Memaparkan catatan dengan label adat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adat. Papar semua catatan

Ahad, 13 November 2016

Kemanakah Hilangkan Cerita Rakyat Lama Malaysia?

Cerita Rakyat merupakan kekayaan budaya dan juga memupuk nilai murni.

Cerita Rakyat merupakan antara cerita yang penting suatu ketika dahulu di peringkat asas di sekolah-sekolah rendah. Ia bukan sahaja membantu kanak-kanak dalam memupuk nilai budaya malah budi bahasa dan pekerti yang tinggi anak-anak bangsa suatu ketika dahulu. Ia bagaimanapun hilang pada sekitar tahun 2000 dan usaha untuk mendapatkan buku cerita-cerita rakyat menjadi semakin sukar.

Cerita rakyat, walaupun adakalanya sukar diterima akal, namun masih mempunyai nilai-nilai murni. Adakalanya ia juga membuatkan kita tertanya mengenai kebenarannya. Apa pun ia sendiri memupuk sifat berfikir dan menilai. Mungkin faktor logika bukan menjadi tujuan utama dalam cerita-cerita rakyat, atau sesetengahnya tidak dapat lagi dibuktikan dengan pandangan akal semata. Namun begitu nilai-nilai kebudayaan serta teladan yang diselitkan di dalam cerita rakyat adalah terlalu tinggi untuk diabaikan.

Kami cuba menjejaki saki-baki cerita-cerita rakyat yang dikongsikan oleh penulis-penulis blogger yang lain termasuk juga buku-buku yang masih lagi ada di dalam penerbitan di pasaran. Sedikit sebanyak, cerita rakyat diketengahkan semula walaupun hari ini ia ditampilkan dalam bentuk yang berbeza.

Bahan dalam bentuk buku:

Bagi bahan bacaan berbentuk buku, antara buku yang masih boleh didapatkan antaranya adalah Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia yang diterbitkan semula oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Buku ini boleh dibeli secara online di lama web kedai buku mereka. Terdapat juga beberapa judul lain seperti:

*buku-buku ini adalah penerbitan semula pada tahun 2013

Manakala daripada penerbitan bahan multimedia pula Cerita Rakyat Malaysia (Buku & VCD-Rom) yang dikeluarkan oleh Unik Edu Solution boleh dibeli terus melalui Lazada secara online. Ia merupakan bahan yang mengandungi pelbagai media dalam menyampaikan maklumat dengan lebih menarik. Ia mengandungi pelbagai cerita-cerita rakyat lama dalam usaha meningkatkan semula nilai-nilai murni di kalangan golongan kanak-kanak.

Selain cerita tersebut terdapat lagi beberapa judul berkaitan cerita rakyat yang juga boleh didapati terus melalui Lazada.

Bahan baru, cerita rakyat diterbitkan dalam bentuk multimedia.

Manakala daripada bahan perkongsian blog pula, tiada blog yang secara khususnya berjaya menampilkan cerita rakyat secara konsisten. Kebanyakan blog-blog cerita rakyat ini tidak dikemaskinikan lagi. Walaupun ramai yang menunjukkan minat untuk mendapatkan isi kandungannya.

Antaranya:

  1. azman-hashim.blogspot.my – blog yang memuatkan sedikit mengenai cerita-cerita pendek dan juga beberapa tips lain berkaitan bercerita dan sajak. Ia dimulakan sekitar tahun 2011 dan tidak diteruskan lagi. Ia masih boleh dilawati melalui link seperti yang disediakan.
  2. butang-emas.net – blog yang lebih seruis yang juga memuatkan beberapa kesusasteraan merupakan bahan bacaan dan rujukan yang baik. Sama juga seperti blog yang pertama, isi kandungan terakhir yang dimuatkan adalah pada tahun 2011. Apa yang berbeza, bahan kandungan blog ini juga sesuai untuk bacaan orang-orang dewasa.
  3. alynn-media2u-koleksiceritarakyat.blogspot.my – blog yang ditulis lebih awal dengan sedikit kandungan mengenai cerita-cerita rakyat. Ia dimulakan dan berakhir pada tahun yang sama iaitu pada 2009. Blog ini walaubagaimanapun masih boleh di akses melalui link yang disediakan.
  4. muhammadnuradil.blogspot.my – mengandungi kisah-kisah ringkas yang menarik. Namun ia juga tidak diteruskan lagi. Kali terakhir ianya dikemaskini adalah pada tahun 2013. Namun bahan yang ditulis di dalam blog ini amat menarik untuk bacaan pembaca kecil kerana kisahnya ringkas namun mengandungi unsur-unsur teladan yang baik.
  5. ceritarakyatmalaysia.blogspot.my - merupakan sebuah blog yang dimiliki oleh sebuah sekolah. Merupakan satu usaha yang baik, namun tidak lagi diteruskan. Mengandungi sejumlah cerita-cerita pendek yang sesuai untuk bacaan murid-murid. Ia bagaimanapun hanya ditulis sehingga tahun 2010 sahaja. Adalah diharap ia dapat diteruskan semula dan dalam masa yang sama usaha ini dapat dicontohi oleh sekolah-sekolah yang lain. Ia adalah dimiliki oleh SMK Kuala Kubu Bharu.


Pak Pandir merupakan kisah popular sebagai teladan.

Sang Kancil yang menjadi idola simbol kebijaksanaan. 

Begitulah sukarnya untuk kita menemukan semula cerita-cerita lama yang telah hilang, yang kini semakin dirasakan betapa baiknya nilai-nilai yang terkandung di dalam cerita tersebut. Adalah diharap kita dapat memanfaatkan bahan-bahan yang cuba dihasilkan oleh mereka-mereka yang berusaha menampilkan bahan-bahan ini bagi kita. Manakala bagi mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya pula adalah diharap dapat menggiatkan lagi usaha ini. Inilah makna penghargaan selagi sesuatu perkara itu masih boleh didapati, berbanding apabila ia telah hilang, maka tidak semuanya akan kembali lagi.



Free Download


Isnin, 6 Jun 2016

Bahan Kunyahan Penting Asia, Sireh (Betel Leaf)

Longgokan daun sireh.

Sireh atau betel (Piper betle) merupakan elemen penting dalam kebudayaan masyarakat Asia terutamanya bagi penduduk di Selatan India, Sri Lanka, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Laos, Cambodia, Vietnam, Philippines, Indonesia, Brunei pendek kata, hampir keseluruhan penduduk di Asia Tenggara.   Walaupun hari ini generasi muda tidak mengenali tumbuhan penting ini, ia tidak pula bermakna ia hilang kepentingannya.

Sireh membawa makna yang besar dalam upacara rasmi, adat, keraian, penghormatan dan persahabatan. Walaupun ada yang menjadikan sireh sebagai makanan harian, namun ia kebiasaannya hanya dimakan sesekali sahaja sebagai bahan kunyahan. Terdapat pelbagai variasi mengenai kaedah menikmati daun sireh mengikut masyarakat tertentu. Ada yang menikmatinya dengan beberapa bahan lain, seperti kapur, pinang, gambir, tembakau, rempah dan sebagainya. Namun sireh juga boleh dimakan begitu sahaja.

Hidangan daun sireh bersama rempah dan tembakau
Tepak sireh yang direka rapi untuk majlis rasmi.


Walaupun suatu masa dahulu sireh amat popular, namun rasanya tidaklah seperti mana yang anda bayangkan. Ia agak pedas dan pahit. Jadi, ia agak sukar diterima oleh golongan muda yang rata-ratanya akan memilih bahan kunyahan berbentuk gula-gula getah, makanan ringan, gula-gula dan sebagainya. Apa yang lebih menakutkan golongan muda adalah amalan memakan sireh yang mengakibatkan kesan kotoran pada gigi. Satu lagi tabiat pemakan sireh adalah meludah yang kelihatan sedikit menjengkelkan. Ini kerana ludahan daripada pemakan sireh menghasilkan air liur berwarna merah pekat yang boleh mengotorkan sesuatu kawasan.

Amalan memakan sireh juga dilarang di beberapa kawasan seperti di Indonesia iaitu di beberapa kawasan seperti Port Moresby, Papua New Guinea. Namun begitu, oleh kerana amalan memakan sireh dan pinang yang tebal di kalangan masyarakat menyebabkan ada yang sanggup menyeludup bahan-bahan ini secara senyap. Ludahan daripada pemakan sirek dipanggil sebagai ‘buai pekpek’ dan ianya bewarna merah turut mengandungi bahan-bahan lain dari sireh dan pinang. Apa yang mendatangkan masalah sebenarnya adalah kesan kotoran berwarna yang sukar ditanggalkan daripada kesan ludahan tersebut.

Memakan daun sireh boleh mengotorkan gigi.

Larangan memakan sireh.

Kesan kotoran dari ludahan sireh.


Sireh boleh didapati hampir di mana sahaja masyarakat Asia berpindah malah ia turut merebak ke kawasan-kawasan lain seperti Vanuatu, Guam dan Kepulauan Mariana. Di tempat-tempat lain ianya adalah mengikut permintaan masyarakat Asia di sana seperti di Taiwan.

Sejak sekian lama makanan sireh dan pinang amat penting kepada masyarakat Melayu dan juga masyarakat-masyarakat lain di sekitar Asia Tenggara. Kesan ini boleh dilihat daripada ‘tepak sireh’ (betel sets) yang digunakan untuk kegunaan umum, mahupun rasmi. Malah ia masih kekal sehingga ke hari ini dalam upacara pernikahan misalnya yang digabungkan dengan gubahan sireh junjung. Namun ada juga yang menggunakan sireh tiruan!


Mungkin amalan memakan sireh tidak akan diteruskan lagi. Namun simbolik dan semangat hubungan akrab yang dibawanya perlu dikekalkan. Ia menandakan bahawa masyarakat Asia suatu masa dahulu mempunyai pertalian yang kuat antara satu sama lain. Semoga tumbuhan unik akan terus dikenali kerana keunikannya itu.


Free Download



Isnin, 10 Ogos 2015

Jalan-jalan ke Muzium Diraja, Kuala Lumpur

Bangunan Istana Lama yang dijadikan sebagai Muzium Diraja.

Muzium Diraja merupakan satu lagi tarikan yang dilawati oleh Myrokan baru-baru ini dalam usaha untuk mengenali lebih lanjut adat budaya negara kita sendiri iaitu Malaysia. Sesuai dengan sejarah penubuhan dan kebangkitan kerajaan-kerajaan Melayu sehingga hari ini beridentitikan pimpinan kerajaan beraja. Mungkin lawatan ke sini tidak dapat mengungkap sepenuhnya tugas sebenar bagi raja sebagai ketua negara apatah lagi dalam memahami kehidupan harian bagi seorang raja.

Muzium Diraja adalah unik, kerana ia merupakan bangunan lama Istana Negara sendiri sejak tahun 1957 sehingga tahun 2011. Sepanjang tempoh tersebut bangunan muzium ini berkhidmat sebagai tempat bersemayan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dan Raja Pemaisuri Agong dan sebagai bangunan istana yang juga menjalankan urusan-urusan penting berkaitan istana, pemerintahan negara, malah turut melibatkan hubungan dengan negara-negara luar. Sejajar dengan pembangunan negara dan pertambahan penduduk Malaysia maka keperluan untuk istana yang lebih besar juga adalah wajar. Maka dengan itu, bangunan istana ini digunakan sehingga tahun 2011.

Sejarah Bangunan:


Bangunan Istana daripada jauh.
Pemandangan daripada perkarangan Istana.

Bangunan Muzium Diraja ini pada asalnya merupakan rumah agam yang dimiliki oleh seorang jutawan Cina yang dikenali sebagai Chan Wing, didirikan pada tahun 1928. Senireka bangunan ini adalah dihasilkan oleh sebuah firma seni bina terkenal Singapura iaitu Swan & MacLaren. Ia menerapkan seni bina gaya Palladin bagi menunjukkan kemegahan bangunan tersebut sesuai sebagai sebuah rumah agam terbesar di Tanah Melayu pada masa itu. Semasa pemerintahan Jepun pula bangunan ini dijadikan sebagai mes pegawai tentera Jepun, dan kemudiannya diambil alih semula oleh British Military Administration (BMA) untuk kegunaan Tentera Udara Diraja selepas Perang Dunia Kedua berakhir.

Bangunan ini kemudiannya dijadikan sebagai istana sementara oleh Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Ibn Al-Marhum Sultan Alaiddin Sulaiman Shah dari tahun 1950 sehingga tempoh pajakan tamat pada tahun 1957. Bangunan ini kemudiannya dibeli oleh Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan sebagai Istana Negara iaitu sebagai kediaman rasmi Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong. Dari tempoh 1957 sehingga 2011. Bangunan Istana Negara ini mengalami pelbagai penambahan terutama pada tahun 1980-an dengan penambahan Balairung Seri Utama untuk upacara rasmi. Bangunan istana lama ini menjadi kediaman rasmi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong I sehingga ke XIII.

Pameran


Pintu masuk ke Muzium Diraja.
Jalan utama menuju ke Istana.

Ruang Pameran bagi Muzium Diraja ini adalah merupakan bangunan itu sendiri dan bahagian dalam yang menunjukkan fungsi dan aktiviti-aktivi yang dijalankan di Istana tersebut. Secara kasar terdapat dua Galeri Utama bagi Muzium Diraja iaitu:-

Galeri Istana – Iaitu bangunan kediaman bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong  dan Raja Pemaisuri Agong I hingga XIII. Bangunan ini merupakan antara bahagian yang dibina pada tahun 1928 mewakili ruang rasmi dan ruang peribadi bagi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Setiap ruang mempunyai nama khas, fungsi, rekaan dan protokol yang tersendiri untuk setiap aktiviti yang dijalankan di Istana ini.

Balairung Seri – Ia merupakan bangunan tambahan yang didirikan pada tahun 1980-an untuk upacara dan adat istiadat rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemaisuri Agong. Antara upacara dijalankan di sini adalah Upacara Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, upacara mengangkat sumpah, upacara perlantikan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan yang baharu, upacara pengurniaan pingat dan anugerah kebesaran Persekutuan, upacara mempersembahkan dan menerima perlantikan diplomat asing dan Majlis Makan Malam Diraja.

Waktu Operasi:

9.00 pagi – 5.00 petang / Isnin- Ahad

Harga Tiket:

Warganegara

Dewasa Tempatan: RM 5.00
Kanak-kanak 6-12 tahun: RM 2.00
Warga emas: RM 3.00
Orang Kelainan Upaya (OKU): RM 3.00
Pelajar sekolah beruniform: RM 2.00
Pelajar sekolah tidak beruniform & 13-17 tahun: RM 3.00
Kanak-kanak tempatan 5 tahun ke bawah: Percuma

Bukan Warganegara

Dewasa asing: RM10.00
Kanak-kanak pelancong asing: RM5.00
Kanak-kanak pelancong asing 5 tahun ke bawah: Percuma

Alamat Lokasi:

Muzium DiRaja, Jalan Istana, 50566 Kuala Lumpur
Tel:  03-2267 1000

Kemudahan pengangkutan untuk pelawat.


