Rabu, 23 Mac 2022

Memastikan Kediaman Bebas Dari Lipas

Lipas membiak dengan pantas di dalam rumah yang menyediakan keperluan baginya.

Lipas (cockroach) merupakan antara serangga yang paling biasa mendiami kediaman manusia sejak sekian lama. Kemungkinan anda menjumpai lipas di dalam rumah adalah lebih tinggi berbanding serangga-serangga yang lain. Kebanyakan kita tidak menyukai lipas, malah ramai juga yang geli dan takut akan serangga ini. Sebahagian spesies lipas boleh menggigit dan ada juga yang boleh terbang membuatkan mereka yang takut akan lipas, menjadi lebih fobia akan serangga ini.
 
Tabiat lipas mendiami bahagian-bahagian gelap dan kotor di dalam rumah (seperti saluran paip dan saluran kumbahan) menyebabkan ia berpotensi menyebarkan penyakit kepada penghuni rumah. Ini juga menyebabkan mengapa lipas menjadi serangga yang dianggap kotor. Lipas merupakan serangga yang amat tahan lasak dan sukar untuk dihapuskan menyebabkan ia menjadi serangga yang paling mudah didapati tinggal bersama-sama manusia. Mari kita lihat antara perkara lain yang penting untuk kita ketahui mengenai lipas selain bagaimana kita dapat mengelakkan daripada serangga ini berada di dalam kediaman kita.

 
Lipas merupakan serrangga dari order Blattodea yang juga termasuk anai-anai. Terdapat sebanyak 4,600 spesies lipas yang diketahui dan hanya 30 spesies sahaja yang diketahui berhubung rapat dengan kediaman manusia. Manakala sebahagian daripadanya boleh menyebabkan masalah serius sekiranya tidak dikawal. Lipas, sama sahaja seperti serangga-serangga yang lain, amat berguna kepada keseimbangan alam dalam menjalankan fungsinya dan menjadi makanan kepada hidupan-hidupan yang lain. Malah, terdapat spesies yang turut menjadi binatang peliharaan. Kebanyakan spesies lipas tidak dikenali ramai, dan ianya amat unik.
 
Lipas yang mendiami rumah merupakan antara serangga yang mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama-sama manusia. Malah hubungan ini menyebabkan ia menjadi salah satu serangga yang amat sukar untuk dihapuskan - namun begitu ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan mengapa lipas berada di dalam rumah. Dengan mengetahui lebih banyak maklumat mengenai lipas-lipas ini, ia lebih mudah untuk ditangani, tanpa menggunakan kaedah-kaedah yang merbahaya seperti penggunaan racun dan bahan kimia merbahaya.
 
Spesies Lipas Rumah
 
Terdapat beberapa spesies lipas yang amat terkenal menjadi serangga perosak yang tinggal bersama-sama manusia. Spesies utama ini merupakan spesies utama yang kita jumpai di kediaman ataupun premis seperti bangunan pejabat dan juga kedai-kedai dan restoran. Antara spesies utama tersebut adalah:

German Cockroach merupakan spesies yang paling mudah ditemui di merata kawasan di dunia.
 
German Cockroach (Blattella germanica) - Antara spesies lipas yang amat popular di seluruh dunia. Mempunyai saiz berukuran 1/2” - 5/8” (16 mm). Amat mudah dikenali dengan dua garisan bewarna gelap yang selari di bahagian atas belakangnya. Mendiami kawasan yang mempunyai suhu yang panas dan lembab di mana ia juga mudah mendapatkan sumber makanan. Ia mudah dijumpai di kediaman manusia mahupun di premis komersial seperti kedai-kedai dan restoran.

American Cockroach mempunyai saiz yang lebih besar, mudah dikenali dengan corak dibelakangnya.

American Cockroach (Periplaneta americana) - Mempunyai warna yang lebih gelap dan mempunyai saiz yang lebih besar 1 -1/2” hingga 2” (38mm). Ia merupakan spesies yang biasanya tinggal di kediaman manusia. Mempunyai warna coklat-kemerahan dan mempunyai corak berbentuk lapan di bahagian belakang kepalanya. Spesies ini mempunyai kepak dan biasanya terbang untuk jarak yang dekat. Lipas ini juga adakalanya menggigit, walaupun ianya kurang berbahaya melainkan sekiranya berlaku jangkitan.

Mempunyai saiz yang agak besar Australian Cockroach, hampir menyamai American Cockroach. 

Australian Cockroach (Periplaneta australasiae) - Mempunyai warna yang lebih gelap berbanding American Cockroach, manakala saiznya adalah sama iaitu 1 -1/2” hingga 2” (38mm). Mempunyai corak yang sedikit berbeza, namun amat mudah dilihat.

Asian Cockroach mempunyai fizikal yang menyamai German cockroach, namun berbeza dari segi habitat.

Asian Cockroach (Blattella asahinai) - Lipas yang amat mirip kepada German Cockroach namun mempunyai tabiat yang berbeza. Darisegi bentuk dan saiz ianya mempunyai persamaan yang amat rapat dengan dua garis selari di bahagian belakanganya dan saiz 1/2” - 5/8” (16 mm). Namun lipas ini lebih selesa berada di habitat di luar rumah dengan timbunan daun-daun mati ataupun kawasan berumput. Lipas ini mampu terbang dengan baik. Walaupun jarang memasuki rumah, ia mungkin berbuat demikian sekiranya tertarik dengan cahaya lampu dari dalam rumah.

