Ahad, 3 Oktober 2021

Punca Kehilangan Serangga

Terdapat jutaan spesies serangga di dunia, dan kita hanya mengenali sebilangan kecil sahaja.


Tajuk kali ini merupakan tajuk lanjutan daripada artikel sebelum ini iaitu mengenai kepentingan serangga kepada keseimbangan alam, malah untuk kegunaan kepentingan manusia sendiri. Walaupun serangga kebanyakannya bersaiz kecil dan adakalanya ditakuti, namun fungsi serangga tidak dapat dinafikan. Kali ini, kita ingin melihat perkara-perkara yang menyumbang kepada pengurangan serangga yang berlaku semenjak kebelakangan ini.
 
Bagi yang menyedari akan kehilangan sebilangan besar serangga-serangga yang dahulunya (sekitar tahun 80-an) mudah dilihat dan hari ini ia samada, berkurangan atau tiada lagi. Ini apa yang dapat diperhatikan di sekitar kawasan kampung sendiri, apatah lagi kawasan-kawasan yang telah lama dibangunkan. Walaupun kita tidak bergantung kepada serangga secara terus, namun serangga-serangga ini mungkin menyumbang dalam keseimbangan jumlah haiwan-haiwan lain seperti burung, kelawar, katak, cicak, sesumpah dan lain-lain. Selain itu ia juga menyebabkan hidupan-hidupan perosak lain semakin bertambah (sebagai contoh, anak pepatung (drangonfly) mampu mengawal jumlah anak-anak nyamuk, dan lalat membantu proses pereputan dengan lebih pantas).

 
Secara tidak sedar, kita mungkin menyumbang secara lansung atau tidak langsung kepada kepupusan hidupan-hidupan yang memberikan banyak kepentingan kepada kita, secara perlahan-lahan. Jadi kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita berinteraksi dengan alam, bagi memastikan kita tidak merosakkannya secara berlebihan. Sehubungan itu, kita perlulah sentiasa peka mengenai persekitaran dan melakukan rujukan mengenai taburan serangga yang dilakukan oleh para pengkaji dari seluruh dunia.
 
Kehilangan Habitat

Kupu-kupu "Atlas moth" ini, suatu masa dahulu boleh didapati di persekitaran rumah.  

 
Kehilangan habitat merupakan punca utama kepupusan bukan sahaja serangga, malah kebanyakan hidupan-hidupan liar yang lain. Namun habitat serangga adalah lebih meluas dan ada di antaranya yang hidup amat hampir dengan manusia. Seperti pada tahun 80-an, serangga-serangga seperti rama-rama, pepatung dan kumbang amat mudah didapati di persekitaran rumah. Serangga-serangga ini akan beterbangan sepanjang hari, dan ia akan digantikan pula dengan serangga-serangga lain pada waktu malamnya.
 
Apakah yang membezakan, keadaan 40 tahun dahulu yang menyebabkan kita kehilangan sebilangan besar jumlah, serangga-serangga ini? Secara perlahan-lahan tanpa kita sedari, kita telah memusnahkan sebahagian besar habitat mereka. Namun hari ini, bagi mengembalikannya semula kepada keadaan asal, mungkin memakan masa yang agak lama (atau, hampir mustahil). Jadi semoga kita mempelajari kesilapan yang telah berlaku, dan berusaha untuk memperbaiki bagaimana kita menguruskan aktiviti harian bagi mengelakkan kemusnahan terus berlaku.

Terdapat banyak jenis lebah-lebah liar yang kurang dikenali, yang juga merupakan agen pendebungaan yang penting.

 
Perbezaan yang paling ketara dapat dilihat bersama-sama kehilangan serangga-serangga ini adalah, kehilangan kebanyakan spesies tumbuh-tumbuhan yang menjadi habitat dan sumber makanan mereka. Kebanyakan tumbuhan yang dikelaskan sebagai rumpai bagi kita adalah merupakan ekosistem yang penting bagi menyokong kehidupan mereka. Malah ada sebahagian serangga yang hanya bergantung kepada spesies tumbuhan-tumbuhan tertentu - yang pastinya akan pupus apabila kehilangan spesies tumbuhan tersebut.

 
Penggunaan racun rumpai yang memudahkan kerja-kerja pembasmian rumpai, merupakan penyumbang utama kepada kepupusan tumbuhan dan juga serangga. Ia turut menyumbang kepada pengurangan penyerapan air ke dalam tanah (mengurangkan sumber mata air) dan menyebabkan tanah menjadi padat serta kesan kemarau yang lebih teruk. Jika diperkatikan hari ini, spesies-spesies tumbuhan yang mudah didapati di persekitaran rumah suatu masa dahulu tidak lagi mudah didapati.
 
