Isnin, 16 Mei 2022

Memasak Bujang Seorang di Rumah Menjimatkan, Tips dan Teknik

Memasak di rumah memerlukan perancangan yang betul bagi mendapatkan faedah yang baik.

Memasak di rumah amat menjimatkan selain memastikan makanan yang dimasak adalah lebih berkhasiat dan menepati citarasa sendiri. Namun bagi mereka yang tinggal bersendirian, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini menjadi sedikit sulit kerana perbelanjaan, dan masa yang diluangkan untuk memasak adalah agak tinggi berbanding sekiranya ia disediakan untuk jumlah yang lebih ramai. Malah kebiasaan nya, lebihan masakan terpaksa dibuang. Perkara-perkara ini merupakan punca utama mengapa mereka yang tinggal bersendirian tidak memilih untuk memasak sendiri di rumah.

 
Memasak sendiri di rumah memerlukan perancangan yang betul untuk memastikan ia memenuhi tujuan penting untuk memasak sendiri terutamanya penjimatan dalam berbelanja. Sebelum kita memulakan proses memasak, sekiranya anda tinggal bersendirian adalah penting untuk memastikan peralatan yang anda perolehi di rumah sebelum membuat persiapan dan perancangan memasak. Peralatan asas merupakan perkara utama yang mempengaruhi perancangan anda untuk memasak. Peralatan ini merangkumi untuk tujuan persiapan, penyimpanan, penyediaan, memasak dan menghidang. Walaupun dalam sesetengah keadaan, tidak semua peralatan boleh diperolehi dalam satu-satu masa, namun kita masih boleh menyediakan masakan sendiri di rumah mengikut kesesuaian.
 
Peralatan

Peralatan memasak yang sesuai, mempercepatkan proses memasak dan mengemas.


Peralatan penyimpanan juga penting untuk bahan sebelum dan selepas memasak.

 
Peralatan sedia ada merupakan keperluan utama dalam membuat perancangan sebelum memulakan kerja-kerja memasak di rumah. Daripada peralatan inilah mampu memberikan kita gambaran mengenai jenis-jenis masakan yang boleh disediakan. Daripada peralatan asas seperti cerek elektrik, pinggan mangkuk dan sudu serta garfu, membolehkan kita sekurang-kurangnya menyediakan mi segera. Namun peralatan tambahan seperti peti sejuk, periuk, ketuhar gelombang mikro dan dapur membolehkan perancangan masakan dengan pilihan yang lebih luas. Jadi, dengan mengenal pasti peralatan yang sedia ada, kita mampu membuat perancangan yang lebih rapi untuk menambah peralatan-peralatan lain, atau hanya mengekalkan peralatan yang sedia ada.

 
Peralatan yang ringkas membolehkan kita menyediakan makanan yang ringkas untuk satu atau dua hidangan sahaja. Manakala, peralatan yang lengkap membolehkan anda menyimpan bekalan bahan mentah ataupun hasil masakan tadi untuk tempoh beberapa lama. Anda boleh menyemak artikel lama kami mengenai periuk-periuk yang membolehkan kerja-kerja memasak dilakukan dengan lebih pantas, begitu juga dengan artikel mengenai penggunaan pisau di dapur. Begitu juga dengan teknik penyimpanan makanan yang boleh dilakukan dengan pelbagai proses seperti pengeringan, penyejukan, menjeruk dan teknik yang lebih moden iaitu sejuk beku. Kesemua teknik ini boleh digunakan bergantung kepada keperluan kita sendiri.
 
Persiapan bahan memasak

Bahan-bahan kering (rempah dan herba) boleh disimpan dengan lebih lama, terutamanya jika anda memasak hanya untuk seorang di rumah.

Penyediaan bahan memasak amat penting, terutamanya apabila anda menyediakan makanan sendiri (untuk seorang). Ini kerana, andalah yang perlu menyediakan bahan tersebut dan menggunakannya untuk memasak. Bahan-bahan yang disediakan, sama ada berjaya digunakan untuk dimasak atau adakalanya terpaksa dibuang kerana rosak sebelum sempat digunakan. Oleh sebab itu, peralatan penyimpanan seperti peti sejuk amat membantu bagi menyimpan bahan-bahan yang mudah rosak (untuk memanjangkan tempoh penyimpanan nya). Selain itu, penggunaan bahan-bahan kering juga adalah lebih mudah untuk disimpan dalam tempoh yang lebih panjang. Anda juga mungkin memerlukan bekas-bekas penyimpanan kecil untuk menyimpan bahan-bahan yang digunakan dalam jumlah yang sedikit seperti bahan rempah yang digunakan sedikit, namun kerap digunakan di dalam masakan.
 
Penyediaan

Penggunaan bahan yang berkualiti boleh memberikan anda hasil masakan yang enak.

Masakan untuk seorang boleh disediakan bergantung kepada peralatan yang anda perolehi. Sekiranya anda mempunyai peralatan penyimpanan yang lengkap seperti bekas dan peti sejuk, maka makanan yang disediakan boleh disimpan untuk beberapa hari. Namun sekiranya anda tidak memiliki peti sejuk, maka makanan yang disediakan perlu dihabiskan dalam hari yang sama. Dalam peringkat penyediaan ini adalah untuk mengenal pasti saiz masakan yang akan disediakan. Dari sinilah kita dapat merancang untuk penjimatan berbanding pembaziran sekiranya hasil masakan perlu dibuang apabila berlaku lebihan atau sebelum sempat ianya dimakan.
 
Terdapat jenis-jenis masakan yang sesuai untuk seorang. Masakan-masakan ini terdiri daripada, masakan yang tidak menggunakan terlalu banyak bahan, mudah disediakan dan boleh disimpan dengan mudah. Satu perkara yang perlu diingat apabila menyediakan makanan untuk anda sendiri adalah kelenturan bagi anda memilih resepi dan mengubah resepi sesuai dengan citarasa dan kesesuaian keperluan anda. Anda tidak perlu terikat dengan resepi-resepi tradisi malah anda berpeluang mencuba resepi-resepi lain disamping mengolah resepi tersebut. Apa yang penting dalam menyediakan masakan sendiri adalah memastikan bahan utama masakan tersebut seperti daging, ayam, ikan, sayur dan sebagainya.

 
Antara faktor lain yang mempengaruhi jenis masakan yang anda sediakan adalah masa. Tempoh penyiapan bahan mentah perlu diambil kira kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk keseluruhan tempoh memasak. Namun proses ini boleh juga dipercepatkan dengan menggunakan peralatan seperti alat pengisar atau peralatan-peralatan sesuai yang lain. Satu lagi kaedah adalah dengan menggunakan perencah segera atau menyediakan nya sekali untuk digunakan beberapa kali semasa memasak. Begitu juga penyediaan jenis-jenis masakan yang memerlukan tempoh penyediaan yang terlalu lama seperti rendang dan ketupat juga mungkin tidak sesuai bagi anda.
 
Hidangan

Hidangkan makanan sebaik mungkin, kerana ia akan menambah selera anda untuk menikmatinya.

Walaupun anda boleh menghidangkan masakan anda dengan ringkas, anda perlu merancang untuk memiliki peralatan asas seperti pinggan, mangkuk, piring, sudu & garfu selain peralatan penyimpanan. Anda boleh menghias masakan anda sesuai dengan peralatan dan bahan yang sedia ada. Ini boleh memberikan kepuasan kepada kerja keras anda dalam menyediakan masakan tersebut. Anda juga perlu menyediakan bekas dan peralatan yang sesuai untuk penyimpanan lebihan daripada masakan. Penyimpanan lebihan masakan atau anda merancang untuk memasak lebih daripada satu hidangan dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan. Ia merupakan antara tujuan penting bagi menyediakan masakan sendiri di rumah walaupun untuk seorang.
 
Walaupun tajuk ini kurang diberikan perhatian, namun ia merupakan tajuk penting sebagai kemahiran asas kelangsungan hidup. Ia bukan sahaja membantu kita dalam menjimatkan perbelanjaan, malah memastikan kita dapat menyediakan makanan yang menyihatkan, bersih, selamat, menepati citarasa, membolehkan anda mempelajari perkara baru, mengelakkan kebosanan dan banyak lagi. Memasak bukanlah perkara yang sukar ataupun perkara yang boleh dipandang ringan. Ia merupakan satu lagi peluang untuk anda mengeksplorasi pelbagai perkara mengenai masakan yang pastinya memberikan kepuasan. Sekiranya terdapat sebarang komen yang membina bolehlah kongsi-kongsikan di ruangan komen.

Isnin, 9 Mei 2022

Teknik Peyimpanan Makanan Melalui "Freeze Drying"

Makanan yang telah dikeringkan mudah disimpan.
 
Topik mengenai makanan merupakan antara topik yang sentiasa mendapat perhatian daripada artikel-artikel kami. Ini kerana, ia merupakan faktor penting di dalam kehidupan. Tiada hidupan yang akan menghuni sesuatu kawasan yang tidak mampu membekalkan nya sumber makanan untuk meneruskan kehidupan. Berbeza dengan manusia, kita merancang dan mencipta kaedah yang mampu menjamin sumber makanan sentiasa terjamin.
 
Antara teknik-teknik penyimpanan makanan, teknik yang dikenali sebagai “freeze-drying”, merupakan antara kaedah termoden yang kian popular. Ia juga adalah jauh lebih baik dari segi mengekalkan rasa, zat pemakanan, tempoh penyimpanan, keboleh harapan, teknik yang mudah, kos efektif dan beberapa lagi kebaikan mengikut keadaan. Sekiranya sebelum ini kita membincangkan mengenai teknik pengeringan biasa, maka teknik ini merupakan satu lagi kaedah pengeringan yang sedikit berbeza (memerlukan kos yang lebih tinggi daripada pengeringan biasa).
 
Sejarah Teknik
 
Walaupun teknik yang sempurna kaedah ‘freeze-drying’ hanya popular pada pertengahan 1900, teknik ini secara kasar digunakan oleh puak Inca dalam mengeringkan kentang pada abad ke-13. Proses yang melalui beberapa peringkat dengan mendedahkan kentang-kentang kepada suhu sejuk beku di puncak Andes pada waktu malam dan pengeringan air melalui pendedahan kepada cahaya matahari pada waktu siang. Kaedah ini digunakan untuk menghasilkan chuño, iaitu kentang kering yang boleh disimpan untuk tempoh yang lama sehingga puluhan tahun. Ia turut popular di kalangan orang-orang Quechua dan Aymara yang mendiami Bolivia dan Peru.

 
Penggunaan kaedah moden bermula sejak 1890 oleh Richard Altmann, yang mereka kaedah untuk melakukan teknik ‘freeze-dry’ ke atas tisu (tumbuhan atau haiwan). Kaedah ini tidak diketahui ramai sehingga tahun 1930-an. Kaedah ‘freeze drying’ dipatentkan oleh Tival pada 1027 dan Elser pada 1934 dengan system menggunakan kondensor yang diperbaiki.
 
Penggunaan kaedah ini menjadi sangat penting semasa peperangan dunia kedua dalam memastikan bekalan plasma darah dan penicillin dapat dihantar kepada askar-askar yang cedera di lapangan. Menjelang 1950-an - 1960-an kaedah ini mula diterima sebagai kaedah pelbagai guna untuk tujuan Farmaseutikal dan pemprosesan makanan.
 
Penggunaan Awal
 
Teknik ‘freeze drying’, merupakan teknik yang agak mahal lebih-lebih lagi pada peringkat permulaan ianya mula diperkenalkan. Ia hanya digunakan oleh setengah badan seperti NASA dan tentera dalam menyediakan makanan untuk para angkasawan dan juga askar yang perlu bertugas di lapangan. Teknik ini terus diperbaiki bagi meningkatkan mutu keselamatan makanan disamping memastikan ianya lebih menyelerakan apabila dimakan. Sebelum teknik ini digunakan, makanan yang digunakan untuk para tentera mudah rosak dan mempunyai nutrient yang rendah berbanding makanan yang segar.

Ais krim adalah antara makanan yang boleh dikeringkan menggunakan teknik 'free drying'.

 
Freeze Drying di Rumah
 
Hari ini teknik ini boleh dilakukan di rumah dengan mesin yang sesuai. Walaubagaimanapun, kos mesin untuk ‘freeze drying’ masih lagi jauh lebih mahal berbanding mesin untuk proses ‘dehydration’ (pengeringan). Sebelum anda membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk melabur bagi membeli mesin ini, anda perlulah membuat perangkaan yang tepat mengenai penggunaan nya. Walaupun teknik ini amat baik dan mempunyai kebaikan, namun bagi penggunaan yang kecil ia mungkin hanya akan menjadi satu pembaziran.

 
Bagaimana Teknik Ini Bekerja
 
Dalam teknik ‘freeze drying’, makanan akan dibekukan dibawah suhu 0℃. Apabila makanan telah dibekukan, ruang penyejukan akan
divakumkan dan ini menyebabkan air yang beku bertukar menjadi wap dan turut dikeluarkan dari ruangan penyejukan. Proses ini menyebabkan makanan menjadi kering, namun mengekalkan bentuk dan lain-lain elemen yang terdapat di dalam makanan yang dibekukan. Hasilnya makanan yang dikeringkan tidak mengecut atau bertukar warna terlalu jauh berbeza seperti mana asalnya sebelum ia dikeringkan.
 
Proses pengeringan melalui teknik ini mengambil masa yang lebih lama berbanding teknik pengeringan biasa. Namun ia bergantung kepada kecekapan mesin yang digunakan. Ia mungkin akan diperbaiki pada masa-masa akan datang, memandangkan teknik ini masih lagi baru diperkenalkan kepada penguna-pengguna domestik.

Proses memasukkan makanan ke dalam mesin pengering.

Mesin kecil yang sesuai untuk kegunaan domestik dan industri kecil.

 
Hasil pengeringan melalui teknik ini boleh disimpan dengan mudah, iaitu samada di dalam plastik ataupun balang-balang penyimpanan makanan. Bagi memanjangkan lagi tempoh penyimpanan, anda boleh meletakkan penyerap oksigen di dalam bekas penyimpanan bagi memastikan pertumbuhan mikroorganisma dapat dielakkan (namun bakteria-bakteria anaerobik masih boleh berkembang). Selain itu, penyimpanan juga perlu disimpan dalam keadaan suhu yang tidak terlalu panas dan tidak terdedah kepada cahaya. Penyimpanan yang baik boleh mengekalkan makanan untuk terus disimpan bertahun-tahun lamanya.
 
Adakah Teknik Ini Lebih Baik
 
Dari segi kualiti makanan yang dikeringkan ianya adalah lebih baik berbanding dengan teknik-teknik lain sedia ada. Namun begitu teknik ini adalah jauh lebih mahal berbanding teknik-teknik pengawetan makanan yang lain. Ia mungkin berguna apabila adanya keperluan yang sememangnya tidak dapat disediakan dengan teknik-teknik yang lain, seperti mengekalkan fizikal makanan untuk tempoh yang lama. Bagi kebanyakan kita yang hanya melakukan penyimpanan stok makanan untuk beberapa hari ke bulan sahaja, maka teknik-teknik lain masih lagi sesuai digunakan, selagi ia diuruskan dengan baik - seperti memastikan bahan-bahan dikeringkan digunakan sebelum tempoh ia menjadi rosak (mengamalkan FIFO - first on, first out).

 
Mesin bagi teknik ini adalah lebih besar dan mempunyai komponen-komponen yang lebih kompleks (walaupun ia masih lagi di kira ringkas bagi mereka yang berpengalaman mengenai komponen-komponen ini). Kerosakan pada mesin ini mungkin memerlukan tempoh yang agak lama untuk diperbaiki, terutamanya bagi mereka yang perlu mengimport mesin ini dari luar negara. Adalah lebih baik sekiranya faktor ini diberikan perhatian sekiranya penggunaan mesin ini menjadi kepentingan harian (penggunaan yang kerap).

Mesin 'freeze drying', untuk kegunaan industri bersaiz jauh lebih besar.
 
Apa pun kaedah ini merupakan satu kelebihan penting kepada teknik pemprosesan makanan. Adalah diharap ia akan terus dimajukan dan mesin-mesin yang lebih ringkas dan murah dapat dihasilkan pada masa-masa akan datang. Bagi yang mempunyai sebarang input mengenai teknik ini bolehlah berkongsi pengalaman dan pengetahuan anda untuk kebaikan bersama.
 
 

Isnin, 2 Mei 2022

Juadah Raya Mengejut Tetap Meriah

Makanan raya tradisi agak berat, memerlukan penyediaan yang lama dan memenatkan.

 
Pengumuman Hari Raya Puasa 2022 yang mengejutkan menyebabkan ramai yang rata-ratanya menyangkakan hari raya lewat sehari, maka persiapan hari raya masih lagi belum betul-betul selesai. Apakah kita perlu menyediakan persiapan-persiapan yang memerlukan masa yang panjang dan meletihkan. Apa kata, kita mengambil pendekatan dengan menyediakan juadah yang lebih mudah tetapi tetap memeriahkan hari yang penting ini.
 
Hari raya sememangnya sinonim dengan juadah-juadah yang unik melambangkan tradisi dan budaya. Namun kita juga perlu berubah dengan peredaran masa dan mementingkan perkara yang lebih utama dalam merayakan hari yang mulia ini. Jadi kita akan melihat beberapa juadah yang berpotensi untuk diadaptasi sempena hari raya nanti.

 
Soto Ayam

Soto ayam makanan yang mudah dimakan.
 
Menu seperti soto ayam adalah lebih mudah disediakan kerana tidak memerlukan persiapan yang terlalu memakan masa ataupun bahan-bahan yang sukar untuk didapati. Soto ayam juga merupakan makanan yang tidak terlalu berminyak atau mengandungi terlalu banyak rempah yang mungkin boleh mengakibatkan gangguan kepada sistem penghadaman bagi mereka yang sensitif. Walaupun soto ayam biasa disediakan semasa hari raya, ia tidak dianggap sebagai juadah utama seperti lemang dan rendang. Kesederhanaan soto ayam adalah ia boleh digandingkan dengan bahan-bahan lain mengikut selera masing-masing. Jadi pilihlah bahan-bahan yang mudah namun memberikan rasa yang ketara.
 
Mee Kari

Mee kari mempunyai aroma yang membangkitkan selera daripada rempah yang digunakan.
 
Mee kari juga adalah makanan yang berpotensi untuk diketengahkan. Tidak seperti soto ayam, rempah kari (sekiranya terlalu pedas), mungkin boleh mengakibatkan masalah gangguan perut kepada mereka yang sensitif. Namun begitu mee kari mempunyai rasa yang lebih menyeluruh terutamanya apabila ia digandingkan dengan bahan-bahan yang sesuai seperti fish ball, fish cake, udang, ayam, kerang, kentang, telur rebus, sawi, taugeh, tauhu dan lain-lain. Mee kari sesuai dihidangkan ketika cuaca agak sejuk seperti di waktu pagi atau lewat petang hingga ke malam. Kenakan mee kari bukan sahaja pada rasanya, tetapi juga aroma daripada rempah yang digunakan. Jadi, hidangan ini amat berpotensi menjadi menu penting untuk hidangan hari raya.

 
Nasi Dagang

Nasi dagang dengan lauk tradisi, atau boleh ditambah dengan lauk yang lain.

Bagi mereka yang tidak biasa, hidangan nasi dagang mungkin agak sukar untuk disediakan. Namun sekiranya anda telah mencubanya beberapa kali ia sama seperti menyediakan juadah harian. Berbeza dengan nasi biasa, nasi dagang mempunyai rasa yang lebih menyelerakan kerana ia dimasak dengan bahan-bahan seperti bawang, halia santan dan halba. Selain itu, kari ikan tongkol yang menjadi gandingan nasi dagang juga membangkitkan lagi selera daripada bau yang dihasilkan daripada rempah kari ikan. Nasi dagang mempunyai rasa yang lengkap dengan masam, masin, manis dan lemak. Sekiranya disediakan dengan betul, ianya merupakan hidangan yang amat tepat bagi hari-hari yang penting seperti hari raya.
 
Lontong

Lontong mudah dimakan kerana ia mempunyai kuah yang tidak terlalu pekat.

Lontong sememangnya sudah sekian lama menjadi hidangan judah hari raya. Penyediaan lontong sama sahaja seperti soto ayam dengan kepelbagaian bahan yang digabungkan sebagai bahan campuran atau bahan gandingan. Namun lontong dan soto ayam mempunyai karakter yang berbeza dari segi teknik masakan dan bahan utama yang membezakan kedua-dua jenis masakan ini. Lontong menjadi makanan yang mudah dihadamkan apabila ia disediakan tidak terlalu pekat ataupun terlalu pedas. Ia juga mengenyangkan dengan nasi impit dan isi yang terdiri daripada pelbagai jenis sayuran dan tempeh. Juadah ini tidak menyebabkan anda mengantuk terutamanya bagi mereka yang memandu.

 
Roti Jala

Roti jala, mudah disediakan dan sedap bersama kuah kari ayam.

Roti jala juga sesuai sebagai hidangan di hari raya kerana rasanya yang lebih menyerlah berbanding lempeng biasa, namun tidak sesukar menyediakan roti canai. Roti jala juga enak dimakan bersama kuah kari ayam, atau apa sahaja kuah ayam (yang biasanya disediakan semasa hari raya). Ia merupakan satu lagi juadah ringan yang memuaskan, namun tidak terlalu berat. Roti jala mudah disediakan dan ia boleh digoreng apabila anda sedia untuk menghidangkannya kepada tetamu. Tempoh memasak tidak terlalu lama bagi jumlah yang kecil.
 
Salad Pasta

Bukan sahaja bewarna warni, salad pasta juga amat menyelerakan.

Mungkin tidak ramai yang menganggap makanan ini sesuai untuk dihidangkan di hari raya. Berbalik kepada kesederhanaan dan waktu penyediaan, makanan ini amat sesuai untuk diketengahkan. Salad pasta bukan sahaja mudah disediakan, malah ia juga mempunyai rasa yang memuaskan. Salad pasta tidak menggunakan bahan-bahan yang pedas seperti cili dan rempah - mengelakkan perut meragam. Mengandungi pelbagai jenis sayuran seperti brokoli, tomato dan buah zaitun (anda boleh mencuba sayuran lain yang sesuai), ia mempunyai rasa yang segar dan mudah untuk dimakan. Aroma daripada herba-herba seperti oregano, marjoram membangkit kesegaran kepada resipi ini. Anda juga boleh menggunakan emping cili atau lada hitam untuk sedikit rasa pedas.
 
Mee Goreng dan Nasi Goreng

Mee goreng hidangan versatil yang patut disediakan.
 
Walaupun tidak dianggap sebagai menu utama di hari raya, dua menu makanan ini merupakan hidangan yang paling berpotensi. Malah ia tetap disediakan ketika hari raya untuk situasi-situasi di mana kehabisan hidangan utama. Kesederhanaan mee goreng dan nasi goreng adalah bergantung kepada bahan-bahan yang terdapat semasa menyediakan mee goreng. Namun hidangan bertambah baik sekiranya ia dirancang sedari awal. Mee goreng dan nasi goreng yang disediakan dengan bahan-bahan tambahan yang tepat seperti fish ball, fish cake, daun bawang dan sayuran, bahan daging terdiri daripada ayam atau lembu, ditambah pula dengan makanan laut seperti sotong, udang, kerang atau kepah dan sebagainya yang sesuai. Ia merupakan menu yang cepat dimasak, sedap dimakan yang sepatutnya tidak diketepikan.

 
Salad dan Salad Buah

Salad buah, sebagai pilihan bagi mereka yang mempunyai masalah pemakanan.
 
Amat sesuai kerana kebanyakan hidangan hari raya adalah terlalu berat, berminyak dan mengandungi gula yang amat tinggi. Hidangan salad dan salad buah, mudah dihadam dan memberikan tenaga yang lebih cepat setelah sehari berjalan mengunjungi rumah saudara mara dan taulan. Ia juga merupakan hidangan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis. Adalah penting kita bagi menyediakan hidangan yang sesuai untuk keperluan semua tetamu dalam pelbagai keadaan. Anda hanya perlu menyediakan buah-buahan yang sesuai dan sos salad buah yang sesuai. Ia adalah hidangan yang adakalanya kita terlepas pandang.
 
Banyak lagi hidangan-hidangan yang berpotensi di luar sana. Hasil daripada penghijrahan pelbagai masyarakat dari seluruh dunia yang berada di negara kita, di mana hidangan mereka menjadi sebahagian daripada kebiasaan masyarakat tempatan. Walaupun kita berada di dalam suasana berhari raya, perlu diingatkan supaya tidak keterlaluan dalam menyediakan persiapan sehingga menyebabkan kita kepenatan, berlakunya pembaziran atau terlepas peluang untuk ziarah menziarahi sesama kita. Utamakan yang utama dan hayatilah hari yang bahagia ini iaitu Hari Raya.

Arkib Blog