Halaman

Sabtu, 12 Jun 2021

Kentang Antara Tanaman Penting Dunia Yang Perlu Dikenali

Kentang yang asalnya merupakan tumbuhan yang amat unik.

 
Walaupun kentang (Solanum tuberosum) dari keluarga Solanaceae bukan makanan asasi masyarakat di negara kita, rata-ratanya kita semua pernah menikmati kentang dalam pelbagai bentuk. Ini kerana, hari ini kentang mudah diperolehi dalam pelbagai bentuk makanan seperti “French fries”, kerepek kentang, kentang putar, “potato wedges”, “hash brown”, salad kentang, dan pelbagai bentuk masakan kentang yang disediakan oleh masyarakat kita sendiri. Walaupun kentang telah lama dikenali oleh masyarakat kita, namun ianya tidak seperti hari ini, di mana kita lebih menerima resepi-resepi baru dari barat - berbanding dahulunya - di mana masyarakat kita lebih bergantung kepada resepi tradisional. Selain itu, kentang juga tidak ditanam di negara kita - antara punca yang menyebabkan kentang sentiasa menjadi makanan import!
 
Bagi mengenali kentang dengan lebih dekat, kita perlu mengenali beberapa fakta penting mengenai kentang. Petama sekali adalah dari mana ianya berasal iaitu benua Amerika. Ia kemudiannya mula ditanam secara domestik oleh masyarakat asli di Peru sekitar 7,000 - 10,000 tahun dahulu. Kentang hanya dibawa ke Eropah pada pertengahan abad ke-15. Ia kemudiannya hanya mula berkembang di Eropah menjelang abad ke-16. Kentang dikatakan menjadi pemangkin kepada perkembangan penduduk dunia antara 1700 hingga 1900 - ini kerana ia mudah ditanam, dan memberikan hasil pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ekar tanaman. Ia menjadi makanan utama bagi setiap lapisan masyarakat di Eropah (terutama golongan petani). Namun kentang juga menjadi punca kepada masalah kebuluran di Ireland pada 1845 disebabkan serangan penyakit yang dikenali sebagai “late blight”. Malapetaka ini lebih dikenali sebagai “Great Irish Famine”, yang menyebabkan lebih kurang 1 juta kematian, manakala kira-kira 2.1 juta lagi meninggalkan Ireland.

 
Menjelang tahun 2014, kentang merupakan tanaman sumber makanan ke-4 terpenting di dunia selepas jagung, gandum dan padi. Tanaman kentang hampir di tanam di seluruh dunia - memandangkan ia mudah ditanam berbanding tanaman-tanaman lain. Namun hari ini, kefahaman ilmu tanaman - dapat mengurangkan risiko - kemusnahan tanaman kentang seperti yang berlaku di Ireland pada tahun 1845 (yang boleh dielakkan sedari awal lagi), iaitu pentingnya mengekalkan variasi, pembiakan silang pada tanaman untuk membolehkan ianya menjadi lebih tahan dalam melawan penyakit - terutama bagi tanaman yang ditanam secara besar-besaran. Perkara ini amat penting bagi kentang yang ditanam melalui ubinya (ia berasal dari satu klon). Risiko menjadi kurang apabila, pokok ditanam daripada biji.

Varieti kentang yang terdapat di pasaran.

Kentang Russet, merupakan antara kentang yang banyak ditanam.

 
Melalui kaedah pertanian selama ribuan tahun, menghasilkan lebih 5,000 varieti kentang. Daripada jumlah tersebut lebih dari 99% kentang yang ditanam di seluruh dunia mempunyai baka yang berasal daripada kawasan rendah di Selatan-tengah Chile. Daripada jumlah tersebut lebih kurang 200 daripadanya merupakan spesies dan sub-spesies daripada baka liar. Daripada baka liar inilah terhasilnya kentang-kentang tanaman komersial. Ia juga digunakan untuk penghasilan baka baru yang lebih tahan penyakit. Apa yang menarik, baka-baka liar ini mempunyai bentuk dan warna yang pelbagai. Ia berbeza sekali daripada kentang yang kita kenali di pasaran.

 
Melalui perjalan selama ratusan tahun, hari ini kentang di terima oleh masyarakat di seluruh dunia. Kita menikmati kentang dalam pelbagai bentuk, daripada kerepek kentang, kentang putar/lenyek, salad kentang, “French fries”, atau dalam bentuk sajian tempatan seperti kari kentang, sambal kentang, bergedel dan sebagainya. Dunia moden menjadikan kentang sebagai makanan yang lebih penting daripada kepesatan rangkaian restoran makanan segera. Manakala kerepek kentang pula menjadi kegemaran makanan aktiviti santai seperti mononton TV dan perkelahan. Kepentingan kentang tanpa disedari - menjadi satu sumber makanan penting dunia hari ini. Teknik kulinari hari ini juga membolehkan lebih banyak resepi-resepi baru yang lebih menyelerakan dihasilkan daripada kentang. Masyarakat moden lebih terbuka dalam menerima kentang sebagai gantian makanan utama menggantikan nasi - yang dahulu agak sukar untuk ditinggalkan.

Penyediaan batas ringkas tanaman kentang.

Daun pokok-pokok kentang yang subur.

Petani-petani kentang di Indonesia.

Petani memungut hasil kentang di China.

 
Bermula daripada negara asalnya Peru, kini kentang di tanam di seluruh dunia. China merupakan negara pengeluar terbesar kentang, diikuti dengan India dan Rusia. Kesesuaian tanaman kentang adalah kerana ianya mudah ditanam serta hasil per hektar yang lebih tinggi berbanding tanaman-tanaman pertanian yang lain. Kentang juga mampu membekalkan khasiat pemakanan yang baik (sesuai dijadikan sebagai makanan utama). Oleh kerana itu di kawasan seperti SE Asia juga merupakan antara tanaman penting bagi kentang. Negara-negara di Asia Tenggara yang mempunyai tanaman kentang termasuklah Indonesia, Myanmar, Vietnam, Thailand, Philippines, Laos dan Timur-Leste. Selain daripada untuk kegunaan tempatan, Indonesia turut mengeksport hasil keluaran kentang mereka. Daerah-daerah tanaman kentang di Indonesia adalah seperti di Karo, Sumatera Utara, dan Dataran Tanah Tinggi Dieng, Jawa Tengah.

 
Berbanding di Indonesia, di US pula jutaan tan kentang terpaksa dibuang pada pertengahan tahun 2020 berikutan penularan wabak Covid-19. Permintaan kentang yang menurun akibat penutupan perniagaan menyebabkan lambakan stok kentang untuk tanaman musim berikutnya. Tidak seperti di negara-negara Asia, di US, kentang merupakan sumber makanan penting seperti beras dan ia dihidangkan di waktu pagi, tengahari dan malam - dalam pelbagai bentuk hidangan. Amat menyedihkan kerana petani bukan sahaja tidak dapat memulakan musim penanaman baru, malah stok sedia ada juga terpaksa dibuang. Sebaliknya para petani turut mengalami kerugian dan hutang daripada bank.

Kentang lenyek makanan sederhana yang mudah dimakan.

"Roasted potato" - hidangan menyelerakan.

Steak dan kentang, gandingan hebat sumber protein dan karbohidrat.

 
Berbanding dengan kepentingannya, kentang tidak diberikan perhatian yang secukupnya berbanding dengan dengan tanaman-tanaman lain seperti jagung, gandum, padi dan lain-lain. Sepanjang ribuan tahun dan ratusan tahun kebelakangan ini, hanya terdapat beberapa badan yang menampilkan kentang sebagai bahan penting makanan manusia antaranya adalah Idaho Potato Museum, The Canadian Potato Museum, Potatomuseum, dan International Potato Center. Badan-badan ini menyediakan pelbagai bahan yang bukan sahaja menumpukan kentang sebagai tumbuhan pertanian, malah teknologi pemakanan dan juga kentang dalam mencorak budaya kehidupan manusia di seluruh dunia. International Potato Center (CIP) juga turut bekerjasama dengan NASA dalam membuat kajian berkenaan dengan penanaman kentang di Planet Marikh (satu kajian yang amat futuristik).
 
Adalah penting bagi kita sebagai pengguna untuk mengenal lebih dekat mengenai bahan tanaman istimewa ini. Walaupun kentang bukan merupakan makanan utama, kita masih lagi menikmati kentang dalam kebanyakan situasi, malah ia antara bahan makanan yang sesuai untuk menggantikan makanan utama kita iaitu nasi. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada tanaman, keadaan dunia yang tidak menentu. Mungkin pengetahuan mengenai kentang ataupun apa sahaja makanan dapat menyelamatkan manusia di seluruh dunia di masa akan datang. Semoga membawa manfaat.
 
 
Rujukan:
1) Wikipedia.com: Potato
2) Theguardian.com
3) Kompas.tv
4) Agrin
5) Faostat
6) International Potato Center
7) Idaho Potato Museum
8) The Canadian Potato Museum
9) Potato Museum

Tiada ulasan:

Catat Ulasan