Memaparkan catatan dengan label Obor-obor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Obor-obor. Papar semua catatan

Ahad, 13 Ogos 2017

Ancaman Baru Kepada Penduduk Dunia

Nelayan Jepun dengan pukat tangkapan yang dipenuhi dengan obor-obor.

Mungkin tidak ramai yang menyangka bahawa hidupan yang paling lembuh dan kelihatan lemah boleh menjadi ancaman besar kepada dunia terutamanya manusia. Namun perubahan ini juga adalah berpunca kepada manusia sendiri yang menyebabkan mengapa populasi hidupan ini berkembang dengan begitu pantas dan hidupan yang dimaksudkan di sini adalah obor-obor.

Perkembangan populasi obor-obor adalah jauh lebih pantas sejak beberapa tahun dahulu dan mengancam populasi hidupan laut lain yang menjadi sumber makanan manusia. Inilah yang menimpa nasib para nelayan di Jepun yang menyebabkan hasil tanggapan mereka lenyap. Kejadian ini berlaku semakin kerap berbanding setiap 40 tahun sebelum ini. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan Jepun bagi membantu para nelayan tersebut.

Kumpulan besar obor-obor boleh membawa pelbagai kesan kepada aktiviti manusia.

"Moon jellyfish" yang menyebabkan penutupan loji nuklear di Sweden.

"Box jellyfish" dengan sengatan yang boleh membawa maut.

Kesan ledakan populasi obor-obor bukanlah setakat itu sahaja. Seperti yang diketahui, ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya bersentuhan dengan manusia. Walaupun tidak semua spesies obor-obor merbahaya, sebahagian daripadanya boleh menyebabkan kematian. Bisanya juga menyebabkan kesakitan yang amat luar biasa - jadi adalah digalakkan supaya anda tidak menyentuh haiwan yang lembut ini.

Oleh kerana kebanyakan spesies obor-obor berwarna lutsinar maka ia amat sukar dikesan oleh manusia ketika bermandi-manda di pantai. Terdapat banyak kes yang menyebabkan kematian akibat disengat oleh obor-obor. Manakala bagi yang selamat juga terpaksa menanggung kesan bisa obor-obor yang amat menyakitkan. Apa yang pasti antara manusia dan obor-obor ini tidak berharap untuk bertembung kerana manusia bukanlah makanan bagi mereka.

Kitaran hidup obor-obor yang berbeza dengan hidupan-hidupan lain.

Antara spesies obor-obor yang tidak merbahaya.

Banyak lagi spesies obor-obor yang kurang diketahui oleh manusia.

Tetapi ancaman obor-obor bukanlah setakat itu sahaja. Gerombolan obor-obor pernah menyebabkan penutupan stesyen janakuasa seperti yang pernah berlaku di Australia (937), Madras (1989), Philippnes (1999), Kapal Perang U.S. (2006), Scotland; Japan; Israel (2011) dan juga di Sweden (2013). Jika diperhatikan ancaman gerombolan obor-obor menjadi semakin kerap setiap tahun menyebabkan usaha yang lebih serius perlu dilakukan segera bagi memahami fenomena ini sebelum terlambat.

Di seluruh dunia para saintis cuba memahami lebih mendalam mengenai obor-obor bukan sahaja untuk mencari penawar sengatannya malah juga untuk memahami bagaimana haiwan ini membiak dengan begitu pantas. Ini kerana obor-obor tidak membiak seperti haiwan lain, ia melalui kitaran hidupan yang unik dan menghasilkan medusa (tahap dewasa) pada masa yang sesuai dalam saiz yang sangar besar. Namun keadaan yang mengaktifkan pertukaran inilah yang menjadi antara perkara penting untuk difahami dan bagaimana ianya semakin kerap berlaku.

"Purple-striped jellyfish" di Monterey Bay Aquarium yang giat menjalankan kajian mengenai hidupan laut.

"Sea nettle jellyfish" kelihatan cantik ketika berenang.

Namun begitu kita tidak dapat menafikan bahawa pertumbuhan obor-obor yang luar biasa ini adalah diakibatkan oleh aktiviti manusia yang mengubah populasi hidupan laut dengan drastik. Kesan daripada penangkapan berlebihan, kemusnahan habitat, kesan pencemaran menyebabkan banyak hidupan yang menjadikan obor-obor sebagai makanan mengalami kepupusan. Maka hari ini obor-obor dapat hidup berkembang dalam jumlah yang jauh luar biasa.

Seperti yang kita ketahui alam berfungsi mengikut keseimbangannya, apabila salah satu daripada elemen mengalami gangguan, ia akan menyebakan elemen yang lainnya mengalami pertumbuhan ataupun mengalami kekurangan pula. Jadi untuk menangani masalah ini keseimbangan tersebut perlulah dikembalikan semula.




Free Download





Selasa, 24 Jun 2014

Hidupan Laut Yang Berbisa

box jellyfish
Box jellyfish boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan.

Hidupan laut amat cantik untuk dilihat terutamanya bagi hidupan yang menghuni kawasan terumbu karang. Pengetahuan mengenai hidupan laut berbisa mungkin boleh membantu anda bagi mengelakkan kecederaan semasa menjalankan aktiviti di laut seperti menyelam, snorkeling ataupun berenang. Ini kerana bisa sesetengah hidupan ini amat kuat dan boleh mengakibatkan maut sekiranya tidak mendapat rawatan secepat mungkin.

Bisa hidupan-hidupan ini adalah bertujuan sebagai pertahanan atau digunakan untuk memburu mangsa mereka. Jadi anda tidak digalakkan untuk mengganggu sebarang hidupan laut yang anda temui semasa melakukan aktiviti menyelam ataupun snorkeling. Hidupan berbisa biasanya berwarna terang, namun terdapat juga haiwan berbisa yang menyembunyikan diri mereka daripada dilihat oleh pemangsa ataupun haiwan yang diburunya seperti ikan batu atau ikan pari. Perlu diingat dunia hidupan penuh dengan persaingan dan setiap hidupan cuba untuk mempertahankan diri masing-masing.

Haiwan-haiwan yang tidak boleh bergerak pantas seperti ‘sea anemone’ (buran laut), ‘stinging coral’ (Millepora sp) dan juga mentimun laut juga boleh menyengat pemangsa dan mangsanya. Walaupun tidak semua spesies haiwan ini yang beracun, anda perlu berhati-hati kerana sesetengah racun boleh mengakibatkan kesan sekiranya tidak dibersihkan dengan sempurna sekiranya anda terdedah kepada racun tersebut. Kesemua haiwan dan hidupan ini tidak bergerak aktif, jadi ia tidak akan menyerang anda sebaliknya hanya akan bertindak balas sekiranya anda menyentuhnya.

crown of thorns
Crown-of-thorns mendiami kawasan terumbu karang.

Tapak sulaiman yang dikenali sebagai ‘crown-of-thorns’ kelihatan jauh berbeza daripada tapak sulaiman yang lain ia mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kesan racun yang agak serius. Dipenuhi dengan permukaan kulit yang berduri dan warna yang terang ia mudah dikenalpasti. Walaubagaimanapun anda perlu berhati-hati semasa menyelam di kawasan terumbu karang.

Sama seperti tapak sulaiman ‘crown-of-thorns’, landak laut juga amat terkenal sebagai penghuni laut yang berbisa. Mendiami kawasan perairan cetek dan terumbu karang ia mudah dikenalpasti dengan fizikal yang berduri. Adalah lebih baik sekiranya anda tidak menyentuh haiwan ini kerana durinya mudah menusuk dan tertinggal di dalam daging anda. Terdapat spesies yang mempunyai racun yang boleh mengakibatkan kematian. Walaupun landak laut dijadikan sumber makanan di sesetengah tempat, anda tidak seharusnya menyentuhnya tanpa pengawasan daripada mereka yang berpengalaman.

Obor-obor amat merbahaya kerana hampir kesemua obor-obor dilengkapi dengan sengat beracun bagi membolehkan ia memburu makanan. Apa yang lebih membimbangkan adalah ia sukar dilihat di dalam air, kerana memiliki badan yang lutsinar. Di sesetengah kawasan, amaran diberikan pada pengguna pantai bagi memaklumkan apabila tibanya musim obor-obor.

Obor-obor dari jenis ‘box-jellyfish’ (Chironex fleckeri) menyebabkan kematian yang lebih banyak berbanding jerung, buaya dan ikan batu apabila digabungkan. Pendedahan kepada tentacle nya sepanjang 3m boleh mengakibatkan kematian seorang lelaki dewasa. Seekor obor-obor ini memiliki kira-kira 60 tentacle yang panjangnya adalah 5m. Tentacle ini dipenuhi dengan sengat-sengat yang halus. Adalah lebih baik anda tidak mengambil risiko untuk menyelam di kawasan yang dihuni oleh obor-obor ini tanpa mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Pufferfish
Ikan buntal mempunyai racun yang merosakkan sistem saraf.

Ikan buntal seperti yang kita sudah sedia maklum adalah amat beracun dan boleh mengakibatkan maut. Ikan yang akan mengembangkan badanya apabila terancam ini mempunyai racun yang sama seperti racun yang dimiliki oleh sotong ‘blue-ringed octopus’. Racun ini bukanlah dihasilkan sendiri oleh ikan buntal melainkan berasal daripada spesies alga yang dimakannya yang mengandungi bacteria Alteromonas sp.. Ini mengakibatkan toxin daripada bakteria ini terkumpul pada hati dan gonad ikan tersebut.

Keadaan yang sama boleh berlaku kepada kebanyakan ikan-ikan yang menghuni terumbu karang di mana toxin daripada sebahagian makanan mereka terkumpul di dalam organ dalaman mereka. Jadi, anda perlu berhati-hati sekiranya ingin memakan sebarang makanan laut tanpa pengawasan orang yang lebih berpengalaman.

cone shell
Siput 'cone' mempunyai tempuling yang pantas dan beracun.

Selain daripada ikan, spesies siput juga turut mempunyai racun yang amat kuat dan boleh mengakibatkan maut seperti yang dimiliki oleh siput kon ‘cone shells’. Siput kon biasanya aktif pada waktu malam dan bagi spesies siput kon ‘Conus geographus’ secara teorinya memiliki racun yang mampu membunuh 700 manusia. 

Walaupun bisanya berbeza di antara spesies anda mungkin tidak mempunyai kepastian tentang perbezaan spesies ini. Sengat siput kon yang mampu bergerak pantas dan membunuh ikan sudah pasti boleh mengakibatkan kecederaan dalam masa yang singkat. Anda adalah dinasihatkan untuk berhati-hati sekiranya perlu melewati kawasan yang dihuni oleh siput ini.

Blue ringed octopus
'Blue ringed octopus' mempunyai racun yang sama seperti ikan buntal.

Bagi spesies sotong juga mempunyai bisa yang berbeza-beza mengikut spesies, tetapi seperti yang diketahui spesies ‘blue-ringed octopus’ adalah amat berbisa dan boleh mengakibatkan maut. Bisa daripada sotong ini boleh melumpuhkan sistem saraf dan mengakibatkan maut. Spesies sotong mempunyai pelbagai kaedah samada untuk memburu dan mengelakkan ia daripada dikesan musuh. Ia mampu bertukar warna, bertukar bentuk dan mengeluarkan dakwat hitam bagi menjauhkan diri daripada pemangsanya.

Lionfish
'Lionfish', cantik namun penuh dengan duri beracun.

Ikan depu juga dipanggil sebagai ‘lion fish’ adalah lebih mudah untuk dikenalpasti kerana mempunyai rupa bentuk yang lebih mudah dikenali. Bergerak dengan lebih aktif untuk memburu, ia dilengkapi dengan duri-duri yang beracun. Jadi sekiranya anda menemui ikan ini pastikan anda tidak cuba untuk menghampiri atau menyentuhnya.

Stonefish
'Stonefish' sukar dilihat apabila bersembunyi di celah-celah batu.

Bagi yang suka berjalan-jalan di kawasan terumbu karang pula haiwan seperti ikan pari dan ikan batu perlu dielakkan. Kedua ikan ini mempunyai kecenderungan untuk bersembunyi di dalam pasir dan sukar dilihat. Jadi anda dinasihatkan tidak berjalan di kawasan terumbu karang tanpa memakai kasut – walaupun sengat ikan pari mungkin masih boleh menembusi kasut (dalam sesetengah kes).

Stingray
Pari atau 'stingray', biasa menyebabkan kematian.

Kedua-dua ikan ini mempunyai reputasi yang tinggi sebagai punca kematian samada mangsa yang kurang berhati-hati mahupun atas serangan yang bertujuan untuk melindungi dirinya. Ikan pari adalah lebih agresif manakala ikan batu pula akan bertindak pantas sekiranya diganggu. Anda perlu berhati-hati sekiranya perlu berhadapan dengan kedua spesies ikan ini – sebagai contoh apabila perlu melepaskan ikan pari yang memakan pancing anda.


Maka itu adalah beberapa spesies hidupan laut yang anda perlu sentiasa berhati-hati tentangnya. Mungkin mereka sendiri tidak bermaksud untuk mencederakan anda. Jadi dengan mengenalinya anda juga dapat mengelakkan kecederaan yang mungkin boleh mengakibatkan kesan yang lebih serius. Adalah diharap semoga kita dapat hidup saling memahami dan menghargai antara sesama hidupan. Bersama-sama kita memelihara keseimbangan alam.

Artikel lain yang berkaitan:



Free Download



Isnin, 5 Mei 2014

Obor-obor Terbesar Di Dunia

lion's mane jellyfish
Obor-obor  gergasi 'lion's mane jellyfish'.

Obor-obor bukanlah merupakan haiwan laut yang sering menjadi tumpuan walaupun ia merupakan spesis yang penting di laut, terutama sebagai sumber makanan kepada haiwan-haiwan laut yang lain seperti ikan dan penyu. Malah disebabkan ia berbisa, adakalanya manusia menganggap obor-obor sebagai haiwan laut yang cuba dielakkan.

Bisa obor-obor amat kuat dan ia juga boleh membawa maut sekiranya anda disengat dengan banyak. Bisanya boleh mengakibatkan otot-otot pernafasan mengalami kekejangan sehingga mangsa kelemasan. Apa yang menarik obor-obor merupakan haiwan yang amat ringkas iaitu ia tidak mempunyai darah, jantung, tulang atau rawan, malah ia juga tidak mempunyai otak seperti haiwan-haiwan lain. Tiada otak!

Terdapat banyak spesis obor-obor yang menghuni pelbagai jenis laut dan lautan di dunia, daripada sekecil-kecil obor-obor sehinggalah yang bersaiz besar (yang menjadi sumber makanan ikan-ikan besar pula di lautan dalam – seperti juga sotong gergasi). Badannya yang lembut terdiri daripada 95% air dan kebiasaanya lutsinar. Inilah yang menyebabkan para pengunjung pantai tidak dapat mengesan kehadiran obor-obor sehingga mereka disengat haiwan berbisa ini. Selain itu juga obor-obor dikatakan telah menghuni lautan semenjak 650 juta tahun yang lalu iaitu lebih awal daripada zaman kehidupan dinasour.

obor-obor gergasi
Obor-obor haiwan yang unik kerana tidak mempunyai tulang dan amat lembut.

Walaupun terdapat masyarakat yang menjadikan obor-obor sebagai sebahagian daripada hidangan mereka seperti di Sabah dan Sarawak, juga di China (mungkin juga di bahagian-bahagian lain di dunia) tetapi ia jarang dimakan oleh semua orang seperti ikan. Jadi, kita juga ingin mengetahui lebih lanjut mengenai spesis terbesar haiwan yang unik ini.

Terdapat beberapa spesis obor-obor yang boleh membesar mencapai saiz yang di luar jangkaan. Obor-obor ini kebanyakannya menghuni lautan yang lebih luas seperti Anlantik atau Pasifik. Antara spesis obor-obor gergasi yang terkenal adalah ‘lion’s mane jellyfish’ (Cyanea capillata) dan juga ‘Nomura’s Jellyfish’ (Nemopilema nomurai).

Spesimen terbesar yang pernah direkodkan adalah yang dijumpai terdampar di pantai Massachusetts Bay pada tahun 1870 dengan ukuran badan utama berdiameter 7 kaki 6 inci (2.26 m) dan tentakel sepanjang 120 kaki (37 m) panjang. Panjang tentakel tersebut adalah lebih panjang daripada paus biru (haiwan terbesar di lautan).

Echizen jellyfish
Satu lagi spesis obor-obor besar 'Echizen jellyfish'.

Walaupun obor-obor mempunyai badan yang amat lembut, tetapi ia boleh berenang dengan baik sekali dengan mengembang dan menguncupkan badanya. Manakala tentakelnya yang dipenuhi bisa tersebut akan segera menangkap makanan yang mengenainya.


Walaupun obor-obor gergasi tinggal di lautan yang luas dan jarang-jarang ditemui, namun ia memberikan kita satu pemahaman baru mengenai dunia obor-obor. Iaitu ia juga memainkan peranan penting dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.


Free Download



Arkib Blog