Lawatan ke sini sedikit sebanyak dapat memberikan anda kefahaman tentang peranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemaisuri Agong dengan urusan-urusan rasmi untuk Negara mahupun untuk urusan berkaitan hubungan antarabangsa. Maka dengan itu wajarlah apabila bangunan Istana Negara lama ini digantikan dengan yang baru sesuai untuk menjalankan fungsinya yang amat penting.


Free Download



Ahad, 12 Julai 2015

Kemeriahan Hari Raya – Pelita Raya

Pelita Raya, menambahkan lagi kemeriahan menjelang Hari Raya.

Menjelang ketibaan Hari Raya suasana akan bertukar meriah dengan beberapa perbezaan yang ketara. Suasana ini mungkin lebih dirasai begi mereka yang tinggal di kampung-kampung atau di pinggar bandar. Antara perbezaan ketara tersebut adalah dengan adat memasang pelita pada malam tujuh terakhir mejelang 1 Syawal.

Terdapat beberapa sebab mengapa perkara ini diadakan oleh masyarakat dulu-dulu antaranya adalah untuk menerangi suasana kampung yang suatu masa dahulu amat gelap dengan ketiadaan lampu elektrik apatah lagi dengan lampu jalan. Jadi dengan adanya pelita ini maka suasana kampung akan bertukar menjadi terang dan bolehlah mereka beramai-ramai keluar untuk terus menunaikan solat terawih seperti biasa - kerana bulan akan mengecil semula sebelum timbulnya bulan baru.

Pelita buluh kebiasaannya dibuat sebaris.
Pelita tempurung, lebih unik dan menarik.

Pelita raya disediakan dengan pelbagai versi - daripada bahan-bahan yang sedia ada seperti buluh, tempurung kelapa dan apa sahaja yang boleh menampung minyak di dalamnya. Apabila zaman bertukar pelita diperbuat daripada tin-tin makanan selain terdapat pelita yang siap dijual. Pelita-pelita ini akan dipasang menghiasi perkarangan rumah setiap hari sehingga menjelangnya hari raya.

Pelita yang siap dijual sememangnya lebih mudah untuk digunakan dan disimpan semula apabila musim perayaan tamat. Namun pelita buluh adalah lebih unik kerana ia disediakan sebaris panjang namun hanya digunakan untk semusim sahaja begitu juga dengan pelita tempurung kelapa.

Keadaan rumah-rumah moden hari ini tidak sesuai untuk memasang pelita kerana dikhuatiri akan mengakibatkan bencana kebakaran. Bagi persekitaran rumah teres dan rumah pangsa, keadaan ini sememangnya tidak sesuai. Namun begitu bagi yang ingin mengembalikan suasana kemeriahan lampu kelip-kelip atau lampu yang menyerupai pelita bolehlah digunakan. Selain daripada ianya boleh digunakan berulang-ulang, ia juga dapat menjimatkan belanja kos minyak tanah yang agak mahal kebelakangan ini.


Pelita elektrik untuk tujuan keselamatan/penjimatan.

Bagi anda yang berpeluang melewati kawasan kampung menjelang hari raya nanti mungkin dapat melihat masih terdapat rumah-rumah yang menghiasi halaman rumah dengan pelita-pelita ini. Bagi yang berkemampuan dan mempunyai masa, mungkin akan menerangkan hampir keseluruhan halaman dengan pelita - ia sememangnya satu pemandangan yang menarik.


Namun begitu seiring dengan peredaran zaman, adalah digalakkan sekiranya anda boleh bertukar kepada lampu yang menggunakan kuasa bateri dengan nyalaan yang menyerupai pelita atas tujuan keselamatan. Sememangnya budaya menerangkan rumah dengan cahaya dapat memberikan lebih semangat bagi kita mengharungi hari-hari terakhir di dalam bulan Ramadan menanti menjelangnya hari raya. Kemeriahan inilah sebenarnya yang memberikan kita motivasi untuk terus menyediakan persiapan-persiapan lain disamping menanti kepulangan ahli keluarga dan sanak saudara.


Free Download



Arkib Blog