Memaparkan catatan dengan label baka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label baka. Papar semua catatan

Isnin, 18 Julai 2016

Perkara Menarik Mengenai Ayam dan Baka Ayam

Serama merupakan baka ayam dari Malaysia.

Ayam merupakan antara haiwan peliharaan yang paling popular dan telah dipelihara oleh manusia sejak beribu tahun dahulu. Terdapat beratus-ratus baka ayam asli di dunia dan mungkin beribu lagi adalah hasil kacukan daripada baka-baka ayam ini. Ayam dipelihara dengan tujuan peghasilan sumber makanan iaitu telur dan daging, manakala pemeliharaan baka tertentu hanya dilakukan bagi tujuan ayam hiasan atau oleh peminat-peminat pengumpul baka ayam.

Bagi pemelihara biasa, perbezaan baka ayam mungkin tidak menjadi suatu kepentingan yang besar. Namun pemeliharaan baka ini adakalanya boleh memberikan beberapa kebaikan yang lain, terutamanya dalam penghasilan jenis-jenis ayam yang baru untuk tujuan-tujuan tertentu pula seperti menghasilkan telur yang lebih, daging yang lebih banyak, tahan serangan penyakit, mudah dipelihara, mempunyai bulu yang lebih cantik dan sebagainya. Antara contoh kacukan ayam yang paling berjaya adalah dalam penghasilan ayan onagadori iaitu ayam yang mempunyai bulu ekor terpaling panjang.

Barnevelder baka alam dari Netherlands.

Buff Orpington baka ayam UK.

Baka ayam Sumatra.

Oleh kerana terdapat ratusan baka ayam, maka tidak dapat disenaraikan keseluruhan baka ayam yang terdapat di dunia di dalam artikel yang kecil kali ini. Namun anda boleh merujuk senarai baka-baka ayam dengan mudah melalui laman web antaranya wikipedia. Namun senarai ini adalah senarai ringkas baka-baka ayam yang terdapat di seluruh dunia mengikut negara. Antara laman lain yang menyediakan maklumat mengenai jenis-jenis ayam adalah di backyardchickens.com.

Baka-baka ayam asal banyak terdapat di Eropah dan di Amerika kerana pemeliharaan ayam di sana lebih bersifat pemeliharaan baka berbanding sekadar penghasilan sumber makanan. Menjelang abad ke 21 beberapa badan khas ditubuhkan untuk mengenal pasti baka ayam standard antaranya seperti  British Poultry Standard, Standard of Perfection, Australian Poultry Standard dan American Bantam Association (yang lebih merujuk kepada standard bagi ayam-ayam kategori bantam; ayam katik).

Oleh kerana pemeliharaan baka ini lebih popular di Eropah dan Amerika, maka senarai baka yang terdapat di negara-negara tersebut adalah lebih meluas. Namun kesemua baka-baka ayam ini dapat dilihat dengan lebih jelas daripada ciri-ciri utama ayam tersebut daripada segi rupa bentuk, saiz, warna bulu dan ciri-ciri lain seperti perlakuan kekerapan bertelur serta tabiat pergaulan dengan ayam-ayam lain. Pemeliharaan baka dilihat amat penting terutamanya bagi ayam-ayam yang dipelihara sebagai ayam hiasan (kategori bantam/katik).

Golden Sebright merupakan antara jenis ayam bantam/katik.

Sultan, baka ayam dari Turkey.

Saiz ayam dari baka Malay.
Ayam onagadori.

Bagi Malaysia sendiri hanya dua baka ayam asal yang dikenali iaitu ayam ‘Malay’ atau lebih dikenali sebagai ayam kampung dan juga ayam ‘serama’. Adapun baka ayam ‘Malay’ yang dimaksudkan adalah ayam yang mempunyai saiz yang agak besar dan boleh mencapai ketinggian sehingga 90 cm dan berat biasa 5 kg. dan bersifat agak agresif. Baka ayam ‘Malay’ kini terdapat di sekitar Eropah yang mula dibawa ke England pada tahun 1830. Begitu juga dengan ayam serama yang disenaraikan di dalam senarai standard bantam di US. Malah terdapat pertubuhan khas di US bagi peminat-peminat ayam serama iaitu American Serama Association semenjak tahun 2012.

Walaupun pemeliharaan ayam dianggap sebagai perkara yang remeh oleh kebanyakan orang, namun apabila anda melihat kepelbagaian baka ayam ini, akan timbul perasaan kepentingan memelihara keunikan baka-baka ayam tersebut. Perkara yang sama turut berlaku kepada haiwan-haiwan ternakan yang lain seperti lembu, kambing, kerbau, kuda, kucing, anjing dan sebagainya. Melalui pemeliharaan ini kita akan lebih menghargai keunikan setiap baka dengan ciri-ciri unik mereka masing-masing.


Free Download



Selasa, 14 Januari 2014

Kesan Pembiakan Silang Dalam Pertanian Moden

Belgian Blue spesis lembu yang terhasil dari pembiakan silang

Pembiakan silang bukanlah merupakan satu perkara yang baru dalam dunia pertanian. Malah pembiakan (pembakaan) ini adakalanya berlaku secara semulajadi pada alam – namun dalam keadaan yang lebih terkawal. Apabila manusia menguruskan kerja-kerja pembiakan silang dan pembakaan mungkin beberapa perkara boleh berlaku.

Pembiakan silang tradisional dilakukan dengan kaedah yang lebih ‘natural’ (semulajadi) melalui proses persenyawaan haiwan atau pendebungaan dalam keluarga yang sama tetapi berlainan sepsis. Keadaan ini dilakukan sejak ratusan tahun dahulu. Hasil dari pembiakan haiwan atau tumbuhan dari jenis ini akan mempunyai gabungan ciri-ciri kedua baka yang asal. Sekiranya pembakaan dari hasil baru dapat dikawal, maka satu spesis baru akan terhasil.

Berlainan hari ini pembiakan silang dilakukan dengan lebih agresif iaitu melalui pencantuman benih di dalam makmal atau lebih ekstrem lagi melalui pengubahan DNA. Walaupun tujuan asal pembiakan silang bertujuan menghasilkan baka haiwan atau tumbuhan yang lebih baik, tetapi banyak kesan yang timbul apabila ciri-ciri asal haiwan atau tumbuhan tersebut telah diubah. Jadi proses pembiakan silang ini perlulah dilakukan dengan lebih berhati-hati bagi mengekalkan keseimbangan ciri-ciri asal semulajadi tumbuhan dan haiwan.

Kebaikan Pembiakan Silang:


- Menghasilkan baka haiwan atau tumbuhan baru dengan ciri-ciri yang lebih baik dari segi penghasilan daging, telur, susu, buah, tempoh matang yang singkat, tahan penyakit, tahan cuaca dan sebagainya.

- Menghasilkan haiwan dan tumbuhan yang boleh disesuaikan dengan keadaan baru atau iklim yang berlainan dari tempat asal mereka.

- Menjimatkan kos penyelenggaraan penternakan atau penanaman dengan mengurangkan masalah penyelenggaraan penyakit serta nisbah pulangan.

- Menggiatkan lagi industri pertanian dalam menyediakan sumber makanan kepada penduduk dunia.

Pembiakan silang pada tumbuhan bagi menghasilkan bunga yang lebih menarik.

Keburukan Pembiakan Silang:


- Adakalanya hasil pembiakan silang menghasilkan penyakit baru berikutan spesis baru yang terhasil.

- Masalah ‘abnormal’ kerana ciri-ciri baru yang tidak sesuai bagi keadaan semula jadi haiwan – seperti masalah lebihan berat pada haiwan ternakan (ayam daging), sukar melahirkan anak (lembu - Belgian Blue) dan masalah penyakit baru pada tanaman.

- Masalah perubahan zat pada haiwan atau tumbuhan yang melalui proses pengubahan genetik DNA bagi tujuan penghasilan baka - dan ini merupakan perkara yang paling ditakuti dalam teknologi pertanian moden.

- Perlumbaan bagi mengejar keuntungan dalam industri pertanian menyebabkan pembiakan silang sukar dibendung memandangkan teknologi ini semakin meluas dilakukan oleh badan-badan kerajaan atau makmal persendirian.

- Menyebabkan mutasi kepada spesis baru yang kurang stabil dan adakalanya ia berkembang secara perlahan atau dipindahkan kepada pengguna!

Bagaimana tumbuhan jagung berubah dengan pembiakan silang.

Padi moden yang menghasilkan pengeluaran yang lebih baik.

Mungkin kita tidak menyedari aktiviti ini sentiasa berlaku dalam dunia pertanian. Sedari dulu lagi pertanian tradisional mebiak baka haiwan dan tanaman mereka melalui kacukan benih secara semulajadi. Namun keadaan ini agak terkawal kerana spesis kacukan adalah dalam famili terdekat sahaja bagi menghasilkan baka yang lebih sihat, tahan penyakit dan hasil yang lebih tinggi.

Mungkin anda masih ingat cubaan menghasilkan baka-baka seperti kacukan ayam dan puyuh atau lembu dan seladang. Begitu juga kacukan pada tanaman padi, buah-buahan dan kelapa sawit bagi mendapatkan hasil yang lebih baik. Adakah semua hasil benih baru ini betul-betul baik? Atau pembaikan baka lama masih boleh dilakukan?

Industri penternakan banyak menggunakan teknik pembiakan silang.

Binatang kesayangan juga merupakan hasil pembiakan silang.

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dari hasil usaha dalam teknologi pembiakan silang namun ianya perlulah dilakukan dengan berhati-hati. Ini kerana kesan daripada baka baru yang dihasilkan mungkin hanya akan disedari dalam tempoh yang agak lama. Malah adakalanya ia akan turut membawa kesan kepada pengguna. Apa pendapat anda mengenai fenomena ini?


Arkib Blog