Smokybrown Cockroach mempunyai warna yang lebih gelap dan berkilat.

Smokybrown Cockroach (Periplaneta fuliginosa) - Mempunyai saiz yang sedikit kecil berbanding American Cockroach namun saiznya boleh mencapai agak besar iaitu 1-3/4" (44.5 mm). Warnanya adalah lebih gelap dan berkilat. Warnanya adalah coklat gelap dan mahogany selain mampu terbang dengan agak baik. Memilih kawasan yang mempunyai cuaca yang panas dan lembab - ia lebih mudah ditemui di bahagian Selatan US, dan merupakan spesies yang biasa dijumpai kediaman di Utara-Tengah Florida.

Brownbanded Cockroach mempunyai gegelang bewarna coklat dan kuning pada badannya.

Brownbanded Cockroach (Supella longipalpa) - Mempunyai warna yang lebih terang iaitu coklat dengan gegelang bewarna coklat dan kuning pada badan dan kepak. Ia boleh mencapai saiz sederhana iaitu 3/4" (19 mm) dan bergantung sepenuhnya kepada kediaman manusia sebagai habitat. Di dalam rumah ia boleh dijumpai di dalam bilik, di belakang barangan yang digantung di dinding, di bawah perabot (juga dikenali sebagai lipas perabot). Ia lebih cenderung hidup di dalam rumah yang bersuhu panas, dan semakin kurang ditemui dengan peninggkatan rumah yang menggunakan penyaman udara.
 
*Itu adalah sebahagian spesies lipas yang biasa menghuni di kediaman manusia. Seperti yang anda ketahui, terdapat banyak jenis lipas dan hanya sebahagian kecil sahaja yang menyebabkan gangguan pada manusia dan ia adalah disebabkan oleh manusia sendiri.

 
Perkara Yang Menarik Lipas
 
Lipas menjadikan rumah sebagai habitat mereka adalah kerana manusia menyediakan keperluan bagi ia hidup dengan lebih baik. Sekiranya punca-punca yang menarik lipas ini dapat dielakkan, maka lipas juga tidak akan tinggal di rumah atau premis anda. Bagi kebanyakan spesies lipas kediaman antara punca utama yang menarik bagi mereka adalah haba dan kelembapan. Antara punca-punca lain yang turut mengundang lipas adalah:
 
Pinggan mangkuk kotor di dalam sinki - pinggan mangkuk yang ditinggalkan di dalam singki mempunyai sisa-sisa makanan yang menarik perhatian lipas. Sinki juga merupakan kawasan lembab di mana lipas biasa menjadikan kawasan di bawah sinki sebagai tempat persembunyiannya.
 
Serdak serta sisa makanan di atas lantai dan kaunter - cerbisan-cebisan makanan merupakan makanan sesuai bagi lipas. Lipas biasanya keluar pada malam hari bagi mencari sisa-sisa makanan ini. Langkah terbaik adalah dengan mengelap sisa makanan di lantai atau di atas kaunter sebelum masuk tidur.

Sinki merupakan tempat yang biasa dilawati oleh lipas di rumah bagi mendapatkan makanan.

Sampah - Sampah menarik minat pelbagai serangga perosak termasuk lipas. Sebaiknya sampah perlu dibuang sebelum waktu tidur selain memastikan sampah ditutup rapat.
 
Makanan haiwan peliharaan - Sekiranya anda mempunyai binatang kesayangan di rumah seperti kucing, anjing burung dan sebagainya, pastikan lebihan makanan haiwan ini tidak bersepah selepas waktu makan. Bersihkan lebihan makanan sebaik sahaja ianya dimakan atau letakkan ia di tempat yang tertutup.
 
Lembapan tinggi - lipas memerlukan lembapan untuk hidup, dan menjadikan kawasan-kawasan gelap dan lembab sebagai tempat persembunyiannya. Pastikan anda membaiki paip-paip bocor, rekahan di bilik air, dan kawasan-kawasan lembab dapat dikurangkan.

Lipas liar mempunyai warna yang menarik dan sukar ditemui.

Lipas hanya akan tinggal di kawasan di mana ia boleh mendapat perlindungan dan makanan. Punca mengapa lipas berada di dalam rumah adalah disebabkan ia boleh mendapatkan keperluan tersebut. Pastikan anda membersihkan bahagian di dalam rumah terutamanya dapur dan tandas. Ia merupakan kawasan utama di mana lipas memulakan penempatannya di dalam rumah anda. Lipas mampu membiak dengan pantas dan sukar dikawal apabila ia mencapai tahap yang banyak. Jadi elakkan pembiakan lipas di peringkat awal. Lipas mampu membina ketahanan daripada racun serangga, malah ia mungkin membahayakan penghuni rumah dan haiwan peliharaan. Apabila pembiakan lipas tidak terkawal, bantuan pakar pembasmi makhluk perosak adalah perlu bagi membendung masalah ini. Kita lihat langkah-langkah pembasmian lipas di dalam artikel yang akan datang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog