Rabu, 30 Mac 2022

Lipas Serranga Cantik Yang Kurang Dikenali

Lipas cantik yang hanya dapat dilihat di habitat liar.

Anda merasa geli apabila melihat lipas? Ia merupakan perkara biasa bagi kita apabila berhadapan dengan serangga ini. Ini kerana, lipas yang kita kenali adalah jauh berbeza dengan lipas dalam keadaan mereka secara semulajadi. Lipas yang mendiami kediaman manusia adalah berbeza sepertimana mereka pada asalnya di habitat sebenar. Lipas, seperti juga hidupan-hidupan lain, merupakan sebahagian daripada ekosistem, dan ia adalah penting dalam memastikan keseimbangan alam. Kali ini, mari kita lihat lebih dekat mengenai serangga lipas yang unik.
 
Merujuk kepada artikel yang lepas, terdapat kira-kira 4,600 spesies lipas yang dikenali di dunia (mungkin terdapat spesies yang masih belum diketahui) dan hanya 30 sahaja daripadanya yang dikaitkan berhubung rapat dengan manusia. Lipas yang biasa mendiami kediaman manusia, telah lama menyesuaikan diri dengan persekitaran manusia dan sangat berbeza daripada lipas-lipas yang mendiami habitat asalnya. Namun begitu lipas tetap unik dan mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama manusia. Ia mampu membina ketahan terhadap banyak jenis racun yang digunakan oleh manusia ke atasnya. Lipas juga menjadikan apa sahaja yang terdapat di persekitarannya sebagai makanan, selain mampu bertahan tanpa makan untuk tempoh yang lama. Ini merupakan antara sebab mengapa ia sukar untuk dihapuskan.

 
Berbalik kita kepada lipas secara keseluruhannya, tanpa gangguan daripada manusia lipas liar mempunyai cara hidup yang jauh berbeza. Kebanyakan lipas merupakan serangga yang memakan sisa-sisa bahan organik seperti kulit kayu, sisa-sisa daripada hidupan dan tumbuhan yang mati, najis haiwan dan bahan-bahan yang mereput. Terdapat juga spesies-spesies lipas yang tinggal bersama-sama serangga lain seperti Attaphila fungicola yang tinggal di dalam semut pemotong daun. Kepelbagaian spesies lipas ini bukan sahaja menyaksikan kepelbagaian perbezaan dari segi fizikal, malah keseluruhan cara hidup daripada makanan sehinggalah kepada bagaimana mereka membiak.

Lagi lipas unik yang berwarna biru.

Lipas yang menyerupai serangga ladybird bagi mengelakkan dimakan musuh.

Lipas yang mempunyai warna dan corak yang unik.

Dari segi fizikal lipas-lipas liar mempunyai pelbagai bentuk dan saiz, daripada yang mempunyai berat paling tinggi iaitu Australian rhinoceros cockroach (Macropanesthia rhinoceros) iaitu 33.5 gram dengan panjang badan sehingga 80mm, merupakan lipas tanpa kepak. Manakala lipas terkecil Attaphila fungicola pula hanya berukuran 3 mm. Walaupun kebanyakan lipas mempunyai kepak, terdapat juga spesies yang berbentuk seperti ulat gonggok pendek (Perisphaerus sp.), berbentuk serangga lain seperti belalang, serangga ladybird (Prosoplecta sp.) dan sebagainya. Malah kebanyakan spesies lipas-lipas liar kelihatan amat cantik dengan pelbagai warna selain ada di antaranya mempunyai warna berkilau (iridescent), serta rupa bentuk yang menarik.

 
Secara keseluruhannya, lipas-lipas liar amat berbeza daripada lipas rumah yang kita kenali. Lipas membantu proses penghuraian sisa-sisa organik di persekitarannya selain menjadi sumber makanan kepada hidupan-hidupan lain di hutan. Mari kita lihat beberapa lagi spesies lipas yang mempunyai rupa bentuk serta warna yang menarik dan keunikan tersendiri. Oleh kerana kekurangan maklumat mengenai lipas-lipas ini, sebahagiannya hanya gambar sahaja yang dapat dikongsikan. Bagaimanapun terdapat laman web yang menyediakan lebih maklumat mengenai lipas yang menarik untuk dikunjungi di sini.

Lipas Megaloblatta longipennis, tersenarai sebagai lipas yang mempunyai sayap terbesar.

Lipas dengan sayap terbesar Megaloblatta longipennis, tersenarai sebagai lipas dengan sayap terbesar di dalam Guinness Book of World Records. Lipas yang berasal dari Amerika Selatan ini, mendiami kawasan di Peru, Ecuador dan Panama. Daripada
spesimen yang diperolehi milik Akira Yokokura dari Yamagata, Japan, lipas ini berukuran 97mm (3.8 in) panjang dan 45 mm (1.75 in) lebar. Ia boleh memiliki lebar sayap sehingga 20 cm. Sekiranya anda mempunyai fobia terhadap lipas, lipas ini mampu menyebabkan anda pengsan!

Lipas yang mempunyai berat paling tinggi, menhabiskan masa di dalam tanah dan tidak mempunyai kepak.

Lipas berikutnya merupakan lipas yang mempunyai berat paling tinggi iaitu Giant Burrowing Cockroach atau juga dikenali sebagai rhinoceros cockroach (Macropanesthia rhinoceros) yang berasal dari Queensland, Australia. Boleh mencapai berat sehingga 33.5 gram, lipas ini hampir memenuhi keseluruh tapak tangan apabila dipegang. Manakala ia merupakan lipas yang tinggal di dalam tanah dan tidak mempunyai sayap. Lipas ini juga tidak menghasilkan telur sebaliknya melahirkan anak yang akan dijaga selama beberapa tempoh di dalam sarangnya. Ibu lipas menyimpan makanan yang terdiri dari daun-daun reput untuk anak-anaknya yang masih kecil.

Madagascar hissing cockroach dikatakan amat menyerupai lipas yang hidup di zaman pra-sejarah.

Seterusnya kita melihat lipas yang agak popular sebagai binatang peliharaan. Mempunyai saiz yang agak besar dan menghasilkan bunyi apabila apabila diganggu. Madagascar hissing cockroach (Gromphadorhina portentosa), berasal dari kepulauan Madagascar. Lipas mempunyai saiz yang agak besar dan dikatakan mempunyai ciri-ciri lipas yang hidup di zaman pra-sejarah. Lipas ini hidup dengan memakan buah-buah yang jatuh, tumbuh-tumbuhan dan hidupan lain (arthropods). Ia menghasilkan bunyi dalam beberapa keadaan termasuk untuk menarik perhatian pasangan, pergaduhan atau sebagai amaran kepada ahli kumpulan yang lain. Lipas ini amat penting sebagai agen penghurai disamping merupakan sumber makanan kepada hidupan lain.

Lipas yang mempunyai corak unik di belakang badannya, Death's head cockroach.

Lipas berikutnya mempunyai nama yang agak pelik iaitu, Death’s head cockroach (Blaberus craniifer), iaitu nama yang diberikan bersempena corak yang terdapat di belakang lipas ini yang menyerupai tengkorak atau ‘jack-o-lantern’. Walaupun terdapat lipas yang menyerupai spesies ini, ia dapat dibezakan dengan titik pada corak dibelakangnya berbanding spesies lain yang tidak mempunyai titik ini. Walaupun mempunyai sayap, lipas ini tidak terbang sebaliknya hanya meluncur dari kawasan yang lebih tinggi. Seperti biasa, makanan lipas ini adalah terdiri daripada bahan-bahan organik yang mereput dari tumbuhan dan haiwann. Berasal dari kawasan Tengah Benua Amerika, Mexico, ia turut di bawa ke Florida, adakalanya dijadikan sebagai binatang peliharaan.

 
Di sini kami akan cuba juga kongsikan beberapa gambar lipas-lipas menarik yang tidak dapat dikongsikan lebih lanjut mengenai ciri-ciri uniknya. Namun daripada itu kita dapat melihat keunikan dunia serangga lipas yang selama ini tidak kita ketahui. Walaupun lipas rumah biasa banyak memberikan kita masalah, namun ia boleh diatasi dengan pengurusan rumah yang betul. Elakkan menggunakan racun apabila membunuh lipas, kerana ia boleh menjadikan ia menjadi lebih tahan kepada racun tersebut, sebaliknya mengancam isi kandungan rumah (manusia dan haiwan peliharaan).

Lipas dengan warna iridescent berkilau dan menarik.

Lipas yang mempunyai warna can corak yang menarik.

Lipas yang hanya boleh didapati di habitat asalnya.

Walaupun terdapat lipas-lipas yang dijadikan haiwan peliharaan, kami tidak menggalakkan perkara ini kerana ia lebih baik berada di habitat asalnya. Ia boleh menjadi spesies mengganggu berikutnya sekiranya terlepas dan membiak di luar kawalan. Jadi, lipas seperti juga hidupan-hidupan yang lain amat penting kepada alam. Ia bukan sahaja mempunyai fungsi penting dalam proses pereputan bahan-bahan organik, malah merupakan sumber makanan penting haiwan-haiwan yang terdiri daripada mamalia, burung, reptilia dan juga serangga sendiri. Jadi mari kita sama-sama memelihara persekitaran supaya ia berada di dalam keadaan yang seimbang.
 
 
Rujukan:
 
1) Guinnessworldrecords.com : Largest cockroach
2) Cockroach.speciesfile.org: Cockroach Species File Online
3) Bush Heritage Australia: Giant Burrowing Cockroaches
4) UNIVERSITY of NEBRASKA–LINCOLN: Madagascar Hissing Cockroach
5) AZ Animals : Death’s Head Cockroach
6) Terminix : Meet Some of the World’s Biggest Cockroaches
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog