Halaman

Isnin, 7 November 2022

KL Eko Park, Perlukah Anda Melawatinya?

Taman Eko Rimba KL, pintu masuk dari Menara KL

KL Eko Park merupakan sebuah taman yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Dahulunya lebih dikenali sebagai Hutan Simpan Bukit Nenas, ianya kini diberi nafas baru dengan nama KL Eko Park. Walaupun taman ini bersaiz sederhana, ia mempunyai banyak kemudahan dan mampu memberikan kepuasan bagi pengunjung yang jarang sekali dapat menikmati suasana di persekitaran hutan Malaysia.

Ia dahulunya merupakan taman awam yang boleh dimasuki secara percuma. Namun kini para pengunjung perlu membeli tiket sebelum dibenarkan masuk ke kawasan ini. Walaupun harga tiket ini tidaklah terlalu mahal, ia mungkin menjadi kekangan bagi penduduk-penduduk Malaysia sendiri yang memandang aktiviti riadah seperti trekking ini sebagai aktiviti yang kurang penting. Manakala berbanding dengan keluasan taman dan kemudahan yang disediakan pula, harga tersebut masih boleh dikatakan mahal berbanding dengan tarikan-tarikan lain di Malaysia secara umumnya. Maka kemudahan ini lebih dinikmati oleh para pelancong yang jarang mempersoalkan mengenai harga tiket tersebut, kerana ingin melihat keunikan yang ditawarkan oleh taman ini.

Walaupun sebelum ini kami pernah menampilkan artikel mengenai taman ini. Kali ini, kita ingin melihat dengan lebih dekat beberapa tarikan dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di taman ini hasil daripada kunjungan terkini (December 2022).

Pintu masuk taman dari Jalan Raja Chulan.

Menara KL dari titian Canopy Walk.


Trekking.

Trekking menjadi tarikan utama di sini kerana keseluruhan taman mempunyai pelbagai jenis laluan yang menawarkan persekitaran yang berbeza. Antaranya adalah, laluan di lereng-lereng bukit, kawasan tinggi dan juga kawasan rendah. Walaupun ia berada di dalam kawasan yang sama, tumbuh-tumbuhan di kawasan-kawasan ini juga mempunyai perbezaan yang ketara.

Sememangnya banyak antara pokok-pokok ini adalah ditanam oleh pihak pengurusan taman. Namun begitu, ia turut ditanam mengikut kesesuaian kerana tidak semua tumbuhan ini sesuai ditanam di kawasan lembah atau di puncak bukit dan sebaliknya.

Selain daripada tumbuh-tumbuhan yang ditanam, banyak juga tumbuhan dan spesies kulat yang hidup dengan sendiri. Ini merupakan satu lagi tarikan yang menarik untuk diperhatikan. Kulat-kulat ini membantu proses pereputan tumbuh-tumbuhan yang telah mati dan mengembalikan semula nutrient ke dalam tanah. Terdapat pelbagai spesies kulat yang boleh diperhatikan di dalam kawasan KL Eko Park ini di sepanjang laluan trek sahaja (sudah semestinya banyak lagi terdapat di dalam kawasan taman). Keadaan ini sudah tentu memberikan kepuasan bagi mereka yang meminati hidupan unik dari keluarga kulat ini.








Walaupun keluasan taman ini adalah bersaiz sederhana, namun ia cukup untuk memberikan suasana yang nyaman bersiar di dalam kawasan hutan kecil khatulistiwa. Ini kerana bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, pengalaman untuk menikmati suasana hutan mungkin agak sukar dan jarang-jarang sekali dapat dinikmati.
 
Terdapat sejumlah laluan trek-trek yang disediakan di dalam taman ini bagi kemudahan para pengunjung ataranya:

* Titian Silara (yang juga merupakan laluan kanopi)
* Denai Sindora
* Jalan Aquilaria
* Denai Penarahan
* Denai Hopea
* Denai Merawan
* Denai Suboh
* Bamboo Walk
* Jambatan Gantung - perlu diperbaiki*
* Denai Jelutong
* Denai Shorea
* Denai OKU - laluan bagi orang kurang upaya.

Tapak Perkhemahan

Terdapat juga tapak perkhemahan di dalam kawasan KL Eko Park yang menempatkan kemudahan-kemudahan asas untuk aktiviti perkhemahan. Namun untuk aktiviti perkhemahan ini, ia mungkin perlu mendapatkan kebenaran dari pihak pengurusan taman terlebih dahulu. Terdapat banyak kemudahan asas di kawasan tapak perkhemahan untuk kemudahan pengguna yang memudahkan segala aktiviti dapat dijalankan dengan lebih mudah. Tapak perkhemahan ini kelihatan seperti biasa digunakan untuk aktiviti perkhemahan seperti kumpulan pengakap dan perkhemahan sekolah. Ia mungkin tidak digunakan untuk aktiviti perkhemahan persendirian.

Kemudahan-kemudahan lain

Taman KL Eko Park telah lama ditubuhkan dan sejak sekian lama menjadi lawatan warga kota dan juga para pelancong ke Kuala Lumpur. Banyak kemudahan-kemudahan asas yang telah disediakan sejak dahulu lagi bagi kemudahan para pengunjung. Kemudahan asas seperti tandas awam, surau dan tempat-tempat berehat daripada bangku dan meja disediakan di kawasan-kawasan tertentu bagi kemudahan para pengunjung. Ia menjadikan taman ini bukan sahaja sesuai untuk kunjungan mereka yang aktif dalam aktiviti sukan lasak, malah ia sesuai untuk seisi keluarga. 

Selain daripada aktiviti lawatan biasa, taman ini juga boleh menerima aktiviti-aktiviti khusus yang perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan taman. Kebenaran seperti ini perlulah mendapatkan kelulusan daripada pihak pengurusan terlebih dahulu. 

Papan tanda ke rumah orkid (tidak terdapat banyak orkid).

Papan tanda ke laluan-laluan di dalam taman.

Titian Canopy walk yang menjadi tarikan utama Taman Eko Rimba KL

Papan petunjuk yang menarik, tetapi berdasarkan tumbuh-tumbuhan yang sudah tiada!

Pemandangan taman dan sekitar taman yang menarik.

Sebahagian laluan yang telah rosak, boleh mendatangkan bahaya!

Lagi bahagian taman yang telah rosak, perlu diperbaiki. 

Kawasan rehat yang diliputi lumut yang amat menakjubkan.


Taman-taman khusus

Taman-taman kecil yang membentuk sebahagian kecil taman ini antaranya adalah taman herba yang menempatkan tumbuhan-tumbuhan herba. Ia bagaimanapun berkeadaan sedikit menyedihkan kerana tidak terdapat banyak tumbuhan herba (selepas lebih 2 tahun penutupannya semenjak Covid-19). Tumbuhan-tumbuhan herba, seperti yang kita ketahui amat penting bagi masyarakat Melayu dan Asia secara umumnya yang digunakan untuk pelbagai tujuan daripada masakan sehinggalah kepada perubatan.

Selain itu, Taman Asean juga merupakan satu lagi taman kecil bersebelahan Galeri Interaktif NRE dan juga pintu masuk dari Jalan Raja Chulan. Taman ini bersaiz amat kecil dan terdapat sejumlah kecil tumbuh-tumbuhan yang biasanya terdapat di negara-negara Asean. Taman ini juga perlu dipertingkatkan bagi memberikan lebih bahan dan informasi yang berkaitan.

Begitu juga kawasan “bamboo walk”, yang menempatkan spesies-spesies buluh penting. Walaupun terdapat hanya beberapa jenis buluh di sini, ia sedikit sebanyak memberikan gambaran terdapatnya banyak lagi spesies buluh lain, yang antaranya tidak sesuai untuk ditanam di kawasan taman ini. 

Papan tanda ke laluan "Bamboo Walk"

Buluh kuning yang cantik sebagai hiasan.

Buluk bersaiz besar, sesuai untuk kegunaan binaan.

Rumpunan buluh yang cantik.


Harga Tiket

Jadual Harga Tiket

Tiket

Dewasa (RM)

Kanak-Kanak (RM)

Warga Emas (RM)

Warganegara

10

1

1

Pelancong Luar

40

5

40

Harga tiket walk-in dikemaskini sehingga : 26 July 2022


Apakah yang perlu diperbaiki?

