Memaparkan catatan dengan label Borneo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Borneo. Papar semua catatan

Ahad, 26 Februari 2017

Muzium Chimney, Labuan

Muzium Chimney menyingkap sejarah silam Labuan.

Merupakan antara tarikan utama bagi Wilayah Persekutuan Labuan kerana nilai sejarahnya yang penting mengenai sejarah awal pulau ini. Muzium Chimney ini merupakan hasil kesan-kesan tinggalan aktiviti perlombongan arang batu yang dijalankan di sini, sekitar 1847 sehinggalah 1911. Ia kemudian didirikan semula pada tahun 1999 sebagai sebuah muzium di atas tapak yang dikatakan menjadi kawasan perlombongan satu masa dahulu.

Muzium ini terbahagi kepada dua komponen utama iaitu Pusat Informasi Chimney dan juga Menara Chimney. Pusat informasi berfungsi sebagai muzium tapak yang mempamerkan sejarah awal kawasan Tanjung Kubong yang satu masa dahulu menjadi kawasan perlombongan di pulau ini. Ia didirikan di atas tapak dimana aktiviti perlombongan itu sendiri dijalankan satu masa dahulu.

Menara Chimney yang menjadi antara mercu tanda di Labuan,

Menara Chimney dari dekat.

Satu lagi komponen penting adalah Chimney yang menjadi satu mercu tanda yang tidak diketahui dengan jelas mengenai fungsinya. Ia dikenali sebagai ‘Punil’ oleh masyarakat tempatan. Banyak andaian mengatakan ia berfungsi sebagai chimney, menara loceng, rumah api dan sebagainya, namun tiada bukti kukuh untuk menyokong bahawa ia digunakan untuk memenuhi fungsi tersebut. Sehingga kini ia kekal menjadi mercu tanda penting di kawasan ini dan juga bagi Labuan sendiri.

Muzium ini dibuka setiap hari dari jam 9:00 pagi sehingga 5:00 petang dan hanya ditutup pada Hari Raya Pertama Aidilfitri dan Aidiladha (Raya Haji). Ia juga tidak mengenakan sebarang bayaran dan masuk adalah percuma.





Apa yang menarik, muzium ini terletak berhampiran dengan lokasi-lokasi lawatan utama di Labuan seperti Taman Burung Labuan, Pusat Peranginan Batu Manikar, Tapak Terowong Bekas Perlombongan Arang Batu, Pantai Pohon Batu, Pancur Hitam, Taman Damai dan Layang-layangan.

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi;

Muzium Chimney Kg Lubok Temiang Jalan Tanjung Kubong 87007 Wilayah Persekutuan Labuan

Tel: 087-463 603
Fax: 087-414 462
Email: pr.mc@jmm.gov.my




Free Download





Rabu, 22 Februari 2017

Muzium Marin Labuan

Bangunan Muzium Marin Labuan.

Muzium Marin Labuan merupakan antara tarikan utama di Labuan dan terletak di lokasi yang amat mudah untuk dikunjungi. Muzium yang dibuka pada 26 Januari 2003 telah dirancang semenjak tahun 1990-an lagi sehinggalah Perbadanan Labuan menawarkan tapak dan bangunan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di mana ianya berada sekarang. Ia merupakan muzium pertama seumpamanya di Malaysia yang bertujuan memupuk pengetahuan mengenai hidupan laut dan kepentingannya.

Terdapat kira-kira 572 koleksi bahan pameran yang terdiri daripada spesimen-spesimen hidupan marin dan bahan-bahan kontemporari seperti peralatan memancing, menyelam dan oceanografi. Antara bahan pameran yang unik di sini termasuklah rangka anak ikan paus Indian Fin sepanjang 42 kaki yang berusia lebih 100 tahun selain seekor dugong telah diawet dijumpai di Pulau Papan. Selain itu ia juga turut menyediakan kolam sentuh bagi memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyentuh pelbagai hidupan marin.





Terdapat beberapa bahagian berbeza pada 4 ruang pameran yang disediakan di bahagian bawah muzium ini termasuk Seksyen Hidupan Marin, Seksyen Maklumat Kapal Karam, Seksyen Batu Karang dan Seksyen Paya Bakau. Terdapat sebanyak 14 akuarium pelbagai saiz yang menempatkan pelbagai spesis hidupan laut yang terdapat di sekitar Labuan dan Borneo.

Pada galeri di bahagian atas bangunan ini pula memaparkan pelbagai maklumat mengenai kehidupan marin, peralatan memancing ikan tradisional dan peralatan moden selain peralatan menyelam. Terdapat 4 buah akuarium lagi di bahagian atas yang menempatkan hidupan batu karang dan dua buah sudut bacaan bagi kemudahan para pengunjung.

Muzium adalah dibuka setiap hari dari jam 8:30 pagi sehingga 5:00 petang (ditutup pada Hari Raya Aldilfitri dan Hari Raya Aidiladha) dan bayaran masuk adalah percuma. Ia mudah dikunjungi dari pusat bandar Labuan dengan menggunakan pengangkutan awam samada bas mahupun teksi.





Free Download


Rabu, 24 Jun 2015

Buah Buahan Borneo, Terap


Terap mempunyai isi yang putih, bau yang enak dan rasa yang manis.

Buah terap (Artocarpus elasticus) bukanlah buah yang asing dan dikenali juga sebagai benda, tekalong, kalam (Mentawai) , torop (Karo) , bakil (Melayu) , tarok (Minangkabau), bĕnda, teureup (Sunda), bendhå (Jawa), Kokap (Madura), taéng (Makassar) dan beberapa nama lain lagi di sekitar kawasan di mana ia tumbuh (Asia Tenggara).

Apa yang istimewa, di Sabah dan Sarawak buah ini mendapat tempat yang agak popular di kalangan masyarakat setempat dan boleh didapati di pasar-pasar minggu yang dikenali sebagai ‘tamu’ apabila tiba musim buahnya. Ini kerana bau dan rasanya adalah sangat sedap dan mudah dimakan dengan isinya yang lembut berwarna keputih-putihan (seperti susu).


Isi buah terap yang putih,

Terap merupakan tumbuhan dalam family yang sama dengan cempedak (A. Integer) nangka (A. Heterophyllus), maka tidak hairanlah mengapa buah terap mempunyai rupa dan fizikal yang amat mirip dengan kedua-dua buah ini. Pohon terap juga mempunyai getah manakala sebagai pepohon hutan ia mungkin mempunyai batang yang agak tinggi.

Berbanding dengan buah nangka dan cempedak yang memanjang, buah terap adalah lebih bulat (sehingga bujur). Ia perlu dipetik berbanding gugur ke tanah, melainkan apabila ia telah ranum (busuk). Saiz buah ini boleh mencapai sehingga 1 kg dan mempunyai bau yang agak kuat juga. Mempunyai kulit yang lebih mudah dipecahkan maka buah ini amat mudah untuk dinikmati.


Antara spesies lain buah terap yang juga dikenali sebagai 'marang'.

Buah terap seperti juga seperti buah nangka, mempunyai pelbagai kegunaan bagi masyarakat serantau terutama di Indonesia. Selain daripada buahnya yang boleh dimakan, bijinya juga turut direbus atau digoreng mirip seperti buah cempedak dan nangka. Maka dengan itu, buah yang muda juga boleh dijadikan bahan masakan. Bagi masyarakat Minangkabau, sewaktu penjajahan Jepun, kulit terap turut digunakan sebagai bahan membuat seluar (celana). Terdapat potongan pantun Minangkabau yang mengabadikan kisah ini iaitu; ich ni san shi go rok, baju goni sarawa tarok (satu dua tiga empat lima enam (Bahasa Jepun), baju goni celana serat tarok (benda/terap).

Sebagai pohon hutan, pohon terap agak tinggi.

Banyak lagi hubungan pokok dan buah terap terhadap masyarakat terutamanya di Kepulauan Melayu, namun begitu sesuai dengan tajuk kali ini. Sekiranya anda ingin merasai keunikan buah terap maka jangan lupa terbang ke Sabah atau Sarawak menjelang musimnya nanti. Selain itu juga anda akan berpeluang mempelajari banyak lagi keunikan negeri-negeri Borneo tersebut.



Free Download



Buah Buahan Borneo, Durian Merah

Durian Merah mempunyai isi bewarna merah.

Borneo mempunyai banyak keunikan dari segi tumbuhan mahupun hidupan. Perbezaan ketara ini antara lainnya adalah pada buah durian yang mempunyai isi berwarna merah yang popular di kawasan di Borneo berbanding kawasan yang lain. Bagi para peminat durian peluang untuk merasai buah durian merah ini mungkin merupakan pengalaman yang agak menarik.

Durian Merah (Durio graveolens) mempunyai pelbagai gelaran daripada masyarakat setempat termasuk durian burung, durian kuning, durian merah, durian otak udang galah, durian dalit atau tabelak. Manakala mengikut suku kaun ada yang memanggilnya sebagai sukang (Kadazandusun), lalit (Bisaya), Mara’ang (Sungai) dan sebagainya. Berbeza pula di Sarawak durian ini lebih dikenali sebagai isu/isau manakala masyarakat Kenyah sebagai durian daun kerana mempunyai daun sebesar telapak tangan orang dewasa.

Isinya yang merah kelihatan lebih menarik.

Apabila tiba musim durian ini ia mudah dilihat di jual di pekan-pekan Rabu dan juga pasar di mana bauh-buahan tempatan dijual. Jadi untuk mendapat peluang merasai buah durian ini anda perlulah memastikan kunjungan anda ke Sabah atau Sarawak tiba tepat pada waktu di mana musim buah ini dituai.

Mempunyai fizikal luaran yang juga berduri seperti durian namun durinya adalah lebih tirus dan panjang dan warna kulit yang agak kekuningan. Walaupun terdapat beberapa jenis durian merah ini namun perbezaannya mungkin kurang ketara bagi orang-orang luar, yang pasti isinya berwarna merah.

Durian Merah di jual di pekan Rabu dan pasar.

Isi durian merah kurang manis dan mempunyai rasa uniknya yang tersendiri. Ia juga tidak menyebabkan panas badan seperti durian biasa. Namun seperti juga durian-durian lain – ia mempunyai bau durian. 


Free Download



Isnin, 15 Jun 2015

Keunikan Flora Gunung Kinabalu

Nepenthes rajah merupakan tumbuhan periuk kera terbesar hanya terdapat di Gunung Kinabalu.

Gunung Kinabalu merupakan puncak tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencapai 4,095 m dari aras laut. Selain diistiharkan sebahagian taman negara yang pertama pada tahun 1964 ia juga dinobatkan sebagai satu lagi kawasan Warisan Dunia oleh UNESCO pada December 2000. Ia merupakan satu kawasan yang penting dalam menyimpan khazanah hidupan tanah tinggi Borneo yang meliputi kepelbagaian hidupan dan juga tumbuh-tumbuhan.

Sehubungan kepentingan ‘biodiversity’ di Borneo, Harvard University turut menjalankan kursus yang dinamakan ‘Biodiversity of Borneo Field Course’ yang menjadikan Gunung Kinabalu sebagai salah satu kawasan terpenting dalam kursus ini. Manakala universiti lain seperti Miami University memilih lokasi di sekitar Sarawak dan University of Exeter, UK pula memilih lokasi di Kalimantan. Terdapat banyak lagi institusi pengajian yang mejalankan kajian di Borneo dalam usaha untuk mengenali keunikan biodiversity ini terus dijalankan bagi membolehkan usaha pemeliharaan dapat dilakukan sebelum ianya terlambat.

Oleh kerana kita ingin mengkhususkan artikel kali ini kepada keunikan flora di kawasan Gunung Kinabalu, ada baiknya kita memberikan fokus kepada kawasan ini terlebih dahulu. Anda boleh melakukan lebih carian mengenai kawasan-kawasan lain di Borneo yang luas dan kaya dengan keunikan tersendiri.

Gunung Kinabalu mempunyai tumbuhan yang unik yang meliputi 4 zon yang berbeza mengikut ketinggiannya dari aras laut. Walaubagaimanapun taburan tumbuh-tumbuhan ini turut dipengaruhi oleh bentuk muka bumi, pendedahan terdahap cahaya matahari, kelembapan, tanah dan sebagainya. Pada ketinggian melebihi paras 1,200 meter tumbuhan-tumbuhan yang tumbuh menyerupai tumbuhan yang terdapat di Himalaya dan juga China termasuk tumbuhan-tumbuhan seperti di Australia dan New Zealand, terdapat juga yang menyerupai tumbuhan dari Amerika.

Kawasan Hutan Tanah Rendah

Antara tumbuhan yang terdapat di zon hutan tanah rendah.

Kawasan yang meliputi sehingga ke ketinggian 1,200 meter (4,000 kaki) dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hutan pelbagai kayu kayan seperti mana hutan-hutan tropika yang lain. Ketinggian pokok dari spesis keruing (dipterocarp) boleh mencecah sehingga 50 meter  tinggi dengan beberapa lapisan pokok-pokok di antaranya.

Di kawasan ini pokok buah-buahan juga banyak tumbuh antaranya adalah rambutan, mangga, durian dan ara. Manakala bagi spesis yang sedikit berbeza ialah terap (Artocarpus odoratissimus) yang menyerupai nangka/cempedak dan mawang (Mangifera pajang) yang mempunyai rasa seakan-akan mangga. Terdapat juga durian yang mempunyai isi berwarna merah iaitu antara buah popular Negeri Sabah.

Bagi lapisan yang bawah sekali dan juga kawasan rendah biasa ditumbuhi oleh tumbuhan pelbagai jenis palma (Arecaceae), halia (Zingiberaceae) dan juga buluh (Graminae). Terdapat lebih 52 jenis spesis palma dari 10 genus dan 30 spesis tubuhan halia (Zingiberaceae) di dalam kawasan taman manakala 6 spesis buluh terdapat di dalam kawasan tersebut dimana empat lagi di luar kawasan yang dihadkan. Selain itu juga terdapat banyak spesis rotan di dalam kawasan ini.

Bagi spesis paku pakis pula merangkumi keseluruhan zon tumbuhan di Kinabalu dan terdapat kira-kira 608 spesis yang direkodkan di mana ia melebihi jumlah keseluruhan paku yang direkodkan di keseluruhan tanah besar Afrika. Spesis-spesis paku pakis ini merangkumi yang tumbuh di atas pokok, paku yang menjalar, paku tumbuh di tanah dan paku yang menyerupai pokok (seperti paku gajah). Di kawasan ini juga terdapat tumbuhan lumut terbesar (Dawsonia spp.) boleh dilihat.

Kawasan hutan rendah Kinabalu ini juga merupakan kawasan yang kaya dengan pelbagai jenis orkid dan terdapat lebih daripada 1,000 jenis orkid dari 121 genus. Seperti juga paku pakis orkid juga boleh didapati hampir di kesemua zon tumbuhan di kawasan Kinabalu ini. Antara spesis yang terdapat di sini termasuklah sliper orchid (Paphiopedilum rothschildianum) species endemik bagi Gunung Kinabalu, bamboo orchids (Arundina spp.), necklace orchid (Coelogyne spp.), orchid berbunga kuning Spathoglottis spp. dan spesis orkid terkecil dari genus Podochilus.

Antara keunikan lain yang terdapat di zon rendah hutan Kinabalu adalah tumbuhan dari genus Rafflesia yang mempunya 14 spesis yang merupakan spesis tumbuhan tropika yang terdapat di Borneo, Semenanjung Malaysia, Thailand, Philippines, Jawa dan Sumatera. Merupakan antara bunga terbesar (terdapat satu lagi spesis bunga terbesar iaitu bunga bangkai atau corpse flower).

Kawasan Rendah Pegunungan


Spesis tumbuhan pada aras rendah pergunungan.

Bagi ketinggian daripada 1,200 meter (4,000 kaki) sehingga 2,000 meter (6,500 kaki) tumbuhan-tumbuhan adalah terdiri dari pokok-pokok yang lebih rendah dan kebanyakannya terdiri daripada pokok jenik oak-chestnut. Terdapat sekitar 40 jenis pokok oak, chestnut, mytrle, laurels, eucalyptus dan juga theaceae (tea) pada sekitar aras ini. Pokok-pokok dari jenis conifer (pine) juga didapati tumbuh di sini.

Paku-pakis yang terdapat pada aras ini dapat dilihat dengan banyak dari jenis berdaun lebar iaitu Dipteris conjugata. Terdapat juga antara tumbuhan unik di sini iaitu ‘celery pine’ (Phyllocladus hypophyllus) yang mempunyai taburan di beberapa tempat di dunia. Ini termasuk spesis Tristania yang mempunyai kulit bewarna oren yang lebih berbeza dari pokok-pokok di sekitarnya yang lain.

Antara tumbuhan yang paling menarik di Gunung Kinabalu adalah kumpulan spesis tumbuhan periuk kera atau ‘pitcher plant’, Nepenthes. Sepuluh daripada 36 spesis tumbuhan Nepenthes terdapat di taman ini. Tumbuhan peruk kera ini lebih banyak berada di bahagian yang lebih tinggi iaitu kawasan yang kurang mempunyai nutrient. Satu kelebihan tumbuhan ini adalah mangkuk takungan yang mempunyai warna yang terang bagi memerangkap serangga dan haiwan kecil yang akan dijadikan sumber makanan. Spesis yang mempunyai mangkuk terbesar adalah dari spesis Nepenthes rajah, yang mempunyai takungan cecair sehingga 4 liter di dalamnya. Antara spesis yang hanya terdapat di Kinabalu adalah N. burbidgeae, N. villosa dan N. rajah.

Kawasan Tinggi Pergunungan/ Cloud Forest Vegitation

Tumbuhan di kawasan tinggi pergunungan.

Bagi kawasan ini pula merangkumi ketinggian daripada 2,200 meter sehingga 3,300 meter (11,000 kaki). Pokok yang tumbuh pada ketinggian ini mencapai ketinggian tidak lebih daripada 6 meter dan batang-batangnya pula akan diselaputi dengan lumut seperti lichens (terutamanya Usnea spp.), moss dan liverworth. Ia merupakan kawsan yang selalu diselaputi dengan kabus yang ditiupi angin.

Tumbuhan yang menguasai zon ini adalah terdiri daripada Rhododendron. Daripada 50 spesis yang terdapat di Borneo 26 spesis terdapat di Kinabalu dengan 5 daripadanya hanya terdapat di Kinabalu. Rhododendron hidup di kawasan yang sejuk dan lembab. Kebanyakan bunganya berbentuk seperti loceng dengan jumlah bunga yang banyak pada satu-satu pokok. Bunga-bunga mempunyai warna daripada merah, scarlet, pink, kuning, oren atau putih yang kelihatan ketara di kawasan ini. Antara tumbuhan lain yang mudah dilihat di zon ini adalah R. Lowii dengan bunganya yang berwarna kuning. Tumbuhan yang tumbuh di kawasan ini semakin mengecil pada aras yang lebih tinggi di mana R. ericoides, didapati tumbuh pada ketinggian yang paling tinggi.

Pada ketinggian melebihi 2,600 meter tumbuhan kelihatan agak berbeza adalah Leptospermum dan Dacrydium menukarkan hutan ini kepada suasana yang jauh berbeza. Tumbuhan berbunga putih Schima brevifolia amat ketara pada zon ini. Kesemua tumbuhan ini dapat menyesuaikan diri pada kawasan yang kekurangan tanah ini.

Tumbuhan Sub-alpine


Keadaan tumbuhan sub-alpine.
Tumbuhan sub-alpine bermula pada ketinggian 3,300 meter (11,000 kaki) di mana teras gunung daripada granite terdedah sehingga ke puncak. Pokok-pokok kelihatan berpintal dan berbentuk agak aneh. Walaupun masih terdapat tumbuhan menuju ke puncak terdiri daripada Leptospermum dan Rhododendron ericoides keadaannya adalah kelihatan agak terbantut. Ia merupakan tumbuh-tumbuhan bersaiz kecil daripada potentillas, buttercup, eyebright dan pokok gentian. Ini termasuk juga lumut, rumpai, orkid dan rumput pada sesetengah kawasan.

Menghampiri puncak hanya terdapat batuan dan tumbuhan hanya boleh hidup pada rekahan-rekahan batu yang dapat menyimpan sedikit tanah dan di mana akar dapat berpaut. Oleh kerana angin yang kuat dan hujan yang lebat juga menyukarkan tumbuhan untuk hidup pada ketinggin melebihi 3,700 (12,200 kaki) apabila menghampiri puncak.


Begitulah antara keunikan flora yang terdapat di kawasan Taman Negara Gunung Kinabalu yang mempunyai banyak keunikan. Banyak perkara yang perlu dipelajari dan dikaji bagi memastikan kekayaan sumber yang terdapat di sini dapat dimanfaatkan dengan baik. Seribu satu perkara boleh dipelajari dari satu kehidupan maka dengan itu adalah diharap kita dapat memeliharanya dengan baik.


Free Download



Ahad, 14 Jun 2015

Buah Buahan Borneo Bambangan

Buah bambangan muda biasa dijadikan jeruk.

Buah Bambangan (magnifera pajang) merupakan salah satu buah terkenal di Borneo terutamanya Sabah dan Sarawak mempunyai nama lain antaranya buah mawang, buah embang dan juga buah embawang. Mempunyai ciri-ciri persamaan dengan mangga namun mempunyai tekstur yang lebih kasar selain daripada mempunyai rasa yang masam.

Buah ini mempunyai pelbagai saiz dan bentuk yang kecil biasanya mempunyai bentuk yang lebih bulat, manakala jenis yang besar berbentuk agak bujur dan boleh mencapai berat sehingga 3-4 kilo sebiji.

Cara mengupas kulit bambangan.
Satu lagi cara mengupas kulit bambangan.

Ia merupakan tumbuhan hutan dan tersenarai sebagai tumbuhan terancam dalam senarai IUCN (International Union for Conservation of Nature and Natural Resources) dengan klasifikasi VU. Mempunyai taburan yang lebih banyak di Sabah sebagai tumbuhan liar dan adakalanya ditanam oleh penduduk asli di kawasan penempatan mereka.

Kulitnya berwarna coklat dan agak tebal manakala rasanya lebih mirip kepada buah bacang. Masyarakat tempatan biasa menggunakannya sebagai jeruk ketika ianya masih muda. Ia sesuai juga dijadikan sebagai kerabu atau dicampur bersama sambal belacan.

Untuk menikmati buah ini kulitnya perlu dikupas dengan kaedah yang agak berbeza – iaitu dengan mengoyakkan kulitnya yang tebal tersebut. Buah yang masak juga dikatakan lebih enak sekiranya dinikmati dengan garam dan cili.

Bambangan yang dibelah dua.

Bambangan yang masih berada di atas pokok.

Seperti juga dengan buah-buah hutan tropika yang lain, ia mempunyai bau yang agak kuat (seakan-akan manis) namun rasanya tetap masam. Warnanya isinya juga adalah lebih terang namun lebih kasar seperti juga bacang.




Free Download



Arkib Blog