanya mencecah sehingga 5,000 HKD. Begitu juga belut-belut Eropah dan di Amerika, ia turut dijadikan makanan atau dieksport ke luar negara. Jadi boleh dikatakan setiap bahagian dunia mempunyai kaedah tersendiri penyediaan makanan belut ini.

Walaupun ia mungkin bukan pilihan makanan semua orang, belut tetap merupakan sejenis ikan yang istimewa. Selain daripada perjalanan hidupnya yang unik iaitu daripada laut ke sungai merentasi pelbagai dugaan dan menjadi makanan istimewa manusia di seluruh dunia. Ya, mungkin di lain masa kita boleh melihat keunikan belut-belut ini secara lebih terperinci.



Free Download



Arkib Blog