Lalat 'Black Soldier Fly' dewasa, amat mudah dikenali. |
Anda mungkin pernah mendengar mengenai penternakan cacing, siput dan lintah, tapi pernahkah anda mendengar mengenai penternakan lalat? Penternakan lalat bukanlah satu perkara baru, namun ia bertambah popular semenjak kebelakangan ini memandangkan potensinya yang meluas - selain daripada fungsinya yang baik untuk alam. Sekiranya anda tidak pernah mendengarnya sebelum ini, maka ini adalah peluang baik untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut - kerana ia mungkin memberikan anda manfaat untuk masa akan datang.
Lalat Black Soldier Fly atau BSF - atau nama saintifiknya ‘Hermetia illucens’, tergolong dalam keluarga lalat dari sub family Stratiomyidae. Ia merupakan lalat yang berasal dari kawasan Neotropical, namun hari ini ia boleh didapati hampir di mana sahaja kawasan di dunia. Tidak seperti lalat biasa, lalat BSF mempunyai fizikal yang lebih panjang, berwarna gelap dan mempunyai kilauan metalik. Bahagian kepalanya bersaiz besar dengan mata yang kelihatan jelas. Terdapat sesungut dengan kepanjangan dua kali ganda daripada kepalanya. Pada bahagian kaki pula terdapat bahagian-bahagian putih antara sendi-sendi kaki. Manakala lalat BSF akan melapikkan antara kedua kepaknya ketika berehat.
Mengapa industri ini penting?
Industri penternakan BSF bukan sahaja penting dari segi kegunaan hasilnya - iaitu larva/pupa lalat yang digunakan sebagai sumber protein, malah apa yang lebih penting adalah dalam usaha melupuskan bahan buangan sisa organik (seperti sisa makanan, bahan pertanian, ataupun industri). Bahan buangan organik walaupun boleh dilupuskan secara semulajadi - ia mengambil masa yang lama dan menghasilkan bauan yang berbau busuk (oleh kerana pembiakan bakteria untuk tempoh pereputan yang lama). Tidak seperti lalat biasa, anak-anak lalat BSF tidak menghasilkan enzim sepertimana lalat biasa yang menghasilkan bauan yang tidak menyenangkan.
Lalat BSF tidak bersifat perosak seperti mana lalat biasa. Ini kerana, lalat BSF dewasa hanya memakan nektar (madu) atau tidak makan (hanya bergantung daripada tenaga disimpan sewaktu di peringkat larva). Ini secara tidak langsung mengelakkan lalat-lalat BSF daripada mengganggu kawasan kediaman - sekiranya ia terlepas dari kurungan/tapak ternakan.
Lalat-lalat dewasa juga tidak bergerak secara aktif seperti lalat-lalat biasa. Lalat-lalat ini lebih mudah untuk ditangkap, malah tidak mempunyai sebarang organ yang boleh mencederakan seperti taring ataupun sengat. Jumlah populasinya mudah diselenggarakan melalui pemprosesan larva-larvanya secara teratur.
Lalat-lalat dewasa bertelur pada celah-celah bahan mereput seperti kotak dan rekahan kayu. |
Peringkat tumbesaran anak-anak lalat BSF. |
Pupa BSF yang telah dikeringkan boleh dipaket atau diproses sebagai campuran bahan makanan ternakan. |
Faedah BSF
Pada peringkat pupa, BSF mempunyai khasiat yang baik sebagai sumber makanan bagi haiwan ternakan. Ia boleh diberikan terus bagi haiwan-haiwan seperti ayam, itik, ikan, burung, cicak, kura-kura, khinzir malah anjing. Bagi memudahkan proses pengendalian dan penyimpanan pula ia boleh diproses dan dicampur dengan bahan-bahan makanan yang lain bagi meningkatkan khasiat pemakanan.
Ia merupakan makanan sumber makanan ikan, menggantikan makanan ikan biasa yang jauh lebih mahal. Berbanding dengan makanan ikan biasa, makanan daripada larva lalat ini jauh lebih digemari dan mengandungi khasiat yang lebih baik untuk tumbesaran ikan. Menggunakan larva-larva BSF sebagai bahan utama atau campuran, makanan ikan dapat dihasilkan dengan lebih murah berbanding dengan makanan ikan biasa.
Selain larva dan pupa lalat, semasa proses tumbesaran, anak-anak lalat ini juga menghasilkan bahan kumuhan yang dipanggil “frass”. Frass merupakan bahan yang tidak menghasilkan bauan yang boleh digunakan terus sebagai baja atau dihuraikan oleh cacing tanah (bagi mereka yang turut mengusahakan penternakan cacing tanah).
Selain diberikan terus kepada haiwan ternakan, BSF boleh dikeringkan atau ditukar kepada bentuk serbuk yang mudah dicampurkan kedalam campuran makanan - untuk pemprosesan. Ini memudahkan proses penyimpanan dan pemasaran.
BSFL yang telah diproses menjadi serbuk. |
Boleh juga dikering dan dipasarkan secara terus. |
Proses penghasilan benih-benih baru lalat BSF. |
Teknik pemeliharaan
Pemeliharaan BSF boleh dilakukan secara komersial dan secara kecil-kecilan mengikut keperluan. Bagi petani kecil-kecilan boleh mengambil kesempatan memelihara BSF bagi mengurangkan kos bahan makanan ternakan - disamping mendapat kebaikan protein tinggi yang dibekalkan oleh BSF.
Bagi penternakan secara komersial pula, pengurusan sumber makanan BSF boleh didapati daripada pembekal bahan-bahan pertanian (daripada pasar misalnya dan juga restauran-restauran). Ini dapat mengurangkan jumlah pembuangan sisa organik yang memenuhi tapak pembuangan sampah yang juga menghasilkan bauan yang tidak menyenangkan.
Pengusaha komersial juga perlu mengambil kira pusingan jumlah penghasilan larva-larva lalat, dengan memastikan penghasilan lalat-lalat dewasa yang menghasilkan telur untuk kitaran larva seterusnya. Pengusaha juga mungkin perlu menggunakan teknik pemprosesan larva-larva seperti teknik pengeringan dan pemprosesan, penyimpanan dan pembungkusan untuk pemasaran.
BSFL boleh diberikan secara terus kepada ayam ternakan. |
Makanan ikan menggunakan BSFL membekalkan protein yang tinggi. |
Zoo di Singapura menggunakan BSFL untuk mengawal sisa buangan haiwan di Zoo tersebut. |
Pemeliharaan BSF telah banyak dilakukan di serata dunia termasuk negara-negara maju seperti US, UK, Netherland, France, South Africa. Malah Malaysia sendiri mempunyai syarikat komersial yang turut beroperasi di beberapa negara di dunia iaitu Nutrition Technologies Group - mempunyai kerjasama dengan beberapa badan dan universiti di Australia, Malaysia, Vietnam dan Thailand dalam membangungkan produknya. Banyak lagi syarikat-syarikat lain yang mengusahakan BSF secara komersial boleh dilihat dari pautan ini.
Namun begitu, pengusaha kecil juga perlu mengambil peluang ini dalam menghasilkan makanan tambahan bagi penternakan mereka. Ia mungkin juga merupakan penghasilan untuk jualan bagi penternakan seperti ikan dan ayam. Selain membantu dalam pembersihan sisa organik, ia juga merupakan satu lagi aktiviti meningkatkan ekonomi keluarga. Selamat mencuba.
Rujukan:
1) Wikipedia: Hermetia illucens
2) Wikipedia: Stratiomyidae
3) Meticulous blog: TOP 10 COMPANIES IN BLACK SOLDIER FLY MARKET
4) The Black Soldier Fly: How-to-Guide
Namun begitu, pengusaha kecil juga perlu mengambil peluang ini dalam menghasilkan makanan tambahan bagi penternakan mereka. Ia mungkin juga merupakan penghasilan untuk jualan bagi penternakan seperti ikan dan ayam. Selain membantu dalam pembersihan sisa organik, ia juga merupakan satu lagi aktiviti meningkatkan ekonomi keluarga. Selamat mencuba.
Rujukan:
1) Wikipedia: Hermetia illucens
2) Wikipedia: Stratiomyidae
3) Meticulous blog: TOP 10 COMPANIES IN BLACK SOLDIER FLY MARKET
4) The Black Soldier Fly: How-to-Guide
Tiada ulasan:
Catat Ulasan