Memaparkan catatan dengan label Labuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Labuan. Papar semua catatan

Ahad, 26 Februari 2017

Muzium Chimney, Labuan

Muzium Chimney menyingkap sejarah silam Labuan.

Merupakan antara tarikan utama bagi Wilayah Persekutuan Labuan kerana nilai sejarahnya yang penting mengenai sejarah awal pulau ini. Muzium Chimney ini merupakan hasil kesan-kesan tinggalan aktiviti perlombongan arang batu yang dijalankan di sini, sekitar 1847 sehinggalah 1911. Ia kemudian didirikan semula pada tahun 1999 sebagai sebuah muzium di atas tapak yang dikatakan menjadi kawasan perlombongan satu masa dahulu.

Muzium ini terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Pusat Informasi Chimney dan juga Menara Chimney. Pusat informasi berfungsi sebagai muzium tapak yang mempamerkan sejarah awal kawasan Tanjung Kubong yang satu masa dahulu menjadi kawasan perlombongan di pulau ini. Ia didirikan di atas tapak dimana aktiviti perlombongan itu sendiri dijalankan satu masa dahulu.

Menara Chimney yang menjadi antara mercu tanda di Labuan,

Menara Chimney dari dekat.

Satu lagi komponen penting adalah Chimney yang menjadi satu mercu tanda yang tidak diketahui dengan jelas mengenai fungsinya. Ia dikenali sebagai ‘Punil’ oleh masyarakat tempatan. Banyak andaian mengatakan ia berfungsi sebagai chimney, menara loceng, rumah api dan sebagainya, namun tiada bukti kukuh untuk menyokong bahawa ia digunakan untuk memenuhi fungsi tersebut. Sehingga kini ia kekal menjadi mercu tanda penting di kawasan ini dan juga bagi Labuan sendiri.

Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9:00 pagi sehingga 5:00 petang dan hanya ditutup pada Hari Raya Pertama Aidilfitri dan Aidiladha (Raya Haji). Ia juga tidak mengenakan sebarang bayaran dan masuk adalah percuma.





Apa yang menarik, muzium ini terletak berhampiran dengan lokasi-lokasi lawatan utama di Labuan seperti Taman Burung Labuan, Pusat Peranginan Batu Manikar, Tapak Terowong Bekas Perlombongan Arang Batu, Pantai Pohon Batu, Pancur Hitam, Taman Damai dan Layang-layangan.

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi;

Muzium Chimney Kg Lubok Temiang Jalan Tanjung Kubong 87007 Wilayah Persekutuan Labuan

Tel: 087-463 603
Fax: 087-414 462
Email: pr.mc@jmm.gov.my




Free Download





Rabu, 22 Februari 2017

Muzium Marin Labuan

Bangunan Muzium Marin Labuan.

Muzium Marin Labuan merupakan antara tarikan utama di Labuan dan terletak di lokasi yang amat mudah untuk dikunjungi. Muzium yang dibuka pada 26 Januari 2003 telah dirancang semenjak tahun 1990-an lagi sehinggalah Perbadanan Labuan menawarkan tapak dan bangunan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di mana ianya berada sekarang. Ia merupakan muzium pertama seumpamanya di Malaysia yang bertujuan memupuk pengetahuan mengenai hidupan laut dan kepentingannya.

Terdapat kira-kira 572 koleksi bahan pameran yang terdiri daripada spesimen-spesimen hidupan marin dan bahan-bahan kontemporari seperti peralatan memancing, menyelam dan oceanografi. Antara bahan pameran yang unik di sini termasuklah rangka anak ikan paus Indian Fin sepanjang 42 kaki yang berusia lebih 100 tahun selain seekor dugong telah diawet dijumpai di Pulau Papan. Selain itu ia juga turut menyediakan kolam sentuh bagi memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyentuh pelbagai hidupan marin.





Terdapat beberapa bahagian berbeza pada 4 ruang pameran yang disediakan di bahagian bawah muzium ini termasuk Seksyen Hidupan Marin, Seksyen Maklumat Kapal Karam, Seksyen Batu Karang dan Seksyen Paya Bakau. Terdapat sebanyak 14 akuarium pelbagai saiz yang menempatkan pelbagai spesis hidupan laut yang terdapat di sekitar Labuan dan Borneo.

Pada galeri di bahagian atas bangunan ini pula memaparkan pelbagai maklumat mengenai kehidupan marin, peralatan memancing ikan tradisional dan peralatan moden selain peralatan menyelam. Terdapat 4 buah akuarium lagi di bahagian atas yang menempatkan hidupan batu karang dan dua buah sudut bacaan bagi kemudahan para pengunjung.

Muzium adalah dibuka setiap hari dari jam 8:30 pagi sehingga 5:00 petang (ditutup pada Hari Raya Aldilfitri dan Hari Raya Aidiladha) dan bayaran masuk adalah percuma. Ia mudah dikunjungi dari pusat bandar Labuan dengan menggunakan pengangkutan awam samada bas mahupun teksi.





Free Download


Khamis, 16 Februari 2017

Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia

Pusat Kewangan Labuan, sebagai pusat ekonomi.

Labuan antara destinasi yang menarik di bahagian Timur Malaysia yang jarang dikunjungi. Terletak berhampiran Kota Kinabalu ia boleh dilawati menggunakan pengangkutan air mahupun udara. Walaupun ia merupakan kawasan ekonomi penting di bahagian Timur Malaysia, fungsinya destinasi pelancongan masih lagi belum diolah sepenuhnya.

Labuan terdiri daripada satu pulau utama yang dikenali sebagai Pulau Labuan yang mempunyai keluasan 91.64 km2 dan 6 lagi pulau-pulau kecil iaitu Big Rusukan, Burung, Daat, Kuruman, Rusukan Kecil dan Pulau Papan. Ia terletak kira-kira 8 kilometer daripada pantai Borneo dengan puncak tertinggi Pulau Labuan adalah 148 meter. Kebanyakan kawasan di Pulau Labuan masih lagi dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan iaitu sekitar 70% daripada permukaannya. Jadi hanya sebahagian sahaja kawasan di sini yang dibangunkan.

Masjid Negeri, Labuan.

Kwang Fook Kong Temple.

Labuan mempunyai potensi yang baik sebagai kawasan pelancongan memandangkan ia merupakan kawasan pulau yang terletak di Borneo dengan air jernih dan pantai yang cantik. Sememangnya hari ini ia merupakan industri pelancongan utama di Labuan, pembangunan yang lebih baik dan terancang dapat memastikan keseimbangan antara idustri pelancongan dan pemeliharaa alam sekitar.

Sehingga hari ini terdapat beberapa destinasi utama sebagai tarikan bagi pengunjung-pengunjung yang melawati Labuan. Selain daripada destinasi ini, terdapat beberapa aktiviti menarik yang turut disediakan oleh syarikat pelancongan. Antara destinasi tersebut adalah;
  • Taman Burung Labuan
  • Taman Botani, Labuan
  • Masjid Negeri An-Nur
  • Kwang Fook Kong Temple
  • Muzium Marin Labuan
  • Dataran Labuan
  • Pantai Pancur Hitam
  • Peace Park
  • Pantai Pohon Batu
  • Pulau Papan
  • Kompleks Sukan Air Antarabangsa, Labuan
  • Muzium Chimney
  • Terowong Tanjung Kubung
  • Kampung-kampung Air
  • World War II Memorial

Pantai Pancur Hitam.

Kejernihan Air Pulau Papan.
Replika Menara Jam 1906.

Kampung-kampung air di Labuan.


Industri pelancongan di Labuan masih lagi tidak dibangunkan dengan sepenuhnya. Kebanyakan kemudahan penginapan di sini juga adalah terlalu mahal bagi pengunjung biasa, makala hotel-hotel pada harga murah dan sederhana tidak memenuhi keperluan pengunjung. Ia merupakan antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian bagi menarik lebih ramai pengunjung mengunjungi pulau yang mempunyai potensi tinggi ini.







Free Download


Arkib Blog