Sebagai taman yang menampilkan tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi, perkara yang paling penting untuk diutamakan sudah tentulah mengenai kebersihan taman terutamanya daripada bahan-bahan yang mencemarkan alam seperti bahan buangan daripada manusia seperti sampah sarap terutamanya plastik. Plastik bukan sahaja membuatkan taman kelihatan buruk, malah tidak mereput serta menjadi ancaman kepada haiwan dan tumbuhan di dalam taman ini. Beberapa perkara mungkin boleh ditambah untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan di taman ini.

* Menempatkan lebih banyak tong-tong sampah di lokasi-lokasi yang sesuai bagi mengelakkan pengunjung membuang sampah di kawasan yang tidak sepatutnya.
* Papan informasi. Sememangnya taman ini dilengkapi dengan papan informasi mengenai taman, mahupun tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sini. Namun, sesetengah papan informasi adalah berasaskan maklumat yang tidak dikemaskinikan mengikut keadaan semasa. Manakala sebahagian papan mungkin boleh ditambah untuk memberikan maklumat yang lebih tepat.
* Vending machine bagi memudahkan para pengunjung untuk mendapatkan bahan penting seperti minuman dan makanan ringan. Walaupun ia kelihatan remeh, taman ini mempunyai permukaan yang berbukit bukau, dan minuman dan makanan ringan amat membantu untuk memastikan para pengunjung tetap bertenaga.
* Kedai cenderahati atau cafe di pintu masuk Jalan Raja Chulan mungkin dapat memberikan lebih kemudahan. Kedai yang ringkas untuk memberikan perkhidmatan tambahan, mungkin membekalkan keperluan asas (sunblock, insect repellant, snack, minuman, kopi segera dan sebagainya) dan kedai cenderahati (dan jualan online) mungkin boleh menambahkan lagi dana untuk taman ini menjana pendapatan yang lebih baik.










Apakah ia berbaloi untuk dilawati?

Antara persoalan penting adalah mengenai, adakah taman ini berbaloi untuk dilawati? Memandangkan kini taman ini mengenakan bayaran tiket untuk pengunjung tempatan mahupun para pelancong, dan bayaran tiket ini boleh dikatakan agak mahal berbanding dengan keluasan taman maka di sini terdapat beberapa perkara yang boleh kita pertimbangkan.

* Sekiranya anda dari kawasan berhampiran dan tidak mempunyai masa untuk perjalan yang jauh untuk melawati taman-taman dengan kawasan hutan hujan Malaysia yang terdapat di kawasan-kawasan luar Kuala Lumpur, maka taman ini bolehlah dilawati. Mungkin tidak dilawati secara kerap, tetapi masih boleh memberikan sedikit aktiviti untuk mendapatkan semula hubungan dengan alam semulajadi.
* Walaupun taman ini kecil dan ringkas, namun ia mempunyai keunikannya tersendiri. Adakalanya sedikit/kecil lebih mudah untuk dihayati atau diamati dengan lebih baik berbanding dengan kawasan yang luas. Kemudahan seperti ‘canopy walk’ di taman ini juga amat menarik untuk memberikan kesempatan para pengunjung untuk mengamati alam dari pandangan yang tinggi.
* Taman ini dapat memberikan pengenalan betapa menariknya kawasan hutan Malaysia untuk dilawati seperti Taman Negara, kawasan luar bandar dan hutan-hutan di Borneo. Ini tidak termasuk kawasan-kawasan paya bakau atau wetland yang jauh berbeza.
* Namun begitu sekiranya anda dalam kumpulan yang besar dan perlu membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk harga tiket, maka taman-taman yang berada di persekitaran berhampiran Kuala Lumpur mungkin lebih sesuai. Walaupun, taman ini menarik, namun perlu juga diingat, berjimat juga adalah penting.








Sehubungan itu, semoga pihak pengurusan taman akan terus memperbaiki mutu perkhidmatan mereka bagi kemudahan para pengunjung. Bagi pera pelawat ke taman ini pula, semoga menjaga kemudahan taman dengan baik dan menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya. Kerana, apabila anda berada di taman ini, anda akan merasa betapa pentingnya manusia untuk berhubung dengan persekitaran (dikelilingi dengan tumbuh-tumbuhan dan haiwan). Jadi sama-samalah kita memanfaatkan kemudahan yang ada untuk kebaikan bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan