Memaparkan catatan dengan label SPM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SPM. Papar semua catatan

Khamis, 3 April 2014

Persediaan Sebelum Ke Pusat Pengajian Tinggi

Graduan IPT
Menjadi graduan adalah metlamat utama para penuntut di IPT.

Tidak lama lagi tentu ramai para lepasan SPM dan STPM akan melanjutkan pelajaran mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi. Mungkin ramai yang tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading ini. Maklumlah satu lembaran baru dalam kehidupan dengan suasana pembelajaran yang jauh berbeza daripada zaman persekolahan.

Namun sebelum para pelajar ghairah untuk ke menara gading, di sini ingin dikongsikan beberapa perkara yang agak penting bagi memastikan peluang yang diperolehi nanti tidak disia-siakan begitu sahaja. Persediaan awal mungkin membantu para pelajar untuk mendapat kelulusan yang lebih baik daripada yang diperolehi semasa peperiksaan SPM dan STPM dahulu. Perlu diingat kejayaan lepas tidak semestinya berulang dan ia masih boleh diperbaiki lagi.

Sehubungan dengan itu mari kita lihat beberapa perkara yang boleh kita lakukan sebelum kita menjejakkan kaki ke IPTA/IPTS supaya apa yang kita keluarkan (perbelanjaan, masa, pengorbanan, dll.) lebih berbaloi.

Belajar Bahasa Inggeris


Bahasa Inggeris amat penting untuk pembelajaran di peringkat tinggi. Ini kerana bahan rujukan banyak disediakan di dalam Bahasa Inggeris. Bagi mereka yang masih lemah di dalam penguasaan Bahasa Inggeris, inilah masa yang paling sesuai untuk membuat persediaan. Gunakan kemudahan yang ada samada kursus bahasa, internet, TV, majalah atau buku untuk memperbaiki kelemahan anda.

Bahasa Inggeris memerlukan latihan untuk dikuasai dengan baik. Bagi yang mengikuti kursus bahasa tentulah lebih mudah kerana ia dilakukan secara sistematik. Namun begitu bagi yang tidak berpeluang mengikuti kursus bahasa anda bolehlah membiasakan diri dengan membaca dan menonton rancangan di dalam Bahasa Inggeris.

Carilah bahan yang anda minati supaya anda akan lebih berminat untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Baca, dengar dan ulang bahagian perkataan yang anda rasakan mampu. Jangan terlalu takut jika melakukan kesalahan. Semua orang yang belajar akan melakukan kesilapan dan dari kesilapan inilah anda dapat mengenalpasti kelemahan anda dalam menguasai Bahasa Inggeris.

Teruskan Membaca


Buku
Membaca dapat mengekalkan otak agar sentiasa aktif.

Membaca dapat mengekalkan otak untuk terus aktif. Selain daripada menambah ilmu pengetahuan atau membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai bidang yang anda minati ia juga memastikan otak terus cekap untuk menerima pelajaran-pelajaran baru apabila anda melangkah ke IPT nanti.

Apa yang menarik buat masa ini anda bebas membaca sebarang bahan bacaan. Namun lebih baik sekiranya anda memilih bahan bacaan yang dapat menambahkan kemahiran anda di dalam lapangan yang ingin anda ceburi. Anda juga digalakkan memilih bahan bacaan di dalam Bahasa Inggeris kerana di dalam masa yang sama anda telah melakukan dua perkara di dalam satu masa.

Latihan Menaip


Jika anda memiliki komputer atau laptop di rumah bolehlah luangkan masa utuk melatih diri menaip menggunakan perisian yang sesuai. Ini kerana apabila anda melangkah ke IPT nanti anda mungkin perlu menyiapkan assignment di dalam tempoh yang singkat. Waktu ini adalah masa yang terbaik untuk malatih diri menaip dan menggunakan perisian yang betul.

Semasa menaip pastikan anda menggunakan kedua-dua belah tangan dengan menggunakan kesemua jari-jemari anda. Elakkan tangan bersilang – ini bermaksud setiap jari hanya akan menekan butang-butang tertentu dan kelajuan anda menaip akan meningkat. Anda juga boleh mencari kaedah menaip yang betul daripada internet atau carilah bahan belajar menaip daripada buku-buku yang berkaitan.

Selain daripada itu pastikan juga kaedah yang betul menggunakan perisian yang anda gunakan. Pastikan kaedah untuk meletakkan gambar, jadual, gambarajah dengan betul. Terdapat juga perisian yang membolehkan anda meletakkan bahan-bahan lain seperti audio dan video. Malah anda juga boleh melengkapkan fail anda seperti sebuah buku yang lengkap dilengkapi dengan bahagian seperti muka hadapan, isi kandungan, pra-kata, muka surat, nota kaki dan bahagian rujukan. Malah anda juga boleh membuat link-link di antara isi kandungan di dalam fail anda.

Perisian-perisian yang bersesuaian untuk kerja-kerja menaip adalah seperti Microsoft Office Word, Apple Pages, Applix Word (Linux), Documents To Go, iStudio Publisher (Mac), Kingsoft Writer, Lotus Word Pro, WordPerfect, WordPad, Polaris Office dan sebagainya. Anda tidak perlu belajar menggunakan kesemua perisian ini, tapi pilihlah di antaranya yang anda fikirkan sesuai.

Belajar Mencari Bahan Rujukan


membuat rujukan
Mencari bahan rujukan merupakan asas kemahiran di IPT.

Mencari bahan rujukan memerlukan kemahiran dan anda akan memerlukannya lebih lagi apabila berada di IPT nanti. Sebagai persediaan carilah bahan rujukan berkaitan dengan perkara-perkara yang anda diminati contohnya “Kaedah Penghasilan Tenaga”. Gunakan segala bahan yang anda boleh perolehi dan kaitkan semua maklumat tersebut menjadi satu laporan lengkap.

Melalui latihan sebegini anda dapat melihat sendiri bagaimana proses pengumpulan maklumat tersebut dapat membantu anda mencari jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Apa yang menarik latihan ini tidak perlu menjadikan anda terlalau ‘stress ‘ dan anda mempunyai ruang yang besar dalam mengembangkan tajuk tersebut.  Untuk lebih menarik, kongsikan kepada rakan taulan melalui laman sosial ataupun sebagai isi perbualan semasa keluar minum bersama.

Bertukar pendapat
Bertukar-tukar pendapat dapat memperbaiki lagi idea yang telah anda perolehi.

Itu adalah antara beberapa perkara yang anda boleh lakukan sebagai persediaan ke IPT nanti. Terdapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan bagi mengisi masa menunggu ini. Jadi jangan biarkan masa terluang begitu sahaja. Isilah waktu tersebut dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat supaya bila di IPT nanti anda tidak dibebani dengan perkara-perkara yang sepatutnya boleh anda lakukan sekarang - Semoga berjaya.

*Artikel daripada: Math&Brain Malaysia



Free Download





Isnin, 31 Mac 2014

Bantuan Untuk Pelajaran Matematik Merangkumi Semua Topik

Mathematics
Matematik bukanlah sukar sekiranya dipelajari secara bersistematik.

Matematik mungkin menjadi masalah bagi sesetengah orang apatah lagi apabila telah lama meninggalkan zaman persekolahan. Adakalanya anda memerlukan sedikit rujukan untuk mengingatkan kembali apa yang telah dipelajari dahulu. Bukan itu sahaja bagi mereka yang mengikuti sebarang kursus di pusat pengajian tinggi ia mungkin boleh mendatangkan masalah – terutama yang mengikuti kursus kejuruteraan.

Walaupun anda seorang peminat matematik, rujukan dan ulangkaji matematik amat penting bagi memastikan kemahiran anda dalam menguasai matematik dengan baik. Bidang matematik yang merangkumi pelbagai bahagian bukanlah mudah untuk diingati sepanjang masa – adakalanya bahagian matematik pun tidak lagi diingati dan ini menyukarkan kerja-kerja membuat rujukan.

Khan Academy





*di atas adalah contoh video daripada Khan Academy

Bagi yang biasa dengan blog saya MyRokan mungkin pernah menjumpai artikel mengenai institusi pengajian yang menawarkan kursus secara online dengan percuma (link di simi). Antara laman yang menyediakan kursus tersebut adalah Khan Academy. Khan Academy yang pada asalnya memang menumpukan kepada tajuk-tajuk yang berkaitan dengan matematik hari ini telah meluaskan lagi tajuk mereka dan turut merangkumi sains (biologi, fizik, kimia,dll.), sejarah, ekonomi dan beberapa bahagian lagi yang disediakan khusus untuk membantu para pelajar dalam menghadapi peperiksaan.

Walaupun isi asal disampaikan menjurus kepada silibus di U.S. tetapi ia masih boleh digunakan di mana-mana di serata dunia. Tambahan pula dalam rujukan anda tidak perlu mengaitkan dengan apa-apa peperiksaan tetapi hanya pada topic yang ingin anda kuasai.

Terdapat bahan rujukan disediakan dalam bentuk video yang mudah difahami dan kaedah yang juga lebih mudah untuk dikuasai. Anda juga akan diberikan sedikit latihan yang berkaitan dengan video yang disampaikan. Melalui sistem yang disediakan anda dapat menilai sendiri kemahiran yang telah dikuasai, yang ingin dikuasai serta merancang keseluruhan pelajaran anda sendiri.


Khan Academy logo
Khan Academy bermula dengan video tutorial untuk membantu pelajar.

Video disampaikan di dalam Bahasa Inggeris – maka sebab itulah mengapa kita perlu belajar matematik di dalam Bahasa Inggeris seperti yang dilaksanakan di dalam PPMSI. Ini kerana lambat laun anda perlu berhadapan subjek ini di dalam Bahasa Inggersi juga. Bagi yang berminat untuk membantu membuat proses pengalihan bahasa juga disediakan – jadi anda tak perlulah menunggu untuk semua itu berlaku.

Bagi mereka yang mempunyai masalah di dalam pembelajaran matematik (memerlukan bantuan) samada di peringkat sekolah menengah untuk SPM, STPM ataupun yang berda di pusat pengajian tinggi, Khan Academy sesuai untuk dijadikan tempat rujukan berkaitan matematik. Malah bagi mereka yang hanya berminat untuk membuat rujukan sahaja pun boleh menggunakan platform ini untuk menambahkan lagi ilmu dalam bidang matematik. Ia merupakan sebuah arkib yang menyimpan banyak tajuk berkaitan dengan matematik serta video penjelasan mengenainya.

Anda boleh mendaftar secara percuma di laman web Khan Academy secara percuma dan boleh terus menggunakannya secara percuma juga. Jangan sia-siakan kemudahan yang disediakan ini – semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya. 


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga laman Facebook kami.

Sabtu, 1 Februari 2014

Kaedah Pembelajaran Bersistematik Memudahkan Pencapaian Cemerlang (UPSR/PMR/SPM/STPM)


Pencapaian cemerlang adalah bergantung kepada perancangan yang betul.

Kecemerlangan dalam pembelajaran sememangnya menjadi fokus utama dalam bidang pendidikan. Dari segi subjek yang dipejari di sekolah-sekolah di Malaysia, masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki – ini bermakna potensi untuk para pelajar mencapai kecemerlangan adalah tinggi. Sistem yang bergantung kepada peperiksaan boleh dihadapi dengan berkesan melalui perancangan pelajaran yang bersistematik.

Persekitaran Pendidikan


Rata-ratanya para pelajar menghadapi masalah yang sama dalam pembelajaran iaitu persekitaran. Pendedahan kepada persekitaran yang positif adakalanya sukar dalam majoriti pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran mereka. Terdapat juga pelajar yang terhimpit dalam persekitaran yang pesimis yang menyebabkan usaha untuk mencapai kecemerlangan menjadi sukar.

Persekitaran negatif berada di mana-mana. Adalah penting bagi pelajar mengenalpasti persekitaran yang boleh memberikan mereka impak untuk terus mengekalkan emosi yang cemerlang – iaitu persekitaran yang dapat membantu mereka untuk terus berfikiran positif dalam mencapai keputusan yang cemerlang. Faktor emosi ini amat penting bagi membantu pelajar tetap berada dalam landasan kecemerlangan.

Kaedah Pembelajaran


Berbalik kita pada perbincangan utama iaitu sistem pembelajaran kerana adalah penting para pelajar mengusai sistem pembelajaran mereka bagi membolehkan mereka membuat penilaian tentang pencapaian mereka sendiri. Membuat analisa tentang keupayaan mereka dalam sesuatu subjek dapat membantu para pelajar mencari jalan penyelesaian yang betul seterusnya pencapaian yang cemerlang dapat dirangkul.

Pengukuran yang tepat untuk seseorang pelajar perlu dilakukan sendiri bagi memastikan ianya lebih berkesan. Langkah awal membuat penilaian dan sedikit usaha yang berterusan akan membantu pelajar lebih bersedia menjelang peperiksaan yang biasanya dilakukan pada penghujung tahun. Kaedah yang serupa juga boleh dilakukan bagi pelajar-pelajar di peringkat tinggi – namun perjalanan subjek mungkin akan berlaku dengan lebih pantas.

Pengasingan Subjek


Langkah pertama dalam membuat penilaian adalah pengasingan subjek. Subjek-subjek berbentuk penguasaan Bahasa berada dalam satu pengkelasan yang sama iaitu subjek seperti;

- Bahasa Melayu
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Arab
- Bahasa Cina dan sebagainya

Subjek-subjek Sains;

- Sains
- Biologi
- Kimia
- Fizik

Subjek-subjek Matematik;

- Matematik Moden
- Matematik Tambahan
- Matematik Tulen

Subjek-subjek lain;

- Sejarah
- Geografi
- Lukisan Kejuruteraan
- Subjek Kejuruteraan (Elektrik/Elektronik/Automotif dan sebagainya).

Perlu diingat pengasingan ini adalah kerana subjek-subjek ini mempunyai perbezaan dalam kaedah penguasaannya. Walaupun ada di antaranya mempunyai kaitan yang rapat. Ini kerana kebiasaanya pelajar-pelajar yang menguasai subjek bahasa dengan baik mendapati sukar dalam penguasaan subjek-subjek sains dan matematik. Namun sekiranya keseimbangan dalam kesemua pengkelasan matapelajaran dapat dikuasai ini bermakna usaha anda untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang adalah lebih mudah.

Subjek-subjek sains pula mempunyai kaitan dengan subjek matematik. Kebiasaannya pelajar yang dapat menguasai subek sains ini dapat menguasai subjek matematik dengan mudah. Sekiranya pelajar menunjukkan keputusan yang berbeza – ini menunjukkan terdapat faktor luaran yang mengganggu tumpuan pelajar (gangguan daripada rakan-rakan/guru/ibubapa/dll).

Pengkelasan Topik


Apa yang menjadikan keputusan anda berbeza adalah penguasaan sesuatu topik di dalam sesuatu subjek. Adakalanya pelajar terlepas pandang akan kesediaan mereka di dalam topik tersebut sebelum menjalani peperiksaan. Adalah lebih baik sekiranya masalah ini dapat diatasi sedari awal. Jadi pengkelasan topik perlu dilakukan pada awal tahun pepriksaan bagi memastikan anda dapat membuat pengukuran yang tepat.

Senaraikan setiap topik di dalam sesuatu subjek dan lakukan latihan di dalam topik tersebut bagi mengukur kemahiran anda mengenainya. Pencapaian yang kurang daripada 80% menunjukkan anda perlu berhati-hati dalam topik tersebut. Buat semakan tentang bentuk soalan yang mana anda rasakan masih lemah untuk difahami.

Pastikan anda memberikan tumpuan dalam topik yang mana pencapaian anda kurang daripada 60%. Kebiasaannya anda akan melihat sendiri kelemahan anda di dalam topik tersebut. Anda masih lagi mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut sehingga anda boleh menguasai kemahiran pencapaian 80% ke atas dalam kesemua topik di dalam sesuatu subjek.

Penilaian Sendiri


Penilaian sendiri memberikan pelajar kebebasan dalam membuat keputusan tentang pencapaian mereka. Malah ianya lebih tepat kerana pelajar tidak perlu merasa malu tentang pencapaian mereka diketahui oleh orang lain (rakan-rakan/ guru/ ibubapa). Ia juga melatih pelajar dalam membentuk kaedah penyelesaian masalah dalam menghadapi situasi yang lebih besar kelak.

Ia bukan bertujuan untuk pelajar merahsiakan pencapaian mereka atau merasa malu dengan kemampuan diri. Tetapi kebiasaanya kesemua pelajar mempunyai tahap kemahiran yang hampir sama – kebanyakan mereka berharap dapat diberikan peluang dalam membuktikan kemampuan tersebut. Di sinilah sokongan semua pihak (rakan-rakan/ guru/ ibubapa/ masyarakat) dapat memastikan potensi tersebut dapat dikembangkan.

Apa yang lebih penting adalah kefahaman pelajar dalam sesuatu pelajaran dapat diaplikasikan di dalam kehidupan. Di sinilah membezakan antara pelajar cemerlang dan pelajar yang hanya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Hubungkait di antara ilmu dan amali memerlukan pemerhatian yang lebih kritikal.

Setelah kita membuat penilaian tersebut barulah kita akan membincangkan kaedah penguasaan sesuatu subjek. Ianya mungkin akan dibincangkan dalam artikel yang lain. Namun begitu proses pengukuran ini merupakan langkah utama yang perlu dilakukan pelajar dalam usaha memperbaiki pencapaian. Ini kerana kefahaman awal mengenai kekuatan dan kelemahan diri pelajar dapat membantu mereka membuat keputusan mengenai tahap kecemerlangan yang ingin dicapai.


Artikel Oleh: Math&Brain Malaysia


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Arkib Blog