Halaman

Isnin, 4 April 2022

Sutera Unik Muga Silk, Sutera Termahal dari Daerah Assam, India.

Muga silk, mempunyai warna asli tersendiri yang menarik.

Sutera merupakan salah satu tajuk penting yang mendapat perhatian di dalam artikel-artikel kami yang telah lepas mahupun yang akan datang. Kepentingan sutera sebagai bahan pembuatan merupakan sumber penting dalam menghasilkan pelbagai barangan. Pembangunan teknologi membolehkan sutera sintetik dihasilkan dengan kualiti yang lebih baik mengikut perkembangan masa. Walaubagaimanapun, buat masa ini industri sutera tradisional masih boleh berdaya saing memandangkan masih terdapat permintaan terhadapnya. Namun ia tidak mungkin akan bertahan sekiranya tiada usaha dalam memperbaiki kaedah pengeluarannya yang menyebabkan harganya yang terlalu tinggi dan penghasilan yang tidak efisyen.
 
Hari ini kita ingin melihat satu lagi jenis sutera yang amat unik dan hanya dihasilkan di daerah tertentu di India. Sutera unik ini dihasilkan oleh sejenis rama-rama yang berbeza daripada sutera biasa yang dihasilkan, malah ia turut diberikan makanan daripada daun tumbuhan tertentu dalam memastikan benang sutera dihasilkan mempunyai warnanya tersendiri. Memandangkan proses pemeliharaan dan penjagaan yang rumit menjadikan penghasilan sutera jenis ini amat terhad dan harganya juga amat mahal. Apa yang membimbangkan adalah, para pengusaha sutera ini masih lagi berada dalam keadaan kualiti kehidupan yang sama. Sekiranya keadaan ini berkekalan, maka tiada lagi generasi akan datang yang akan berminat dengan industri ini dan ia akan hilang dengan begitu sahaja.

 
Sutera yang dimaksudkan lebih dikenali sebagai ‘sutera muga’ (muga silk) yang dihasilkan oleh rama-rama yang dikenali sebagai ‘muga silkworm’ (Antheraea assamensis) atau juga dipanggil ulat sutera Assam. Penghasilan sutera ini telah dihasilkan di Daerah Assam semenjak 300 BC dan ianya hanya digunakan oleh golongan diraja. Berbeza dengan sari sutera biasa yang mungkin berharga sehingga $250, sari yang dihasilkan dengan menggunakan sutera muga boleh mencapai harga sehingga $6,500. Apa yang menarik sutera ini mempunyai warna keemasan secara semulajadi selain daripada menjadi lebih berkilat setiap kali ianya dicuci (menggunakan cucian tangan tanpa bahan pencuci kimia seperti sabun pencuci biasa).

Rama-rama yang digunakan dalam menghasilkan sutera Muga (Antheraea assamensis).

Ulat beluncas dari spesies yang menghasilkan sutera Muga.

Keunikan sutera muga bukan sahaja dihasilkan daripada jenis rama-rama yang unik. Untuk memastikan kualiti sutera yang tulen, anak rama-rama perlu diberikan makanan daripada tumbuhan tertentu sahaja, antaranya adalah daun dari pokok Som (Machilus bombycina) atau Sualu (Litsea polyantha). Namun dalam keadaan liar, anak rama-rama ini turut menjadikan tumbuh-tumbuhan lain sebagai makanan termasuk; Cinnamomum, Laurus, Litsea, Carpinus, Persea, Magnolia, Michelia, Quercus, Sarcostemma dan Symplocos. Sumber pemakanan ini amat penting, kerana ia memastikan kualiti sutera yang dihasilkan oleh kepompong beluncas menepati kualiti yang diperlukan untuk menjadi sutera muga yang diperlukan. Sumber pemakanan ulat beluncas memastikan kualiti warna benang sutera yang dihasilkan mempunyai warna keemasan yang berkilau.

 
Tidak seperti sutera biasa yang dihasilkan oleh jenis rama-rama Bombyx mori yang menjadikan tumbuhan mulberry sebagai makanan utamanya juga merupakan 90% daripada jumlah sutera yang dihasilkan untuk pasaran dunia. Sutera jenis ini juga dikenali sebagai ‘Mulberry Silk’, dimana penghasilan tanaman mulberry secara komersial khusus sebagai sumber makanan rama-rama ini dikenali sebagai Moriculture. Proses penghasilan mulberry silk lebih teratur dan mampu menghasilkan jumlah sutera yang lebih tinggi. Penternakan ulat-ulat sutera ini biasanya dilakukan di dalam bangunan khas yang mudah dikawal tanpa haiwan yang pemangsa yang menjadikan ulat-ulat ini sebagai makanan.

Pokok Som (Machilus bombycina) yang menjadi makanan khusus ulat sutera bagi penghasilan sutera Muga.

Pokok Sualu (Litsea polyantha), merupakan satu lagi pokok khusus bagi penghasilan sutera Muga asli.

Berbeza dengan Muga silk yang tergolong di dalam kumpulan Vanya Silk, atau boleh juga dinamakan sebagai sutera liar. Sutera-sutera liar adalah daripada sutera yang diperolehi daripada ulat-ulat yang hidup di hutan. Ia juga terdiri daripada rama-rama yang berbeza iaitu termasuk ; A. assamensis, A. paphia, A. pernyi, A. roylei, dan A. yamamai. Vanya silk terdiri daripada beberapa jenis termasuk Tussar, Muga dan Eri. Kepompong-kepompong sutera ini dikumpulkan oleh penduduk tempatan yang mendiami kawasan berhampiran hutan dan menggunakannya untuk ditenun atau dijual kepada penenun.
 
Berikutan dengan permintaan yang tinggi, sutera Muga menjadi mangsa
eksploitasi dengan penghasilan sutera muga tiruan. Maka dengan itu kerajaan terpaksa menetapkan bahawa penghasilan sutera Muga menjadi unik kepada Daerah Assam sahaja. Namun ia tidak menjamin keselamatan dalam memastikan sumber sutera itu sendiri iaitu ulat-ulat sutera dan sumber makanannya. Ancaman kepada ulat-ulat ini termasuklah serangan penyakit, haiwan pemangsa serta sumber makanan yang digunakan khusus untuk penghasilan sutera muga yang tulen.

 
Manakala dengan ancaman-ancaman ini, pengusaha-pengusaha (terdiri daripada
penternak ulat sutera dan penenun) muga silk, tidak memiliki pendapatan yang sepatutnya berbanding harga muga silk yang begitu tinggi. Sekiranya kaedah penghasilan ini tidak diperbaiki dan pendapatan pengusaha tidak ditingkatkan, maka industri muga silk akan hilang dalam tempoh terdekat.

Cadar yang dihasilkan daripada sutera Muga.

Bebenang daripada sutera Muga yang sedia untuk ditenun.

Muga silk merupakan satu lagi bahan dari sumber alam semulajadi yang amat unik dihasilkan oleh manusia dalam menghasilkan bahan pakaian. Ia merupakan satu ciri unik budaya yang amat berharga yang perlu dipelihara bagi memastikan keasliannya tetap kekal. Namun usaha ini akan mengalami pelbagai cabaran kerana ia juga bergantung kepada sumber alam yang lain termasuk ulat sutera dan sumber makanannya.
 
Walaupun pemeliharaan sumber semulajadi ini penting, penghasilan sutera secara sintetik merupakan salah satu langkah yang dapat menjamin penghasilan sutera yang lebih stabil dari segi harga, kualiti dan kuantiti yang lebih stabil. Teknologi ini masih diperbaiki dari pelbagai aspek dalam memastikan penghasilan yang optimum. Tanpa penghasilan sutera sintetik, penghasilan sutera secara semulajadi tidak mungkin dapat menampung permintaan sutera yang semakin meningkat bukan sahaja untuk penghasilan pakaian, malah dalam inovasi-inovasi baru yang memerlukan sutera.
 
 
Rujukan:
 
1) Businessinsider: Muga silk is known as the 'golden thread.' Here's why a sari made with this silk can cost $6,500.
2) Wikipedia: Muga silk
3) Wikipedia: Assam silk
4) Indiatales: Different Types Of Silk In India – An Introduction
5) Central Silk Board: Vanya Silks - The Wild Silks of India
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan