Bakteria usus yang membantu proses pencernaan makanan, merupakan bakteria penting kepada manusia. |
Kita seringkali mendengar perkataan probiotik, atau mungkin kita juga agak terkeliru dengan perkataan prebiotik. Walaupun kedua-dua perkataan ini seakan-akan sama dan mempunyai hubung kait, namun ia adalah berbeza. Namun apa yang ingin kita ketengahkan pada kali ini adalah jauh lebih penting mengenai tajuk berkaitan probiotik dan faedahnya kepada kesihatan. Namun begitu tidak seperti teknik perubatan moden yang lain, penggunaan probiotik masih lagi tidak dikelaskan seperti ubatan-ubatan yang lain.
Probiotik merupakan kumpulan bakteria ataupun yis yang memberikan faedah yang baik untuk kesihatan terutamanya untuk penghadaman. Seperti yang kita ketahui, kita sentiasa terdedah kepada bakteria, kulat dan virus yang terdapat di sekeliling kita. Kebanyakan mikro-organisma ini tidak membahayakan kesihatan, malah ada diantaranya yang membantu kita daripada mengalami masalah kesihatan. Sebahagian probiotik turut terdapat di dalam makanan seperti yogurt, keju, wain, tapai, jeruk, tempeh, kimchi, kicap dan semua makanan yang diperam, ditapai atau dijeruk mengandungi bakteria baik - yang telah digunakan oleh manusia sejak sekian lama dalam pemprosesan makanan. Selain itu juga makanan-makanan mentah seperti sayuran segar, salad dan ulaman bukan sahaja mengandungi probotik, malah turut menjadi makanan probiotik di dalam sistem pencernaan manusia. Makanan kepada probiotik inilah yang dipanggil sebagai prebiotik (fiber atau bahan yang tidak boleh dicernakan oleh manusia, sebaliknya menjadi makanan kepada bakteria usus).
Antara makanan kaya dengan probiotik, baik untuk kesihatan. |
Antara produk yang mengandungi probiotik sebagai pilihan. |
Mikro-organisma atau probiotik membantu manusia bukan sahaja dalam proses penghadaman makanan, malah ia juga turut menghapuskan sel-sel yang menyebabkan penyakit, menyingkirkan bakteria-bakteria lain yang merbahaya kepada kesihatan dan menghasilkan vitamin. Bakteria di dalam usus mengsistesis vitamins dan membebaskan lebihan daripadanya ke dalam usus, ia juga turut memberikan kebaikan kepada perumahnya. Pada manusia misalnya, bakteria pada usus menghasilkan vitamin B12 dan mikro-nutrient vitamin K. Apa yang penting, ia turut membantu dalam mengelakkan jangkitan dan kerosakan pada lapisan tisu usus yang amat nipis dan terdedah kepada ancaman bakteria lain ataupun bahan merbahaya seperti Lectin.
Bakteria-bakteria ini juga biasanya terdapat secara semulajadi pada badan manusia (namun ianya berkurangan sekiranya kita membersihkannya dengan kerap menggunakan anti-bakteria). Manakala probiotik di dalam badan turut mati apabila kita mengambil antibiotik - yang turut membunuh bakteria-bakteria yang memberikan faedah kepada kesihatan ini. Perubahan gaya hidup, seperti menukar gaya pemakanan untuk jangka masa yang panjang juga boleh mengakibatkan perubahan kepada jenis-jenis bakteria yang terdapat di dalam usus.
Kini probiotik boleh diambil dalam bentuk minuman, makanan dan juga ada juga yang disediakan dalam bentuk supplement (serbuk ataupun cecair). Probiotik yang diambil secara tambahan hanyalah sebagai satu langkah membantu badan untuk mendapat bakteria berguna di dalam tubuh. Ini kerana pada kebiasaannya terdapat sekitar 10,000 spesies bakteria, fungus dan virus yang berada di seluruh badan, mulut, tekak, hidung, kulit, saluran pencernaan dan permukaan kulit. Malah setiap manusia mempunyai gabungan mikrobiota tersendiri yang unik untuk setiap individu. Hubungan manusia dan mikorbiota ini telah berlaku sejak daripada kewujudan manusia lagi - maka tidak hairanlah mengapa ia begitu penting sekali kepada kita.
Professor Élie Metchnikoff, antara saintis terawal yang mengetengahkan kepentingan bakteria kepada kesihatan manusia. |
Kepentingan bakteria kepada kesihatan ini bukanlah baru dikesan, malah ianya telahpun diketengahkan oleh Saintis Rusia yang juga merupakan penerima Anugerah Nobel, Élie Metchnikoff, pada tahun 1907 yang mendapati petani Bulgaria mempunyai umur yang lebih panjang - yang menjadiakan yogurt sebagai bahan makanan. Maka dengan inilah, diketahui bahawa, bakteria-bakteria ini bukan sahaja tidak merbahaya, malah boleh memberikan faedah kesihatan kepada perumahnya. Walaupun ada yang mengatakan probiotik memberikan faedah seperti mengurangkan masalah “gastrointestinal”, meningkatkan imunisasi, melegakan sembelit, dan mengelakkan selsema, namun ia tidak dapat dibuktikan secara saintifik.
Kebaikan probiotik bukan setakat itu sahaja, malah terdapat juga saranan yang menyatakan ia turut membantu mengelakkan masalah obisiti, tekanan darah tinggi, pengurangan kolestrol, meningkatkan imunisasi, aczema dan lain-lain lagi. Walaupun pembuktian secara saintifik adalah sukar, namun pengambilan prebiotik tidaklah mendatangkan mudarat (selagi ianya mengikut garis panduan yang betul melainkan anda mempunyai masalah kesihatan yang teruk) berbanding pengambilan ubatan moden yang lain - di mana mungkin mendatangkan kesan yang lebih serius. Apa yang sukar adalah menentukan jenis bakteria yang perlu diambil - kerana pengambilan probiotik mungkin terdiri dari daripada satu atau beberapa kumpulan bakteria sahaja. Namun begitu adalah penting bagi kita memastikan mengambil makanan yang dapat membantu menjaga pertumbuhan mikrobiota yang baik di dalam tubuh.
Antara kebaikan probiotik kepada kesihatan manusia. |
Antara bakteria yang membrikan kebaikan dan keburukan kepada kesihatan. |
Faedah probiotik merupakan satu topik yang besar dan sukar difahami. Namun begitu hubungan simbiotik manusia dan bakteria telah berlaku semenjak kewujudan manusia lagi, dengan erti kata lain, ia turut berlaku kepada hidupan lain juga. Hubungan ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Adalah merbahaya sekiranya kita kehilangan hubungan ini (melalui rawatan atau gaya hidup moden yang menyingkirkan bakteria-bakteria ini). Sehingga kita mempunyai kefahaman yang lebih mendalam mengenainya, kita perlu mengekalkan hubungan baik ini untuk tahap kesihatan yang optimum.
Walaupun anda boleh mengambil probiotik yang berada di pasaran dalam bentuk minuman, makanan dan makanan tambahan, adalah lebih baik bagi anda dalam menjaga pemakanan yang memastikan pertumbuhan mikrobiota yang baik. Dapatkan nasihat pakar perubatan sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut untuk perawatan menggunakan probiotik. Ia mungkin mengambil sedikit masa tidak seperti ubatan moden. Apa yang penting semoga ia dapat memberikan kesan postif kepada kesihatan anda.
Rujukan:
1) Webmd.com
2) Nccih.nih.gov
3) Tufts.edu
4) Wikipedia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan