Memaparkan catatan dengan label Bukit Rokan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bukit Rokan. Papar semua catatan

Selasa, 4 Disember 2012

Pernah Tak Dengar "Bagai Cendawan Tumbuh Selepas Hujan".

Ni keadaan cendawan busut masa tumbuh... hmmm.. sedap nih..
Opss.. ni bukan cendawan untuk dimakan!?..
Petang-petang ni ntah camner plak boleh teringat pasal nak cerita tentang cendawan. Sebenarnya hari tu dah merasa dah cendawan busut.. hehe.. Alhamdulillah ada rezeki, anak sedara terjumpa masa meredah kawasan kebun mengisi hobinya. Apa yang saya terkenangkan ni bukan sahaja cendawan busut, tapi cendawan seangkatan dengannya atau lebih dikenali sebagai cendawan kukur. Kalau dulu-dulu cendawan kukur ni lebih mudah didapati ketika musim hujan kerana mudah tumbuh pada batang-batang pokok mati terutama pokok getah.

Kalau nak diikutkan kawasan Felda Bukit Rokan ni bukan sekadar cendawan busut atau cendawan kukur jer yang boleh dijumpai.. macam-macam ada.. tapi jangan main-main, bukan semua cendawan boleh dibedal sayang.. nanti kok kojol!.. Macam dalam gambar ni ha.. ntah cendawan apelah saya pun tak tahu.. nampak menarik siap ada jaring-jaring lagi.. tapi 'confirm' tak bleh makan.. ngeri semacam jer..

Oii.. jauh menyimpang, tadi nak cerita pasal cendawan kukur jer kan.. Hmm, dulu-dulu setiap kali musim hujan aktiviti tambahan kami adalah mencari cendawan kukur. Kalau terjumpa cendawan busut, tu dikira bonus lah tu. Cendawan kukur ni kalau nak disimpan lama bolehlah dikeringkan dan disimpan didalam bekas yang kedap udara untuk memastikannya tidak rosak. Walaupun cendawan-cendawan yang boleh didapati di pasaran tu hebat seperti cendawan tiram, 'button mushroom', 'inoki', 'white fungus' dan sebagainya.. tapi bagi saya dua jenis cendawan ni.. iaitu cendawan busut dan cendawan kukur tetap menjadi pujaan..

Cara memasak cendawan kukur ni juga 'versatile', insyaAllah takder apa yang nak ditakutkan.. masaklah macam mana pun.. sedap yer. Masak lemak boleh, goreng cili pun boleh, 'deep fry' pun sedap, nak masak tumis macam Tom Yam pun boleh.. aper jer. Tu lah, hebat cendawan kukur ni kan?.. Mungkin buat masa ni cendawan ni dah banyak tumbuh dalam kawasan kebun.. huhu.. cuma tak macam dulu batang getah banyak yang tumbang. Nak pulak masa nak tanam semula, masa pokok getah ditebang. Masa tu mabuk cendawan pun boleh.. haha.

O.K. lah ya.. kalau nak cerita pasal cendawan ni macam-macam lagi boleh disentuh. Tapi saya rasa cukuplah sekadar itu sahaja. Dari segi faedah perubatan ker vitamin dan sebagainya tak payahlah saya nak cerita.. yang penting kita ingat buat sesuatu jangan sampai berlebihan. Makan vitamin terlebih pun boleh jadi bahaya kan? Inikan pulak makan cendawan.. Sampai jumpa lagi ya.

Ini pulak cendawan kukur yang biasa didapati pada batang pohon getah mati.


MyRokan adalah sebuah blog yang memaparkan artikel-artikel berbentuk informasi dan mempromosikan produk-produk tempatan. Untuk maklumat lanjut mengenai blog kami boleh mengikutinya dari post Hubungi Kami. Sertai kami juga lamanFacebook kami.



Isnin, 6 Ogos 2012

Pokok Nibung Juga Tumbuhan Seribu Guna

Pokok nibung biasanya tumbuh di kawasan lembah. Gambar oleh: rozamit

Mungkin tak semua generasi baru pernah melihat pokok nibung atau tidak mengenali pokok ini secara lebih tepat. Pokok nibung seperti juga beberapa pokok lain seperti kelapa, buluh, rotan, nipah, bakau dan lain-lain begitu berperanan sekali dalam masyarakat di Asia. Beberapa keunikan pokok nibung memberikan kelebihan padanya berbanding dengan pokok-pokok lain. Kali ini saya memilih pokok nibung sebagai bahan kerana seingat saya 'embut nibung' merupakan antara sajian yang sering disajikan ketika majlis perkahwinan masyarakat di sini (Bukit Rokan) suatu masa dahulu.

Mungkin bagi anak-anak muda hari ini tidak mengetahui akan cerita ini lagi kerana embut nibung tidak lagi dijadikan sajian hari keraian sepertimananya satu ketika dahulu. Memandangkan proses untuk mendapatkan embut nibung bukanlah satu tugas yang ringan maka hari ini kita lebih senang dengan menyediakan juadah menggunakan bahan yang boleh dibeli dengan mudah. Namun begitu apa rasionalnya suatu masa dahulu masyarakat di sini menggunakan embut nibung sebagai sajian. Apa yang menarik disebalik penggunaanya? Mari kita saksikan...

Pokok nibung dipenuhi duri sepenuhnya

Proses kenduri kendara masyarakat dahulu merupakan proses yang akan dilakukan secara bermasyarakat. Ini bermakna ianya dilakukan secara bergotong-royong beramai-ramai oleh sebilangan besar penduduk dalam sesuatu kawasan. Majlis ini bukan sahaja di tanggung secara individu oleh tuan rumah (walaupun tuan rumah masih lagi menjadi individu yang bertanggungjawab di dalam majlis tersebut). Ini bermakna penyediaan bahan dan peralatan yang akan digunakan akan diusahakan secara bermasyarakat juga (inilah rahsia keutuhan masyarakat dahulu seperti kata pepatah - yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama dipikul).

Berbalik kepada pemilihan embut nibung sebagai salah satu bahan juadah adalah kerana kemapuan masyarakat secara bergotong-royong untuk mendapatkan bahan secara percuma sebagai hasil hutan. Sememangnya untuk mendapatkan embut nibung bukan semudah yang disangkakan kerana perlu melalui beberapa proses seperti membersih kawasan (memastikan pokok tidak menimpa pokok lain dan tersangkut). Kemudian proses menebang pokok dengan memastikan pokok tumbang ke arah yang diinginkan bagi memudahkan proses berikutnya. Proses mengeluarkan embut yang memerlukan kemahiran untuk menghadapi bahagian-bahagian nibung yang berduri.

Biasanya semasa 'hari berkampung' iaitu hari di mana mesyuarat mengenai sesuatu majlis itu diakan, keputusan mengenai tarikh-tarikh untuk mengadakan gotong-royong ini akan diputuskan beramai-ramai. Ini bagi memastikan semua orang dapat menghadirkan diri bagi membantu tuan rumah mengadakan majlis dengan lancar. Biasanya hari mengambil embut nibung akan diadakan pada hari yang sama dengan mengambil kayu api (yang menjadi bahan bakar) kerana kedua-dua bahan ini datang dari satu kawasan yang sama iaitu hutan.

Seingat saya dahulu sajian embut nibung sewaktu kenduri kendara ini masih popular sekitar tahun 80'an namun terus hilang menjelang 90'an sehingga sekarang. Embut nibung sememangnya enak sebagai hidangan keramaian. Antara sajian yang biasa disediakan dengan bahan ini adalah embut kari, gulai lemak, atau 'rebus air'. Rasanya yang manis namum mempunyai tekstur yang berbeza berbanding dengan makanan-makanan yang lain menjadikan sajian ini tiada pengganti. Jadi disamping rasa makanan ini yang cukup istimewa ianya juga menunjukkan betapa masyarakat di sesebuah kawasan tersebut mampu bekerjasama.

Memandangkan hari ini hutan-hutan di sekitar kawasan Bukit Rokan ini telah ditebang, harapan untuk menikmati hidangan istimewa ini semakin tipis. Walaupun pokok ini mudah tumbuh di kawasan lembah, namun hanya boleh ditemui di dalam hutan sahaja. Fizikalnya yang dipenuhi duri tidak mengizinkannya untuk mendiami kawasan yang biasanya didiami/ dilalui oleh manusia.

Hubungan pokok nibung dengan masyarakat juga bukanlah sekadar dijadikan juadah makanan. Antara lain batangnya turut digunakan untuk dijadikan titi, sudip besar, dinding serta lantai pondok (binaan-binaan kecil seperti reban ayam, stor barangan), dan bahan kraftangan. Manakala daun digunakan sebagai atap dan buah boleh di makan bagi menggantikan pinang.

Begitulah istimewanya pohon nibung kepada masyarakat kita dahulu. Walaupun pohonnya dipenuhi duri tetapi masih boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan dari pangkal sampai ke hujung. Adalah satu kerugian bagi generasi kini yang tidak mengenali pohon yang telah berjasa kepada masyarakat kita dahulu kala, yang membantu membangunkan masyarakat sehingga sampai ke tahap kita hari ini. Mungkin ianya sukar untuk ditemui lagi, namun perlukah kita melupakannya?


Pokok nibung secara dekat dipenuhi duri sehingga ke hujungnya.. :D

Free Download



Isnin, 23 Julai 2012

Suatu Masa Dahulu,Teringat Pucuk Paku

Pokok pucuk paku yang biasanya tumbuh di kawasan paya
Entah macam mana dah petang-petang ni saya boleh pulak teringatkan sayur pucuk paku. Bagi kami yang tinggal di kampung ni tentu pernah bertemu dengan pokok pucuk paku ni.. katalah anda tidak pernah masuk ke kebun sekali pun tentu pernah makan pucuk paku ni kan?.. O.K.. kalau tak pernah jugak takper lah!.. Orang California pun kenal pucuk paku ni..

Sebenarnya kenangan yang paling indah mengenai pucuk paku adalah sewaktu memungut pucuk paku. Biasanya pucuk paku memang banyak tumbuh di kawasan berpaya yang biasanya lembab dan gelap. Hmm, walaupun saya tak pernah bersua dengan apa-apa yang ditakuti ketika mengutip pucuk paku ni.. tetapi jauh di dalam hati terkadang ada juga perasaan risau. Maklumlah di kawasan semak dan berpaya ni kan. Paling tidak perasaan tu membuatkan saya sentiasa berhati-hati.

Semasa memungut pucuk paku pergerakkan akan menjadi terhad kerana rimbunan pokok pucuk paku ini agak rapat meninggalkan hanya sedikit lorong laluan. Tambahan kawasan yang ditumbuhi pucuk paku biasanya berair.. silap hari bulan kalau nak berkejaran di sini boleh tersembam ke dalam lubuk. Jadi walaupun kerja mengutip pucuk paku ni taklah mencabar sangat tetapi kalau tak betul gayanya macam-macam bahaya boleh mengundang.

Dulu sewaktu saya mula-mula tinggal di bandar juga, saya tidak pernah membeli pucuk paku yang di jual di kedai sebagai hidangan yang sudah siap dimasak. Maklumlah kalau pulang ke kampung nanti saya boleh berkejar ke kebun dan mendapatkannya dengan percuma - cuma kena keluarkan sedikit tenaga. Lagipun saya memang menganggap aktiviti-aktiviti seumpama ini sebagai riadah apabila pulang ke kampung. Namun apabila jarang pulang ke kampung saya semakin tak tahan dengan selera untuk menikmati keenakan pucuk paku ni.. Jadi mahu tidak mahu terpaksa juga saya membelinya sebagai lauk yang telah siap di masak. Takperlah.. kalau pulang ke kampung nanti boleh cari lagi kan!.. memujuk hati lah tu.

Pucuk paku yang sudah dipetik dan sedia untuk dijual.
Terdapat beberapa jenis pucuk paku yang terdapat di sekitar kampung (Bukit Rokan). Namun yang paling popular adalah pucuk paku masak yang biasa didapati di pasar-pasar. Terdapat sejenis lagi pucuk paku yang lebih enak, namun sukar didapati iaitu pucuk paku sagat (mungkin orang lain mengenalinya dengan nama yang berlainan). Kemudian terdapat sejenis lagi yang jarang-jarang dimasak kerana habitatnya yang berlainan dan mungkin kurang popular sebagai hidangan iaitu pucuk paku merah.


Pucuk paku merah tidak sepopular spesisnya yang lain

Pucuk paku boleh dikatakan popular di seluruh negara kita Malaysia, dari Timur ke Barat dan dari Utara ke Selatan. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia mengenali sayur pucuk paku. Antara sajian yang popular disediakan menggunakan pucuk paku adalah kerabu pucuk paku, masak lemak pucuk paku, rendang pucuk paku, pucuk paku goreng belacan dan macam-macam lagi resepi moden yang kita berikan kepada sayur tradisional ini.

Mungkin pucuk paku ini bukan sekadar sedap pada rasanya sahaja. Apa yang membuatkan ianya sentiasa segar dalam iangatan adalah kenangan bagaimana sewaktu kecil dulu saya pernah meredah semak-samun untuk mendapatkannya. Hilai ketawa bersama kawan-kawan sewaktu kami bergurau di kawasan paya yang memecah kesunyian pada masa itu. Penghujungnya adalah senyuman kepuasan dengan sedikit usaha kecil yang kami lakukan kami membawa pulang sedikit sayuran yang dapat dijadikan santapan sekeluarga. Seronoknya di kampung!...

Kerabu pucuk paku merupakan sajian yang paling biasa disediakan menggunakan pucuk paku.

Free Download



Arkib Blog