Penggunaan Racun Serangga
 
Serangga "ladybug" merupakan pemangsa bagi serangga perosak "aphid".


Melalui namanya sendiri adalah bertujuan untuk membunuh serangga. Walaupun ia ditujukan kepada serangga perosak, namun ia juga memberikan kesan kepada serangga-seranga yang lain. Penggunaan tanpa pengawalan yang betul menyebabkan kerosakan yang lebih serius, malah membawa kemudaratan kepada manusia sendiri.
 
Penggunaan racun serangga dapat dikurangkan sekiranya kita mengamalkan penanaman tumbuhan yang pelbagai dan menukar tanaman pada setiap musim. Malah, kebanyakan serangga perosak juga mempunyai hidupan pemangsa mereka sendiri seperti serangga lain, burung dan haiwan-haiwan pemakan serangga.
 
Cahaya Berlebihan

Cahaya menarik perhatian serangga dan menyebabkan kehilangan serangga yang tinggi.

 
Kemajuan teknologi juga memberikan satu lagi kelebihan kepada manusia yang menjadi satu impak besar kepada serangga. Lampu-lampu jalan yang hari ini digunakan sehingga ke kawasan pendalaman menyebabkan kematian sebilangan besar serangga-serangga. Serangga-serangga yang tertarik kepada lampu ini, kebiasannya tidak dapat meneruskan aktiviti mereka dan mati keletihan (akibat terkeliru daripada cahaya lampu).
 
Hari ini, lampu-lampu bukan sahaja berada di dalam rumah, malah turut berada di pinggir-pinggir jalan kampung. Kawasan-kawasan ini mungkin kurang penting dan dalam masa yang sama mempunyai kepadatan serangga yang tinggi. Hari ini, dapat dilihat dengan ketara, jumlah serangga-serangga yang mengelilingi lampu-lampu ini adalah jauh berkurangan berbanding pada mula ianya dipasang.
 
Walaupun lampu-lampu jalan dapat memberikan kemudahan kepada manusia. Penggunaan seperti ini perlu dielakkan. Mungkin juga kita perlu memikirkan kaedah lain yang dapat mengatasi masalah lampu dan serangga. Jadi, sama-samalah kita memikirkan kaedah terbaik, untuk mengelakkan keadaan yang berterusan.
 
Serangga seperti "Karner butterfly" ini amat sensitif, kerana hanya bergantung kepada tumbuhan yang spesifik.

 
Terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah kehilangan serangga. Ini adalah beberapa faktor utama yang perlu kita berikan perhatian, di mana kita boleh mengelakkan atau mengurangkan perkara-perkara di atas. Elakkan menggunakan racun rumpai. Gunakan dengan cermat, di tempat-tempat yang diperlukan sahaja. Penggunaan mesin rumput adalah jauh lebih baik, kerana ia memastikan pokok-pokok masih hidup dan mengelakkan hakisan.

 
Tanaman yang pelbagai dapat mengelakkan serrangga perosak membiak dengan banyak. Malah, dengan menukar tanaman secara pusingan juga dapat mengelakkan serangga perosak terus berada di kawasan yang sama kerana kehilangan sumber makanan - tanpa mengurangkan spesies-spesies serangga yang lain. Dalam perihal penggunaan lampu pula, elakkan menggunakan lampu di kawasan-kawasan yang kurang penting. Sebolehnya elakkan cahaya dilihat dari luar rumah bagi mengelakkan perhatian serangga. Mungkin suatu hari, kita berjaya mencipta cahaya yang tidak menarik perhatian mereka!
 
Itu sahaja buat kali ini. Diharap kita sama-sama dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada pemeliharaan serangga yang masih lagi kita kurang difahami mengenainya. Ini kerana, memastikan keseimbangan alam, dapat mengekalkan keharmonian kehidupan kita manusia juga.
 
 
Rujukan:
 
1. Nature.com: Pest and Pollinators
2. YaleEnvironemnt360: What’s Causing the Sharp Decline in Insects, and Why It Matters
3. Wikipedia: Decline in insect populations
4. Impakter: Insects Armageddon Caused by Climate Change
5. Inverse.com: LIGHT POLLUTION MAY BE KILLING AN ESSENTIAL INSECT SPECIES
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog