Memaparkan catatan dengan label angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label angkasa. Papar semua catatan

Rabu, 16 Mac 2022

Teknologi Drone Tanpa Kipas dari Masa Depan

Drone tanpa menggunakan kipas menggunakan ion-thruster

Drones merupakan antara peralatan moden yang semakin popular pada hari ini. Aplikasi drone bukan sahaja merangkumi aktiviti hobi malah ia juga turut digunakan dalam bidang pertanian, keselamatan, pengintipan, kerja-kerja menyelamat, kajian dan sebagainya. Semenjak ianya mula diperkenalkan, teknologi drone kebiasaannya menggunakan teknologi kipas dan motor yang menghasilkan bunyi yang agak kuat dan kipas yang boleh mengakibatkan kecederaan serta kerosakan kepada drone itu sendiri. Bolehkah drone direka tanpa menggunakan kipas?
 
Penggunaan kipas merupakan kaedah yang mudah dan efisyen pada hari ini. Namun ia tidak bermakna tiada kaedah lain yang boleh kita gunakan untuk menerbangkan drone pada masa hadapan. Dalam sesetengah keadaan, penggunaan kipas boleh mendatangkan masalah seperti bunyi yang bising, pergerakan kipas yang mengakibatkan kerosakan pada komponen drone, kerosakan pada objek lain yang bersentuhan dengan kipas, kerosakan pada kipas itu sendiri, mengganggu hidupan lain atau tidak sesuai dalam sesetengah keadaan. Adalah satu penting bagi mencari kaedah lain bagi memenuhi masalah ini. Teknologi penerbangan tanpa kipas ini mungkin tidak hanya penting bagi drone, tetapi mungkin juga sesuai untuk aplikasi pada jentera penerbangan yang lebih besar.

 
Cabaran yang dihadapi untuk menghasilkan drone yang berfungsi bukan sahaja memerlukan daya untuk mengangkat drone tersebut, tetapi adalah memboleh ianya bergerak dengan kawalan. Bagi menghasilkan teknologi baru, peruntukan yang diperlukan untuk tujuan R&D adalah terlalu tinggi menyebabkan, penggunaan teknologi kipas terus diapplikasikan oleh kebanyakan pengeluar drone. Menggunakan teknologi sedia ada dapat menjimatkan perbelanjaan dan masa dalam menghasilkan rekaan-rekaan drone yang baru.

Teknologi terkini masih menggunakan kipas.

Drone digunakan untuk pelbagai kegunaan termasuk pertanian.

Kaedah menghasilkan daya tujahan daripada ion (ion thruster) telah digunakan oleh NASA semenjak dari tahun 1960-an untuk tujuan navigasi di angkasa. Bagi tujuan penggunaan di angkasa, teknologi ini menggunakan bekalan xenon sendiri bagi menghasilkan cas-cas partikel ion. Berbeza dengan aplikasi penggunaannya di permukaan bumi yang memerlukan tenaga yang lebih tinggi untuk menghasilkan daya yang mencukupi bagi menerbangkan sesuatu objek seperti drone ataupun pesawat.
 
Teknologi penggunaan ion bagi menghasilkan daya mengangkat selama ini telah lama diketahui oleh peminat-peminat hobi seperti yang dihasilkan oleh JL Naudin dari Perancis yang mampu mengangkat tikusnya seberat 24 gram pada tahun 2003. Terdapat beberapa lagi video daripada peminat hobi di YouTube untuk mengetahui dengan lebih dekat bagaimana kaedah ini berfungsi. Salah satu cabaran utamanya adalah penggunaan voltan tinggi bagi menghasilkan aliran ion yang menghasilkan daya angkat.

 
Pada tahun 2018, kumpulan dari MIT menghasilkan model kapal terbang yang menggunakan kaedah yang sama. Namun kali ini ada menggunakan model yang lebih besar serta lebih menyerupai kapal terbang sebenar. Model kapal terbang tersebut mempunyai sayap berukuran 5 meter (16.4 ft). Antara institusi lain yang turut menampilkan kajian dalam bidang ini adalah UC Berkeley dengan menerbangkan model yang lebih kecil iaitu bersaiz sebesar duit syiling.

Teknologi ion thruster telah digunakan oleh NASA untuk teknologi angkasa.

Model kapal terbang tanpa kipas yang diuji oleh MIT.

Berita terbaru mengenai teknologi drone menggunakan kaedah ion propulsion dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Florida iaitu Undefined Technologies. Daripada video yang dikongsikan, model yang digunakan dikatakan berukuran 0.6m (2 ft) tinggi dan dengan ukuran 1.2 m (4 ft) pada setiap sisi (anggaran). Model yang digunakan mampu membuat penerbangan dengan baik, walaupun ia kelihatan agak bergoyang.
 
Antara faktor yang diutamakan oleh Undefined Technologies adalah teknologi drone yang tidak menghasilkan bunyi yang bising - kerana ia tidak memenuhi syarat bagi sesetengah kawasan. Disamping itu juga, syarikat ini menyasarkan pembangunan drone yang digunakan untuk tujuan penghantaran barangan dan bungkusan. Namun begitu, dalam video tersebut model yang digunakan adalah kelihatan lebih kepada unit ujian berbanding sebuah model yang sedia untuk digunakan di lapangan sebenar.

 
Satu lagi kaedah teknik penerbangan tanpa menggunakan enjin kipas adalah kaedah yang dibangunkan oleh Jetoptera iaitu dengan menggunakan teknologi yang dikenali sebagai Fluidic Propulsive System. Namun kaedah ini menggunakan kompresor yang menghasilkan tekanan udara bagi menghasilkan tujahan dan daya angkat. Kaedah ini bermakna, teknik ini bukanlah tanpa motor atau kipas sepenuhnya. Kelebihannya di sini adalah, tiada kipas yang terdedah, tenaga yang lebih efisyen dan bunyi yang dihasilkan dapat dikurangkan. Ia merupakan salah satu usaha dalam mengolah reka bentuk teknologi sedia ada dengan lebih baik.

Rekan bentuk konsep, drone masa depan. 

Oleh kerana usaha ini masih lagi baru. Dijangka pada masa akan datang, penggunaan ion thruster untuk penerbangan akan menjadi lebih popular. Teknologi ini kurang diberikan tumpuan dan banyak lagi pembaharuan yang perlu dilakukan ke atasnya. Ia merupakan usaha yang penting bagi kemajuan teknologi pengangkutan yang lebih bersih dan efisyen. Sama-sama kita nantikan perkembangan teknologi ini pada masa akan datang.


Selasa, 22 Disember 2020

Internet Satelit Starlink Untuk Liputan Serata Dunia

Pelancaran 60 buah satelit Starlink ke angkasa.


Internet merupakan antara teknologi terpenting buat masa ini bagi membolehkan orang ramai mendapat capaian maklumat yang cukup sama ada untuk tujuan komunikasi ataupun mendapatkan maklumat. Walaupun tahap kelajuan capaian internet di bandar-badar utama adalah membanggakan, namun masih terdapat bahagian-bahagian dunia yang mendapat capaian yang kurang memuaskan atau tiada capaian langsung.
 
Bagi membolehkan keseluruhan bahagian dunia mendapat liputan internet ini kaedah yang lebih efektif adalah dengan capaian internet dari angkasa! Ia merupakan satu usaha yang sangat besar kerana menelan belanja yang amat tinggi. Namun, sekiranya kaedah biasa digunakan seperti penggunaan kabel, ianya hampir mustahil. Sehubungan itu, beberapa syarikat cuba bersaing untuk menyediakan perkhidmatan ini bagi memastikan penguasaan pasaran yang sekian lama dikenal pasti ini.
 
