Beratur begini di ATM bukan lagi trend di zaman internet. |
Adakah anda
pengguna sistem perbankan internet? Sekiranya anda masih belum mencubanya atau
merasa ragu-ragu tentang penggunaanya, mari kita sama-sama ikuti artikel ini
untuk mengenali dengan lebih lanjut tentang kaedah penggunaan sistem perbankan
internet yang mungkin dapat membantu anda menjimatkan banyak masa dan juga wang
anda.
Walaupun
perbankan internet telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih ramai yang
kurang mahir menggunakannya terutama untuk tujuan pembayaran bil-bil bulanan
mereka. Bagi yang mahir pula mereka menggunakan kaedah ini untuk setiap urusan
pembayaran pembelian, penghantaran wang, bil-bil bulanan, malah apa sahaja yang
membenarkan mereka menggunakan sistem perbankan internet mereka. Malah anda
boleh melakukannya hampir 24 jam sehari – anda boleh membayar bil elektrik, air
atau telefon semasa menonton tv bersama keluarga.
Mengapa Sistem Ini Penting?
Jimatkan masa anda daripada berurusan di kaunter. |
Dalam zaman yang
serba pantas ini, masa merupakan aset yang paling penting bagi setiap individu.
Setiap saat yang diluangkan untuk menunggu dikira sebagai masa yang tidak
efektif. Maka, adalah kurang bijak bagi kita untuk meluangkan masa menunggu di
kaunter-kaunter hanya untuk pembayaran bil. Ini kerana ia mungkin akan
melibatkan masa-masa yang lain seperti perjalanan, kesesakan lalulintas,
parking, kos perjalanan dan masalah sistem yang mungkin dihadapi di kaunter
pembayaran. Malah anda mungkin terpaksa mengulangi perkara yang sama sekiranya
gagal membuat pembayaran kali pertama anda ke kaunter bayaran yang mungkin
disebabkan gangguan talian atau anda terlewat beberapa minit ke kaunter
tersebut.
Pembayaran
melalui perbankan internet sangat mudah. Melalui beberapa langkah pembayaran,
bil-bil anda telahpun jelas. Anda mungkin melakukannya semasa sedang menonton
tv bersama keluarga, bebual bersama rakan di kafeteria, atau sementara menunggu
pelanggan anda masuk ke kedai. Kaedah ini juga memberikan anda lebih masa untuk
berehat atau digunakan untuk perkara-perkara yang lain seperti mempelajari
perkara baru dari internet.
Melalui pembelian
melalui internet pula anda mungkin tidak perlu ke luar negara untuk membeli
sesuatu barangan. Dengan melalui beberapa klik dan langkah-langkah mudah anda
hanya perlu menunggu di rumah sehingga barang yang dipesan sampai. Apa yang
anda perlu fikirkan adalah untuk memenuhi masa yang dapat dijimatkan untuk
sesuatu yang lebih bermanfaat.
Mengapa Masih Ramai Yang Tidak Menggunakannya?
Ramai di antara
kita yang masih kurang yakin untuk menggunakan kaedah pembayaran menggunakan
sistem perbankan internet kerana faktor-faktor keselamatan. Walaupun urusan
perbankan melalui ATM biasa juga adakalanya tidak selamat. Malah kebanyakan
masalah/ kecurian wang melalui akaun adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna
sendiri dengan mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak ke-3 secara
sengaja ataupun tidak.
Ada beberapa
langkah yang anda perlu ketahui untuk mengelakkan wang anda hilang dari
simpanan bank. Malah wang anda boleh dicuri walaupun anda tidak menggunakan
sistem perbankan internet – sekiranya data-data anda dicuri melalui kecuaian
anda sendiri. Jadi langkah-langkah keselamatan ini perlu anda patuhi bukan
sahaja semasa berurusan di internet malah sepanjang masa. Langkah-langkah
keselamatan tersebut adalah seperti;
- Patuhi langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pihak bank.
- Jangan gunakan komputer awam untuk berurusan dengan pihak bank (sebaiknya).
- Jangan sesekali menyimpan ‘kata laluan’ (password) anda di dalam ‘pelayar’ (browser). Ingatkan atau simpan dengan selamat.
- Sentiasa membuat ‘update’ sitem pengoperasian komputer anda, browser dan juga sistem anti-virus. Ini dapat mengelakkan virus baru masuk dan mencuri data melalui komputer anda.
- Kunci (lock) peralatan anda (komputer dan telefon) supaya tidak digunakan oleh orang lain. Peralatan yang digunakan untuk berurusan tidak perlu dikongsi dengan orang lain.
- Jangan berikan nombor kad anda dan kod keselamatan kad sekiranya diminta oleh sesiapa pun samada melalui telefon atau mana-mana jurujual. Maklumat tersebut hanyalah untuk anda sahaja.
- Semasa membuat transaksi di internet pastikan terdapat simbol ‘mangga kekunci’ pada ruang alamat di pelayar – untuk menyatakan talian anda berada di dalam keadaan yang selamat.
- Setelah selesai membuat transaksi pastikan anda membuat logout dengan berjaya dan tutup tetingkap/tab yang telah digunakan. Padamkan juga kod yang dihantar kepada telefon anda untuk transaksi tersebut.
Bagaimana Menggunakan Sistem Tersebut?
Maybank2u adalah sistem perbankan internet dari Maybank. |
Hampir setiap
bank mempunyai sistem perbankan internet sendiri seperti;
- Maybank – maybank2u.com.my
- Cimb – cimbclicks.com.my
- RHB – rhb.com.my
- BSN – mybsn.com.my
- Agrobank – agrobank.com.my
- Affin Bank – affinonline.com
- Bank Islam – bankislam.com.my
- Bank Muamalat – i-muamalat.com.my
- Bank Rakyat – irakyat.com.my
- Public Bank – pbebank.com / publicbank.com.my
- OCBC – internet.ocbc.com.my
- Hong Leong Bank – hlb.com.my
- AmBank – ambank.amonline.com.my
- Standard Chartered – ibank.standardchartered.com.my
- HSBC – hsbc.com.my / hsbcamanah.com.my
Anda hanya perlu
meminta pihak bank mengaktifkan akaun anda untuk kegunaan perbankan internet.
Beberapa syarat mungkin diperlukan sebelum anda boleh menggunakan sistem ini
dengan selamat. Patuhi arahan yang diberikan bagi memastikan keselamatan wang
anda sentiasa terjamin.
Adalah dengan itu
diharap kita sama-sama dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini bagi
memudah dan menjimatkan lagi masa yang kita luangkan untuk urusan-urusan yang
mampu diselesaikan melalui perbankan internet.
Mungkin anda akan
mengalami sedikit kejanggalan semasa mula-mula menggunakannya tapi setelah
beberapa kali membuat transaksi anda mungkin tidak akan membuang masa untuk
beratur lagi.