Samsung Galaxy S5 dengan skrin 5.1" Ultra HD Super AMOLED. |
Samsung Galaxy S5 kini telahpun berada di pasaran dengan sistem
pengoperasian Android Kit Kat 4.4. Seperti yang kita telah ketahui Galaxy S4
padat dengan pelbagai ciri-ciri yang kurang digunakan oleh pengguna dan ini
mengubah Galaxy S5 untuk lebih menitik beratkan fungsi yang diperlukan
berbanding dengan fungsi-fungsi seperti yang dimuatkan di dalam S4.
Seperti yang kita ketahui beberapa telefon baru yang turut muncul di
pasaran baru-baru ini adalah HTC One M8, Sony Xperia Z manakala Apple masih
lagi kekal dengan iPhone 5S. Sekiranya jenama tidak menjadi masalah bagi saya
mungkin perbezaan mudah bagi telefon Android lebih sinonim kepada Samsung
manakala Apple pula adalah iPhone.
Berbalik kepada Samsung S5 yang kini telah berada di pasaran menampilkan
beberapa ciri-ciri penting yang kita tunggu-tunggu untuk mengetahuinya lebih
lanjut. Seperti yang kita semua maklum bagi pengguna biasa telefon Android,
ciri-ciri kamera adalah yang paling penting bagi memudahkan mereka untuk
membuat perkongsian status di laman-laman social seperti Facebook dengan ‘selfie’
terbaru mungkin. Antara ciri-ciri tersebut adalah;
Kamera:
Fungsi kamera pada Samsung S5 diberikan keutamaan. |
Kamera pada Galaxy S5 telah di upgrade kepada 16 MP berbanding 13 MP pada S4.
Ini ditambah lagi beberapa ciri-ciri menarik untuk memudahkan para pengguna
mendapatkan gambar yang lebih baik melalui telefon mereka. Walaupun begitu
adakalanya ramai pengguna yang tidak tahu menggunakan ‘setting’ untuk kamera
mereka dan gambar yang diambil tidak memenuhi keupayaan sebenar telefon yang
digunakan.
Berbalik kepada fungsi kamera, antara kelebihan yang turut dimuatkan dalam
fungsi kamera adalah ‘HDR’. HDR atau HighDynamic Range boleh memberikan anda gambar yang lebih jelas. Selain itu
juga dengan keupayaan S5 untuk mengambil gambar dengan lebih pantas juga
membolehkan kualiti HDR yang dihasilkan lebih baik. Jika sebelum ini gambar HDR
perlu diambil menggunakan apps seperti Camera 360 ataupun HDR, kini ia adalah
fungsi yang disertakan terus bersama S5.
‘Fast Auto Focus’ pula membolehkan anda mendapatkan gambar yang lebih jelas
walaupun untuk objek yang bergerak. Bagi telefon bimbit fungsi ini amat penting
kerana adalah sukar untuk mendapatkan fokus yang tepat kerana pergerakan tangan
semasa memegang telefon tersebut. Apatah lagi sekiranya objek yang cuba diambil
juga sedang bergerak. Ia sememangnya kelebihan yang dinanti-nantikan oleh
pengguna.
‘Selective Focus’ pula membolehkan anda menghasilkan gambar seakan-akan
menggunakan kanta ‘macro’. Iaitu mengasingkan objek yang difokus daripada
latarbelakang. Kaedah seperti ini juga memerlukan kemahiran bagi pengguna-pengguna
kamera dslr biasa. Maka dengan itu, para pengguna S5 berpeluang untuk
menghasilkan gambar yang menarik dengan lebih mudah.
Walaupun kamera telefon tidak mungkin dapat menghasilkan gambar sebaik
kamera dslr biasa, namun sekurang-kurangnya ia dapat memudahkan para pengguna
untuk mendapatkan gambar yang lebih menarik.
Penggunaan Bateri:
Bagi membolehkan anda menjimatkan penggunaan kuasa bateri apabila tidak
dapat mengecas telefon anda, apa yang perlu dilakukan adalah mengaktifkan mode ‘Ultra
Power Saving Mode’ yang akan menukarkan telefon anda kepada skrin hitam putih
dan mampu bertahan selama 24 jam (stanby mode) untuk kegunaan kecemasan dan
sebagainya.
Kalis Air:
Kalis air merupakan keistimewaan pada S5. |
Galaxy S5 juga diiktiraf dengan pensijilan untuk IP67 iaitu tidak dimasuki
habuk dan air. Ia mampu bertahan sekiranya terjatuh ke dalam air pada kedalaman
3 kaki selama 30 minit. Ya, tiada yang mahu telefon kesayangan mereka jatuh ke
dalam air. Namun begitu sekurang-kurangnya ini akan mengurangkan kerisauan anda
apabila terpaksa meredah hujan atau melakukan aktiviti di tepi kolam mandi.
Kegunaan Kesihatan:
Bagi yang suka bersukan mungkin berminat dengan ciri baru ini iaitu pengesan
degupan jantung. Melalui ‘Heart Rate Sensor’ yang berada di belakang telefon S5
anda boleh mengukur kadar degupan jangtung dengan mudah samada sebelum ataupun
selepas aktiviti bersenam anda. Manakala ‘S Health’ pula mengesan pergerakan
anda seperti jarak berjoging, berbasikal, berjalan dan kelajuan anda. Ia
memudahkan anda untuk membuat pengukuran setiap aktiviti yang dijalankan
seterusnya untuk anda memastikan sendiri tahap aktiviti yang telah anda
jalankan.
Ia juga boleh dipadankan dengan Samsung Gear – alat seperti jam tangan yang
boleh dipakai di pergelangan tangan anda. Selain daripada mengesan aktiviti
bersukan anda ia juga boleh memaparkan panggilan telefon dan maklumat-maklumat
penting. Mungkin ia hanyalah sekadar alat tambahan sekiranya anda berminat.
Sambungan Internet:
Dilengkapi dengan kedua-dua sambunga WiFi dan LTE pada kelajuan tinggi.
Malah melalui ‘Download Booster’ iaitu gabungan kedua-dua sambungan boleh
membantu anda mempercepatkan lagi kadar memuat turun fail-fail yang anda
perlukan daripada internet. Kemudahan ini mungkin berguna di bandar-bandar
besar dengan kelajuan internet tinggi. Di Malaysia, talian internet masih lagi
pada kelajuan biasa. Apatah lagi dengan sambungan data yang ciput daripada
syarikat-syarikat telekom di Malaysia (anda tidak mungkin memerlukannya).
Satu lagi kelebihan pada S5 adalah ia memiliki MIMO (Multi-Input
Multi-Output) iaitu generasi ke-5 Wi-Fi 802.11 ac dan 2 X 2 MIMO disertakan
bersama S5 dua antena WiFi untuk mempercepatkan lagi sambungan internet anda.
Ini bermakna anda mendapat lebih data berbanding peralatan lain dalam rangkaian
yang sama. Menarik!
Pengesan Cap Jari:
Pengesan cap jari mula digunakan pada iPhone 5S dan kini Samsung S5 juga
dilengkapi dengan kemudahan yang sama. Namun begitu adakah ia merupakan
ciri-ciri yang penting – dapat memudahkan urusan serta menjamin keselamatan
data, harta benda anda? Ia masih tidak dapat dibuktikan dengan tepat.
Walaubagaimanapun ia merupakan salah satu ciri-ciri tambahan yang disertakan
bersama-sama S5.
Skrin Yang Lebih Besar:
Skrin S5 adalah ‘5.1 Full HD Super Amoled’, ia bukan sahaja lebih besar
berbanding S4 malah turut menampilkan kualiti paparan yang lebih jelas. Kualiti
paparan telefon-telefon samsung adalah antara yang terbaik semenjak dahulu
lagi. Sebagai pengeluar skrin TV, monitor dan panel skrin Samsung berupaya
menghasilkan skrin yang terbaik untuk rangkaian telefonnya juga. Ia turut
mendapat pengiktirafan sebagai skrin yang terbaik daripada DisplayMate™.
Begitulah antara ciri-ciri baru yang dimuatkan bersama dengan Samsung
Galaxy S5 yang kini berada di pasaran. Bagi yang menanti-nantikan telefon ini
bolehlah bertindak segera untuk memastikan anda tidak ketinggalan
mendapatkannya ketika ia masih hangat. Apa pun pastikan anda berhati-hati bagi
mengelakkan barangan tiruan. Mungkin juga anda tidak perlu terburu-buru
sekiranya anda telahpun memiliki S4.
Sebelum anda berbelanja untuk membuat pembelian pastikan dulu adakah ianya
merupakan satu keperluan penting atau sebaliknya. Anda juga sebaiknya
memastikan fungsi-fungsi yang anda perlukan. Tidak perlu berbelanja mengikut
nafsu semata, kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan dengan wang
anda. Seperti yang dapat dilihat teknologi berubah dengan pantas, perlumbaan
untuk mengikuti fesyen terkini akan hanya menyebabkan pembaziran berbanding
keuntungan. Apa pun tahniah bagi yang berpeluang memiliki S5!
MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga di laman Facebook kami.
|