Halaman

Isnin, 6 Jun 2022

Pulau Pinang (Penang) Lokasi Pelancongan Dalam Negeri Yang Unik

Pulau Pinang merupakan antara bandaraya penting di Malaysia sebagai destinasi ekonomi mahupun pelancongan.

Pulau Pinang bukanlah lokasi pelancongan baru di Malaysia, malah ia sedari dulunya terkenal sebagai pulau yang penting untuk pelbagai aktiviti ekonomi di Tanah Melayu semasa zaman penjajahan Belanda dan British. Kini tinggalan ini bukan sahaja menjadi satu identiti unik bagi Pulau Pinang, malah ia ditambahkan lagi dengan pelbagai lokasi dan aktiviti-aktiviti baru yang menjadikan Pulau Pinang destinasi dalam negeri yang penting untuk dilawati.
 
Pulau Pinang merupakan destinasi yang sememangnya popular di kalangan pelancong dalam dan luar negeri. Pembangunan industri dan populasi di Pulau Pinang membolehkan ia terus membangun sebagai negeri perindustrian dan menjadi destinasi pelancongan penting di Malaysia. Bagi memenuhi peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Pinang, ia boleh dilawati dengan pelbagai jenis kenderaan samada kerata, bas, keretapi dan feri serta kapal terbang. Ini bermakna anda boleh melawati Pulau Pinang dengan pelbagai kaedah dan tidak perlu bergantung kepada satu-satu jenis pengangkutan sahaja.

Pemandangan pantai yang menarik di Batu Ferringhi

 
Bagi lawatan ke Pulau Pinang oleh myrokan baru-baru ini, kaedah pengangkutan yang digunakan adalah keretapi (ETS) dari Kuala Lumpur (KL Sental) ke Butterworth. Ternyata kaedah pengangkutan ini amat mudah digunakan kerana ia berada di pusat bandar Kuala Lumpur tanpa memerlukan masa menunggu seperti perkhidmatan pengangkutan udara. Hanya anda memerlukan sedikit masa untuk mengambil pengangkutan feri dari jeti di Butterworth ke Pulau Pinang dan dalam masa yang sama, kemudah di jeti ini masih melakukan kerja-kerja menaik taraf. Adalah diharap kerja-kerja ini dapat disiapkan segera bagi memudahkan lagi pergerakan pelawat-pelawat ke Pulau Pinang.
 
Lokasi lawatan di Pulau Pinang

ESCAPE Penang merupakan antara destinasi lawatan menarik untuk dilawati.

Antara aktiviti menarik untuk dicuba di Komtar, Penang.

Pengalaman meniti jambatan kaca di Komtar, Penang.

 
Pulau Pinang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk dilawati daripada pantai untuk perkelahan sekeluarga, tanah tinggi untuk pemandangan kawasan sekitar, taman tema dengan aktiviti menarik, rumah-rumah ibadah untuk pelbagai kaum di Pulau Pinang, bangunan-bangunan dengan senibina unik dan kawasan dataran tempat berkumpul pelbagai lapisan masyarakat serta pelawat ke Pulau Pinang. Selain daripada lokasi-lokasi menarik ini, Pulau Pinang juga terkenal dengan makanan yang unik kepada Pulau Pinang yang boleh dinikmati di beberapa lokasi khusus di sekitar pulau ini.
 
Adalah sukar untuk melakukan keseluruhan aktiviti yang ditawarkan di Pulau Pinang dalam satu lawatan, melainkan anda meluangkan masa untuk tempoh yang lama di Pulau ini. Adalah sebaiknya merancang lebih awal sekiranya anda ingin melakukan sesuatu aktiviti yang spesifik semasa lawatan ke Pulau Pinang. Anda juga perlu melihat faktor-faktor lain seperti musim cuti persekolahan ataupun cuti umum yang mungkin mempengaruhi jumlah pelawat ke sesuatu destinasi yang ingin anda kunjungi.
 
Sememangnya tedapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Pulau Pinang merangkumi aktiviti hiburan keluarga, lawatan pendidikan, lokasi-lokasi bangunan bersejarah, pantai yang unik serta pemandangan yang menarik. Sekiranya anda tidak boleh melakukan kesemua aktiviti ini dalam satu lawatan, maka sebaiknya bolehlah melakukan sebahagiannya dan kembali semula untuk lawatan akan datang.

Menara pagoda merupakan antara binaan unik di Kek Lok Si Temple.

Binaan patung Dewi Kuan Yin yang boleh dilihat dari jauh.

Antara binaan lain yang terdapat di Kek Lok Si Temple.

 
Antara tempat-tempat lawatan yang perlu diberikan tumpuan antaranya adalah Georgetown, Butterworth, Batu Ferringhi, Air Hitam, Teluk Bahang dan banyak lagi. Namun lokasi-lokasi utama merupakan tumpuan utama pelbagai aktiviti adalah di sekitar Georgetown dan Butterworth dimana terletaknya kemudahan-kemudahan asas pengangkutan, keperluan asas dan hiburan.
 
Georgetown merupakan pusat bandar utama yang menempatkan bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu Komtar. Kompleks bangunan ini turut dilengkapkan dengan pelbagai aktiviti pelancongan menarik bagi semua peringkat umur. Anda boleh meluangkan masa dengan melawat ke bumbung bangunan untuk melihat pemandangan sekitar Pulau Pinang serta merasai pengalaman menyeberangi jambatan berlantaikan kaca yang mungkin sedikit mendebarkan. Sementara itu terdapat pelbagai aktiviti lain yang bercorak hiburan dan pendidikan bagi kanak-kanak dan seluruh ahli keluarga.
 


Terletak di kawasan Georgetown juga adalah bangunan-bangunan dari zaman kolonial yang mempunyai nilai-nilai sejarah. Ia juga kaya dengan senireka unik dan ukiran-ukiran tradisi yang sukar untuk dilakukan pada hari ini (kerana akan memakan perbelanjaan yang besar). Antara bangunan yang menarik termasuklah bangunan masjid dan gereja lama, menara jam, deretan rumah-rumah kedai lama dan bangunan yang dijadikan muzium. Terdapat pelbagai senireka unik bangunan-bangunan ini walaupun ia didirikan pada masa yang seakan-akan sama.
 
Dari segi makanan pula, Pulau Pinang sememangnya popular dengan restoran-restoran nasi kandar dan makanan-makanan dari pelbagai bangsa yang lain. Namun begitu, nasi kandar merupakan antara makanan yang unik bagi negeri ini. Bagi yang ingin merasai keunikan nasi kandar di Pulau Pinang terdapat banyak restoran yang menyediakan makanan ini, di mana ia merupakan konsep berbanding jenis masakan. Nasi kandar adalah nama yang diberikan kerana ia suatu masa dahulu di jual dengan menggunakan kandar oleh pengusaha-pengusaha ini. Apa yang dapat dikongsikan di sini, perbezaan antara restoran nasi kandar yang mempunyai kualiti terbaik adalah restoran yang menghidangkan makanan yang segar (baru disediakan) - dan ia terus disediakan sepanjang hari.
 
Aktiviti-aktiviti lain di sekitar Pulau Pinang


Antara masjid lama terletak di Georgetown.

Muzium Baba dan Nyonya antara lokasi lawatan menarik.

Manakan Baba dan Nyonya yang perlu dicuba di restoran Baba dan Nyonya.

Ruang tengah di Muzium Baba dan Nyonya.

 
Terdapat pelbagai lokasi menarik untuk dilawati di Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan pelawat. Daripada destinasi persisir pantai sehinggalah ke puncak tertinggi di Pulau Pinang boleh dilawati oleh para pengunjung. Terletak di kawasan Teluk Bahang merupakan taman tema yang menempatkan gelongsor air terpanjang di dunia. Ia merupakan taman yang dilengkapi dengan pelbagai jenis permainan air dan sukan lasak yang mencabar fizikal dan mental. Taman ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk kemudahan para pengunjung dari parking kenderaan, kemudahan penyimpanan barang, sewaan kemudahan, bilik mandi dan persalinan. Taman yang dikenali sebagai ESCAPE Penang ini memerlukan masa sekitar sehari bagi membolehkan anda untuk mencuba kebanyakan aktiviti yang disediakan.
 


Semasa perjalanan ke Teluk Bahang anda mungkin akan melewati kawasan persisir pantai yang juga dikenali sebabai Batu Ferringhi. Terdapat kawasan-kawasan yang sesuai untuk dilawati bersama keluarga. Atau anda juga boleh menginap di hotel-hotel yang berhampiran pantai sekiranya ingin meluangkan lebih masa di kawasan berhampiran pantai. Antara hotel-hotel menarik di persisir pantai ini termasuklah Shangri-La, Rasa Sayang; Shangri-La Golden Sands; Parkroyal, Hard Rock Hotel Penang; Bayview Beach Resort dan banyak lagi mengikut keperluan para pengunjung. Kawasan ini juga turut mempunyai gerai-gerai yang menjual pelbagai barangan selain pasar malam yang mungkin menarik minat sebahagian pengunjung.

Kelantan House, antara hotel unik dari bangunan warisan dunia UNESCO.

Bilik di dalam hotel Kelantan House yang unik. 

 
Manakala bagi kawasan-kawasan yang menarik di kawasan tanah tinggi pula adalah Bukit Bendera yang terletak berhampiran satu lagi tarikan menarik iaitu Kek Lok Si Temple. Bukit Bendera boleh dilawati dengan menaiki train bukit atau dikenali sebagai funicular train. Pada ketinggian melebihi 700 meter dari aras laut anda bukan sahaja boleh menikmati pemandangan pulau yang menarik malah menikmati udara nyaman di tanah tinggi. Terdapat banyak tarikan di atas Bukit Bendera yang menjadikan lawatan ke sini mungkin masa beberapa jam kerana banyak aktiviti boleh dilakukan. Oleh kerana ia hanya boleh dilawati dengan menaiki train khas ini, maka untuk lawatan pada musim cuti persekolahan keadaannya mungkin sedikit sesak dan anda mungkin mengambil masa beberapa jam untuk menunggu giliran menaiki train ke puncak bukit.
 


Satu lagi tarikan menarik di kawasan berhampiran adalah Kek Lok Si Temple yang sekian lama merupakan antara tarikan unik bagi Pulau Pinang. Walaupun merupakan rumah ibadah, ia dibuka untuk lawatan kepada orang ramai bagi kawasan-kawasan tertentu. Terdapat beberapa bangunan khusus yang boleh dilawati di dalam kompleks yang terletak di lereng bukit ini. Selain daripada bangunan-bangunan dengan senibina unik, terdapat juga taman-taman yang menarik di persekitaran rumah-rumah ibadah yang didirikan. Anda boleh mengenal pasti lokasi kawasan ini dengan melihat patung bersaiz besar Dewi Kuan Yin yang terletak di kawasan kompleks Kek Lok Si ini.
 
Aktiviti di waktu malam

Padang Kota menajdi tumpuan penduduk tempatan mahupun pelawat dari luar.

Pemandangan waktu malam dari Bayview Geaorgetown.

Seperti bandar-bandar lain, Pulau Pinang tidak sunyi pada waktu malam. Menjadi kawasan pelancongan yang penting, terdapat beberapa tempat yang menjadi tumpuan para pelawat dalam dan luar negeri. Antara tempat lawatan terkenal di sekitar Georgetown adalah Padang Kota yang menempatkan kawasan makan dan juga kawasan riadah di sepanjang pantai berhampiran dataran padang kota. Ia menjadi tumpuan para pelawat dari luar dan juga penduduk tempatan untuk berehat atau meluangkan masa pada waktu malam. Anda boleh melihat pelbagai aksi menarik para pengunjung dan penghibur jalanan yang memenuhi kawasan ini yang turut dikunjungi oleh pelbagai lapisan umur masyarakat. Sama juga dengan kawasan-kawasan yang lain, ia adalah lebih sesak pada waktu-waktu musim cuti sekolah dan cuti umum.
 
Itu hanyalah sebahagian kecil mengenai Pulau Pinang dan pastinya anda akan berpeluang menemui pelbagai lagi perkara-pekara menarik semasa lawatan anda yang mungkin mempunyai tujuan tersendiri ke Pulau Pinang. Dalam lawatan yang dilakukan oleh myrokan baru-baru ini, keadaan industri pelancongan adalah pada tahap pemulihan (masih terdapat banyak perniagaan yang belum kembali pulih sepenuhnya). Maka keadaan ini mungkin akan berterusan untuk beberapa ketika sehingga Pulau Pinang kembali semula sepertimana ianya sebelum pandemik yang melumpuhkan industri pelancongan di seluruh dunia.