Memaparkan catatan dengan label Bahasa Inggeris. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa Inggeris. Papar semua catatan

Khamis, 3 April 2014

Persediaan Sebelum Ke Pusat Pengajian Tinggi

Graduan IPT
Menjadi graduan adalah metlamat utama para penuntut di IPT.

Tidak lama lagi tentu ramai para lepasan SPM dan STPM akan melanjutkan pelajaran mereka ke pusat-pusat pengajian tinggi. Mungkin ramai yang tidak sabar untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading ini. Maklumlah satu lembaran baru dalam kehidupan dengan suasana pembelajaran yang jauh berbeza daripada zaman persekolahan.

Namun sebelum para pelajar ghairah untuk ke menara gading, di sini ingin dikongsikan beberapa perkara yang agak penting bagi memastikan peluang yang diperolehi nanti tidak disia-siakan begitu sahaja. Persediaan awal mungkin membantu para pelajar untuk mendapat kelulusan yang lebih baik daripada yang diperolehi semasa peperiksaan SPM dan STPM dahulu. Perlu diingat kejayaan lepas tidak semestinya berulang dan ia masih boleh diperbaiki lagi.

Sehubungan dengan itu mari kita lihat beberapa perkara yang boleh kita lakukan sebelum kita menjejakkan kaki ke IPTA/IPTS supaya apa yang kita keluarkan (perbelanjaan, masa, pengorbanan, dll.) lebih berbaloi.

Belajar Bahasa Inggeris


Bahasa Inggeris amat penting untuk pembelajaran di peringkat tinggi. Ini kerana bahan rujukan banyak disediakan di dalam Bahasa Inggeris. Bagi mereka yang masih lemah di dalam penguasaan Bahasa Inggeris, inilah masa yang paling sesuai untuk membuat persediaan. Gunakan kemudahan yang ada samada kursus bahasa, internet, TV, majalah atau buku untuk memperbaiki kelemahan anda.

Bahasa Inggeris memerlukan latihan untuk dikuasai dengan baik. Bagi yang mengikuti kursus bahasa tentulah lebih mudah kerana ia dilakukan secara sistematik. Namun begitu bagi yang tidak berpeluang mengikuti kursus bahasa anda bolehlah membiasakan diri dengan membaca dan menonton rancangan di dalam Bahasa Inggeris.

Carilah bahan yang anda minati supaya anda akan lebih berminat untuk mengetahuinya dengan lebih mendalam. Baca, dengar dan ulang bahagian perkataan yang anda rasakan mampu. Jangan terlalu takut jika melakukan kesalahan. Semua orang yang belajar akan melakukan kesilapan dan dari kesilapan inilah anda dapat mengenalpasti kelemahan anda dalam menguasai Bahasa Inggeris.

Teruskan Membaca


Buku
Membaca dapat mengekalkan otak agar sentiasa aktif.

Membaca dapat mengekalkan otak untuk terus aktif. Selain daripada menambah ilmu pengetahuan atau membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai bidang yang anda minati ia juga memastikan otak terus cekap untuk menerima pelajaran-pelajaran baru apabila anda melangkah ke IPT nanti.

Apa yang menarik buat masa ini anda bebas membaca sebarang bahan bacaan. Namun lebih baik sekiranya anda memilih bahan bacaan yang dapat menambahkan kemahiran anda di dalam lapangan yang ingin anda ceburi. Anda juga digalakkan memilih bahan bacaan di dalam Bahasa Inggeris kerana di dalam masa yang sama anda telah melakukan dua perkara di dalam satu masa.

Latihan Menaip


Jika anda memiliki komputer atau laptop di rumah bolehlah luangkan masa utuk melatih diri menaip menggunakan perisian yang sesuai. Ini kerana apabila anda melangkah ke IPT nanti anda mungkin perlu menyiapkan assignment di dalam tempoh yang singkat. Waktu ini adalah masa yang terbaik untuk malatih diri menaip dan menggunakan perisian yang betul.

Semasa menaip pastikan anda menggunakan kedua-dua belah tangan dengan menggunakan kesemua jari-jemari anda. Elakkan tangan bersilang – ini bermaksud setiap jari hanya akan menekan butang-butang tertentu dan kelajuan anda menaip akan meningkat. Anda juga boleh mencari kaedah menaip yang betul daripada internet atau carilah bahan belajar menaip daripada buku-buku yang berkaitan.

Selain daripada itu pastikan juga kaedah yang betul menggunakan perisian yang anda gunakan. Pastikan kaedah untuk meletakkan gambar, jadual, gambarajah dengan betul. Terdapat juga perisian yang membolehkan anda meletakkan bahan-bahan lain seperti audio dan video. Malah anda juga boleh melengkapkan fail anda seperti sebuah buku yang lengkap dilengkapi dengan bahagian seperti muka hadapan, isi kandungan, pra-kata, muka surat, nota kaki dan bahagian rujukan. Malah anda juga boleh membuat link-link di antara isi kandungan di dalam fail anda.

Perisian-perisian yang bersesuaian untuk kerja-kerja menaip adalah seperti Microsoft Office Word, Apple Pages, Applix Word (Linux), Documents To Go, iStudio Publisher (Mac), Kingsoft Writer, Lotus Word Pro, WordPerfect, WordPad, Polaris Office dan sebagainya. Anda tidak perlu belajar menggunakan kesemua perisian ini, tapi pilihlah di antaranya yang anda fikirkan sesuai.

Belajar Mencari Bahan Rujukan


membuat rujukan
Mencari bahan rujukan merupakan asas kemahiran di IPT.

Mencari bahan rujukan memerlukan kemahiran dan anda akan memerlukannya lebih lagi apabila berada di IPT nanti. Sebagai persediaan carilah bahan rujukan berkaitan dengan perkara-perkara yang anda diminati contohnya “Kaedah Penghasilan Tenaga”. Gunakan segala bahan yang anda boleh perolehi dan kaitkan semua maklumat tersebut menjadi satu laporan lengkap.

Melalui latihan sebegini anda dapat melihat sendiri bagaimana proses pengumpulan maklumat tersebut dapat membantu anda mencari jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Apa yang menarik latihan ini tidak perlu menjadikan anda terlalau ‘stress ‘ dan anda mempunyai ruang yang besar dalam mengembangkan tajuk tersebut.  Untuk lebih menarik, kongsikan kepada rakan taulan melalui laman sosial ataupun sebagai isi perbualan semasa keluar minum bersama.

Bertukar pendapat
Bertukar-tukar pendapat dapat memperbaiki lagi idea yang telah anda perolehi.

Itu adalah antara beberapa perkara yang anda boleh lakukan sebagai persediaan ke IPT nanti. Terdapat banyak lagi perkara yang boleh dilakukan bagi mengisi masa menunggu ini. Jadi jangan biarkan masa terluang begitu sahaja. Isilah waktu tersebut dengan perkara-perkara yang boleh memberi manfaat supaya bila di IPT nanti anda tidak dibebani dengan perkara-perkara yang sepatutnya boleh anda lakukan sekarang - Semoga berjaya.

*Artikel daripada: Math&Brain Malaysia



Free Download





Arkib Blog