Halaman

Khamis, 24 Jun 2021

Pencemaran Plastik Sejauh Manakah Kita Memahaminya?

Lambakan pembuangan plastik yang terus mencemarkan alam.

 
Plastik merupakan bahan yang paling mudah didapati hari ini. Kepentingan plastik tidak dapat dinafikan, yang membolehkan hampir semua benda dihasilkan dengan harga yang lebih mudah dimiliki oleh semua golongan. Disebalik kemudahan ini, plastik merupakan bahan yang paling bahaya dan mengkibatkan kerosakan yang serius kepada alam. Walaupun faedah penggunaan plastik ini amat bermanfaat, kita perlulah mengambil langkah segera bagi mengelakkan kesan keburukan pencemaran plastik yang boleh mendatangkan mudarat yang lebih serius.
 
Sejarah penciptaan plastik bermula lebih awal iaitu daripada penemuan plastik sintetik pertama oleh John Wesley Hyatt pada 1869 setelah mendapat tawaran daripada firma di New York bagi menemukan bahan gantian bagi gading gajah. Bahan sintetik yang dihasilkan adalah daripada fiber kapas dan kapur (camphor), dan bahan yang dihasilkan boleh diubah bentuk kepada pelbagai bentuk lain. Pada 1907, Leo Baekeland pula berjaya mencipta Bakelite, iaitu plastik 100% daripada bahan bukan organik. Penemuan ini memudahkan penggunaan nya dalam pelbagai bidang terutamanya dalam pembangunan industri (yang memerlukan bahan yang mudah dibentuk, sebagai penebat). Kedua-kedua penemuan ini menjadikan lebih banyak kajian dilakukan bagi menghasilkan lebih banyak plastik-plastik dengan pelbagai potensi kegunaan.

 
Penggunaan plastik terus meningkat berikutan keperluannya menjelang Perang Dunia ke-2, di mana sumber semulajadi amat terhad dan bahan-bahan sintetik merupakan pilihan utama. Penemuan bahan seperti Nylon oleh Wallace Carothers pada 1935 membolehkan pelbagai peralatan dihasilkan seperti payung terjun, tali, baju perisai, pelapik tapi keledar dan sebagainya. Manakala bahan seperti Plexiglass menggantikan kaca yang digunakan sebagai tingkap kapal terbang. Malah penggunaan plastik juga menjadi lebih penting selepas perang bagi memenuhi permintaan pasaran dan menghasilkan peralatan/barangan pada harga yang lebih murah.
 
Walaupun bahaya pencemaran plastik telah diketahui semenjak awal penciptaannya, penghasilan plastik adalah meningkat setiap tahun berikutan permintaan penggunaannya. Plastik yang dihasilkan pada 1950 adalah sebanyak 2.3 juta tan dan jumlah ini mencapai 448 juta tan pada tahun 2015. Angka ini dikatakan bakal meningkat dua kali ganda menjelang 2050 (sekiranya tiada langkah yang diambil).

Plastik yang dihanyutkan air mirip sekali dengan obor-obor yang menjadi makanan penyu. 

 
Plastik adalah bahan yang tidak terurai dan kekal dalam alam dengan anggaran selama 400 tahun. Plastik sebaliknya akan menjadi cebisan-cebisan kecil dan menjadi bahan makanan (secara tidak sengaja) hidupan-hidupan liar - yang menyebabkan kematian dan adakalanya menjadi makanan manusia semula. Keadaan ini telah diketahui sejak awal penggunaan plastik, namun tiada penyelesaian yang betul-betul berkesan dalam menangani masalah ini.
 
Kesan kepada di atas tanah

 
Setakat ini pelupusan plastik yang paling asas adalah secara penggunaan tapak pelupusan (kaedah yang digunakan oleh kebanyakan kawasan di dunia). Walaupun diketahui plastik tidak boleh diurai, ia bagi mengelakkan plastik daripada terus berada di kawasan kediaman atau mencemari kawasan pengairan seperti sungai. Kaedah ini tidak berkesan kerana, plastik masih dihanyutkan ke dalam sungai apabila tiba musim hujan. Ia juga menghalang pengaliran air ke dalam tanah dan adakalanya menyebabkan masalah saliran seterusnya menyebabkan banjir, masalah air bertakung dan pembiakan serangga merbahaya seperti nyamuk dan lalat. Hidupan-hidupan ternakan dan liar juga sering menjadikan plastik sebagai makanan nya secara tidak sengaja yang menyebabkan kematian. Pelupusan plastik dengan kaedah ini merupakan kaedah yang tidak boleh digunakan jangka panjang kerana seperti yang dapat dilihat hari ini, plastik-plastik terus dihanyutkan di sungai-sungai walaupun kita mempunyai kaedah pengumpulan sampah yang teratur.
 
Plastik di dalam saliran dan sungai

Plastik bukan sahaja menyekat aliran air, malah menyebabkan air menjadi kotor.

 
Walaupun plastik tidak dibuang terus ke dalam sungai, ia amat mudah dibawa air dan dihanyutkan ke dalam sungai. Di dalam sungai, ia akan terus dihanyutkan sehingga ke laut. Plastik mungkin mula menjadi cebisan-cebisan kecil dan mengancam hidupan air. Sebahagiannya akan tersangkut pada tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar sungai dan menyekat pengaliran air yang lancar. Sungai merupakan pengangkutan mudah bagi plastik untuk dihanyutkan sehingga ke laut. Selain menjadi ancaman kepada hidupan air, ia juga turut mengancam mereka yang tinggal di kuala-kuala sungai. Kehadiran plastik di dalam sungai, menjadikan proses penguraian bahan-bahan organik di dalam sungai menjadi perlahan dan menyebabkan sungai menjadi kotor dan berbau. Bahan-bahan buangan plastik hari ini dengan mudah dapat dilihat di kawasan-kawasan bakau di mana ia menjadi kawasan pembiakan ikan-ikan.
 
Plastik di laut

Amat menyedihkan apabila tangkapan para nelayan semakin merosot - namun ia berpunca dari kesilapan manusia sendiri. 

 
Plastik yang berjaya hanyut ke laut akhirnya akan tetap berada di laut untuk tempoh yang panjang. Ia mungkin menjadi cebisan yang lebih kecil dan menjadi makanan oleh setiap hidupan di laut. Plastik mengancam hidupan dalam pelbagai bentuk dan tidak mengira saiz hidupan tersebut. Bagi cebisan yang besar boleh menyebabkan ia tersangkut pada haiwan dan menyebabkan kecacatan anggota dan kematian. Sebahagiannya dimakan secara tidak sengaja kerana menyangkanya adalah obor-obor dan menyebabkan kematian akibat tercekik. Bagi cebisan-cebisan kecil pula akan terus kekal di dalam perut ikan atau burung-burung laut - dan ini mengakibatkan haiwan tersebut mati akibat kebuluran (kerana plastik tidak boleh dihadam). Ia merupakan keadaan yang sukar dibayangkan melainkan kita melihatnya sendiri (dan ianya bukanlah satu pemandangan yang baik untuk dilihat). Apabila haiwan-haiwan ini mati - plastik yang sama masih mampu membunuh hidupan yang lain berikutnya.
 
Jumlah plastik yang berada di laut hanya akan terus bertambah setiap hari dan kekal di laut. Hari ini tiada kawasan di laut yang terlepas daripada pencemaran plastik - walaupun pulau terpencil di tengah lautan Pasifik sekalipun terdapat plastik yang dihanyutkan di pantainya. Manakala, plastik bukan sahaja berada di permukaan laut, malah kebanyakan plastik adalah berada di dasar laut. Hampir setiap hidupan laut mengandungi plastik. Plastik-plastik ini sudah tentu membawa mudarat kepada nya - namun cebisan-cebisan kecil plastik ini tidak dapat dibezakan oleh hidupan-hidupan laut yang menyangkanya adalah makanan. Manakala sebahagiannya pula menjadi makanan kepada manusia.

 
Bolehkah plastik menyebabkan kepupusan besar?
 
Ia merupakan satu perkara yang mungkin sedang berlaku. Apa yang dapat diperhatikan adalah penurunan hasil tangkapan di laut, kematian hidupan-hidupan lain seperti batu karang dan kematian hidupan akibat termakan plastik. Kadar peningkatan sesuatu spesies (seperti obor-obor) menandakan penurunan haiwan pemangsanya - yang menandakan ketidak seimbangan hidupan laut. Kepupusan berlaku apabila keseimbangan hidupan terancam di mana jumlah suatu spesies hidupan kurang dan menyebabkan jumlah spesies lain yang melampau. Ia bagaimanapun akan berakhir dengan kepupusan keduanya apabila jumlah makanan bagi spesies yang melampau berkurangan. Ia mungkin memakan masa yang lama untuk mencapai keseimbangan semula (seperti selepas berlakunya kepupusan besar jutaan tahun dahulu).

Burung-burung laut merupakan mangsa paling biasa ditemui mati akibat termakan plastik.

Masalah tersangkut pada serpihan pukat seperti ini juga biasa berlaku.

Plastik juga menyebabkan kecacatan kepada hidupan.



 
Kaedah pelupusan plastik yang terbaik
 
Walaupun terdapat beberapa kaedah pelupusan plastik, tiada suatu kaedah pun yang digunakan secara rasmi. Ini kerana tiada kesepakatan mengenai kaedah pelupusan yang sesuai. Ini menyebabkan masalah plastik berterusan mencemarkan alam sekitar. Pengitaran plastik pula adalah merupakan propaganda yang sebenarnya tidak berlaku dengan efektik - sebaliknya plastik dihantar ke negara-negara kecil (seperti SE Asia) oleh negara-negara maju bagi mengelakkan pelupusan plastik di negara mereka. Proses kitaran plastik merupakan proses yang amat rumit dan memerlukan pelbagai proses yang tidak praktikal. Plastik-plastik ini kemudiannya sekali lagi dihanyutkan ke laut dan seterusnya berada di laut. Ia bukanlah suatu perkara yang ganjil apabila negara-negara kecil ini menjadi penyumbang utama masalah plastik utama.

 
Plastik hanya boleh dilupuskan secara keseluruhannya melalui kaedah pelupusan incinerator - dan ia memerlukan pemantauan yang rapi, kerana hanya incinerator moden yang mampu melupuskan plastik tanpa menghasilkan bahan pencemaran seperti dioxins dan furans. Selain itu kaedah lain seperti gasification dan pyrolysis juga merupakan antara kaedah yang berpotensi untuk menggunakan semula plastik dan mengelakkan nya daripada ia berada di dalam alam. Namun seperti juga kaedah-kaedah yang lain, tiada badan yang mampu melakukannya secara komersial - yang dapat mengatasi jumlah plastik-plastik yang terus membanjiri alam sekitar.

Serpihan-serpihan kecil micro-plastic yang dihanyutkan ke pantai.

 
Bolehkah masalah plastik diatasi?
 
Sekiranya manusia mampu menjelajah sehingga ke angkasa, masalah berkaitan plastik adalah sekadar pilihan - samada manusia mahu terus membiarkan pencemaran plastik terus berlaku ataupun mengambil langkah untuk mengatasinya. Plastik merupakan satu ciptaan yang amat baik - yang membolehkan kita manusia menikmati pelbagai kemudahan hari ini. Tanpa plastik, kebanyakan peralatan yang kita gunakan adalah terlalu mahal dan kebanyakannya mungkin sukar dipasarkan seperti pembungkusan makanan. Namun kemudahan ini memerlukan tanggungjawab bersama bagi memastikan alam bukan sahaja selamat dihuni oleh manusia, malah untuk semua hidupan di dalamnya. Kita sebagai pengguna perlu mengurangkan penggunaan plastik dan memastikan ia dilupuskan dengan kaedah yang selamat. Elakkan plastik daripada menghampiri laluan air dan sungai. Gunakan bahan bukan plastik apabila perlu dan bersama-sama mencari alternatif yang mampu menggantikan plastik di mana sesuai, dalam masa yang sama, mencari kaedah pelupusan plastik yang lebih efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan