Panel solar terapung disusun untuk menghasilkan elektrik. |
Penjanaan tenaga bersih daripada sumber solar, angin, ombak, thermal dan
sebagainya terus dipertingkatkan di seluruh dunia dalam usaha mengurangkan
penjanaan tenaga menggunakan bahan api fosil yang mencemarkan pada masa yang
sama mengurangkan risiko loji tenaga nuklear.
Walaupun penjanaan tenaga solar terapung seperti ini bukanlah yang pertama,
namun China menggunakan ruang yang disediakan daripada lokasi ini yang terbina
daripada aktiviti manusia sendiri iaitu perlombongan arang batu yang
menghasilkan tasik buatan. Maka dengan itu, ia memberikan kesan kepada alam
yang lebih minimum dan penggunaannya pula sebagai tapak penghasilan tenaga
solar dapat menjimatkan penggunaan tanah yang digunakan untuk tujuan pertanian.
Tasik buatan yang terletak di Daerah Anhui ini mengandungi 160,000 panel
solar yang berupaya menghasilkan sehingga 40-Megawatt tenaga. Manakala pada
tahun sebelumnya kaedah yang sama dilakukan di “Queen Elizabeth II reservoir” berhampiran Heathrow yang mengandungi
23,000 panel yang menghasilkan tenaga untuk digunakan oleh loji pembersih air
Thames.
Antara kebaikan lain selain mengelakkan kesan kepada ekosistem dan
menjimatkan tanah untuk tujuan pertanian, loji solar terapung ini juga dapat menyejukkan
peralatan pada panel solar yang akan meningkatkan lagi kadar penghasilan tenaga
oleh peralatan tersebut.
Selain penghasilan tenaga solar terapung, banyak lagi tapak penghasilan
tenaga solar yang dirancang oleh China seperti “Longyangxia Dam Solar Park” yang terletak di Tibet yang akan
mengandungi 4 juta panel solar dan berupaya menghasilkan sehingga 840 Megawatt
tenaga elektrik. Malah ia juga akan diatasi oleh satu lagi projek yang
dirancang oleh China iaitu “Ningxia
Autonomous Region”, yang akan mengandungi 6 juta panel suria dengan
keupayaan penghasilan tenaga sehingga 2 Gigawatt tenaga elektrik.
Projek ini merupakan salah satu daripada banyak lagi projek penghasilan
tenaga hijau di seluruh dunia yang bertujuan menghasilkan tenaga dan dalam pada
masa yang sama mengelakkan kesan buruk kepada alam sekitar. Semoga kita
sama-sama dapat memanfaatkan teknologi ini untuk generasi akan datang.