Starlink merupakan antara Syarikat yang berjaya memulakan servis internet angkasa seperti yang dirancangkan. Berbanding dengan pesaing-pesaing yang lain, Starlink yang mendapat sokongan daripada syarikat induknya iaitu SpaceX mempunyai kelebihan bagi mendahului dalam arena ini. SpaceX bukan sahaja mempunyai roket pelancar satelit sendiri, malah teknologi pelancaran nya yang efisyen menjimatkan lagi kos pelancaran satelit-satelit yang diperlukan di dalam sistem Starlink.

Perancangan gugusan satelit Startlink di angkasa.

 

Meskipun Starlink merupakan nama yang sangat popular berkaitan dengan internet satelit, ia bukanlah merupakan satu-satunya syarikat yang menyediakan operasi ini. Antara syarikat yang sedang beroperasi antaranya adalah Viasat dan HughesNet di Amerika. Namun begitu, kualiti pengoperasiannya masih lagi tidak dapat menyamai atau memenuhi keperluan pengguna internet pada hari ini. Ini kerana kedua-dua syarikat ini menggunakan pendekatan teknologi yang berbeza daripada yang digunakan oleh Startlink.
 
Manakala, antara syarikat lain yang bersaing dalam pembinaan internet satelit pula termasuklah OneWeb, yang baru-baru ini hampir mengalami masalah bankrupsi. Ia bagaimanapun mendapat sokongan pelaburan sebanyak lebih daripada USD1 billion daripada kerajaan UK dan juga Bharti Global. Ini membolehkan OneWeb meneruskan semula program internet satelitnya - yang telahpun melancarkan kira-kira 110 satelitnya menjelang December, 2020.
 
Sama juga seperti SpaceX, OneWeb menggunakan sekumpulan ribuan satelit untuk membolehkan liputan capaian internet ke seluruh dunia. Namun kedua-dua syarikat ini mempunyai satelit yang berbeza dan beroperasi pada ketinggian yang sedikit berbeza di antara keduanya. Namun dalam perlumbaan ini, ternyata Starlink lebih mendahului OneWeb di mana, ia telahpun melacarkan service Beta nya di bahagian Utara Amerika dan Selatan Canada pada Nov, 2020.

Loon menggunakan belon udara untuk memancarkan isyarat ke bumi.

Kapal terbang solar, Aquila oleh Facebook.

 

Namun begitu selain daripada kedua syarikat ini, Samsung juga pernah membentangkan cadangan untuk melancarkan rangkaian internet satelitnya. Rancangan melancarkan 4,600 satelit ini telah pun dicadangkan pada 2015 bagi membolehkan capaian ke seluruh dunia. Ini mungkin bagi menyokong peranti-peranti Samsung yang rata-ratanya memerlukan capaian internet berkelajuan tinggi seperti telefon bimbit, 4K TV dan juga 8K TV. Namun sehingga hari ini, Samsung masih lagi belum melancarkan sebarang satelit untuk tujuan ini.
 
Antara teknologi lain adalah termasuk penggunaan belon yang digunakan oleh Google, melalui projek Loon. Oleh kerana belon berada pada altitud yang lebih rendah, maka ia tidak menggunakan teknologi seperti satelit malah hampir sama sepertimana di permukaan bumi iaitu LTE. Selain Loon, Facebook juga pernah cuba menerokai teknologi internet melalui kapal terbang solarnya. Namun usaha ini bagaimanapun berakhir pada 2018 dan hanya sebuah kapal terbang solar yang dikenali sebagai Aquila dihasilkan.

Replika satelit yang digunakan oleh OneWeb.

Starlink digunakan di kawasan yang hampir mustahil untuk mendapat liputan internet.

 

Teknologi internet menjadi rancak semula, apabila Starlink mula melancarkan service Beta nya yang menunjukkan hasil yang positif. Ini kerana, masih terdapat peluang yang besar bagi pengguna-pengguna yang masih tidak lagi mempunyai capaian internet (yang berkualiti) di dunia. Walaupun mengikut perangkaan iaitu seramai 4.66 billion (59%) penduduk dunia merupakan pengguna aktif internet, kebanyakan mereka tidak mendapat capaian berkelajuan tinggi. Tambahan pula masih terdapat sebilangan besar yang tidak dapat menggunakan kemudahan ini kerana tidak mempunyai infrastuktur yang sesuai.
 
Maka dengan inilah peluang ini cuba digunakan oleh syarikat-syarikat ini. Terdapat banyak peluang bagi mereka yang berada jauh di pendalam untuk menggunakan teknologi ini. Ini bukan sahaja membolehkan mereka yang jauh di pendalaman mendapat capai internet, malah pembangunan yang lebih baik dapat dibangunkan - dengan impak yang lebih minima, di mana selama ini agak sukar untuk dilakukan tanpa kemudahan perhubungan komunikasi dan data.
 

Walaupun mungkin terdapat syarikat-syarikat yang baru akan turut bersaing di masa akan datang. Apa yang penting, semoga usaha ini dapat memberikan kebaikan kepada masyarakat dunia dalam mencapai pembangunan yang lebih lestari. Mungkin ia dapat digunakan untuk memperbaiki semula kerosakan yang telahpun dilakukan seperti pencemaran plastik di lautan, mengembalikan semula spesies-spesies haiwan yang hampir pupus akibat pemburuan dan tangkapan berlebihan, pencemaran dan sebagainya.
 
 
Rujukan:
 
1. wikipedia.org
2. space.com
3. starlink.com
4. wikipedia.org
5. wikipedia.org
6. loon.com
7. wikipedia.org

Khamis, 5 Mei 2016

Satelit Untuk Mengesan Biomass Menjelang 2021

Biomass satellite yang akan digunakan oleh ESA.

Satu lagi satelit di bawah projek European Space Agency (ESA) yang akan dilancarkan menjelang 2021 adalah untuk mengesan kadar biomass (jumlah hidupan di dalam sesuatu kawasan) di serata dunia. Kaedah ini mungkin dapat membantu untuk mengetahui jumlah biomass bumi dengan lebih tepat serta kadar karbon yang ada di dalam atmosfera.

Satelit yang akan dibina oleh Airbus Defence and Space ini akan menggunakan radar pada jalur P-band; yang pertama seumpamanya digunakan di angkasa. Ini kerana P-band juga digunakan di dalam bidang ketenteraan oleh beberapa negara di dunia. Penggunaan radar ini akan dapat membantu mengesan dengan tepat lokasi biomass bagi kawasan tropika, hutan sederhana dan juga kawasan beriklim 4 musim.

Satelit ini akan menjalankan misi selama 5 tahun dan dijangkakan dapat melihat sekurang-kurangnya 8 pusingan pertumbuhan hutan di dunia. Selama tempoh tersebut satelit Biomass ini akan mengumpulkan data-data tersebut untuk membuat pengukuran perubahan yang berlaku sepanjang tahun.

Biomass di bumi dapat mengimbangi kandungan karbon di udara.

Pelancaran Sentinel-1B, sebahagian daripada projek 'Copernicus Earth observation'.

Satelit yang menelan belanja 229 juta euros (US$260 juta) ini akan dilengkapkan dengan antena radar P-band synthetic-aperture sebagai antara komponen utamanya.  Atena tersebut akan dibina oleh Airbus’s Friedrichshafen, Germany, bersama 12 meter diameter antena ;agi yang dibina oleh Harris Corp. dari Melbourne, Florida. Oleh kerana ia menggunakan gelombang yang digunakan oleh pihak ketenteraan, beberapa kawasan seperti Amerika Utara, Britain, Greenland dan Turkey mungkin tidak akan dapat dilakukan.

Penggunaan satelit ini dapat membantu program-program lain yang dijalankan di permukaan bumi malah turut membantu REDD+ (program oleh UN), selain turut bertukar maklumat bersama untuk program  ‘Copernicus Earth observation’ (yang mengandungi beberapa satelit) yang dimulakan dengan pelancaran Sentinel-1A sejak April 2014 lagi.


Diharap kesemua pelancaran satelit ini dapat membantu kita dalam membentuk penyelesaian bagi masalah pencemaran yang berlaku di bumi. Namun begitu, selain daripada penghantaran satelit tersebut langkah-langkah lebih drastik juga perlu dipergiatkan oleh badan-badan ini seperti pembersihan laut daripada plastik yang dilakukan menggunakan wang yang disumbangkan oleh orang ramai melalui program The Ocean Cleanup



Free Download



Rabu, 4 Mei 2016

Teleskop Angkasa Infra Merah Herschel Space Observatory (HSO)

Antara cerapan yang dilakukan oleh Herschel Space Observatory (HSO).

Jarang sekali kita mendengari mengenai teleskop ini kerana ianya tidak se-popular teleskop Hubble. Malah Herschel Space Observatory juga hanya beroperasi untuk tempoh yang singkat sahaja iaitu 3 tahun, 11 bulan dan 15 hari; berbanding jadual asalnya iaitu 3 tahun sahaja. Ianya diberi nama bersempena dengan Sir William Herschel yang menemui spektrum infra merah dan juga planet Uranus dengan bantuan saudara perempuannya Caroline Herschel.

Teleskop ini mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding Hubble selain daripada saiz kaca primernya yang lebih besar iaitu berdiameter sehingga 3.5 meter (11 ft); berbanding kaca primer pada Hubble yang berukuran 2.4 m (7.9 ft). Teleskop ini mempunyai keupayaan cerapan yang istimewa iaitu mengesan spektrum 55 ke 672 µm (far infrared) yang juga merupakan jarak gelombang yang tidak dapat dikesan oleh teleskop-teleskop biasa.

Teleskop Herschel ini merupakan sebahagina daripada program yang dijalankan oleh European Space Agency (ESA) bersam-sama dengan beberapa program lagi seperti  Rosetta, Planck, dan Gaia. Namun begitu bagi program HSO, penglibatan NASA turut diperlukan untuk memberikan kepakaran dan bantuan peralatan selain menyediakan NASA Herschel Science Center (NHSC) di  ‘Infrared Processing and Analysis Center’ juga ‘Herschel Data Search’ di Infrared Science Archive.

Kerja-kerja pemasangan HSO.

Binaan dan ciri-ciri utama pada HSO.

Antara peralatan penting pada HSO, SPIRE.

Telseskop in dilancarkan pada 14 May 2009 dan di tempatkan di orbit yang dikenali sebagai “second Lagrangian point (L2)”, dengan jarak kira-kira 1,500,000 kilometer (930,000 mi). Ia dilancarkan daripada Guiana Space Centre, French Guiana. Perkhidmatannya ditamatkan pada 17 Jun 2013.

Perkara yang paling menarik mengenai teleksop Herschel adalah keupayaannya untuk memerhatikan angkasa dalam spektrum suhu/haba. Ini bermakna ia boleh mengesan antara objek sejuk dan panas walaupun ia tidak menghasilkan cahaya. Kemampuan ini membolehkan Teleskop Herschel mengesan kehadiran debu-debu dan gas yang membentuk awan yang membentuk bintang, planet dan galaksi.

Oleh kerana keistimewaanya ini, misi pembangunan Teleskop Herschel adalah untuk menjalankan beberapa penyelidikan antaranya;

  • pembentukan galaksi pada awal pembentukan cakrawala dan juga evolusinya.
  • pembentukan bintang dan hubunganya dengan isi cakrawala.
  • kandungan komposisi di dalam cakrawala dan pda permukaan sistem suria termasuk planet, komet dan bulan.
  • kimia molekular di dalam cakrawala.

Perbezaan imej dengan peralatan yang berbeza.

Imej yang dihasilkan HSO menunjukkan lebih banyak komponen yang ada.

Ia merupakan teleskop angkasa pertama yang mampu mengesan keseluruhan spektrum ‘far infrared’ dan jalur gelombang  ‘submillimetre’. Ia juga merupakan kaca yang paling besar dihantar ke angkasa dengan diameter 3.5 meter. Namun begitu ia bukanlah diperbuat daripada kaca (glass) tetapi menggunakan “sintered silicon carbide”. Bagi menghasilkan kaca utamanya ini, ia ditempa oleh Boostec di Tarbes, France; Ia kemudiannya di perkemas dan dikilatkan oleh Opteon Ltd. di Tuorla Observatory, Finland; manakala proses saduran vakum di  Calar Alto Observatory di Spain.


Misi Herschel Space Observatory (HSO) menemukan beberapa jawapan baru memandangkan kebolehan uniknya melalui peralatan-peralatan yang digunakan. Liputan penemuan-penemuan yang dilakukan oleh Teleskop Herschel ini boleh diikuti melalui laman yang dikhaskan oleh ESA. Namun begitu masih terlalu awal untuk kita membuat keputusan muktamat mengenai segala penemuan yang dilakukan oleh Hershcel. Maka ruang untuk penerokaan akan terus terbuka dan banyak lagi teleskop yang lebih canggih akan dihantar untuk masa-masa akan datang.




Free Download



Isnin, 7 Mac 2016

Angkasawan Scott Kelly Pulang Setelah Setahun di Angkasa

Scott Kelly setelah mendarat di Kazakhastan setelah berada setahun di ISS.

Berada setahun di angkasa bukanlah seperti berada setahun di perantauan kerana untuk berpeluang ke angkasa itu sendiri merupakan peluang yang hanya diberikan kepada individu-individu tertentu untuk tugas-tugas tertentu pula. Mereka lebih dikenali sebagai angkasawan, biasanya terdiri daripada para penyelidik, saintis dan jurutera dalam satu masa.

Bagi memenuhi satu lagi ujian untuk mengkaji kesan jangka panjang berada di angkasa dengan kerjasama bersama Russia di dalam satu misi yang dinamakan ‘One-Year Mission’: dimana angkasawan US yang terpilih adalah Scott Kelly dan angkasawan Russia pula adalah Mikhail Kornienko. Apa yang menarik Scott Kelly juga mempunyai saudara kembar yang juga merupakan seorang lagi angkasawan US iaitu Mark Kelly. Mereka juga merupakan pasangan adik-beradik pertama yang menunjungi angkasa.

Setelah menghabiskan masa selama 340 hari di angkasa, Scott Kelly menyifatkannya bagaikan berada di angkasa selamanya dan ianya jauh daripada yang digambarkan sebelum ini. Bagi tempoh tersebut juga berliau melakukan perjalanan sejauh 144 juta batu selama berada di International Space Station (ISS). Ini kerana ISS bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi dan anda mungkin perlu menyemak semula artikel mengenai ISS.

Scott Kelly mengenakan pakaian Extravehicular Mobility Unit (EMU).

Pasangan kembar Mark Kelly dan Scott Kelly.

Bersama dengan angkasawan dari Russia Mikhail Kornienko.

Misi ini menyasarkan kepada tujuh isu biomedical berhubung kait dengan perjalanan angkasa termasuklah peningkatan risiko osteoporosis and juga penurunan otot-otot, kegagalan sensor, pengekalan nutrisi, dan risiko penyesuaian jangka panjang. Satu lagi lapangan pengkajian yang dilakukan adalah berkenaan dengan kajian penjagaan perubatan; iaitu kebolehan melakukan pemeriksaan kesihatan dan pengurusan kesihatan ketika di dalam penerbangan bagi perjalanan yang jauh di mana perjalanan untuk pulang ke bumi mungkin memakan masa selama berbulan ataupun tahun.

Scott Kelly, 52 keseluruhannya telah menghabiskan masa sehingga 520 hari melalui 4 misi beliau ke angkasa. Sebelum ini angkasawan Russia, Valeri Polyakov pernah menghabiskan masa selama 438 hari dalam satu misi di angkasa dan masih merupakan satu tempoh yang paling lama bagi angkasawan berada di angkasa dalam satu misi.

Cupola module yang mempunyai tingkap untuk melihat ke bumi. 

Semasa berada di ISS, Kelly banyak menghantar gambar ke laman Instagram dari copula module yang menghala ke bumi begitu juga gambar-gambar beliau yang lain. Ia juga banyak menarik minat orang ramai untuk mengetahui lebih banyak mengenai dunia sains, teknologi dan juga kejuruteraan.


Pengalaman ini mungkin pengalaman yang menarik dan mungkin juga sebaliknya. Sekiranya anda diberikan peluang dan tanggungjawab untuk menyempurnakan misi seperti ini, adakah anda sanggup melakukannya?



Free Download



Selasa, 22 Disember 2015

Melancong ke Penjuru Angkasa

World View akan membawa pelancong ke penjuru angkasa.

Jauh perjalanan, luas pengalaman; mungkin itulah yang menyebabkan mengapa ramai yang sanggup melalui perbagai cabaran mengharungi halangan untuk menikmati pemandangan dan pengalaman yang masih belum dirasai di dalam hidup. Kini bidang pelancongan bukan sahaja meliputi tempat-tempat menarik di muka bumi, malah telah menjangkau ke angkasa.

Pelancongan angkasa bukanlah sesuatu perkara yang baru dan ia telah dimulakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kos yang dibayar amatlah mahal iaitu antara $20 juta sehinggalah $40 juta seorang. Memandangkan masih terdapat permintaan untuk pelancongan angkasa ini, semakin banyak syarikat-syarikat yang bekerja keras dalam usaha untuk menyediakan peluang bagi orang ramai merasai pengalaman berada di penjuru angkasa.

Kapsul yang akan memuatkan pelancong didalamnya.

Persiapan sebelum menerbangkan belon ke angkasa.

Selain daripada penerbangan menggunakan kapal angkasa (seperti mana yang digunakan oleh angkasawan), syarikat persendirian seperti Virgin Galactic, yang mengguankan SpaceShipOne dalam menyediakan kemudahan ini. Namun begitu untuk satu lagi kaedah yang mungkin akan menjadi popular sedikit masa lagi adalah menggunakan belon.

Syarikat yang akan menawarkan kemudahan ini nanti antarnya adalah World View Enterprise yang merancang untuk memulakan perkhidmatan ini menjelang tahun 2017. Walaupun menggunakan kaedah ini pelancong akan hanya mencapai ketinggian 32 km daripada permukaan bumi berbanding angkasa yang berada 100 km dari permukaan bumi. Namun ia masih lagi merupakan satu pengalaman beharga di mana keadaan bumi yang melengkung dapat dilihat pada ketinggian ini.

Pemandangan belon World View pada ketinggian 32 km dari bumi.

Pemandangan menaiki belon World View.

Daripada ujian yang dijalankan.

Mungkin ada pembaca yang pernah terbaca mengenai ujian persiapan yang dilakukan oleh syarikat ini pada Jun 2015 yang lalu. Terjunan dari ketinggian yang sama juga pernah dilakukan oleh Felix Baumgartner di dalam acara ‘Jump From The Edge of Space’. Penerjunan itu bukanlah sekadar satu perkara yang akan dilakukan tanpa tujuan- di mana yang akhirnya akan menyumbang kepada satu lagi peluang eksplorasi baru.

Sama-sama kita nantikan peluang untuk melancong menggunakan belon yang unik ini yang akan dibuka untuk tempahan pada 2016 dengan tiket-tiket yang berharga jauh lebih murah iaitu USD 113,535 seorang. Sudi-sudikan!



Free Download



Arkib Blog